Salam Julai. Salam Syawal. Salam keamanan untuk semua. Seperti yang aku pernah sebut dalam entri bulan 6, entri bulan ni berkisar tentang isu berat. Tentang anak-anak, tentang perkahwinan. Sekarang aku nak bincangkan isu buli. Sejak kebelakangan ni, kes buli makin menjadi-jadi. Sampai ke tahap jenayah dan pembunuhan. Kita semua tahu kes yang berlaku pada tahun ni, aku tak nak sebut nama mangsa di sini sebab aku tak sampai hati nak tulis kronologi kematian mereka. Orang sindir kita pun kita dah sakit hati dan rasa nak mengamuk, bayangkan kena buli dan dera sampai mati? Bagi aku, itu bukan buli lagi- itu pembunuhan. Sebab?
Terlebih gurau, terlebih nakal atau terlebih marah; ada syaiton nirojim di tengah-tengah. Si syaiton nirojim tu la yang tiup hati kita sampai kita terlebih excited. Kau ingat makhluk ketiga tu cuma pilihan pasangan yang duduk berdua sendirian je ke untuk dihasut?
Menyingkap Masalah Buli
Credits: money.cnn.com |
Buli bermula di peringkat sekolah, ia berlanjutan hingga ke luar sekolah. Merangkumi tempat kerja, kejiranan, masyarakat dan juga di kalangan keluarga sendiri. Buli kecil-kecilan boleh dilihat menerusi tutur kata yang memperkecil-kecil fizikal atau mental seseorang secara konsisten, yang mampu mempengaruhi fikiran mangsa buli sehingga mangsa berasa tidak selesa, hilang ketenteraman dan mewujudkan rasa tidak yakin pada diri. Buli yang lebih besar ialah gabungan penderaan mental dan fizikal. Ia merosakkan psikologi mangsa ke tahap yang lebih besar dan ia membawa kesan yang lama dalam tempoh jangka panjang sekiranya mangsa berjaya melepasi keadaan tersebut.
Jika aku nak fokuskan tentang masalah buli, ada banyak sebenarnya. Sebagai mangsa buli yang dibuli sejak dari tadika sampailah ke sekolah menengah, aku tahu apa perasaan dibuli. Layanan buli yang aku terima paling awal sekali ialah ejekan kawan setadika. Mereka rampas barang-barang aku dan mereka campak makanan mereka kat kepala aku sambil mengatakan aku bodoh dan buruk. Masa tu aku tak faham, kenapa mereka buat aku macam tu?
Fasa buli yang aku terima seterusnya ialah transisi perubahan buli mental/emosi ke arah fizikal. Ia bermula dengan layanan dingin dan asyik mengulang perkataan yang sama iaitu- aku ni buruk. Kemudian, baju aku digunting. Aku difitnah rakan sekelas atas tuduhan mencuri sampai aku dihukum. Mereka ganggu aku sepanjang waktu di kelas, dihimpit menggunakan meja atau kerusi. Ataupun kepala aku dipulas gaya gusti WWE dan cara yang paling senang sekali ialah mereka pergunakan cikgu untuk menentang aku. Masa tu aku betul-betul tak faham, kenapa mereka layan aku macam ni?
Selepas itu, aku masuk ke alam sekolah menengah dan transisi buli berubah sekali lagi. Kali ini lebih ke arah mental/emosi. Bekas rakan sekelas di sekolah rendah memalukan aku depan pelajar lain- mengungkit kisah membuli mereka terhadap aku. Menunjukkan bahawa aku lembik, bangang, dan senang untuk dibahankan. Aku dah remaja masa tu, mestilah aku rasa malu bila diburuk-burukkan. Jadi masa tu aku mula faham satu perkara- aku tak boleh dipandang rendah lagi.
Kenapa Membuli?
Kenapa membuli? Itulah persoalan yang pernah bermain di fikiran aku apabila aku teringat semula dengan sikap mereka yang pernah membuli aku. Dulu aku betul-betul tak puas hati, aku marah. Aku pernah berharap mereka mati kena langgar treler la, kena hempap batu bata la, mati kebakaran la. Semua harapan tu wujud disebabkan aku marah. Malah aku pernah berharap suatu hari nanti kalau mereka berkahwin, pasangan mereka tu jenis tak guna dan anak yang mereka ada nanti akan jadi mangsa buli atau kaki buli yang jauh lebih teruk. Biar mereka rasa apa yang aku rasa, apa yang aku tanggung selama 10 tahun dan kerosakan emosi yang aku hadapi.
