Friday 3 January 2014

Kisah Seram Kuching II

Entri ni sambungan dari Urban Legend: Kisah Seram di Sarawak dan juga Kisah-kisah Seram dari Kuching. Aku dapat cerita ni berdasarkan pengalaman aku sendiri, pengalaman kawan-kawan dan adik-beradik, penceritaan lisan orang tua dan juga jiran-tetangga.

Mari kita menyeramkan diri ^^

Siapa di Belakang?

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1998-1999 di sebuah sekolah di Kuching. Kalau aku sebut, pasti ramai Kuchingites yang tahu. So, aku proceed terus ke jalan cerita. Pada suatu petang, sekitar pukul 4, beberapa orang pelajar senior Tingkatan Enam selesai study group untuk exam STPM akan datang. Mereka ulangkaji di bilik belakang perpustakaan sekolah. Selepas habis study, cikgu mereka pun datang untuk kunci pintu perpustakaan. Ketika cikgu tersebut tengah kunci pintu, salah seorang pelajar terlupa barang. Terpaksalah cikgu tu bukak balik pintu perpustakaan dan mereka pergi ke bilik belakang. Sebaik saja tiba di depan pintu, pelajar itu pun mengetuk-ngetuk dengan niat mahu bergurau. Tiba-tiba, pintu bilik belakang diketuk semula, seperti ada seseorang di belakang padahal tak ada siapa pun di belakang. Kemudian, cikgu mereka cepat-cepat panggil mereka dan pura-pura tak tahu apa yang mereka dengar sebentar tadi.

Ada Apa di Tandas Hujung?

credits: powerbuzz.com
Aku dengar banyak kisah tentang tandas hujung, terutama sekali di sekolah-sekolah menengah- pelajar kesurupan. Tapi ada satu kisah, tak pasti sama ada betul ke tidak. Kononnya kisah tu terjadi di sebuah sekolah rendah. Kisah pertama; ada seorang budak sekolah rendah yang bersekolah di sekolah X. Pada suatu hari, dia ternampak beberapa orang tukang kayu memasang palang di hadapan pintu tandas hujung. Apabila ditanya, tukang kayu itu berkata tandas itu tak boleh digunakan. Sehinggalah pada suatu hari, budak tu sarat nak buang air besar. Dari tandas pertama sampailah ke tandas kedua terakhir, budak tu asyik terjumpa tandas kotor. Nak tak nak dia menendang pintu tandas hujung sekuat hatinya dan mendapati tandas tu sangat bersih. Apalagi? Dia pun masuk dan melepaskan hajat. Malangnya, apabila selesai urusan tandas, pintu tiba-tiba tersekat tak boleh dibuka. Budak tu menjerit mintak tolong tapi tak ada siapa yang dengar. Keesokan harinya, dia ditemui mati oleh seorang pelajar lain. Kepalanya tersumbat di dalam lubang tandas. Okay, sekarang kisah kedua. Kononnya kisah ni terjadi sekitar tahun 1995 semasa pelajar Tahun 6 ikut aktiviti sekolah yang berlangsung 2 hari 1 malam. Pada malam tersebut, seorang pelajar lelaki sarat nak buang air besar. Tandas baru terletak jauh di bawah dan tandas lama pulak terletak berdekatan. Memandangkan hari dah malam, pelajar tu pilih tandas lama. Semasa tengah duduk meneran, dia ternampak kelibat di sebalik pintu. Dia sangka kawan-kawannya datang mengusik sebab pelajar tu pernah kena usik sebelum ni. Bila dia selesai buang air besar dan cuci tangan di sinki, barulah dia perasan bahawa kelibat yang lalu tadi bertenggek di atas siling dengan mulut yang berdarah. Cuba korang bayangkan? 

Siapa Punya Anak Tudung?

Kisah ni terjadi kat aku sendiri semasa aku main kejar-kejar ngan kawan-kawan pada sebelah petang sebelum kelas agama. Semasa tengah lari bekejaran macam pelesit, tiba-tiba jatuh anak tudung berwarna putih bersih kat depan aku. Terus aku panggil kawan yang aku kejar tadi dan tanya, "Ini anak tudung kau ke?" Kemudian kawan aku selak tudung yang dipakai dan menunjukkan anak tudung dipakainya. Selepas itu, aku pergi bertanya kat semua budak perempuan, siapa punya anak tudung? Tiba-tiba, salah seorang kawan aku bertanya, "Mana kau jumpa anak tudung ni?" Aku pun cerita balik macam mana kami bekejaran di tepi blok bangunan dan tiba-tiba anak tudung jatuh di depan aku, macam ada orang yang campak. Selesai saja aku bercerita, kawan aku pun kata, "Tepi blok bangunan mana ada tingkap? Macam mana orang nak campak? Lagi satu, siapa punya anak tudung ni? Kami semua pakai anak tudung." Perlahan-lahan, aku letak anak tudung tu depan tiang bendera. Seram sejuk aku dibuatnya. Sampai sekarang aku masih musykil siapa punya anak tudung tu.

