Sunday, 18 February 2018

Book Session: Tenggelamnya Pulau Kidjang

Hello Februari. Bulan cinta, kata orang. Tapi bagi aku, bulan ni bulan aku jatuh sakit. Gastrik la, sakit perut la, cherry-berry la, migrain la. Memandangkan aku tak boleh nak elak sakit, anggap je lah sakit itu penghapus dosa. Okay, back to the topic. Sepanjang bulan 2 ni, aku belum update satu entri pun. Kekangan kerja, plus tengah berusaha nak siapkan manuskrip baru (sebab aku nak cuba nasib dalam sayembara tahun ni). Bila sebut pasal manuskrip, buku kedua aku tak lama lagi nak diterbitkan. Dan semestinya, aku dan buku ni berpisah tiada. Jadi, bila sebut pasal buku, aku nak kongsi pembacaan pertama untuk tahun ni. Buku Tenggelamnya Pulau Kidjang karya Zaliha Hassan ni bukan buku baru, buku ni diterbitkan oleh Yayasan Pulau Kidjang pada tahun 2004 (masa tu aku baru Tingkatan 4) dan adik aku beli dekat kedai buku Sinar Suci bulan lepas, harga RM5 je. 

Buku ni dan buku Tenggelamnya Kapal Vander Wijck tu sebenarnya tak ada kaitan langsung, tajuk je lebih kurang tapi berkongsi kisah yang sama- kisah kapal yang tenggelam. Dan kisah buku Tenggelamnya Pulau Kidjang ni bukan cerita fiksyen tapi kejadian ni memang benar-benar berlaku. Dalam masa yang sama, mungkin nasib Pulau Kidjang tak sesadis kisah Titanic tapi tragedi ni juga antara kes kemalangan yang dahsyat pada era 70-an di Sarawak, meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan sebahagian mangsa terkorban gagal dijumpai sehingga sekarang.

Sejarah Pulau Kidjang

Menerusi entri ni, aku nak kongsikan sedikit sejarah Pulau Kidjang. Pulau Kidjang ialah nama sebuah kapal, bukan nama pulau. Tak menarik kalau aku tulis macam karangan, jadi aku singkatkan macam biodata.

Nama: Pulau Kidjang
Tempoh beroperasi di perairan Sarawak: pertengahan tahun 60-an hingga awal tahun 70-an. 
Tahun dibina: 1936
Tempat dibina: Hong Kong
Tempat didaftar: Pelabuhan Singapura
No. pendaftaran asal: 159456 (sijil pendaftaran asal dikeluarkan oleh kerajaan Singapura, sah sehingga 10 Mei 1973)
No. pendaftaran baru: 325028 (Jabatan Laut Sarawak)
Ukuran kapal: 7.19 meter panjang, 7.92 meter lebar
Peranan: sebagai kapal kargo dan kapal penumpang
Kos bayaran penumpang: RM10-RM12
Ruang dalaman kapal: 25 buah kabin untuk penumpang (kabin juragan di tingkat atas kapal bersebelahan dengan rumah kemudi, 5 buah kabin di dek utama, sebuah kabin kelas pertama dan 18 buah kabin di dek bawah), bilik enjin, palka kargo.
Jenis kapal: 'tender' dan Elliptical Stern (rekabentuk buritan yang rungkup dan terjuntai)
Pemilik sebelum: Kee Lee Shipping Co. Ltd Singapura
Pemilik selepas: Syarikat Perkapalan Messrs Central Shipping Sdn.Bhd (Main Bazaar, Kuching)
Harga ketika dibeli: RM 320 000.00
Usia ketika dibeli: 28 tahun (tahun 1964)

Rentetan Tragedi Pulau Kidjang 

  • Cuti umum pada 25 Disember 1973 bersempena dengan perayaan Krismas- Jabatan Laut dan Kastam ditutup selama 2 hari. Namun, tiket kapal Pulau Kidjang dijual seperti biasa untuk pelayaran 26 Disember 1973.
  • Tiada laporan perubahan cuaca, angin dan ombak dalam tempoh 48 jam, MV Pulau Kidjang meneruskan pelayaran seperti biasa. Senarai nama penumpang diserahkan ke Bhgn. Pemeriksaan Jabatan Kastam.
  • Ramalan cuaca dari Lapangan Terbang Kuching melaporkan keadaan berawan dan cerah pada pada 26-27 Disember 1973. Amaran bahaya hanya dikeluarkan oleh Jabatan Laut Sarawak kira-kira 10 jam selepas tragedi MV Pulau Kidjang.
  • Pada 27 Disember, air pasang setinggi 4.32 meter, memasuki kawasan kuala Rejang dengan arus deras.
  • MV Pulau Kidjang berlayar pada kelajuan 7 knot sejam. Juragan kapal mengemudi kapal berpandukan kedudukan boya lampu hijau yang terletak di sebelah selatan terus menuju ke timur. Kemudian, juragan menyedari perubahan cuaca dan angin mula bertiup kencang.
  • Keadaan berombak dan tiupan angin kencang menyebabkan Pulau Kidjang tersasar dari beting selatan lalu menuju ke arah tanjung. Kawasan air cetek diikuti rempuhan ombak besar menyebabkan kapal menjadi tidak stabil. Lebih 200 tan air laut melimpah masuk ke dalam kapal dan mula disedari penumpang seawal jam 11 malam pada 26 Disember 1973. Keadaan berterusan sehingga kapal karam keesokan harinya.
  • Tragedi tersebut diketahui pada tengah hari 27 Disember 1973.

Senarai Anak Kapal yang Meninggal Dunia
  1. Rubi bin Jais- ketua pegawai krew
  2. Goh Jam Kiam- pengurus kapal
  3. Siek Mo Huat- kerani
  4. Yusuff ak Goya- kelasi
  5. George Lenon ak Henry Duek- kelasi
  6. Mohiddin bin Morshidi- kelasi
  7. Semeon bin Aron- kelasi
  8. Lie Ann Moh- tukang masak
  9. Liong Teng Khen- tukang masak
  10. Ulis bin Mataha- tukang masak
  11. Lau Ing Kui- tidak diketahui
  12. Tnay Khiang Hong- pekerja am sambilan/pemunggah barang.

Senarai Penumpang Meninggal Dunia dan Mayat Ditemui



Senarai Penumpang Meninggal Dunia dan Mayat Tidak Ditemui


Menerusi buku ni, ada banyak lampiran gambar mangsa terkorban. Tapi aku tak sampai hati nak upload sebab mangsa tu semuanya dah tak ada. Aku rasa macam tak sesuai tunjuk keadaan orang yang jadi mangsa tragedi kapal tenggelam. Buku ada banyak info tambahan lain mengenai sejarah perkapalan di Sarawak, sistem pengangkutan air dan kisah-kisah lain mengenai Pulau Kidjang dari sudut ingatan juragan kapal dan penumpang yang terselamat. Bagi sesiapa yang nak tahu tentang sejarah hitam Pulau Kidjang, aku suggest buku ni dalam bucket list. Kadang-kadang, kita perlu baca semula sejarah sebagai peringatan di masa hadapan.

@theMaGi2018

No comments:

Post a Comment