Hai! Lama tak kemaskini info sejarah. Jadi, hari ni aku nak kongsikan satu artikel. Harap bermanfaat untuk mereka yang memerlukan.
Melayu
ialah satu rumpun bangsa yang kompleks dan merupakan nama khas bagi satu kelompok suku bangsa di sekitar Kepulauan Melayu atau nama am bagi pelbagai kelompok
Bahasa Melayu-Polinesia. Sebelum
ini, aku pernah ditanya mengenai kewujudan Melayu di Sarawak semasa melanjutkan
pengajian di Shah Alam sebab bagi sesetengah orang, Sarawak tak ada Melayu dan
jujur aku tak dapat bagi jawapan yang jelas sebab aku sendiri pun tak pasti. Kalau
nak diikutkan, istilah Melayu datangnya dari perkataan ‘Malayu’ yang diambil dari
nama Kerajaan Malayu di kawasan Sungai Batang Hari, Jambi. Malah, suku Jawa
juga di dalam rumpun Melayu yang sama iaitu penghuni Kepulauan Melayu. Jadi,
bagaimana orang Melayu Sarawak wujud?
Menurut artikel Asal
Usul Melayu Sarawak: Menjejaki Titik Tak Pasti oleh Jeniri Amir, seorang
pensyarah Fakulti Sains Sosial UNIMAS, masyarakat Melayu Sarawak bersifat
kompleks dan terhasil daripada beberapa proses. Salah satu daripada proses tersebut
ialah penghijrahan. Walau bagaimanapun, bukan suku Jawa sahaja yang
ada di Sarawak. Penghijrahan
masyarakat Melayu Sumatera ke Sarawak berlaku pada kurun 12-15 ketika Sarawak
menjadi kawasan terpenting dalam perdagangan entrepot pada era pentadbiran
Srivijaya. Suku Bugis juga boleh didapati di sekitar dan juga Samarahan
menerusi pembudayaan makanan tradisi mereka, burasak. Dengan kata lain, perkembangan
masyarakat Melayu Sarawak adalah tidak seragam sehingga kini para pengkaji
masih berdepan dengan kesulitan.
Istilah
‘Masuk Melayu’
Di
Sarawak, istilah ‘masuk Melayu’ ialah istilah yang biasa digunakan bagi mereka
yang memeluk agama Islam, menganggap diri sebagai Melayu dan dianggap Melayu
oleh orang yang sebangsa dengannya. Secara autoriti dan juga Perkara 160 (2)
Perlembagaan Malaysia, sesuatu kelompok dianggap sebagai Melayu apabila bertutur
dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat Melayu dan beragama Islam. Secara
hakikatnya, Melayu dan Islam saling berkaitan kerana gerakan dakwah Islam suatu
masa dahulu mendapat penerimaan dari masyarakat Melayu dan identiti Islam
menjadi identiti Melayu. Apabila proses perkahwinan campur berlaku, anak
daripada hasil perkahwinan tersebut dianggap sebagai Melayu dan wujudlah
istilah ‘masuk Melayu’.
Kepelbagaian
Melayu dalam Melayu Sarawak
Kewujudan
Melayu Sarawak datangnya dari pelbagai proses seperti penghijrahan, asimilasi
mutlak dan amalgamasi. Menariknya, Melayu merujuk kepada masyarakat yang
tinggal di pesisir laut dan beragama Islam pada era Rajah Putih. Malah,
terdapat teori mengatakan perpindahan Melayu ke Sarawak pada era kemuncak
pemerintahan Melayu di Sumatera dan Melaka. Cuma, tiada bukti kukuh mengenai
perpindahan secara besar-besar pada era tersebut. Tetapi ada yang berpendapat
Melayu ialah kaum asal dan peribumi di Sarawak.
Menarik?
Mengelirukan? Tapi berminat nak tahu lebih lanjut? Ya.
Jadi,
aku senaraikan beberapa kemungkinan kewujudan Melayu ke Sarawak dari
sumber-sumber atau jalur-jalur berikut:
- Melayu Peribumi- Melayu Peribumi merupakan penduduk asal yang mendiami Sarawak. Mereka tidak berhijrah dari tempat lain dan mengamalkan kehidupan tradisional. Ia dibuktikan dengan penemuan istilah ‘Melayu’ di dalam catatan Cina dan Barat sejak dari abad ke-7 lagi. Malah, sebelum kedatangan Brooke, melayu peribumi sudah pun wujud dan tinggal bersama kaum peribumi yang lain, sama seperti melayu di Brunei, Tanah Melayu dan Indonesia.