Cuba Lihat Siapa di Ruang Mandi?

Kejadian ni berlaku kat kawan aku masa tahun 2006. Sepertimana cerita tu disampaikan, kisah tu terjadi di East Valley, Serian. Masa tu aku, kawan aku iaitu Appy, Aisah dan Aja ikut program anjuran Belia dan Sukan tetapi kami berpecah ke bilik berlainan. Hari sebelum balik, aku ke tandas sebab sakit perut. Masa aku buang air, ruang mandi mandi memang sibuk. Macam pasar ikan. Bila aku keluar, kosong pulak tak ada orang. Kemudian, kawan aku pun cerita balik apa yang berlaku beberapa hari sebelum tu. Pada suatu malam, budak  sebilik kawan aku nak ke tandas. Budak tu pun ajak kawan aku yang dok sebilik dengan dia dan temankan dia ke tandas yang bersebelahan dengan ruang mandi. Kat tengah ruang mandi tu ada kolah besar. Bila kawan aku menolak, budak tu kata ruang mandi ada orang, tak perlu takut apa-apa. Tapi, sampai saja mereka berdua kat situ, ruang mandi gelap gelita. Tak ada satu manusia pun kat situ. Jadi, cuba lihat siapa di ruang mandi? 

Nampak tak lekuk atas bibir
perempuan ni?
credits: realsimple.com
Siapa yang Duduk di Tengah Paya?

Aku dengar cerita ni dari bapak aku sebab bapak aku memang suka masuk paya cari siput masa aku dan adik beradik aku masih kecik. Kemudian, bapak aku cerita ada la seorang lelaki, kawan kepada kawan bapak aku. Kat paya selalunya ada siput bulan dan siput sedut. Tengah khusyuk tunduk mencucuk pasir, dia ternampak seseorang duduk di tengah paya, betul-betul di bawah pokok nipah yang rendang dan redup. Hairanlah si lelaki tu. Apa yang orang tu buat di tengah paya? Bila diamati betul-betul, orang yang duduk di bawah pokok nipah tu seorang perempuan. Perempuan tu tengah terkikih-kikih sendirian dengan kepala yang tunduk. Sebaik saja perempuan tu mendongak, lelaki itu terkejut melihat perempuan tersebut tak ada lekuk di atas bibir. Apabila perempuan tu menjeling, lelaki tu terus cabut lari sebab dia dapat agak siapa yang duduk di tengah paya tu. Korang rasa, siapa agaknya perempuan tu?

Siapa Apek Yang Kayuh Basikal tu?

Kisah ni baru lagi, baru je terjadi Disember lepas kalau tak silap. Masa tu adik aku outing ngan member photographer, nak memburu matahari terbit katanya. Sekitar jam 3 pagi, diorang stop kat bawah jejambat berdekatan dengan area Kampung Gita. Biasanya tempat tu port kaki pancing cari udang atau ikan tapi tak ramai yang stay sampai dinihari. Selalunya, port yang paling okay ialah kat atas jambatan Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman. Okay, nak dipendekkan cerita, diorang melepak kat situ sambil tangkap gambar. Tengah syok tangkap gambar, tiba-tiba ada benda jatuh dalam sungai dari atas pokok. Bunyinya lebih kurang macam batu yang jatuh. Kemudian, beberapa ekor anjing menyalak mendayu-dayu atas jejambat. Apa yang peliknya, anjing yang baring berhampiran dengan mereka tak pulak ikut menyalak. Tak lama lepas tu, diorang ternampak seorang lelaki, macam apek, tengah santai kayuh basikal atas jejambat. Siapa yang kayuh basikal santai macam tu pukul 3 pagi? Kemudian, geng adik aku pun cepat-cepat berkemas. Tak sanggup nak tunggu lama-lama. Bila diorang berangkat pergi dan anjing tu pun tak menyalak lagi, apek tu pun ghaib entah ke mana. Siapa agaknya apek yang kayuh basikal tu?

@themagi2014

2 comments:

  1. seramnyer..tapi..ini benar ke mitos?

    ReplyDelete
    Replies
    1. cerita no.1,2 & 5 tu dengar dr org, cerita no.3 & 4 tu pengalaman admin dgn kwn2. cerita yg last tu pengalaman betul sibling.

      Delete