Saturday 10 January 2015

Kubu di Sarawak

10 Januari, entri kedua tahun baru. Aku tengah sibuk nak siapkan kerja. Maklum le, writer. Writer le sangat. Jadi, senarai untuk entri bulan Januari tak sempat nak buat. Tulis jelah apa yang terlintas kat kepala. Since dah lama tak tulis pasal Sarawak or Kuching or something like that (cey, Inglish mari~), tadi aku baca sikit pasal kubu-kubu di Sarawak dalam buku karya WJ Chater. Bukan kubur, okey? Setakat ni je intro, tak perlu panjang2.

Kubu James (Skrang)

Kubu James merupakan kubu pertahanan yang terawal dalam era Brooke. Ia didirikan pada 1849 di Skrang, kira-kira 5 batu ke hulu sungai. Kubu ini diberi nama James bersempena dengan nama Rajah pertama iaitu James Brooke. Pada tahun 1864, kubu ini dirobohkan dan kubu baru dibina menggunakan bahan dari kubu James.

Kubu Alice (Sri Aman)
Kubu Alice ialah kawasan pertahanan pihak British. Pembinaan kubu bermula pada 1864. Kubu Alice terkenal kerana diperbuat daripada kayu belian dan mempunyai ciri-ciri berbeza berbanding kubu yang dibina pada era Brooke seperti halaman terbuka di bahagian tengah, sejenis jambatan sorong dan cerucuk besi di sekeliling luar kubu. Struktur kayu kubu ini diperolehi dari Kubu James yang dirobohkan dan kebanyakan bahannya digunakan untuk membina Kubu Alice. Kubu ini menyaksikan pegawai Brooke iaitu Alan Lee mati dipenggal oleh menantu Rentap. Kini, kubu ini dibangun semula untuk dijadikan muzium. Di kubu ini ada satu tradisi lama yang dipatuhi selama 100 tahun sehingga1964. Ia merupakan teriakan malam pada 8 malam, waktu Residen sedang makan malam. Teriakan dilakukan oleh anggota polis setelah memukul gong pukul 8. Terjemahan teriakan tersebut berbunyi:

Oh Ha! Oh Ha! Oh Ha!
Jam sudah pukul lapan,
Tangga sudah ditarik,
Pintu sudah ditutup,
Orang dari hulu,
Orang dari hilir,
Tidak dibenarkan naik ke kubu lagi.

Kubu Margherita (Kuching)
Kubu Margherita merupakan kubu pertahanan di Kuching yang dibina pada 1878 dan selesai pada tahun 1879. Kos pembinaan berjumlah $8100 dan ia diberi nama Margherita bersempena dengan nama isteri Rajah kedua iaitu Ranee Margaret. Kedudukan kubu ini sangat strategik untuk memantau aktiviti di Sungai Sarawak dan apa juga jenis serangan dari pihak musuh. Tetapi, menjelang tahun 1879, Sarawak dalam keadaan aman. Walaupun Kuching pernah diserang Jepun pada 19 Disember 1941, bom yang dijatuhkan meletup secara berderet di Simpang Tiga, Jalan Ban Hock, Padungan, pejabat syarikat Borneo dan berakhir di sungai. Dalam erti kata lain, kubu Margherita tidak terusik dan tidak digunakan untuk tujuan awalnya iaitu sebagai kubu pertahanan. Pada 1971, kubu ini dijadikan sebagai Muzium Polis. Sekitar 2005-2006, kubu ini tidak lagi berfungsi sebagai muzium, dibiarkan kosong selama beberapa tahun sehinggalah ia mendapat perhatian umum dan dibaikpulih semula untuk dijadikan Galeri Brooke dengan kerjasama Brooke Trust.

Kubu Lily (Betong)
Kubu Lily dibina pada 1885 di Betong dan dinamakan bersempena dengan nama kedua isteri Rajah kedua iaitu Ranee Margaret. Ia dibina sebaik saja kawasan Saribas diambilalih oleh pentadbiran Brooke. Bumbung asal atap ini diperbuat dari daun palma. Rentap pernah melakukan serangan ke atas kubu ini tetapi kubu ini kekal kukuh. Kini, ia dijadikan sebagai balai polis dan pejabat kerajaan.

Kubu Hose (Marudi)
Kubu Hose dibina di atas puncak bukit, menghala ke Sungai Baram pada tahun 1898, antara kubu pertahanan era Brooke. Pada 1994, kubu ini dirobohkan dan dibina semula dengan reka bentuk yang sama. Kemudian kubu yang diperbaharui itu dijadikan Muzium Wilayah Baram yang mempamerkan artifak kebudayaan dan aktiviti pelbagai etnik yang tinggal di kawasan tersebut.

