Thursday, 18 October 2012

Cerita Rakyat Sarawak

Menerusi Feedjit, ada visitor datang ke blog ni nak cari info mengenai cerita rakyat Sarawak. Minta maap, aku tak tulis lagi bab tu. Jadi, setelah mendapat kelapangan dan sumber yang elok, maka hari ni mari imbas sedikit cerita-cerita rakyat di Sarawak.


Asal Rumbia.

Ada seorang lelaki tua bernama Busui terjumpa beberapa batang pokok rotan semasa merayau di dalam hutan. Busui mengambil rotan tersebut lalu dibawa pulang dan memindahkannya ke tempat yang lebih elok. Busui mengambil keputusan untuk menjaga pokok tersebut dengan baik. Namun, lama-kelamaan, pokok tersebut mula beransur-ansur berubah daripada biasa. Pokok itu akhirnya berubah sama sekali.

Kemudian, anak Busui bertanya pada bapanya pokok apa yang ditanam oleh bapanya. Kata Busui, "inilah pokok rotan tangatangeh, buah rotan inilah yang selalu dimakan monyet." Namun begitu, rotan tangatangeh itu membesar dan akhirnya digelar balau atau rumbia. Busui mula menyedari akan bunyi tangisan menyerupai manusia. Tangisan itu ialah tangisan rotan yang mendapati pokoknya sudah bertukar menjadi rumbia. Kemudian, pokok rumbia menjadi sasaran baru monyet dengan memakan umbut dan pucuknya.

Maka, Busui terpaksa memasang perangkap dan menghalau monyet dari mengganggu tanamannya. Akhirnya, pokok rumbia selamat dari monyet, hidup subur, membiak dan perkampungan berkenaan juga turut menjadi besar. Orang Melanau pada zaman dahulu menjadi golongan pertama yang menyedari buah rumbia boleh bertukar menjadi rotan lembah dan buah rotan boleh bertukar menjadi rumbia.


Kisah Orang Keramat.

Ia berlaku di Kampung Kepayang apabila kampung tersebut didatangi oleh seorang pendakwah Islam yang alim. Lelaki alim itu mengajar penduduk pelbagai jenis ilmu tentang Islam. Namun, kehadiran beliau tidak disenangi oleh sekumpulan orang yang jahil agama. Maka, guru agama tersebut difitnah kononnya beliau mengadakan hubungan sulit dengan isteri orang.

Apabila tuduhan tersebut sampai ke telinga suami wanita tersebut, si suami naik berang lalu nekad untuk membunuh lelaki alim tersebut. Pada suatu hari, ketika lelali alim itu berjalan-jalan seorang diri di Muara Padeh untuk mandi dan mengambil wuduk, si suami menjejaki beliau. Apabila tiba di kawasan hutan, si suami terus keluar menyerang lelaki alim dengan menggunakan parang tajam dan membunuh lelaki alim tersebut dengan kejam. Badan lelaki alim itu dicencang lumat dan dibiarkan di situ.

Kemudian, berita kematian tersebut sampai ke pengetahuan ketua adat iaitu Abang Abdul Kadir. Beliau berusaha mengumpul bahagian badan lelaki alim dan mendapati darah orang alim itu berwarna putih. Beliau yakin lelaki alim itu bukan orang sembarangan. Lantas, orang alim itu dikebumikan di Muara Padeh dan sehingga sekarang masih ada sebuah muara yang mengalir ke Ulu Padeh dan sebuah lagi ke Layar. Kubur iru di tengah-tengah dan tanjung itu masih ada, tidak putus. Sungguhpun begitu, keturunan lelaki yang membunuh lelaki alim itu tidak boleh menziarahi kubur tersebut kerana mereka pasti akan diburu oleh penyengat. Cuaca juga akan bertukar mnejadi buruk-hujan, ribut dan kilat.


Pengembara Cina dan kawan-kawan.


Ada seorang pengembara Cina bernama Chong tiba ke perkampungan yang dihuni oleh Melayu dan Iban. Chong sentiasa membawa buku bersamanya tetapi dia tidak pandai membaca atau menulis. Tabiat ini berlaku disebabkan oleh ayahnya. Kata ayah Chong, sekiranya dia tidak pandai membaca dan menulis, maka dia haruslah belajar dengan orang lain. 

Pada suatu hari, Chong terserempak dengan lelaki Iban bernama Keling. Chong tidak faham bahasa Iban, demikian juga dengan Keling. Maka mereka berhubung menerusi bahasa isyarat. Kemudian, mereka berdua menemui lelaki Melayu yang membawa buku bersamanya. Lelaki Melayu itu pandai membaca dan menulis jawi. Oleh itu, lelaki Melayu itu mengajar mereka membaca dan menulis jawi sedikit demi sedikit. Lama kelamaan mereka berdua pandai berbahasa Melayu.

