Salam Mei, hari ke-23 tahun 2016. Hari ini aku mengarang entri berkenaan dengan Kronologi Pengembaraan Keling menerusi buku Jimmy Donald yang bertajuk Keling of the Raised World. Buku terbitan Fajar Bakti tahun 1991 yang dibeli dengan harga RM18.00 di kedai buku lama di Jalan Carpenter merupakan cerita lisan yang dibukukan setelah penulis melakukan perekodan cerita di bahagian Sri Aman, Cerita lisan itu dikutip dari 3 orang pencerita iaitu:
- Sigi anak Achng dari Nyelam
- Junau anak Sanggah dari Punggu Tapang
- Chakong dari Rapak
Kronologi Pengembaraan Keling
- Jemuring Gading merupakan anak sulung di dalam keluarga ketua Panggau Libau. Jemuring Gading mempunyai beberapa orang adik beradik iaitu Sang Gima, Senteba, Sentebai, Ribai dan Sabit Bekait. Apabila bapa mereka meninggal dunia, Jemuring Gading mengambilalih tugas bapanya dan membahagikan harta pusaka keluarga kepada adik-beradiknya dengan adil dan saksama.
- Malangnya, adik-beradik Jemuring Gading iaitu Ribai dan Sabit Bekait tidak berpuas hati dengan pengagihan harta pusaka, Ribai dan Sabit Bekait pun meninggalkan Panggau Libau dengan rasa marah.
- Kemudian, Ribai dan Sabit Bekait datang menyerang Panggau Libau dan berjaya membunuh abang mereka, Jemuring Gading serta adik-beradik yang lain. Semua penyokong Jemuring Gading dibunuh dan dipancung kepala. Tetapi Ribai dan Sabit Bekait memutuskan tidak mahu memenggal kepala adik-beradik mereka. Maka, Jemuring Gading disemadikan di dalam tempayan dan diletakkan di hadapan rumah panjang manakala adik-beradik yang lain dikuburkan di tempat lain. Isteri Jemuring Gading, Sang Gima, Senteba dan Sentebai tidak dibunuh kerana mereka sedang mengandung.
- Setelah kematian Jemuring Gading, isterinya Sekurai Mayang telah melahirkan anak lelaki yang bernama Keling. Isteri Sang Gima, Senteba dan Sentebai juga melahirkan anak lelaki iaitu Sempurai anak Sentebai, Sempungga anak Senteba dan Laja anak Sang Gima. Keempat-empat anak mereka membesar tanpa bapa.
- Apabila Keling dan sepupu-sepupunya meningkat remaja, Keling berharap agar ada seseorang yang boleh mengajar dan memimpin mereka menjadi lelaki yang berkemahiran. Ibu Keling mencadangkan supaya Keling pergi meminta bantuan Nenek Dukun bernama Sindon. Nenek Dukun yang asalnya berjantina lelaki telah berubah menjadi perempuan kerana kekuatan ilmu saktinya. Maka, Keling pun segera mendapatkan Nenek Dukun untuk upacara membangkitkan semula sisa Jemuring Gading yang disimpan di dalam tempayan.
- Setelah Nenek Dukun melakukan upacara selama 7 tahun, 7 bulan, 7 minggu dan 7 hari, sisa Jemuring Gading berjaya dibangkitkan dan kebangkitan itu menyerupai seorang lelaki tua yang berambut ganjil. Lelaki tua itu digelar sebagai Bujang Tua (Old Bachelor) dan menjadi guru yang banyak mengajar Keling dan sepupu-sepupunya cara menangkap ikan, menjerat burung, menanam padi dan memenggal kepala musuh.
- Apabila Keling cukup umur, Keling dijodohkan dengan Kumang si dewi kecantikan yang berasal dari Gelong Batu. Kedua-duanya bersetuju dan menunggu masa untuk disatukan. Tetapi, Makcik Sampan yang suka menjaja cerita telah memburuk-burukkan Kumang di hadapan ibu Keling dan memfitnah Keling di hadapan keluarga Kumang. Akibat perbuatan Makcik Sampan, hubungan Keling dan Kumang terputus. Keling sangat kecewa lalu pergi menjerat burung bersama sepupunya. Malangnya, Keling gagal memperoleh apa-apa dan menyebabkan ibu Keling hampa sedangkan ibu Keling sangat bangga dengan kebolehan anaknya. Akhirnya, Keling mengambil keputusan untuk pergi mengembara di dalam hutan.