Tapi sekarang, aku berjaya melepasi dunia pembulian. Masa mematangkan usia dan fikiran. Apa yang berlaku suatu masa dulu, biarlah Tuhan yang uruskan. Aku mula melihat kehidupan aku di masa lalu dari perspektif yang berbeza. Kenapa mereka membuli? Kenapa aku dibuli? Kenapa wujudnya buli? Dan kenapa buli masih wujud?
Sebagai pemerhati yang pernah melalui pengalaman tersebut, aku nak kongsi sikit apa yang aku perhati selama ni, selama aku dibuli dan bagaimana aku berusaha untuk melepaskan diri dari dunia tersebut. Hidup selama 29 tahun di atas bumi yang bulat ni, aku rasa dah tiba masanya untuk luahkan pemerhatian aku dalam bentuk catatan.
Mental Pembuli
Bila kita dengar kes buli dan jenayah buli yang membawa kematian, kita mesti tertanya- apa yang ada dalam kepala otak pembuli ni? Buli sampai ke tahap membunuh, bagi aku tu dah separuh dari kegilaan. Mereka gagal mengawal kewarasan mereka sebagai manusia dan sebaliknya membiarkan sifat 'animal instinct' (atau macam yang aku sebut kat atas, hasutan syaiton nirojim) merosakkan pertimbangan akal. Buli secara fizikal dan mental tapi tidak mendatangkan kematian, yang itu ada banyak sebab.
Bila sebut sebab-sebab membuli, di sini aku senaraikan berdasarkan pemerhatian aku secara ringkas sebagai mangsa suatu masa dahulu. Kebarangkalian senarai ini mungkin 50% ke 80% sama seperti mangsa buli yang lain. Aku akan pecahkan senarai ke dalam 5 bahagian iaitu:
1. Masalah keluarga
Ada segelintir pembuli yang membuli aku dulu tu ada masalah keluarga. Masalah tu tak semestinya penceraian, penderaan atau penolakan dalam hubungan kekeluargaan. Bagi kes aku, si pembuli ni seorang abang. Anak sulung dan diberi tanggungjawab untuk menguruskan adik-adik. Seawal usia 8 tahun, dia uruskan macam-macam kerja di rumah. Keluarga dia pun bukannya orang senang. Masa tu aku tak tahu dia stres. Stres akibat bebanan tanggungjawab yang dia terima pada usia yang masih muda. Aku pernah jumpa adik dia, adik dia selalu puji abang dia baik. Tapi bila masuk dalam kelas, perangai abang dia macam jilake. Sekarang, aku tahu kesan bebanan di rumah dia cuba lepaskan pada orang yang dia tengok lemah dan senang dipijak- iaitu aku. Well, dia tak dapat nak luah rasa marah depan mak bapak dia, so dia cari orang lain sebagai ganti.
2. Too proud too fragile
Ko tanya apahal aku letak statement kat atas untuk merujuk sebab membuli? Too proud too fragile- ini ialah isu dalaman bagi sesetengah pembuli. Bagi kes aku, si pembuli ni budak baru di sekolah. Dia masuk masa Darjah 4 dan dia rasa sekolah baru dia ni tak sebaik sekolah yang dulu. Dia ni anak dari keluarga baik-baik, mak bapak dia jenis warak, keluarga kelas pertengahan yang hidup selesa dan secara ringkasnya, keluarga dia ni tak bermasalah pun macam poin kat atas. Tapi kenapa dia membuli? Dia rasa dia bagus sangat. Dia pandai mempengaruhi kawan sekelas. Dia pandai secara akademik, ada rupa dan aktif bersukan. Cuma satu je masalahnya- mulut dia 'vavi' sangat. Masa tu aku tak tahu isu ke'vavi'an dia tu ialah simptom bangga diri yang wujud disebabkan ada rasa fragile pada diri. Aku boleh andaikan dia mengalami masalah untuk memenuhi expectation mak bapak dia yang alim. Aku pernah nampak dia berbeza sangat bila mak bapak dia datang ke sekolah. Sopan, lembut, taat. Tapi bila mak bapak tak ada, ke'vavi'an mulutnya menjelma semula.
