Wednesday 6 August 2014

Siapa Galuh Ajeng?

id.wikipedia.org
Galuh Ajeng, itulah tajuk entri kali ini, entri 10 syawal. Pelik tak pelik, kenapa tiba-tiba aku berminat dengan nama ni dan sesungguhnya, siapakah si Galuh Ajeng? Sebenarnya, minggu lepas aku terdengar mak aku membebel pasal pompuan yang tak tau duduk diam, kuat cemburu dan suka cari pasal. Mak aku kata, "Perangai tu dah macam Galuh Ajeng!" Aku tanya, "Siapa Galuh Ajeng?" Aku kenal ke orang tu? Aku ingat Galuh Ajeng ni nama saudara jauh aku (FYI, aku ni Jowo~). Rupa-rupanya, Galuh Ajeng ni merupakan karakter dalam cerita rakyat Keong Emas dari tanah seberang dan dikisahkan si Galuh Ajeng ni seorang pompuan yang kuat cemburu dan suka cari pasal.

Siapa Galuh Ajeng?

Nama: Dewi Galuh Ajeng Sari
Pangkat: Puteri raja kerajaan Daha
Panggilan: Gusti Ayu
Tempat lahir: Kabupaten Kediri, Jawa Timur
Bapa: Raja Kertamarta (Raja Prabu Lembu Merdadu)
Ibu: Paduka Liku (gundik raja)
Ibu Tiri: Permaisuri Raja Diah Prameswari
Adik Tiri: Dewi Sekartaji/ Dewi Galuh Chandra Kirana
Bakal suami: Raden Inu Kertapati dari kerajaan Kahuripan/Kuripan
Rakan subahat: Nenek sihir Nyi Teluh Upaksi
Bapa saudara: Raja Kahuripan/Kuripan, bapa Raden Inu Kertapati.
Penjaga: Mahadewi (gundik raja)
Ibu saudara: Biku Gandasari
Cara kematian: Jatuh terhempas di Jurang Terbil
Sifat: kuat cemburu, keras kepala, hati busuk, tidak suka disaingi, tidak mudah putus asa, egois, kelakuannya tidak menyenangkan hati bagi sesiapa yang memandang.

Berdasarkan maklumat dari laman sesawang rasmi Kabupaten Kediri, Indonesia, Galuh Ajeng dikatakan puteri raja kerajaan Daha di Kediri dan bapanya bernama Raja Kediri Prabu Lembu Merdadu. Sebenarnya, terdapat banyak versi berkenaan dengan kisah Keong Mas, yakni Siput Emas dan bagaimana si Galuh Ajeng yang kaki cemburu dan berkelakuan tidak baik terhadap orang lain demi mendapatkan apa saja yang diingini. Karakter Galuh Ajeng tidak sepopular adiknya, Dewi Chandra Kirana yang juga dikenali sebagai Dewi Sekartaji. 

Menurut cerita, sifat Galuh Ajeng cemburu bermula sejak dari kecil lagi. Apabila dewasa, cemburu Galuh Ajeng makin menjadi bila putera raja dari Kahuripan iaitu Raden Inu Kertapati memilih Dewi Chandra sebagai isteri. Galuh Ajeng ini digambarkan sebagai seorang perempuan yang pentingkan diri, tidak suka disaingi atau bersaing, menaruh dendam dan penuh perasaan iri. Pembentukan karakter Galuh Ajeng ini juga dipengaruhi oleh sokongan ibunya, Paduka Liku yang suka menurut kata anaknya, Raja Kertamarta yang percaya pada pembohongan Paduka Liku dan Galuh Ajeng, malah latar belakang Galuh Ajeng itu sendiri kerana dilahirkan dalam keluarga diraja, meskipun ibunya cuma seorang gundik. Mungkin, disebabkan status ibunya sebagai gundik telah menyebabkan Galuh Ajeng berasa dirinya disaingi oleh Dewi Chandra yang beribukan seorang puteri bangsawan.