- Setelah beberapa hari berlalu, ibu Keling berasa susah hati dan meminta bantuan Laja, Sempungga dan Sempurai pergi mencari Keling. Mereka mencari Keling selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya. Selepas puas mencari, mereka menganggap Keling mati dan membuat upacara mengenang pemergian Keling.
- Tanpa pengetahuan keluarga, Keling telah merantau jauh dan berdepan dengan pelbagai cabaran. Hasil pengembaraan Keling, dia telah bertemu dengan raksasa bernama Gerasi, memperoleh tangkal, azimat dan seketul berlian. Apabila Keling mengakhiri pengembaraannya, getah pokok telah melekat di kulit Keling dan Keling tampil seperti lelaki tua. Seorang anak kecil dari Gelong Batu telah menemui Keling dan membawa Keling pulang ke rumah panjang Kumang. Di sana, Keling berkawan dengan Ngelai dan memperkenalkan diri sebagai Sebungkok di hadapan ibu Ngelai.
- Sepanjang tinggal di Gelong Batu, Keling cuba mendekati Kumang. Keling mendapat tahu Kumang masih belum berpunya walaupun sudah lama putus tunang dengan Keling. Pada awalnya, Kumang tidak suka dengan kehadiran Keling tetapi setelah Keling berjaya menangkap ikan kegemaran Kumang, Kumang mula menerima Keling yang masih menyamar sebagai Sebungkok. Lalu, Keling mendekati Kumang pada sebelah malam dan mereka berbual di dalam gelap. Kumang menyangka Ngelai yang cuba memikatnya. Maka, Kumang meminta Ngelai menikahinya manakala Sebungkok dijodohkan dengan Lulong, kawan Kumang.
- Gelayan, lelaki yang menyukai Kumang merasakan Sebungkok seperti satu ancaman di Gelong Batu. Gelayan juga tidak suka Sebungkok mendekati Kumang. Maka Gelayan mengajak Sebungkok bertanding iaitu memburu, menyepak tempat penampi, membelah batang alu, melompat jauh, mendaki gunung Gelong dan membakar sungai Gelong. Sebungkok berjaya memenangi pertandingan tersebut tetapi penduduk Gelong menderita kerana tidak ada air selepas kebakaran sungai Gelong. Sebungkok pun membelah langit untuk mendapatkan air dengan tangkal yang diperoleh semasa mengembara.
- Selepas menggunakan tangkal tersebut, Keling mendapat alamat bahawa Sabit Bekait sedang menyiapkan tentera untuk menyerang Panggau Libau. Keling berasa susah hati.
- Seterusnya, Gelayan datang semula dan mencabar Sebungkok bersabung ayam. Sebungkok berjaya mengalahkan Gelayan. Menyedari kehebatan Sebungkok, Gelayan mengajak Sebungkok menyertai peperangan melawan Sabit Bekait yang sedang berkuasa di langit. Sebungkok bersetuju. Ketika Gelayan membina tangga menuju ke langit, tangga tersebut roboh dan Bujang Tua segera mencari orang yang pandai membuat tangga ke langit. Kehebatan Sebungkok berlawan dengan Gelayan telah sampai ke pengetahuan Bujang Tua dan Sebungkok disuruh membina tangga ke langit. Sebungkok berjaya dan kehebatan Sebungkok mengingatkan Bujang Tua terhadap Keling. Maka, Keling dilantik menjadi ketua dan berperang dengan pihak Sabit Bekait. Sabit Bekait tumpas.
- Sebungkok pulang bersama tentera sambil membawa trofi kepala musuh. Seterusnya Sebungkok menghadiri majlis di rumah panjang Gelong. Rahsia Keling yang menyamar sebagai Sebungkok akhirnya diketahui Kumang.
- Lulong, tunangan Keling ketika menyamar sebagai Sebungkok akhirnya menyerahkan Keling ke tangan Kumang semula. Keling dan Kumang diraikan dalam majlis pernikahan yang gilang-gemilang. Lulong pula dijodohkan dengan Laja, sepupu Keling. Keling digelar sebagai Raja Berani dan kehebatan Keling sebagai pahlawan Iban pun dikenang sehingga ke hari ini.
@themagi2016
Assalamualaikum. Kitak meli buku tok di Star Company ka?
ReplyDeleteaok
Delete