3. Follower
Manusia ni, kalau ada yang mulakan sesuatu, ada la yang nak mengikut. Begitu juga dengan kes buli. Bila seorang kawan yang acah-acah pailang dan gengster belasah budak lemah, ada la yang nak uji kekuatan dan nak tumpang glemer. Bagi kes aku, ramai yang jadi follower ni. Si A buli aku, dia pun nak buli. Bila si B kutuk aku, dia pun nak mengutuk. Sebab? Dia tak nak ditinggalkan, dia nak rasa setaraf jadi golongan alpha di sekolah. Ataupun dia takut kalau dia tak ikut sama, dia pulak yang kena buli. Sebenarnya sebahagian dari kumpulan membuli ni adalah masalah inferior terhadap diri mereka dan psikologi mereka menggesa supaya rasa inferior itu perlu digantikan dengan memasukkan diri ke dalam kelompok yang dapat membangkitkan keyakinan mereka.
4. Animal Instinct
Kalau korang dah baca sampai ke bahagian ni, maksudnya korang mesti dah perasan aku dah sebut pasal animal instinct. Aku tertarik dengan perbincangan Prof. Dr. Muhaya yang menyebut proses didikan anak fasa pertama ialah kasih sayang pada usia 0-6 tahun, disiplin pada usia 7-14 dan seterusnya ialah proses keremajaan menuju ke alam dewasa- memerlukan pendekatan yang berbeza. Okay, aku tak nak sentuh bab tu. Tapi sepanjang proses 0-6 tahun, otak manusia akan mencirikan sifat 'blind nature'. Sebab tu korang tengok budak-budak sukar dikawal, bertenaga dan degil. Masa tu, mak bapak perlu memainkan peranan untuk kawal perkembangan perilaku anak-anak secara lembut dan konsisten sehingga sahsiah diri anak-anak terserlah menjelang usia 7 tahun. Tapi bila mak bapak menggunakan konsep "Biarlah...budak lagi" atau menghukum tanpa bertanya ataupun mak bapak sendiri tidak menjaga sikap, korang tahu sendiri lah jawapannya.
Bagi kes aku, itulah yang berlaku pada sesetengah pembuli yang membuli aku sebab sikap animal instinct mereka tak dikawal oleh mak bapak mereka, lebih-lebih lagi di kalangan budak lelaki. Aku pernah dengar sesetengah bapak berkata "Budak lelaki mesti berani mesti kuat. Kalau lemah, penakut tu orang pengecut." Jadi mereka tak begitu kisah jika anak mereka berkelakuan kasar kerana baginya itu adalah sikap anak laki-laki sejati. Well, very typical minded. Pemikiran macam nilah yang menggalakkan anak-anak meluahkan tenaga mereka dengan cara yang tidak baik. Aku tahu, budak-budak lelaki yang buli aku tu dulu kononnya nak membuktikan kejantanan mereka. Kalau tak tunjuk kuat, tak jantanlah namanya. Pui~
5. Angkuh
Okay, inilah yang spesis pembuli yang korang akan jumpa di mana-mana. Angkuh, sebab pembuli ni ada segalanya. Pandai, ada rupa, keluarga sempurna, berharta dan apa yang dia nak, semuanya dia dapat. Sampai ke satu tahap, orang macam ni rasa nak menguasai orang lain. Dia nak buktikan bahawa dia mampu dapatkan apa saja yang dia nak.
Bagi kes aku, pembuli ni anak orang senang. Bapak dia berpangkat besar dalam badan berkanun. Orangnya tinggi dan berkulit cerah, keluarga dia sempurna dan dia pun pandai. Dia selalu bermegah-megah dengan apa yang dia ada dan memandangkan bapak aku ni cuma staf bawahan bapak dia, dia pandang rendah pada aku. Dia anggap berkulit hitam tu jijik, bergigi senget tu hina dan hidup miskin tu sesuatu yang lucu untuk diketawakan. Dia bukan setakat buli orang secara mental/emosi, dia juga membuli secara fizikal- boleh pulak dia arahkan member satu kelas pergi bersihkan bilik tidur dia kat rumah dan siapkan kerja sekolah dia? Lepas tu boleh pulak pinjam duit member dan tak bayar-bayar. Dah macam gengster kononnya. Korang nampak tak kesan bila terlebih memanjakan anak boleh mewujudkan keangkuhan dalam diri anak tersebut?