Pada suatu hari, mereka bertiga mahu ke seberang. Terdapat sebatang sungai di hadapan mereka dan tidak ada sebarang jalan penghubung untuk ke seberang. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk mengharung sungai. Chong mengikat buku pada tocangnya, lelaki Melayu itu menggonggong bukunya, Keling pula mengikat buku pada cawatnya.

Setibanya mereka di seberang, Chong mendapati bukunya basah dan tulisan di dalamnya menjadi cakar ayam (sebab itulah tulisan Cina menjadi seperti sekarang). Lelaki Iban pula mendapati bukunya hancur dan tulisannya sudah melekat pada kaki dan tangannya (maka sebab itu wujud tradisi Iban mencacah tatu). Buku lelaki Melayu itu selamat dan dia berniat untuk membawa rakannya ke tempat seterusnya.

Di tempat baru, Chong mendapati ada golongan Melayu di situ menternak itik. Chong mengambil keputusan untuk menetap di situ dan berniaga itik. Keling dan lelaki itu berpisah mengikut jalan sendiri dan lelaki Melayu itu meneruskan kerja mengajar orang tulisan jawi. Pada suatu hari, lelaki Melayu itu mengeja perkataan Melayu dengan tulisan jawi. Salah seorang muridnya tersalah dengar dan menyangka Melayu itu Melano. Lelaki Melayu itu menegur,  "bukan Melano, tetapi Melayu". Dari situlah wujud perkataan Melano.


Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.

Terdapat dua orang puteri yang terkenal di Sarawak, Santubong dan Sejinjang yang kononnya berasal dari kayangan. Kedua-duanya cantik jelita dan kecantikan mereka tiada tandingannya. Mereka berdua dikatakan telah diutus oleh bapa mereka untuk menjaga sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gunung Santubong.

Pada awalnya, kedua-dua puteri itu rapat dan mesra. Santubong suka menenun kain manakala Sejinjang pula suka menumbuk padi. Mereka berdua sering bersiar-siar bersama. Lama-kelamaan, timbul rasa cemburu dalam hati masing-masing. Mereka mula tidak menyukai antara satu sama lain.

Pada suatu hari, tiba-tiba Santubong memuji dirinya sendiri di hadapan Sejinjang lalu berkata, " Aku rasa aku lebih cantik dari kau. Menenun membuatkan pinggangku ramping dan jariku lembut dan halus. Aku yakin, putera yang memandang aku pasti meminang aku menjadi isterinya dan bahagia di istana. Dan kau pula akan terus menumbuk padi sehingga jarimu kasar dan kakimu berkematu kerana berdiri lama." Kemudian, Sejinjang membalas, "Sebenarnya menumbuk padi membuatkan badanku menjadi tegap. Kau pula asyik membongkok menenun kain, lama-lama kau akan menjadi bongkok seperti perempuan tua. Jangan-jangan putera raja itu akan meminang aku, bukan kau."

Setelah mendengar kata-kata Sejinjang, Santubong cuba mempertahankan dirinya. Sejinjang juga melakukakn perkara yang sama. Pertengkaran mereka semakin menjadi-jadi dan masing-masing enggan mengalah. Akibat tidak dapat mengawal kemarahan, Sejinjang menyerang Santubong dengan membaling batang alu dipegangnya. Pukulan itu terkena pipi Santubong lantas Santubong yang kesakitan menikam batang belidah di tangannya. Akhirnya, mereka berdua disumpah oleh bapa mereka kerana sikap mereka.

Dikatakan pukulan alu pada Santubong itu membuatkan gunung tersebut terbelah dua hingga ke hari ini. Tikaman batang belidah Santubong pada Sejinjang pula terkena kepala Sejinjang dan serpihan dari kepala Sejinjang itu membentuk pulau-pulau kecil di sekitar Santubong dan salah satu pulau kecil itu ialah Pulau Kera.


Datuk Merpati dan Burung Bakaka.

Datuk Merpati, seorang anak raja yang berhijrah ke Sarawak membina keluarga dan hidup aman damai bersama isteri dan anak. Beliau sentiasa mengembara ke sana sini dan memperoleh pelbagai pengalaman dan ilmu. Pada suatu hari, ketika beliau berada di Muara Tuang di sekitar Samarahan, beliau menyatakan perasaan tidak enak kepada anaknya, Merpati Jepang dan beliau mahu berpatah pulang. Merpati Jepang hanya menurut kata bapanya dan melihat bapanya berkayuh balik.

Sungguhpun begitu, Datuk Merpati bukan sembarangan orang. Dengan sekali kayuh, beliau terlajak ke Batu Belat.  Apabila dikayuh dua kali beliau sampai di Tanah Lintang. Apabila dikayuh kali ketiga, beliau tiba di Muara Sungai Siol. Di situ beliau berhenti lalu bertemu dengan burung bakaka yang menyindir beliau; kayuhan sebegitu kelihatan lemah dan tidak dapat menyaingi kekuatan sayapnya. Sikap sombong burung bakaka itu memberi akal kepada Datuk Merpati  lalu mencabar burung tersebut berlumba menuju ke Santubong. Sekiranya beliau kalah, beliau akan menjadi abdi kepada Bakaka, sebaliknya jika Bakaka yang kalah maka Bakaka harus muntah darah supaya patuknya menjadi merah.

