Selamat pagi buta untuk semua. Alang-alang kuota internet masih ada, masa untuk kemaskini blog dengan entri ke-5. Lepas ni bolehlah aku berehat dan tunggu bulan Mei. Entri kali ini berkenaan dengan penjenayah terkenal. Biasanya kita dengar orang berjaya, perekacipta atau golongan yang memberi inspirasi diabadikan di dalam sejarah. Tapi penjenayah juga tak dapat dipisahkan dari sejarah dunia. Mungkin kewujudan mereka ini satu peringatan kepada kita bahawa di sebalik sisi cerah dunia sebenarnya banyak sisi kegelapan.
Dalam entri ini, aku senaraikan penjenayah yang memang diketahui ramai.
Bonnie & Clyde- digelar sebagai penjenayah kelas dunia sekitar tahun 30-an, Bonnie dan Clyde merupakan perompak bersenjata yang merompak lebih 15 buah bank, premis perniagaan serta membunuh 13 orang mangsa termasuk 9 pegawai polis. Selain merompak dan membunuh, pasangan ini terkenal kerana sentiasa bergerak secara berpasangan dan berkelakuan romantis.
Billy the Kid- menjadi penjenayah legenda ketika usianya masih muda, Billy atau nama lainnya, William Bonney bertindak menyertai kumpulan penjenayah bersama rakan-rakan dengan niat mahu membalas dendam di atas kematian majikannya, John Tunstall yang dibunuh oleh pesaing mereka, Lawrence Murphy dan James Dolan. Billy terkenal kerana tembakannya yang tepat dan bijak mempertahankan diri.
Al Capone- hidup sebagai ketua gengster Chicago Outfit pada era Prohibition (sekitar 20-an), Al Capone berkuasa selama 7 tahun dan digeruni masyarakat. Pemerintahan bersenjata Al Capone tumbang ketika berusia 33 tahun.
Jesse James- bergerak sebagai gerila Konfederasi di era Perang Sivil, Jesse James menyertai James-Younger gang bersama abangnya, Frank dan merompak kereta api serta bank. Jesse dikatakan tertembak seorang kerani dan berasa bersalah di atas tindakannya lalu membuat pengakuan di hadapan editor Kansas City Times. Editor tersebut membantu Jesse dan mengubah kehidupannya tetapi kemudian Jesse mati ditembak di depan rumahnya sendiri oleh rakannya sendiri, Robert Ford.
James Earl Ray- disabit kesalahan kerana membunuh Martin Luther King Jr., James Earl Ray merupakan seorang penjenayah kecil-kecilan. James dikatakan merangka rancangan membunuh Martin dan menembak tokoh tersebut pada tahun 1968. Dihukum penjara 99 tahun, James meninggal dunia pada tahun 1998 di Nashville ketika berusia 70 tahun. Tetapi sebelum meninggal dunia, James mendakwa dirinya dipergunakan dan diperangkap oleh kumpulan penentang Martin untuk kes tersebut.
Lee Harvey Oswald- bertindak menembak Presiden JF Kennedy pada tahun 1963, Lee Harvey ditangkap dan disabit kesalahan sebagai pembunuh dan penembak tepat yang terlibat dalam rancangan pembunuhan tersebut . Lee Harvey merupakan bekas anggota US Marine dan menyatakan dia tidak bersalah dalam kes JF Kennedy. Apabila Lee dipindahkan ke penjara, dia telah diserang dan dibunuh oleh pemilik kelab malam, Jack Ruby menerusi rakaman kamera.
John Wilkes Booth- sebagai seorang pelakon teater, John didakwa membunuh Presiden Abraham Lincoln pada tahun 1865 di Ford's Theatre. Dikatakan John pernah cuba menculik Lincoln pada Mac 1865 tetapi tidak berjaya. Selepas berjaya membunuh Lincoln, John telah lari ke Virginia bersama rakannya. Apabila jejak mereka berjaya dikesan, rakan John menyerah diri kecuali John. John akhirnya ditembak oleh polis Union dan rakan subahatnya mati di tali gantung.
Robin Hood- akhir sekali, penjenayah legenda yang tak pasti sama ada wujud atau tidak. Kisah Robin Hood dipercayai bermula di England melalui lagu rakyat dan puisi. Hood dikenali sehingga kini kerana kehandalannya memanah serta merompak orang kaya dengan niat mahu menolong orang miskin.
@themagi2016
Ruj: Listverse | Sinarharian | Blacksheepancestor | wikipedia |
No comments:
Post a Comment