Hello July! Salam Syawal ke-9 untuk hari ini. Dan juga, salam Monday Blues untuk mereka yang bekerja (termasuk aku, huh~). Hari ni aku nak update entri pertama untuk bulan yang ke-7 tapi jangan sesekali korang sangka aku curi tulang hari ni. Aku dah setelkan kerja sebelum tengah hari so boleh la rehat sebelah petang dan simpan sikit kerja untuk buat esok hari. Kalau buat semua hari ni, tak berkhasiat la minggu bekerja aku nanti.
credits: marionofaola.com |
So, back to the topic. Minggu hari raya, minggu orang datang ke rumah. Ziarah-menziarahi. Kunjung-mengunjung. Jemput-menjemput. Jadi kita takkan dapat elak perangai anak-anak orang. Ada yang baik, ada yang nakal sikit, ada yang nakal sangat, ada yang syaiton nirojim. Budak dan perangai nakal ni tak dapat dipisahkan, tapi kalau sampai ke tahap buas...aku rasa mak bapak budak tu kena cermin diri dan tengok mana silapnya. Macam tajuk kat atas, anak tu saham pelaburan anak. Jangan sampai korang musnah disebabkan salah teknik melabur.
Anak dulu, Anak sekarang
Anak dulu dan anak sekarang banyak bezanya. Ibu bapa zaman dulu dan zaman sekarang pun tak sama. Menurut pemerhatian aku, mak bapak dulu kurang educated dan kebanyakannya belajar tak habis. Ada juga yang educated tapi tak seramai sekarang. Tapi ada satu perbezaan ketara yang ada pada anak zaman dulu iaitu:
MEREKA LEBIH BERADAB
Atau dengan kata lain, adab mereka merangkumi rasa malu untuk berkelakuan buruk, mereka lebih menghormati orang yang lebih tua dan menjaga kesopanan di hadapan tetamu. Apabila anak-anak ternakal sedikit, ibu bapa mereka yang tidak educated dari sudut akademik dilihat bijak mengawal anak-anak dan menunjukkan leadership yang bagus dalam mendisiplinkan anak-anak. Ya, mereka tidak educated di sekolah tapi mereka sangat educated dari aspek lain yang sangat utama dalam kehidupan iaitu ADAB.
Ibu bapa dulu, ibu bapa sekarang
Aku dah sebutkan bahawa ibu bapa dulu kurang educated dari sudut akademik berbanding ibu bapa sekarang. Ibu bapa sekarang ialah hasil didikan ibu bapa dulu, maka terhasillah mereka- golongan ibu bapa yang bijak pandai. Berkat didikan orang tua mereka, mereka menjadi educated dan meneruskan generasi seterusnya. Bezanya, ibu bapa yang educated pada masa kini (tak semua, hanya segelintir saja) dilihat kurang educated dalam mendidik anak-anak. Alasan yang biasa aku dengar- "mak abah strict sangat dulu, nanti kalau aku ada anak aku tak nak strict sangat. Stres oo..." Hasilnya? Anak-anak merdeka sampai ke bulu-bulunya. Mak bapak hilang skil leadership dan akhirnya jadi pak turut anak-anak.
Ada juga yang memberi alasan mereka sibuk cari rezeki untuk kesenangan anak-anak. Betul, itu memang tanggungjawab mak bapak. Tapi sebenarnya mereka juga sibuk cari rezeki untuk tampung keinginan diri sendiri- nak beli baju jenama ni, nak beli perabot jenama tu, nak berhutang barang jenama ni, nak angkut kereta baru jenama tu. Akhirnya, time management untuk bersama anak-anak tak ada sebab sibuk bekerja. Mak bapak jenis macam ni cuba nak salahkan masa kerja yang mereka pilih sendiri. Anak-anak pun jadi lone ranger, hari-hari telan mi segera. Belajar adab dari rancangan TV yang entah apa-apa dan tengok perangai manusia sekeliling. Hasilnya, adab mereka pun entah ke mana.