Kisah Keong Mas ni sebahagian dari Hikayat Panji Semirang dan ia diceritakan dalam bahasa Jawa asli. Hikayat Panji Semirang mengandungi pelbagai kisah tetapi pokok cerita adalah sama. Di Palembang, ia dikenali sebagai Anggreni, di Bali ia disebut sebagai Malat. Antara nama-nama lain bagi hikayat ini ialah:

1. Hikayat Panji Kuda Semirang
2. Hikayat Dalang Indera Kusuma
3. Mesa Lara Kusuma Cabut Tunggal
4. Mesa Urip Panji Jayalelana
5. Undakan Panurat
6. Panji Jayang Tilam
7. Dewi Asmara
8. Endang Malat
9. Mesa Taman Wilakusuma
10. Panji Wilakusuma
11. Cekel Waneng Pati
12. Jaran Kinanti Asmaradana
13. Hikayat Noyokusuma

Ia juga diceritakan dalam bentuk syair dan disebut sebagai syair Panji Semirang, dan Syair Ken Tambuhan. Perihal cerita Panji Semirang ini sebenarnya kisah Dewi Chandra Kirana itu sendiri selepas kematian ibunya dan bagaimana Dewi Chandra bangkit semula setelah dikhianati oleh ibu tiri dan kakak tirinya. Ringkasan transisi cerita antara Galuh Ajeng Sari dan Dewi Chandra Kirana adalah seperti berikut:
  • Galuh Ajeng cemburu pada Dewi Chandra. Sikap cemburunya bertambah bila mendengar Raja Kahuripan mahu meminang salah seorang puteri Raja Kertamarta. Galuh Ajeng tidak mahu bersaing, maka dia meminta pertolongan nenek sihir Nyi Teluh Upaksi. Dewi Chandra pun bertukar menjadi siput emas dan dibuang jauh.
  • Mbok Jomplang menemui Dewi Chandra dan menjaganya. Raden Inu, anak Raja Kahuripan tidak gembira apabila Galuh Ajeng menjadi pengganti Galuh Chandra. Raden Inu melarikan diri lalu masuk ke dalam hutan angker. Di dalam hutan itu, Nyi Teluh Upaksi menyamar menjadi gagak hitam dan cuba mengelirukan Raden Inu agar gagal menemui Dewi Chandra. Tetapi, usaha Nyi Teluh Upaksi gagal dan Raden Inu dibantu oleh orang alim bernama Ki Seblakwisa. Nyi Teluh Upaksi kemudian terjatuh di Jurang Terbil dan terperangkap di situ.
  • Raden Inu meneruskan perjalanan lalu berjumpa dengan Mbok Jomplang. Mbok Jomplang membawa Raden Inu bertemu dengan tunangannya, Dewi Chandra dan sumpahan Dewi Chandra berakhir. Mereka sama-sama kembali ke kerajaan Daha dan Galuh Ajeng berdendam kerana rancangannya tidak menjadi.
  • Paduka Liku mendapat akal jahat untuk membantu anaknya. Dia mengirim makanan yang disihir kepada Permaisuri Diah. Permaisuri Diah mangkat selepas memakan makanan tersebut dan Paduka Liku ditabal menjadi permaisuri yang baharu. Sikap buruk Galuh Ajeng pun semakin menjadi.
  • Raja Kahuripan cuba menghiburkan hati anak-anak Raja Kertamata dengan mengirimkan boneka emas yang dibalut dengan kain buruk manakala boneka perak dibalut dengan kain sutera. Galuh Ajeng segera memilih boneka di dalam kain sutera tetapi kecewa bila mengetahui boneka Dewi Chandra lebih indah buatannya. Kemudian, Paduka Liku menghasut suaminya demi mendapatkan boneka emas dari Dewi Chandra. Tetapi Dewi Chandra enggan memberi boneka tersebut. Dewi Chandra pun dihalau keluar oleh Raja Kertamarta kerana tidak mahu beralah dengan kakaknya.
