Salam Rabu untuk pengunjung blog. Entri ke-4 di bulan 4, hari ini aku nak buat review sikit pasal buku yang aku beli bulan 2. Sebetulnya aku nak review buku tu untuk bulan Mac tapi memandangkan bulan Mac aku dah buat senarai entri yang lain, jadi aku bawa entri ni ke bulan 4. Tak kisahlah, yang penting aku dapat ngobrol dalam blog.
Aku nak cakap apa sebenarnya?
Daripada rumah terbitan Dubook Indo, aku telah membawa pulang dia 'si binatang jalang' bersama pemikirannya sekali.
Judul: Aku ini Binatang Jalang
Penulis: Chairil Anwar
Kategori: kumpulan puisi
Penerbitan: Dubook Indo
Tahun: Julai 2015
Harga: RM25
Aspek Luaran
Aku tak komen banyak pasal fizikal buku. Warna kulit buku dilihat misteri, sesuai dengan ciri-ciri Chairil Anwar yang suka berkarya tentang kematian dan kegelapan. Chairil juga mati muda, seolah-olah dia tahu dia tak hidup lama. Jadi, penggunaan warna aksara merah dan hitam, kulit buku kelabu dan lakaran muka Chairil di tengah-tengah memberi makna yang sesuai untuk menarik perhatian aku sebagai pembeli dan pembaca.
Kedua, tulang buku kukuh. Jenis paperback yang tebal kulitnya. Warna kertas bersesuaian dengan mata dan pembacaan. Terdapat footnote pada sajak-sajak. Sajak juga disusun dengan baik, gap antara tulisan juga tak mengundang gangguan sekalipun font kecil.
Secara keseluruhan, buku ini mempunyai tarikan fizikal dan apa yang penting ialah- harga berpatutan. Tak ada alasan untuk kita jadi kedekut masa nak beli buku.
Aspek Dalaman
Keindahan di sebalik kata-kata 'mati' :Bagi pembaca/penulis/pengkarya atau penggemar sastera, kita pasti dapat faham kebanyakan karya Chairil bersifat kematian. Sesuatu yang gelap, bagi sesetengah orang karya Chairil terlalu esentrik dan bersifat individual. Tapi disebabkan sifat individual dan esentrik itulah yang menggambarkan perincian yang menarik, seolah-olah meluahkan keindahan di sebalik kata-kata mati yakni, kematian tidak begitu jahat dan tidak wajar dipandang serong.
Kerumitan makna: Aku tak nafikan, karya Chairil mempunyai makna yang sangat mendalam. Sesetengah karyanya sukar untuk dihadam dan ada sesetengah ayat pula mempunyai ciri-ciri tersirat. Pembaca muda atau yang belum biasa dengan penggayaan bahasa puisi dijangka akan berdepan dengan kekeliruan.
Isi tambahan yang puitis: Apa yang menarik tentang buku ini ialah surat karangan Chairil kepada sahabatnya. Walaupun sekadar surat, penggunaan ayat surat tersebut sangat puitis dan boleh dilihat sebagai sajak- walaupun Chairil ada menyebut dalam suratnya "masih beberapa tingkat percobaan musti dilalui dulu, baru terhasilnya sajak-sajak sebenarnya."
Frasa-frasa yang memberi inspirasi: Buku ini mengandungi banyak frasa inspirasi, perincian dari Chairil yang telah menarik perhatian penulis luar untuk mengkaji dan menerbitkan semula karyanya dalam bahasa yang berbeza. Semasa membaca, aku tertarik dengan beberapa frasa sebab ada kaitan dengan aku seperti:
- hidup hanya menunda kekalahan- Derai-derai Cemara
- Tuhanku, dalam termangu aku masih menyebut namaMu- Doa
- Sedang dengan cermin aku enggan berbagi- Penerimaan
- Aku mahu hidup seribu tahun lagi- Semangat; Aku
- Bukan kematian benar menusuk kalbu, keridlaaanmu menerima segala tiba- Nisan
- Bukan maksudku mau berbagi nasib, nasib adalah kesunyian masing-masing- Pemberian Tahu
Jelas sekali, buku ini penuh dengan misteri yang berinspirasi. Bagi orang yang terlalu mengejar dunia, aku sarankan supaya beli dan baca buku ini. Mudah-mudahan kita semua mendapat ilmu yang berguna.
@themagi2016
No comments:
Post a Comment