Salam Ahad untuk pembaca semua. Hari ini, aku nak serius sikit. Kita menelusuri era sejarah semula, dah lama aku tak tulis sesuatu pasal sejarah. Memandangkan aku tengah mengarang fiksyen yang berkaitan dengan karakter sejarah, aku memutuskan untuk menulis tentang Datuk Merpati, seorang tokoh yang terkenal di Sarawak sebab beliau sering dikaitkan dengan legenda dan sejarah. Boleh dikatakan, Datuk Merpati ialah tokoh yang misterius.
Sumber: Instagram Dikatakan batu berukir wajah manusia di kawasan perigi semulajadi Gunung Santubong memaparkan wajah Datuk Merpati. Tetapi identiti pengukir batu tersebut tidak diketahui. |
Nama: Radin Menteri Adipati
Nama lain: Datuk Merpati
Status kejayaan: Pemula kerajaan Santubong
Tempat kelahiran: Munggu Angus, Pulau Jawa (Pulau Langka Putra)
Nama bapa: Radin Kayangan/ Putera Kayangan
Nama ibu: Permaisuri Dandi Rancana
Adik beradik: 1) Radin Johari 2) Radin Bungsu
Nama nenek: Betara Andera Kala
Nama isteri: Datu Permaisuri Kemala- kerabat diraja Johor
Nama bapa mertua: Raja Jarom (menurut kitab Hikayat Datuk Merpati, baginda Raja Jarom disebut sebagai Sultan Mahkota)
Anak-anak: 1) Merpati Jepang 2) Bulan Jati (dipercayai meninggal dunia tetapi menurut Hikayat Datuk Merpati, Bulan Jati tidak meninggal dunia- sebaliknya lahir sebagai naga) 3) Dayang Seri Bulan
Trivia Datuk Merpati
- Datuk Merpati dikatakan telah diusir oleh neneknya, Betara Andera Kala ketika perebutan kuasa di Pulau Langka Putra
- Beliau berlayar bersama dua orang adiknya, Radin Johari dan Radin Bungsu. Mereka bertiga dikatakan terdampar di Pulau Lima di Kuala Johor dan bertemu dengan Raja Jarom.
- Beliau pernah mengembara ke Sukadana, Sambas, Selangor dan di Kalimantan, Indonesia.
- Adik Datuk Merpati, Radin Johari berkahwin dengan Puteri Syarifah Dewi, anak Sultan Mutabar dari kerajaan Sukadana.
- Adik Datuk Merpati, Radin Bungsu berkahwin dengan Puteri Norola, anak Sultan Sambas dari kerajaan Sambas.
- Datuk Merpati datang membuka penempatan di Pasir Kuning (yakni Santubong) atas pelawaan Datuk Kuali, penguasa di Teluk Selabat dan Datu Kuli yang tinggal di Teluk Simboh.
- Dipercayai kisah Datuk Merpati wujud pada kurun ke-15, seiring dengan era Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad Brunei I) mentadbir Brunei.
- Dikatakan anak perempuan Datuk Merpati, Dayang Seri Bulan dijodohkan dengan putera kerabat diraja Selangor atas cadangan Awang Samaun, adik bongsu Awang Alak Betatar.
- Selain menjadi pemula kerajaan Santubong, Datuk Merpati juga pemula golongan perabangan Melayu Sarawak.
- Datuk Patinggi Abang Ali, pembesar Sarawak pada era Brooke merupakan keturunan Merpati Jepang, anak Datuk Merpati.
- Menurut Madzhi Johari menerusi pendahuluan Hikayat Datuk Merpati pada Mei 1989, terdapat sebuah keluarga Melayu di Kuching yang menyimpan sisik naga- dipercayai pemberian Bulan Jati, anak Datuk Merpati yang kedua. Sementara itu di Santubong, terdapat seorang perempuan tua yang berusia hampir 100 tahun mengaku ada menyimpan pedang panjang Datuk Merpati. Madzhi Johari pernah melihat pedang tersebut yang tertulis perkataan "Datuk Merpati punya" dalam tulisan Jawi. Keadaan bilah pedang panjang itu dilaporkan sudah berkarat dan pendek kerana terlalu tua. Pihak Muzium Sarawak cuba membeli pedang tersebut tetapi orang tua itu tidak mahu menjualnya.
- Hikayat Datuk Merpati yang pertama ditulis oleh Haji Mohd. Tahir dalam tulisan Jawi iaitu pada tahun 1939. Hikayat Datuk Merpati yang kedua ditulis oleh Abang Abd. Razak Abang Medaan yang diterbitkan pada 1987.
- Menurut Tom Harrison, cendekiawan dari Barat, beliau menamakan Sultan Johor sebagai Datuk Undi atau Raja Jarom. Beliau menyatakan adik perempuan Datuk Merpati yang berkahwin dengan kerabat diraja Selangor, bukan anak perempuannya.
- Menurut pencerita kisah lama Encik Lani bin Sadon, Datuk Merpati berkahwin dengan anak Temenggung Matang, Datuk asal dari Sarawak, bukannya puteri dari Johor.
- Menurut orang Bidayuh Sadong, Datuk Pati ialah nenek moyang asal mereka. Orang Bidayuh dari Grogo dekat Bau menyatakan Merpati ialah anak perempuan Sultan Brunei (bukannya lelaki seperti yang didakwa) dan Merpati dipercayai telah berkahwin salah seorang keturunan mereka bernama Bondi.
- Menurut orang Iban dari Sebuyau, Datuk Merpati adalah generasi ke-9 dalam salasilah keturunan mereka (ditulis Walker dalam Sarawak Museum Journal pada tahun 1949). Dikatakan Datuk Pati berkahwin dengan seorang dewa keturunan orang Dayak.
- Menurut Prof. Beyer dalam buku terbitan 1929, Datuk Merpati (disebut sebagai Datuk Puti) berasal dari Brunei yang berpindah ke Panay, Filipina menerusi Pulau Palawan. Dakwaan ini berasaskan buku karangan Antonio M. Molina iaitu The Philippines Through Centuries yang menceritakan kisah Datuk Puti bersama 9 orang Datuk iaitu Datuk Bankaya, Datuk Dumangsol, Datuk Paiburung, Datuk Sumakwel, Datuk Padulinog Datuk Lubay, Datuk Dumangsil, Datuk Dumalogdog dan Datuk Balkasusa sewaktu pemerintahan Sultan Markatunow. Kemudian, Datuk Puti berpindah ke Borneo tetapi datuk-datuk tersebut tidak mengikutinya dan menetap di perkampungan Sri Vijaya. Kini perkampungan itu dikenali sebagai Visayas- bersempena dengan nama masyarakat Sri Vijaya yang dijumpai oleh Datuk Puti.
@themagi2016
ruj: Hikayat Datuk Merpati karya Haji Mohd. Tahir (ditulis pada 1949, diterbitkan pada 1989)| Folklor dan sejarah karya Awang Asbol bin Haji Mail- Mac 2015| Pensejarahan Melayu: Memperbaharui Makna Lama karya Prof. Haji Sanib Said- April 2007| Sarawak sebelum Brunei dan Brooke karya Prof. Haji Sanib Said- Disember 2011| The Patriots | Kembara Alam AADK- 2014
No comments:
Post a Comment