  • Pemergian Dewi Chandra menjadi kesempatan Paduka Liku untuk menjodohkan anaknya dengan Raden Inu. Dalam masa yang sama, Dewi Chandra bersama dayang-dayangnya mendirikan sebuah kerajaan kecil yang makmur di antara sempadan Daha-Kahuripan. Dewi Chandra menyamar menjadi lelaki dan menukar namanya menjadi Panji Semirang.
  • Kerajaan kecil Panji Semirang mula dikenali ramai. Untuk memperkuatkan kerajaan, mereka melakukan rompakan dan memaksa tahanan mereka menjadi rakyat di situ. Raden Inu yang tiba di kerajaan kecil itu juga turut dirompak tetapi takjub kerana mendapati Panji Semirang seorang lelaki yang bersuara merdu, berwajah cantik dan penuh belas kasihan. Malah, harta milik Raden Inu yang dirompak juga dikembalikan semula dan diberi jamuan makan yang lazat di istana milik Panji Semirang
  • Dewi Chandra, atau Panji Semirang akhirnya mengetahui harta yang dibawa oleh Raden Inu sebenarnya hantaran kahwin untuk Galuh Ajeng. Sedih dengan berita tersebut, Dewi Chandra bertemu dengan ibu saudaranya, Biku Gandasari. Biku Gandasari memberi nasihat kepada Dewi Chandra agar menyamar menjadi penghibur jalanan. Maka Dewi Chandra menubuhkan kumpulan penghibur jalanan yang dikenali sebagai Gambuh Warga Asmara.
  • Hiburan Gambuh Warga Asmara menarik perhatian Raden Inu yang patah hati kerana dijodohkan dengan Galuh Ajeng yang busuk hati. Suara penyanyi utama penghibur jalanan itu mencuri hati Raden Inu sehingga Raden Inu mengekori mereka secara senyap ke tempat istirehat. Akhirnya, Raden Inu mengetahui penyanyi penghibur jalanan itu ialah Dewi Chandra. Raden Inu segera membawa tunangannya ke Kahuripan dan di sana Dewi Chandra menceritakan sebab-sebab kehilangannya serta memohon maaf. Raja Kahuripan pun menyiapkan keperluan perkahwinan antara Dewi Chandra dan Raden Inu.
  • Paduka Liku berasa takut apabila kisah sebenar terbongkar. Dia cuba meminta bantuan sihir dari adiknya tapi malang menimpa apabila adiknya dipanah petir. Kecewa dengan kematian adiknya, Paduka Liku pun membunuh diri.
  • Selepas kematian Paduka Liku, Galuh Ajeng segera mencari Nyi Teluh Upaksi dan meminta pertolongan nenek sihir untuk membunuh adiknya. Apabila tiba di rumah Nyi Teluh Upaksi, Galuh Ajeng mendapati nenek sihir itu tiada di rumah. Kemudian, keris sakti milik Nyi Teluh Upaksi pun berkata pada Galuh Ajeng bahawa Nyi Teluh Upaksi menunggu di Jurang Terbil.
  • Berkobar-kobar mahu membunuh Dewi Chandra, Galuh Ajeng segera mencari nenek sihir di Jurang Terbil. Galuh Ajeng mendengar suara Nyi Teluh Upaksi memanggilnya tetapi kelibatnya tidak nampak. Malang menimpa apabila Galuh Ajeng tergelincir di atas batu licin, lalu badannya tumbang. Galuh Ajeng terhempas di dasar jurang dan akhirnya menemui ajal di sana.

Pesanan penaja: Begitulah kisah si Galuh Ajeng ni. Kisah Keong Mas ni dah dijadikan drama dan pernah ditayangkan di TV3 pada musim cuti sekolah. Pengajaran? Jangan jadi macam si Galuh Ajeng. Sikap cemburu buta, iri hati tak bertempat akan memakan diri. 

@themagi2014
ruj: kedirikab.go.id| folktalesnusantara.blogspot| ilmukesaktian.blogspot| facebook.com/Panjisemirang| kediriraya.com| id.wikipedia/panjisemerang| en.wikipedia/keongmas

No comments:

Post a Comment