- Melayu Brunei- Sarawak pernah ditadbir oleh kesultanan Brunei dan ia bermula pada abad ke-15 iaitu pada era Awang Alak Betatar. Setelah Awang Alak Betatar memeluk Islam dan memakai gelaran Sultan, pengaruh Islam diluaskan kepada penduduk Brunei dan perlahan-lahan cara hidup penduduk berubah ke arah yang sesuai dengan istilah ‘Melayu’. Seterusnya, para pembesar Melayu Brunei dihantar ke segenap bahagian di Sarawak seperti Saribas, Kuching, Samarahan, Kalaka, Lidah Tanah dan juga Sadong. Kedatangan pembesar Melayu Brunei dari abad ke-15 sehingga abad ke-20, suatu tempoh yang sangat lama telah menyumbang kepada kewujudan Melayu Brunei dan pertalian tersebut kekal sehingga ke hari ini.
- Melayu Sumatera- Menurut hikayat Datuk Merpati dan Syair Saribas, Melayu dari Kuching berasal dari Sumatera manakala Melayu dari Saribas pula mendakwa mereka berasal dari keturunan Datu Gudam yang juga berasal dari Sumatera. Penempatan awal Melayu Sumatera dipercayai bermula di Lidah Tanah iaitu di sekitar Sungai Sarawak pada awal abad ke-15. Bukan itu saja, kenyataan Melayu datang dari tanah seberang dikaitkan dengan nama-nama perkampungan Melayu di Kuching seperti Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Surabaya dan Kampung Panglima Seman. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa penduduk Kampung Boyan berasal dari Jawa dan dibawa masuk oleh Pengiran Muda Hashim dan pada asalnya mereka menetap di Kampung Permutus, sebuah penempatan yang berhampiran dengan India Street yang sudah tidak wujud lagi. Penduduk asal Kampung Gersik pula dipercayai dari Sumatera dari sebuah kawasan bernama Kayong, berhijrah sekitar abad-19.
- Melayu dari asimilasi kaum- Melayu asimilasi ialah golongan peribumi yang berasimilasi setelah memeluk agama Islam dan meninggalkan amalan animisme serta mengamalkan gaya hidup sesuai dengan prinsip Islam. Di Sarawak, melayu campuran mewujudkan golongan yang berasimilasi apabila orang Dayak menikahi orang Melayu sehingga wujud istilah ‘masuk Melayu’. Ia juga membuktikan bahawa Melayu sudah ada di Sarawak sebelum kedatangan Brooke. Malah pada abad ke-15 pada pemerintahan Sultan Brunei di Sarawak, banyak suku seperti kaum Dayak, Melanau dan Kedayan memeluk agama Islam dan mereka mengubah cara hidup mereka sehingga menjadi seorang Melayu. Selain itu, beberapa kaum minoriti yang sudah pupus pada awal abad ke-19 akibat proses asimilasi mutlak seperti Pegu, Seru dan Bliun antara yang terawal memeluk Islam dan mengamalkan kehidupan seperti masyarakat Melayu. Sebagai contoh, orang Pegu merupakan kaum dari hulu Sadong yang berpindah ke Samarahan dan mereka sering diserang Dayak Laut. Berkemungkinan mereka dilindungi oleh kaum Melayu yang menyebabkan mereka pun memeluk Islam. Wanita kaum Seru pula memilih untuk bernikah dengan lelaki Melayu dan akhirnya seluruh kaum memeluk agama Islam. Terdapat pendapat lain yang mengatakan kaum-kaum peribumi bukan Islam tertarik hati untuk memeluk agama Islam kerana keperibadian pedagang Islam yang datang berdagang.
- Melayu dari bangsa Arab/India Muslim- Pedagang dari Arab dan India Muslim dipercayai datang ke Sarawak pada abad ke-5. Sebahagian daripada mereka menetap dan menikahi wanita tempatan. Ia menyebabkan proses asimilasi dan akulturasi berlaku. Pada era pentadbiran Kesultanan Brunei di Sarawak, ramai pedagang Arab dan India Muslim datang berdagang. Keperibadian dan ilmu pengetahuan mereka ternyata amat mempengaruhi penduduk tempatan dan menyebabkan mereka memilih Islam dan perlahan-lahan mengubah gaya hidup mereka sebagai seorang Melayu. Malah, pengaruh Sultan ke-3 Brunei yang berketurunan Arab telah menguatkan lagi usaha dakwah di Sarawak. Penyebaran agama Islam secara aktif pada tahun 1521 Masihi di Sarawak telah mewujudkan golongan Melayu dari yang memakai gelaran sayyid/syed, tungku dan juga wan.
Rujukan:
- Jeniri Amir (2015). Asal-usul Melayu Sarawak: Menjejaki titik tak pasti. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu 8(1) UNIMAS.
- Ahmad Nasir Mohd Yusoff (2016). Islam di Sarawak: Sejarah Awal dan Faktor-faktor perkembangan Islam di Sarawak. Jurnal Al-Anwar, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT),1(1): 1-19
- Sanib Said (2013). Sejarah yang Hilang. Kota Samarahan: UNIMAS
- Mohamed Anwar Omar Din (n.d.). Asal Usul Orang Melayu. Jurnal Melayu (7) 2011: 1–82. Diambil dari http://journalarticle.ukm.my/3186/1/1.pdf
@theMaGi2019
No comments:
Post a Comment