Mental Mangsa Buli
Sekarang kita masuk ke bahagian mental mangsa buli. Dalam dunia ni ada mangsa buli. Ramai yang kecundang. Ramai juga yang berjaya. Aku tak kata aku ni manusia berjaya tapi sekurang-kurangnya aku berjaya membuktikan aku tak lemah. Jadi, topik kita sekarang ni ialah- Kenapa dibuli? Sebab apa dibuli? Dan bagaimana buli tercetus? Di sini aku nak kongsikan situasi pembulian yang dihadapi oleh mangsa buli. Aku tak tahu keadaan mental mangsa buli yang lain, mungkin lebih teruk dari aku. Mungkin juga ada yang senasib dengan aku. Tapi aku rasa kebarangkalian senarai aku ni mungkin 60%-85% dari apa yang pernah berlaku. Apa-apapun, mangsa buli ni mempunyai kelompok tersendiri iaitu:
1. Easy target
Easy maksudnya mudah. Mudah nak faham, kan? Bila seseorang tu nampak mudah (dalam erti kata lain: baik sangat, polos dan pendiam), golongan alpha yang ada animal instinct, angkuh dengan diri sendiri, dan teringin nak tunjuk skil bossy pasti tercari-cari mangsa yang sesuai untuk ditunggang. Aku tak pernah dengar mangsa buli tu kuat. Kebanyakannya lemah dan kesunyian. Orang macam merekalah yang akan menjadi 'makanan' pembuli sebab mereka mudah dibuli dan takkan berani melawan. Keadaan ini menyebabkan mangsa buli tidak dapat mengembangkan kebolehan ataupun bakat yang mereka ada dipergunakan untuk memudahkan orang lain. Sebab itulah mereka digelar easy target.
2. Kekurangan Fizikal
Okay, yang ni memang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Asal buruk sikit, hina. Asal hitam sikit, kutuk. Asal senget sikit, maki. Seolah-olah cantik tu begitu supreme dan sempurna. Bagi yang rasa diri tu perfect sikit dari mangsa buli, kekurangan fizikal akan menjadi sumber bahan api bagi kaki buli untuk membakar semangat mereka untuk membuli. Membuli menimbulkan keterujaan dan memenuhi kehendak liar mereka. Ada sesetengah pembuli mengatakan, kekurangan fizikal mangsa buli membuatkan mereka rasa menyampah, jijik dan menyakitkan mata. Mereka tak suka mangsa buli di depan mereka, mereka rasa mangsa buli patut nyah dari dunia ni sebab mangsa buli tu buruk macam sampah. Bagi akulah, pembuli tu yang patut nyah dari dunia ni. Ko ingat ko sempurna sangat?
3. Bukan Follower
Tak semua mangsa buli ni tak melawan. Ada yang melawan sebenarnya, macam aku. Ada mangsa buli tak redha kena buli setiap hari, mereka tak nak jadi follower- ikut je kata pembuli buat itu ini. Tapi pembuli jadi makin marah, makin sakit hati bila dilawan. Maka makin menjadilah rasa nak membelasah orang. Mangsa buli jenis yang ketiga ni selalunya ada tiga peluang- sama ada dia berjaya lepas, dia terpaksa akur ataupun dia mati. Bagi kes aku, aku melawan dalam diam. Aku tak nak biarkan mereka lemahkan fikiran aku walaupun mereka sakitkan fizikal aku. Apapun yang mereka buat, aku diamkan diri. Macam batu yang tak ada perasaan. Sebab aku tak lawan cakap mereka masa tu? Mak aku cakap, kalau lawan api dengan api, maka semualah terbakar. Makin mereka buat aku, aku makin diam dan aku tak nak ambil peduli. Ko ghase? Macam peninju lawan bongkah batu. Tapi ada sesetengah mangsa buli, hati mereka tak kuat untuk melawan dalam diam. Sebab tu aku kata mangsa buli kategori ni ada tiga peluang. Mereka ni mungkin diperhambakan atau berakhir dengan kematian. Mintak dijauhkan dari perkara-perkara macam tu.