Selain mak bapak spesis di atas, ada yang jenis tegur anak dan nasihat anak- tapi salah teknik. Bila mak bagi teguran, bapak pertahankan anak macam peguambela walaupun anak buat salah. Kepada bapak sekalian, tahukah anda perbuatan anda telah menjatuhkan taraf seorang mak? Sikap suami yang marahkan isteri sebab isteri marahkan anak boleh menyebabkan anak hilang rasa hormat pada mak, nasihat/teguran mak tidak dipandang serius dan juga anak-anak menjadi lebih berani untuk berbuat salah kerana bapak mereka akan jadi peguambela dan mak pula tidak dapat berbuat apa-apa. Begitulah sebaliknya.
Dan spesis mak bapak seterusnya, yang biasa dilihat dalam masyarakat sekarang. Anak berkelakuan biadab, mak bapak tengok je macam tunggul. Bila nak tegur anak, suara mereka tu macam sepoi-sepoi bahasa. Bila orang tegur perangai anak-anak mereka, mak bapak budak tu cuma cakap- "Biarlah, budak...belum tau apa-apa" ataupun "Mereka tu memang macam tu..." atau "Tu la...mereka tak nak dengar cakap." Kepada mak bapak sekalian, apalah makna anak korang minum susu badan atau susu formula untuk sambungkan sel-sel otak anak korang kalau korang tak ajar apa-apa yang elok? Apalah makna peribahasa 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'? Dan apalah maknanya pangkat korang sebagai mak bapak kalau tak tau dan tak reti nak jaga anak?
Spesis yang terakhir sekali, mak bapak yang suka tegur anak depan orang ramai. Suka nak jatuhkan maruah anak. Suka nak tunjuk skil leadership sebagai mak bapak depan orang lain walaupun skil tak seberapa. Suka nak tayang cara nak didik anak, konon-konon dialah yang the best bab didik anak. Tahukah anda, teguran yang tak berlapik, kurang beradab dan sikap semberono anda dalam mendidik anak-anak adalah didikan tidak langsung anda terhadap anak-anak? Mak bapak ialah role model. Kalau mak bapak sendiri dah tunjuk sikap tak baik, mereka pun ikut sama. Jangan salahkan anak kalau korang marah anak sambil tunjal dahi diorang, anak makin memberontak.
Kasih Sayang yang Ganjil
Sebagai pemerhati dan aku pun belum ada anak, aku selalu tengok sikap mak bapak sekarang. Mereka sangat sayangkan anak. Memang patut pun mereka sayangkan anak, itu anak diorang. Cuma aku tak berapa berkenan apabila mereka salurkan kasih sayang mereka dengan cara yang tak berapa berkesan seperti:
- Sayang anak, bagi kebebasan banyak-banyak
- Sayang anak, hulur duit dan gajet berketul-ketul
- Sayang anak, takut nak menegur salah anak
- Sayang anak, tunai semua yang anak mintak
- Sayang anak, sayang sampai buta tak nampak perangai buruk anak
Bagi aku, itu bukan kasih sayang. Kalau mak bapak sayangkan anak, mereka takkan sanggup tengok anak mereka rosak. Sebagai contoh, korang sanggup habiskan masa, tenaga dan kos untuk melabur saham kat bursa saham. Korang sanggup tengok saham pelaburan korang jadi tak bernilai selepas penat korang menunggu? Kepada sekalian mak bapak di luar sana, sila fikir. Anak ialah tanggungjawab dan amanah, bukannya harta untuk korang berlagak dan menunjuk-nunjuk. Ada ramai yang tak ada anak berharap untuk dapat anak, tapi mereka yang ada anak buat peduli tak peduli dengan tanggungjawab terhadap anak. Ingat, tanaman takkan hidup subur kalau petani tak jaga, tak siram, tak baja. Macam tu juga anak. Jangan pandai buat anak je.
