Thursday, 2 May 2013

Kisah-kisah Seram dari Kuching

Sejak dari kecil, cerita seram merupakan kudapan malam sebelum tidur. Aku mendengar kisah-kisah seram dari banyak pihak, dan ia menjadi bekalan untuk bercerita di kalangan kawan-kawan. Sama ada ia kisah benar ataupun tidak, ia tetap menjadi kudapan minda kepada keluarga kami.


Kisah Satu: Orang Tua Baik Hati


Kisah ini diceritakan oleh kakak menerusi temannya. Kisah ini bermula dari sepasang suami isteri yang mahu mencari saudaranya yang tinggal di sekitar kampung (tidak pasti nama kampung). Mereka berdua tiba pada lewat malam kerana sukar mencari pengangkutan dan akhirnya sesat di dalam kampung tersebut. Kemudian, mereka berdua terjumpa sebuah rumah di hujung bukit, di mana mereka berdua berkenalan dengan seorang pak tua yang baik hati. Mereka berdua dipelawa masuk dan diberi makan yang lazat-lazat. Pasangan tersebut tidak menyangka masih ada lagi manusia yang baik hati membantu mereka di dalam kesusahan. Sesudah mereka menikmati makan malam bersama pak tua tersebut, pak tua mempelawa mereka tidur di situ sebelum bertolak pada pagi esok. Mereka berdua menerimanya dengan hati terbuka. Keesokannya, mereka berdua bertolak selepas subuh, meneruskan pencarian mereka dan akhirnya, mereka berjaya menemui saudara mereka semula. Apabila mereka menceritakan semula kebaikan seorang pak tua yang tinggal di hujung bukit, saudara mereka memberitahu mereka bahawa tidak ada rumah yang wujud di hujung bukit tersebut. Di situ cuma kawasan semak samun yang tebal dan terbiar sejak sekian lama. Apabila mereka kembali semula ke tempat tersebut untuk mengesahkan kisah mereka, ternyata tempat itu cuma kawasan terbiar, dengan sebatang pokok besar yang memayungi kawasan tersebut.


Kisah Dua: Jelmaan Dari Kesan Conteng


Kisah ini diceritakan oleh bapa, mengenai kisah seram yang pernah berlaku di kampung Sungai Bedil Kecil, juga disebut sebagai kampung Astana Lama, berdepan dengan kediaman rasmi TYT di Sarawak. Kembali ke tahun 40-50an, kampung tersebut menjadi kediaman kepada ramai keluarga, termasuklah moyang aku. Kehidupan sukar dan serba kekurangan. Ia menyebabkan ramai anak muda dan kanak-kanak merayau tidak tentu arah. Pada suatu malam, beberapa orang anak muda dikejar orang kerana mencuri. Mereka segera bersembunyi di dalam sebuah kawah dan menunggu masa untuk melepaskan diri. Kerana terlalu bosan menunggu, mereka telah menconteng kawah tersebut dengan lukisan muka jembalang dan mempersendakan wajah jembalang tersebut sebagai hiburan di kalangan mereka. Beberapa hari kemudian, pemilik kawah tersebut terkejut melihat kawah miliknya telah diconteng dengan lukisan sedemikian rupa kerana menurut firasatnya, tindakan tersebut pasti mengundang perkara yang tidak patut diundang. Akhirnya, firasat si pemilik kawah menjadi nyata apabila dia bermimpi bertemu dengan jembalang tersebut yang berang dengan kelakuan anak-anak muda yang mempersendakan kejadiannya dan melukis wajahnya sembarangan, lantas bersumpah sekiranya berlaku satu kematian di kalangan penduduk kampung tersebut, maka akan berlakulah kematian yang lain 7 kali berturut-turut. Walaupun sudah sekian lama kisah ini berlalu, kampung itu juga sudah tidak wujud lagi dan penduduk kampung yang asal sudah berpindah ke kawasan yang lain seperti ke kampung Sungai Bedil Besar, kampung Astana dan juga di kampung Demak, sumpah jembalang itu masih mengejar keturunan asal yang lahir di kampung Astana Lama tersebut. Percaya atau tidak, urusan ajal maut itu adalah ketentuan Tuhan.


