Tuesday 21 January 2014

Sejarah Tanah Perkuburan Lama Kristian di Kuching

Dah lama rasanya tak update tentang sejarah Sarawak. Hari ini admin siapkan entri sejarah tanah perkuburan lama Kristian di Kuching. Tak ramai yang tahu kawasan perkuburan ini.

Sejarah>>>


Malaysia: Colonial Kuching (Religious) picture 16
Imej tanah perkuburan Kristian
lama di Kuching
Tanah perkuburan Kristian Kuching wujud pada era Brooke. Menurut rekod dari tahun 1845 hingga 1858, semua pengebumian orang Kristian dilakukan di situ dan melibatkan orang Eropah. Pada 1889, tanah perkuburan baru dibuka bagi menggantikan tanah perkuburan lama.

Menerusi rekod diosis, 27 orang Eropah dan 161 orang Asia (termasuk penduduk tempatan) telah dikebumikan di situ dan jumlah pengebumian sebanyak 188. Daripada 188 buah batu nisan yang terpacak di tanah perkuburan tersebut, hanya 32 saja yang masih utuh. 4 daripadanya diperbuat daripada kayu belian dan selebihnya diperbuat daripada batu.

Daripada 32 batu nisan yang ada di situ, hanya 8 buah inskripsi batu nisan yang boleh dibaca dengan jelas.

Lokasi>>>

Menerusi catatan WJ Chater, penulis dari England, kedudukan tanah perkuburan itu dapat dilihat dari sebelah Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur selepas pembukaan tempat letak kereta di bahagian Jalan Bishopgate. Menerusi maklumat Great Mirror, tanah perkuburan itu dapat dilihat dari belakang sebuah sekolah (sekolah Sekolah Kebangsaan St. Thomas). Berdasarkan gambar di atas, struktur bangunan Muzium Sarawak dapat dilihat dengan jelas. Memandangkan pola kedudukan Kuching sudah banyak berubah maka kedudukan tanah perkuburan ini juga dilihat dari jarak dan perspektif yang berbeza. Kedudukan tanah perkuburan dapat dilihat menerusi Google Map.

(Klik gambar untuk paparan lebih jelas)

Inskripsi Batu Nisan>>>

Di tanah perkuburan Kristian, terdapat beberapa inskripsi yang boleh dibaca dan ada di antaranya mempunyai kepentingan dari segi sejarah. Antaranya ialah Charles Adair Crymble, William Brereton, Henry Skelton, Alan Lee, Henry Steele, Charles James Fox, tiga bayi lelaki Biskop McDougall, Puan Mesney dan juga ketua skuner Julia. 

1. Charles Adair Crymble (1862)

Malaysia: Colonial Kuching (Religious) picture 14
batu nisan Crymble
Kubur Crymble antara kubur yang dijaga dengan rapi. Beliau merupakan anak Eropah yang bekerja di Sarawak pada era pemerintahan Rajah I dan memulakan perkhidmatannya pada tahun 1851. Beliau menyelia kawasan benteng yang berdiri di tepi sungai Sarawak (kemudian menjadi lokasi Fort Margherita yang dibina pada era Rajah II) sehinggalah benteng itu terbakar dalam Pemberontakan 1857 di mana James Brooke terjun ke sungai Sarawak bagi menyelamatkan dirinya. Crymble juga bendahari Sarawak dari tahun 1856 hingga kematiannya pada tahun 1862.

Beliau sering digambarkan sebagai orang liar dan kerani rendah yang bermasalah. Walaupun beliau dilihat dengan persepsi sedemikian, Rajah I menyanjungi beliau kerana keberaniannya mempertahankan benteng ketika Pemberontakan 1857 sehingga tinggal seorang diri dan mengalami kecederaan yang teruk. Di atas jasa dan keberanian Crymble, Rajah I meletakkan kata-kata kenangan pada batu nisan Crymble yang berbunyi:

"erected by the Rajah as a memorial of his public services, private worth, and tried fidelity." (Batu nisan ini telah diletakkan oleh Rajah sebagai tanda ingatan perkhidmatan awam, nilai peribadi dan bukti kesetiaannya."

2. William Wilson Brereton (1854) dan Alan Lee (1853)

Malaysia: Colonial Kuching (Religious) picture 15
batu nisan
William Brereton
Brereton merupakan anak Eropah yang berkhidmat di Sarawak bersama rakan karibnya, Alan Lee. Kematian Lee dikatakan berpunca dari kesilapan Brereton. Pada 1849, Skrang menjadi rebutan antara golongan Dayak dan tentera Eropah. Kehadiran kubu baru di Skrang menyebabkan Rentap berang dan berniat untuk menyerang. Brereton yang mengawasi kubu tersebut meminta bantuan Lee dan rakan-rakan Dayak Lingga. Apabila Lee mengatakan mungkin ada perangkap di sebalik selekoh, Brereton yang sedang mabuk menuduh Lee seorang pengecut. Akibat kata-kata Brereton, Lee mara ke dalam perangkap dan akhirnya mati dipenggal oleh menantu Rentap. 

