Monday 19 January 2015

Sekolah era Brooke di Sarawak

Penubuhan sekolah antara usaha yang digiatkan pada era Brooke. Kebanyakan sekolah yang ditubuhkan berdasarkan pelbagai ideologi agama Kristian (e.g: Katolik, Anglikan, Protestan, Methodist, Seven Adventist, Borneo Evangelical Mission) dan menurut catatan Harriet McDougall dalam buku Sketches of Our Life at Sarawak menerusi bab V dan VI, beliau menjaga beberapa anak muda yang dilatih menjadi penganut agama Kristian yang taat serta diasuh dengan baik di sekolah-sekolah mubaligh. Antara yang disebut di dalam catatan tersebut ialah:

  1. Polly: Anak berketurunan Dayak yang dijumpai ketika ekspidisi lanun 1849. Polly dihantar bersekolah dan fasih berbahasa Inggeris, Melayu serta Cina. Setelah berkahwin, Polly menjadi guru di Sarawak.
  2. Sarah dan Fanny: Anak yatim berketurunan Dayak-Cina yang ditebus dari perhambaan. Mereka dididik oleh Harriet McDougall sehingga dewasa.
  3. Limo dan Ambat (perempuan) & Esau dan Nigo (lelaki): Tahanan kecil dari Saribas, diambil oleh Kapten Brooke dan diserahkan kepada Harriet McDougall supaya anak-anak tersebut mendapat pendidikan di sekolah.
  4. Tung Fa: Pelajar yang cerdik dan fasih berbahasa Melayu dan Cina.
  5. NietFong: Pelajar perempuan yang berjiran dengan Harriet McDougall. 
Menyebut tentang kepentingan pendidikan di era Brooke, Rajah Pertama memutuskan untuk menjemput mubaligh untuk menerajui sekolah-sekolah yang ditubuhkan. Isu penggalakan para mubaligh Kristian untuk datang ke Sarawak sebenarnya berpunca dari dasar politik James Brooke kerana bimbang jika digugat oleh Pangiran Mahkota dari Brunei, Sharif Masahor, Rentap dan juga lanun Dayak Laut. Beliau berpendapat penyebaran dakyah akan membantu 'mentamadunkan' mereka semua dan memudahkan urusan politik di Sarawak. Terdapat cubaan dari James Brooke meng'kristian'kan orang Melayu Islam Sarawak dengan membawa Melayu Kristian dari Singapura sekitar era 1851 tetapi tindakan itu ditentang habis-habisan oleh para pembesar dan masyarakat Melayu Sarawak. Maka, usaha mereka beralih pada kaum-kaum yang lain di pedalaman Sarawak dan juga fokus kepada kristianisasi kaum Dayak, khususnya, menerusi penubuhan sekolah. James Brooke dikatakan tidak menggalakkan para mubaligh menyebarkan dakyah kepada orang Islam terutama sekali golongan alim ulamak.

Berbalik kepada penubuhan sekolah di Sarawak, antara sekolah yang wujud pada era Brooke dan sebahagiannya kekal sehingga sekarang ialah:


1. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph
Sekolah St.Joseph ditubuhkan oleh Father Aloysius Goosens, mubaligh Kristian dari persatuan Mill Hill Missionaries di London. Pada 1881, Father Aloysius datang ke Sarawak bersama rakan-rakan menggunakan kapal dan disambut dengan tangan terbuka oleh Sultan Brunei pada masa itu. Pada 1882, Father Aloysius menyatakan hajat untuk membina sekolah untuk remaja lelaki di Kuching. Dibina berdekatan dengan gereja St.Joseph, sekolah St. Joseph siap dibina pada bulan April dan Father Aloysius memulakan pendidikan kepada remaja lelaki yang menganut Kristian.

2. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary dan St. Thomas


Sekolah St. Mary dan St. Thomas merupakan  sekolah tertua di Kuching, juga di Sarawak. Ia ditubuhkan pada era Rajah Pertama iaitu sekitar 1840an dengan dana dari gereka Anglikan di England dan juga bantuan dari Rajah James Brooke. Setelah bangunan sekolah St. Thomas siap dibina pada 1887, St. Mary menyusul menerusi bangunan lama yang dibaikpulih.

3. College Hill

College Hill merupakan bangunan dakwah mubaligh yang dikendalikan oleh Rev. Wright pada 1848 dan kemudian diambilalih oleh Harriet McDougall. Sekolah ini menjadi pusat terawal pendidikan di Kuching dan menarik ramai pelajar termasuk pelajar beragama Islam. Sekolah ini menyediakan pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira. Pendidikan awal Kristian juga dimasukkan ke dalam silibus. Kemudian, sekolah ini ditutup pada 1850 dan diganti dengan sekolah yang lain. 

4. James Brooke Malay College

James Brooke Malay College dibina pada era 1930an dan kemudian dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak. Sekolah itu ditubuhkan bagi melahirkan guru bahasa Melayu yang berkelayakan memandang sekolah pada zaman tersebut mahir dalam penggunaan bahasa Inggeris tetapi lemah dalam bahasa Melayu. Antara tujuan lain ialah bagi memenuhi keperluan pendidikan pelajar Melayu sekaligus menjaga kepentingan Islam yang sedikit sebanyak dicampuri oleh pemerintahan Brooke menerusi pelbagai undang-undang yang ketat. Sekolah ini juga menggalakkan anak-anak Melayu bergiat aktif dalam membangunkan masyarakat Melayu itu sendiri. Walau bagaimanapun, sekolah melayu mengalami kemunduran dan pemerintah lebih mengutamakan sekolah persendirian mubaligh. Pada tahun 1992, sekolah ini diubah menjadi muzium Warisan Islam Kuching.

5. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Teresa (Convent)


Sekolah St. Teresa merupakan sekolah convent atau sekolah pelajar perempuan di Kuching. Ia ditubuhkan pada 1885 dan terletak tidak jauh dari sekolah St. Joseph. Sekolah ini dinamakan oleh Rev. Father Jackson MHM bersempena nama rahib dari Carmilite. Kedatangan beliau ke Sarawak pada 1881 atas jemputan Rajah Charles Brooke dalam misi penyebaran Kristian Katolik di Kuching dan Kanowit.

6. Sekolah Melayu Encik Boyang

Sekolah Melayu Encik Boyang antara sekolah Melayu terawal yang dibina dalam era Brooke. Ditubuhkan pada 1861, ia merupakan pusat pendidikan untuk pelajar Melayu dalam menimba ilmu agama dan pendidikan berlandaskan agama Islam. Nama sekolah ini dipilih bersempena dengan nama Encik Boyang, seorang guru bahasa Melayu yang berasal dari Sumatera dan pernah menjadi penterjemah pada era pentadbiran Brooke.

7. Mecca School

Mecca School ditubuhkan pada 1861, bertujuan untuk mendidik anak Melayu dalam pendidikan berasaskan agama Islam. Charles Brooke sendiri pernah menjelaskan perihal sekolah Melayu yang bernama Mecca School. Walau bagaimanapun, sekolah ini tidak mendapat sambutan dan akhirnya terpaksa ditutup.

8. Sekolah Kampung Jawa

Sekolah Kampung Jawa ditubuhkan bagi memenuhi keperluan anak Melayu yang semakin ramai di Kuching. Ia ditubuhkan pada 1877 dan bertanggungjawab memberi pendidikan berlandaskan agama Islam. Encik Sawal, guru dari Minangkabau menetap di Sarawak dan akhirnya menjadi tenaga pengajar di sekolah ini. John Lewis didatangkan khas dari sekolah Society for the Propagation of Gospel bagi mengajar subjek bahasa Inggeris.

9. Sekolah Kampung Gersik

Menyedari keperluan pendidikan dan mendapat sambutan menggalakkan, sekolah Kampung Gersik ditubuhkan pada 1893 dan ia dibuka oleh Encik Bakar, anak Encik Boyang. Mata pelajaran yang diajar di sekolah ini sama dengan Sekolah Kampung Jawa. Sekolah Gersik dan Sekolah Jawa berkongsi corak pendidikan yang sama iaitu pendidikan sekular dan pendidikan agama diseimbangkan bagi melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan memudahkan pelajar mendapat kelayakan bekerja. Walau bagaimanapun, sekolah campuran ini tidak kekal lama kerana ditentang oleh pihak penjajah.

10. Madrasah Al-Murshidiyah

Sekolah Melayu didirikan oleh Datu Hakim Imam Abang Hj. Murshidi pada 1917, memberi peluang pendidikan berasaskan agama Islam. Sekolah ini hanya setakat darjah 2 dan 3 mengikut sukatan pelajaran Madrasah Al-Junaid dari Singapura. Sekolah Al-Junaid merupakan parent school kepada Al-Murshidiyah. Pada peringkat awal, sekolah ini mengalami kesulitan untuk menarik perhatian ibu bapa sehinggalah penerbitan naskhah Fajar Sarawak yang mengkritik masyarakat Melayu Islam yang ketinggalan. Nama sekolah ini ditukar menjadi Madrasah Al-Islamiyyah oleh pengasasnya dan beliau berpendapat sekolah ini adalah langkah pertama untuk pelajar melanjutkan pendidikan ke Singapura, Timur Tengah atau Semenanjung Tanah Melayu.

11. Sekolah Kajang Wanita

Sekolah ini ditubuhkan oleh pengasas Madrasah Al-Murshidiyah, dibantu oleh beberapa tokoh agama tempatan iaitu Datu Patinggi Abang Hj. Abdillah dan Hj. Abang Bolhassan bin Hj. Daud. Sekolah ini merupakan pusat pendidikan untuk perempuan dalam menimba ilmu agama dan ia menjadi batu loncatan kepada pembinaan Sekolah Permaisuri pada 1930.

p/s: penambahan dan pembetulan fakta amat dialu-alukan

@magi2015
ruj: Harriet McDougall, Sketches of Our Life at Sarawak| Wikipedia.org| Hadiftareh.blogspot.com|perlukanasiggment.blospot.com|sosiohumanika-jpssk.com|museum.sarawak.com.my|Journalarticle.ukm.my

2 comments:

  1. As salam. Nama En Boyang itu Buyong atau Boyang? Kenapa sdr tidak expand artikel ini mencakupi isu pendidikan selepas merdeka?

    ReplyDelete
    Replies
    1. wksalam, nama en.boyang memang dieja seperti itu. saya rasa ada kemungkinan en.boyang itu ialah en.buyong tetapi saya tak mendapat bukti yang mencukupi. Jika saudara mempunyai info lebih lanjut tentang sejarah sekolah en.buyong, saudara boleh kongsikan di sini. saya tidak luaskan isu pendidikan selepas merdeka sebab tajuk entri saya khusus thadap sekolah yg berkembang pada era Brooke. mungkin isu pendidikan selepas merdeka akan saya buat jika mempunyai bahan mencukupi.

      Delete