Kisah Tiga: Isteri Yang Setia

Kisah ini diceritakan oleh kakak, menerusi temannya. Kisah ini bermula dengan sepasang suami isteri yang tinggal di hujung kampung kerana perkahwinan mereka berdua tidak direstui. Mereka berdua mengerjakan padi bukit bersama-sama dan melalui kesukaran hidup bersama-sama. Sehinggalah pada suatu petang, ketika hujan panas turun renyai-renyai, si suami kembali ke rumah dengan wajah pucat. Mulai dari hari tersebut, si suami telah jatuh sakit dan terlantar di rumah. Si isteri terpaksa menanggung beban bekerja sendirian demi sesuap nasi. Setelah sekian lama menderita sakit, akhirnya, si suami menghembuskan nafas yang terakhir. Ia menyebabkan si isteri buntu, memikirkan bagaimana mahu meminta bantuan orang kampung sedangkan tiada siapa yang ada untuk menjaga jenazah si suami melainkan dirinya sendiri. Setelah berfikir beberapa hari, mengenangkan keadaan jenazah si suami yang mula berbau, si isteri akhirnya mengambil keputusan untuk meminta bantuan orang kampung dengan meninggalkan jenazah suaminya bersendirian di tengah rumah. Walau bagaimanapun, setelah si isteri melangkah keluar dari rumah, si isteri terpandang beberapa kepul asap hitam mengerumuni rumahnya dan terkejut apabila menyedari bahawa asap hitam itu adalah jembalang yang mahu meratah jenazah suaminya. Kerana terlalu cintakan suaminya, si isteri berpatah balik dan cuba menghalang dengan membaca surah tetapi diserang semula oleh jembalang. Ketika si isteri dikerumuni oleh jembalang yang menakutkan, tiba-tiba si isteri terlihat kelibat suaminya, cuba untuk membantunya dari dibaham oleh jembalang tersebut. Namun, usaha si suami tidak berhasil kerana jumlah jembalang bertambah banyak. Bingung dengan keadaan tersebut, si isteri bertindak mencabut beberapa helai bulu alat kelaminnya dan membakar kerana dia percaya ia pasti menarik perhatian jembalang buat seketika. Lantas, si isteri berlari sepantas yang mungkin ke kampung bagi mendapatkan bantuan. Akhirnya, si isteri tiba dengan orang kampung, dan menyelamatkan jenazah suaminya daripada menjadi makanan jembalang tersebut.


Kisah Empat: Tetamu Yang Berbulu.

Kisah ini diceritakan oleh datuk, berkenaan dengan kononnya pernah berlaku di sebuah kampung di Kuching. Kisah ini bermula dengan pasangan suami isteri yang sudah lama menunggu kelahiran bayi di rumah mereka. Setelah puas berusaha dan berubat, akhirnya si isteri disahkan mengandung. Ketika si isteri sedang mengandung, si suami menerima pesan dari orang tua-tua di kampung mereka supaya tidak menerima tetamu sembarangan masuk ke dalam rumah, takut-takut tetamu itu mengundang padah kepada si isteri. Si suami diminta untuk menghalau kelibat burung hantu sekiranya burung hantu cuba bertenggek di rumah mereka. Untuk beberapa ketika, si suami mengikut pesan tersebut, sehinggalah si isteri melahirkan anak pertama mereka. Mereka berdua telah menerima seorang tetamu yang tersesat masuk ke dalam kampung. Pada malam tersebut, si anak menangis berkali-kali sehingga menimbulkan kemarahan si suami. Si suami memutuskan untuk tidur di tengah rumah dan membiarkan si isteri serta si anak bersendirian di dalam bilik. Keesokannya, si isteri meraung sekuat-kuat hatinya apabila melihat dada anak mereka robek dan jantungnya hilang. Tetamu mereka juga sudah hilang, meninggalkan secebis bulu burung hantu di kaki tangga. Kemudian, barulah si suami sudah bahawa mereka menerima kedatangan tetamu yang telah membawa bencana.


Kisah Lima: Hantu Kain Buruk

Kisah ini dikatakan berlaku kepada kakak, di mana pada suatu malam di tahun 1994, dia diminta untuk oleh bapa untuk membeli rokok di kedai yang terletak di hujung jalan masuk. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Dia menuju ke kedai bersama aku sambil menggenggam duit di dalam tangan. Sebelum sampai ke kedai tersebut, kami berdua perlu melalui kawasan flat polis yang terletak berdekatan dengan rumah dan juga kebun jagung. Setelah kakak membeli barang yang dipesan, kami kembali ke rumah semula. Tiba-tiba, kakak memegang erat tangan aku lalu terus berlari sepantas yang boleh. Kami berdua tiba di rumah dalam keadaan termengah-mengah lalu kakak menceritakan yang dia terlihat satu susuk kelibat yang aneh dan sangat hitam di celah pokok jagung. Kemudian, bapa mengambil keputusan untuk keluar meninjau, dan kemudian dia kembali dan menyatakan barangkali apa yang kakak lihat itu mungkin hantu kain buruk, yang pernah diperkatakan sebelum ini.