4. Dicemburui
Tak semua orang yang dibuli tu hodoh, miskin, buruk atau nerd. Kadang-kadang, yang cantik yang kaya yang ada segala-galanya pun kena buli. Sebab apa? Mangsa buli ni dicemburui. Si pembuli rasa tercabar sehingga mewujudkan ego. Bagi kes seorang mangsa buli yang aku kenal dulu-dulu, dia ni pandai, ada rupa dan keluarga pun boleh dikatakan senang dan bahagia. Tapi dia disuruh buat kerja sekolah pelajar lain, salin nota, kemas rumah orang dan duit pun selalu kena pinjam. Ko tahu apa maksudnya? Dia dilayan macam tu atas dasar ketidakpuasan hati para nokharom yang tak guna. Pantang tengok orang lebih sikit, mula lah nak tunjuk hebat. Mangsa buli dalam kelompok nombor 4 ni tak sedar bahawa dia tu ada banyak kelebihan yang orang lain inginkan. Kalaulah dia buka mata dan beranikan diri, dia akan bebas dari kelompok ni.
Sejujurnya, orang tak tahu apa yang terjadi pada mental mangsa buli selepas melalui pengalaman macam tu. Macam aku sendiri, kesan dari kejadian macam tu aku mengalami beberapa simptom pasca-buli dan sisa simptom tu masih ada sampai sekarang. Aku rasa segelintir mangsa buli mengalami isu yang sama macam aku iaitu:
- Masalah identiti: mangsa buli tak tahu mereka ni manusia ke sampah, atau makhluk ciptaan Tuhan ke sandbag, atau tak tahu mereka ni layak kekalkan jantina ke atau patut tukar jantina. Macam kes aku, aku nak jadi lelaki. Aku nak jadi kuat jadi aku tak kena buli lagi. Tapi tak jadi lelaki pun aku boleh jadi kuat. Manusia kuat kerana ilmu, kerana akal dan kerana adab. Merepek je aku ni masa kecik-kecik dulu, haha~
- Perubahan emosi: mangsa buli biasanya merasakan hidup mereka dirosakkan oleh pembuli. Bagi mangsa buli sekolah rendah, keindahan zaman kanak-kanak dah tercemar dengan realiti sebenar kehidupan yang serba ganas. Bagi kes aku, kesan pembulian mewujudkan masalah psikologi yang hampir sama seperti thanatophobia. Aku jadi takut pada kehilangan. Especially kalau hilang duit...rugi oo~
- Perkembangan sikap: sesetengah mangsa buli mengalami pelbagai perkembangan sikap. Ada yang kembali normal dan hidup bahagia. Ada yang menjadi murung dan hilang arah tuju. Ada yang bertukar menjadi agresif dan sukar dikawal (ada yang menyalurkan rasa marah kepada orang lain dan menjadi pembuli). Ada juga yang berubah menjadi lebih progresif dan menjadikan nasib malangnya sebagai self-inspiration. Dalam kes aku, aku anggap kisah lama sebagai terapi. Aku dapat apa kalau aku marah dengan benda yang dah lepas kan? Rilek suda...
- Skil sosial- Poin terakhir ni lebih kurang macam poin kat atas tapi yang ni merujuk kepada rangkaian sosial yang lebih luas, bukannya bersifat individualistik. Mangsa buli biasanya mengalami sedikit masalah untuk bersosial. Itu yang aku hadapi sebelum ni yang berpunca dari masalah self-esteem yang sangat rendah, kecewa, malu dan terkurung dalam dunia sendiri- aku takut kena kritik. Tapi kan, bosan kalau hidup macam tu. Aku pun tak pasti berapa lama aku hidup kat dunia ni. Why not berubah dan buktikan kemampuan yang aku ada? Enjoy life while it lasts.
Kewujudan Buli
Sejujurnya, buli wujud kerana adanya golongan yang dominan dan ada golongan yang tak dominan. Kemudian, wujudnya ruang, sebab dan punca untuk membuli. Buli akan sentiasa ada selagi golongan dominan merasakan mereka layak untuk mendominasi dan golongan yang kurang dominan berjaya didominasi. Masalah ini sebenarnya wujud apabila kepelbagaian atau perbezaan tidak diterima. Aku tak dapat membantu golongan pembuli supaya sedar dari perbuatan mereka selagi ego mereka masih ada. Aku juga tak dapat membantu golongan dibuli supaya bangkit menentang selagi hati dan minda mereka tak kuat. Aku cuma dapat cakap satu je:
Kita manusia ni sama je. Ko cantik, ko buruk...ko tetap ciptaan Tuhan. Tak ada siapa pun yang sempurna. Dah mati nanti tinggal tulang jugak, kan?
Pesanan dari pemerhati dan pernah mengalami: Shield Sahran
@themagi2017
No comments:
Post a Comment