Ciri-ciri Saham Pelaburan yang Menuju Kemusnahan
Anak yang baik tak semestinya pandai dalam pelajaran, pandai mengaji dan lemah-lembut tutur kata. Anak yang tak baik tak semestinya mencuri, hisap dadah dan bunuh orang. Semua ciri-ciri tu very typical dalam pemikiran masyarakat kita. Kadang-kadang, ciri-ciri anak yang baik terletak pada budi bahasanya terhadap semua orang. Pandai aje tak guna kalau perangai buruk. Pandai mengaji pun tak guna kalau sombong berlagak nak mampus. Lemah-lembut tutur kata pun tak guna kalau raja segala hipokrit, sinis dan kaki jaja cerita. Dalam masa yang sama, perangai tak baik tak semestinya macam contoh yang aku sebut di atas. Mencuri memang salah, hisap dadah pun salah, bunuh orang dah tentulah berdosa besar. Tapi mak bapak tak sedar, perangai tak baik yang wujud di kalangan anak-anak ialah:
- Melawan cakap, tak nak dengar nasihat. Asal kena tegur je...meraung macam kena dera, sepahkan barang-barang, ugut nak muntah atas karpet atas sofa.
- Tak menghormati rumah dan harta-benda orang lain, buat rumah orang macam rumah sendiri (kadang-kadang lebih dari rumah sendiri, rumah orang dibuat macam zoo)
- Suka membazir makanan tak kira kat rumah sendiri atau rumah tetamu. Tak nak makan tapi mengada-ngada nak makan. Lepas tu, buat perangai buruk. Makan sikit, tumpah sana-sini. Makan banyak, termuntah terberak dalam toilet rumah orang.
- Suka menyampuk orang tua bercakap. Asyik nak mencelah, nak sangat jadi attention seeker.
- Ambil barang orang lain senyap-senyap. Bila kantoi, tak nak mengaku. Kan elok kalau mintak izin?
- Bising kat tempat awam, langsung tak peduli perasaan manusia sekeliling. Menjerit macam kuntilanak, berlari sana-sini macam pelesit.
- Bila kena tegur, si anak mula tunjuk ego. Memberontak, cari pasal, nak protes (kecik-kecik dah tunjuk ego melangit, tak taulah dah besar macam mana.)
- Tak tunjuk rasa hormat depan orang yang lebih tua. Bila lalu depan orang tua, dia lalu macam orang tua tu tunggul kayu.
- Bila anak ada segala-galanya, mulalah pandang orang lain macam sampah. Layan orang macam sampah. Tengok orang serupa macam sampah. Kecik-kecik dah pandai membuli.
- Poin kesepuluh ialah- kesemua sikap di atas, kalau tak dibendung boleh menyebabkan pembentukan sikap yang lebih teruk seperti penting diri sendiri, biadab, angkuh, sombong, kaki buli dan sebagainya. Masalah yang dianggap remeh akan berubah menjadi rumit.
Secara harfiahnya, aku tak kata teknik pukul-memukul rotan-merotan adalah teknik terbaik. Generasi zaman sekarang ni luarannya keras yang amat tapi dalamannya lembut macam jeli. Kalau betul caranya, senang je korang nak bentukkan jeli tu dalam acuan yang korang nak. Zaman sekarang, semuanya pasal psikologi. Nasihat bermula dari rumah. Nasihat yang lembut tapi tegas, sentiasa konsisten dan bukan sekadar ugutan. Budak-budak sentiasa buat salah, jadi adalah tugas mak bapak untuk tunjukkan mana yang betul. Seorang lelaki dan seorang wanita, kalau nak bersama dan jadi mak bapak, janganlah sekadar jadi mak-bapak saja. Pastikan anda seorang role model yang mampu menjadi:
- pemimpin
- pendidik
- pelindung
Nasib generasi masa akan datang ditentukan oleh anda, ibu bapa masa kini. Korang nak hidup tenang? Bukan senang semata-mata, tapi tenang dan tak kecewa? Tengok balik keadaan saham pelaburan korang. Jangan nak menyesal bila saham dah matang dan tak dapat diubah lagi. Tak pandai tak apa, yang penting adab sentiasa dijaga.
Pesanan dari pemerhati: Shield Sahran
@themagi2017
No comments:
Post a Comment