Kisah Enam: Bunyi Ketikan Stapler

Kisah ini berlaku kepada kami adik beradik ketika berpindah ke rumah kediaman pekerja di kem polis Batu 6 (kalau tak silap). Pada suatu malam, kakak sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah manakala adik kami tidak mahu masuk tidur jadi kakak menakutkan adik dengan membunyikan stapler tanpa isi berkali-kali dan memberitahu adik bahawa ada hantu yang mahu menangkapnya. Cara tersebut ternyata berkesan, namun, bunyi ketikan tersebut berterusan biarpun kakak sudah menyimpan stapler di dalam bekas pensel. Ia membuatkan kami segera masuk tidur, memikirkan bunyi ketikan itu masih kedengaran di telinga. Menurut bapa, malam tersebut dia bermimpi terlihat kelibat putih bertompok hitam yang berdiri di bawah lantai rumah kami sambil meniru bunyi ketikan tersebut. Beberapa malam kemudian, bunyi ketikan itu hilang dengan sendirinya.


Kisah Tujuh: Rumah SB2

Kisah ini adalah kisah benar, yang terjadi pada awal pagi hari lahir aku pada tahun 1997. Sebelum Subuh, kami menerima khabar bahawa jiran kami (nama dirahsiakan) telah meninggal dunia ketika sedang tidur di rumahnya yang bernombor SB2. Kediaman lain seperti SB1, SB3, SB4, SB5, SB6, SB7, SB8 dan juga SB9 tergesa-gesa mahu menemui jiran kami buat kali yang terakhir. Sebelum kisah rumah SB2 bermula, aku mengenang allahyarham sebagai seorang anggota polis yang berwajah kacak. Allahyarham selalu menunggang motosikal besar, seorang yang peramah dan menyapa aku apabila kami terserempak. Ternyata, pemergian allahyarham ibarat mimpi di kalangan kami. Setelah allahyarham diuruskan oleh rakan-rakannya, timbul suatu kisah dari isteri allahyarham di mana pada malam suaminya meninggal dunia ketika sedang tidur, anak mereka menangis sekuat-kuat hati sehinggakan allahyarham tidak boleh tidur. Wanita tersebut cuba meminta bantuan allahyarham menidurkan anak mereka yang masih kecil tetapi allahyarham yang baru saja balik dari kerja tidak mengendahkan permintaan isterinya lalu mengambil keputusan untuk tidur. Apabila allahyarham menutup mata untuk tidur, si anak semakin kuat menangis dan tangisannya tidak dapat dihentikan. Bingung dengan tangisan tersebut, si isteri cuba untuk mengejutkan suaminya dari tidur. Tetapi, apa yang wanita itu dapat hanyalah jenazah si suami yang baru saja meninggal dunia dalam tidur. Selepas pemergian jiran kami, jiran kami yang tinggal di belakang rumah SB2 itu mula terlihat benda aneh di atas atap rumah allahyarham. Cucu jiran kami yang duduk di rumah SB1 kerap kali menangis, seperti anak allahyarham pada malam kematiannya. Akhirnya, keluarga yang tinggal di SB1 itu mengambil keputusan untuk berpindah. Kemudian, gangguan berterusan apabila beberapa jiran yang tinggal di sekitar kawasan tersebut terlihat kelibat seorang wanita berambut panjang di atas atap rumah allahyarham dan mereka sering mengalami mimpi buruk. Bukan itu saja, adik ipar allahyarham juga dikatakan terlihat kelibat abang iparnya baring di anjung rumah ketika dia diminta oleh kakaknya datang ke rumah tersebut untuk mengemas baki barang yang masih belum diambil. Akhirnya, seluruh keluarga yang tinggal berdekatan dengan SB2 memutuskan untuk berpindah sebelum kawasan itu diambil oleh kerajaan dan dibangunkan. Kini, tapak SB2 menjadi sebahagian daripada taman rekreasi yang terletak berdekatan dengan Bangunan Tunku Abdul Rahman, juga dikenali sebagai Kompleks Kuching.


Kisah Lapan: Kompleks Kuching

Bangunan Tunku Abdul Rahman, atau dikenali sebagai Kompleks Kuching merupakan bangunan pentadbiran yang wujud sejak sekian lama. Ketika bapa masih muda remaja, bapa pernah menjadi sebahagian dari tenaga kerja yang membina bangunan tersebut. Kata bapa, cabaran untuk membina sebuah bangunan tinggi dengan teknologi yang tidak seberapa sebenarnya sangat sukar. Kuching pada masa dahulu berbeza dengan masa kini. Oleh sebab kekurangan teknologi, maka pasti ada kematian yang berlaku semasa pembinaan. Menurut bapa, ada seorang pekerja telah mati dalam keadaan ngeri kerana terjatuh dari tingkat yang tinggi, kepalanya pecah dan badannya kemek kerana dihempap batu bata yang jatuh ke atasnya. Kini, Kompleks Kuching adalah simbol kepada bandaraya Kuching, tetapi ia juga menyimpan seribu satu duka di mana terdapat beberapa tingkat di dalam bangunan tersebut sentiasa diterangi oleh lampu, tidak kira malam atau siang kerana sekiranya lampu itu ditutup, lampu tersebut akan cerah semula apabila menjelang tengah malam.

#tmg2013

No comments:

Post a Comment