Kubu Emma (Kanowit)
Kubu Emma dibina pada 1851 di Kanowit, antara kubu pertahanan terawal pada era Brooke. Kubu ini diberi nama Emma bersempena dengan nama adik James Brooke. Struktur kubu diperbuat daripada buluh dan setelah selesai pembinaannya, ia ditawan oleh orang-orang Dayak. Kemudian, kubu ini dipindahkan di muara Kanowit dengan reka bentuk yang sama cuma bahan pembinaan diubah menjadi kayu belian. Tenaga kerja bagi membina kubu ini ialah orang Iban dan penduduk Rajang-Melanau dengan upah tembakau, garam, beras dan sebagainya. Bahagian bawah kubu ini tidak menggunakan simen, ia digunakan untuk menyimpan banduan dan bahagian atas kubu dijadikan sebagai pejabat. Semasa pentadbiran Rajah ketiga, bahagian atas kubu dijadikan tempat tinggal orang kenamaan yang datang melawat ke Kanowit.

Kubu Brooke (Nanga Meluan, Julau)
Kubu ini dipercayai mula dibina pada 1835 dan siap 1838 di Nanga Meluan. Berlaku perdebatan dalam kajian sejarah dan latar belakang kubu kerana James Brooke tiba di Sarawak sekitar tahun 1838 dan mentadbir Sarawak pada 1841. Menurut penulisan Gary Schwantz, beliau menyatakan bahawa Kubu Brooke dibina pada 1920 iaitu pada era Rajah ketiga. Kubu ini dijadikan penempatan pegawai-pegawai pentadbiran Brooke bagi menjaga keamanan di kawasan tersebut terutama sekali dari pergerakan anti-Brooke yang radikal yang diketuai oleh pahlawan bernama Asun. Kubu ini juga diperkukuhkan oleh pengikut Rajah memandangkan terdapat kekacauan antara kaum. Tetapi keluarga Brooke sendiri tak pernah menjejakkan kaki ke kubu ini dan melantik Tuan Krock untuk mentadbir kubu tersebut. Struktur awal kubu ini diperbuat daripada buluh sebelum ditukar menjadi kayu belian dan bahan binaan diperolehi hasil derma rumah panjang.

Kubu Sylvia (Kapit)
Kubu Sylvia dibina bersempena dengan nama isteri Rajah ketiga pada tahun 1880 dan diperbuat daripada kayu belian. Pada 1960-an, kubu ini dijadikan tempat Pejabat Daerah dan rumah mahkamah daerah. Pada 1973, ia dijadikan sebagai pejabat residen apabila Bahagian Kapit dibentuk. Nama asal kubu ini ialah Kubu Kapit sebelum ditukar pada tahun 1924 menerusi upacara keamanan bersama beberapa etnik yang menetap di Kapit. Kini kubu ini dijadikan muzium yang dikendalikan oleh Yayasan Tun Jugah.

Kubu Lama Limbang (Limbang)
Kubu Lama Limbang dibina pada tahun 1897, berperanan sebagai kubu pertahanan bagi melindungi kawasan berkenaan dari pemberontak. Pada 1966, kubu ini diubaisuai menjadi pusat pentadbiran. Pada era Brooke, bahagian bawah kubu dijadikan bilik tahanan banduan dan sebahagian lagi menjadi stor. Bahagian atas dijadikan pejabat residen, pegawai daerah dan pekerja lain. Kemudian, kubu ini dijadikan bangunan majlis Islam di Limbang. Pada tahun 1989, kubu ini diroboh dan dibina semula mengikut rekabentuk asal dan dijadikan sebagai Muzium Wilayah Limbang.

Kubu Baleh (Nanga Baleh, Kapit)
Kubu Baleh dibina pada era Rajah kedua pada akhir tahun 1874. Rajah kedua nyaris mati lemas pada 1877 apabila bot yang dinaiki beliau terbalik semasa dalam perjalanan ke kubu berkenaan. Rajah kedua memutuskan untuk meninggalkan kubu tersebut pada 1878 dan memindahkan pentadbiran kubu ke lokasi kubu yang baru di hilir sungai pada 1880.


@magi2015
p/s: penambahan maklumat dan sebarang pembetulan amat dialu-alukan

Rujukan:
Sarawak Long ago by WJ Chater|Wikipedia|faizeskandar.blogspot.com|
kemayangambai.blogpsot.com|pekanjulai.pi1m.my|kanowitdo.sarawak.gov.my
arkib.gov.my|museum.sarawak.gov.my

2 comments:

  1. persamaan kubu tuk adalah dekat dengan sungey. sistem pengangkutan paling relevan zaman ensio.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sungei menghubungkan cdak dolok marek, senang cdak nak bgerak dari satu tempat ke satu tempat

      Delete