Maka, mereka berlumba menuju ke Santubong. Apabila Bakaka tiba di Muara Karah, beliau menjatuhkan kayuh dan terus berjaya mendekati Bakaka. Apabila Bakaka tiba di Rampang, Datuk Merpati sudah mara ke Teluk Cawang. Akhirnya, Bakaka kalah dalam pertaruhan lalu muntah darah sepanjang perjalanan. Maka sebab itu patuk burung bakaka berwarna merah.


Asal Usul Batu Kitieng.

Terdapat sepasang suami isteri yang bergelar Seri Matahari dan Seri Bulan, memerinta sebuah kawasan dengan aman damai. Mereka berdua bertemu di rumah Nabun dan akhirnya mengambil keputusan menjadi suami isteri.

Setelah mendirikan rumahtangga, mereka dikurniakan dengan dua orang anak, yang lelaki bernama Sulung Patra dan yang perempuan bernama Puteri Bongsu. Kehidupan mereka sungguh bahagia sehinggalah Seri Bulan terpandang sesuatu di langit. Apabila ditanyakan hal tersebut pada orang ramai, salah seorang memberitahu kepada permaisuri mereka bahawa yang itu ialah bulan dan matahari. Seri Matahari berasa hairan bagaimana bulan dan matahari boleh muncul bersama di langit? Lalu kata orang ramai, itu tanda rezeki badan barangkali.

Tapi selepas kejadian tersebut, kedua-dua mereka ditimpa penyakit dan tidak sedar. Jong diluncur ke laut untuk mencari nujum yang pandai mengubat. Setelah nujum yang dicari berjaya ditemui, nujum tersebut dibawa balik ke istana dan merawat raja dan permaisuri mereka. Akhirnya, Seri Matahari dan Seri Bulan sembuh dari penyakit. Kemudian, Seri Matahari meminta nujum melihat nasib anak-anak mereka. Ternyata, ramalan nujum menakutkan mereka apabila dimaklumkan negeri mereka akan diserang geroda dan mereka berdua harus dibuang keluar dari negeri.

Seri Bulan sedih apabila mengenangkan nasib anak-anaknya tetapi mereka terpaksa berkorban demi rakyat yang disayangi. Tapi nujum menenangkan Seri Bulan dengan menyatakan bahawa dua beradik itu akan selamat kerana seorang akan menjadi ikan dan seorang lagi kekal menjadi manusia, mereka berdua tidak akan hidup menderita di tempat baru. Selain dari itu, takdir yang menimpa anak-anak mereka bukan disebabkan oleh kesalahan anak-anak itu sebaliknya itu sumpahan keluarga yang dikenakan terhadap Seri Matahari dan Seri Bulan- mereka berdua tidak sepatutnya bersatu. Sekiranya mereka enggan melepaskan anak-anak mereka pergi, kejadian itu akan berulang lagi pada cucu cicit mereka. 

Tiba-tiba, ramalan nujum mengenai geroda menjadi benar. Geroda telah datang menyerang dan mahu menyambar anak-anak mereka. Lantas, Seri Matahari nekad lalu meminta kedua-dua anaknya memejamkan mata. Seri Matahari lebih rela melepaskan anak-anaknya ke tempat baru daripada dimakan oleh geroda. Kemudian, kilat sambar menyambar. Sulung Patra dan Puteri Bongsu sudah jatuh ke tempat orang. Sulung Patra terdampar ke hulu Sungai Dua Beradik manakala adiknya pula hilang entah ke mana.

Setelah jatuh di tempat orang dan bersendiri tanpa saudaranya, Sulung Patra menyedari badannya mula berubah dan berbintik-bintik hitam, kesan dari air mata ibunya. Lama-kelamaan, Sulung Patra bertukar menjadi ikan kitieng dan dia berniat mahu berenang melawan arus kerana bimbang dimakan ikan besar. Sulung Patra memakan lumut di batu demi mengisi perut. Akhirnya, kawasan batu tersebut dikenali sebagai Batu Kitieng (Batu Kitang).


#Setakat ni la cerita rakyat Sarawak. Kena call orang tua kat kampung pasni untuk collect citer lama...for sure, my dad. Selamat membaca =D


Rujukan: 
Dayang Puteri (Penyelenggara: Jiso Rutan, DBP, 2008), 
Hikayat Datuk Merpati (Haji Mohammad Tahir Abdul Ghani, DBP, 1989)

MaGi2012

No comments:

Post a Comment