Kematian Lee menyebabkan Brereton menyalahkan dirinya sendiri dan Brereton meninggal dunia setahun kemudian akibat disentri. Kedua-dua sahabat ini disemadikan sebelah menyebelah, berdekatan dengan kubur bayi lelaki Biskop McDougall.

Terdapat percanggahan mengenai kematian Lee samada kepala Lee disimpan oleh orang Dayak ataupun kepala itu sebenarnya milik orang Eropah yang bekerja dalam kapal Dido. Apa-apapun kepala itu dikatakan berada di Pulau Kerto, Sibu dalam keadaan reput kerana tidak dijaga pada era penjajahan Jepun.

3. Henry Skelton (1873)

Malaysia: Colonial Kuching (Religious) picture 12
baru nisan Skelton
yang retak
Skelton merupakan pegawai Eropah yang berkhidmat di Sarawak pada tahun 1866. Skelton pernah menyertai pertempuran di Sibu pada tahun 1870, menentang ketua Dayak Kanowit iaitu Lintong. Skelton dibantu oleh Brooke Low dan kerap kali diingatkan mengenai bahaya dan amaran serangan tetapi Skelton tidak peduli. Apabila serangan benar-benar berlaku, Skelton berang kerana serangan itu berlaku ketika beliau sedang sarapan pagi.

Walau bagaimanapun, tempoh Skelton tinggal di Kuching agak singkat. Malah tempoh perkhidmatannya sebagai Residen ke-2 Sri Aman juga pendek kerana selepas dua bulan berkhidmat, beliau meninggal dunia. Meninggal dunia ketika berusia 30 tahun, kematian Skelton dikatakan "dynamic and intermittent fever" (dinamik dan demam tidak menentu).


4. Bayi lelaki Biskop McDougall (1848, 1849, 1851)

Pasangan McDougall
Credits: cwfoodtravel
Biskop McDougall, biskop pertama di Kuching kehilangan tiga orang anak lelakinya secara berturut-turut. Yang pertama, Edward berusia sehari sebelum meninggal dunia. Edward merupakan bayi pertama yang dikuburkan di tanah perkuburan itu. Kemudian, Thomas meninggal dunia ketika berusia enam hari pada tahun 1849 dan Robert yang berusia sehari pada September 1851. Ketiga-tiga anak lelaki McDougall berkongsi kubur yang sama dan menjadi antara kubur yang tertua di situ. 

Mereka bertiga meninggal dunia atas masalah yang sama iaitu masalah kegagalan jantung.

5. Charles James Fox dan Henry Steele (1859)

Fox merupakan pelatih doktrin Kristianiti dan pembaptisan di Kolej Bishop di Calcutta dan dihantar ke Sarawak pada 1851. Fox menjadi pengajar di sebuah sekolah kecil (kini menjadi sekolah St. Thomas) dan juga pengajar enam orang pelajar Dayak di Padungan.

contoh baptismal font
(credits: common
wikimedia)
Kemudian, Fox menyertai  khidmat tentera atas pujukan pembantu peribadi James Brooke iaitu Sir Spencer St.John, walaupun Biskop McDougall tidak bersetuju dengan keputusannya. Fox berkhidmat di Kanowit selama beberapa tempoh bersama rakannya, Henry Steele sehinggalah mereka berdua dibunuh oleh dua orang lelaki yang mereka percayai pada 25 Jun 1859.

6. Puan Mesney (1884)
Puan Mesney merupakan isteri Penolong Uskup Mesney. Kuburnya dapat dilihat apabila masuk ke dalam tanah perkuburan. Pihak gereja besar menghadiahkan baptismal font yang istimewa pada Puan Mesney sebagai tanda memperingati beliau. 



Malaysia: Colonial Kuching (Religious) picture 13
batu nisan Master
Miers
7. Ketua Skuner Julia (1846)

Tidak banyak maklumat mengenai ketua Skuner Julia ini tetapi batu nisan ketua skuner ini sebahagian dari penghuni tanah perkuburan tersebut. Menerusi maklumat dari laman sesawang maritim di United Kingdom, ketua Skuner Julia dikenali sebagai Master George Miers. Beliau meninggal dunia pada 30 Jun 1846 ketika berusia 38 tahun dan sebab kematian Master Miers tidak diketahui. 

Harriette McDougall juga mencatatkan skuner Julia menerusi surat-surat dari Sarawak yang telah dikumpul dan disusun dalam Projek Guternberg.



@themagi2014
Rujukan:
Buku Sarawak Zaman Dahulu (WJ Chater/ diterjemah oleh Abdul Ghaffar Laili)

No comments:

Post a Comment