Thursday 20 March 2014

Anak Patung: Antara Sejarah dan Hobi

Anak patung, barang permainan anak-anak. Patung aksi figura pun satu spesies dengan anak patung, cuma si pengumpul tu selalunya orang dewasa. Aku sebetulnya bukan la fan anak patung tapi aku masih simpan anak patung aku masa kecik2 dulu. Tak lama lagi, anak2 patung aku berusia 20 tahun. Agak vintaj la jugak di mata aku, walaupun anak patung aku tu cuma hard plastic doll yang dibeli masa tahun 90-an.

Koleksi aku
Sejarah Anak Patung

Sejarah anak patung ni dah lama, dicatatkan pada zaman Greek 100 AD. Biasanya anak patung direka menyerupai seperti manusia. Lengkap dengan semua anggota badan. Pada awalnya anak patung dicipta menggunakan batu, kayu, tanah liat, lilin, gading atau apa-apa saja bahan semulajadi. Apabila masuk era perindustrian, anak patung direka mengguna porselin dan paper mache. Maka terhasillah beberapa siri anak patung seperti bisque doll dengan tona kulit serupa seperti manusia manakala china doll pula mempunyai tona kulit yang berkilat (sila rujuk filem Oz).

Selain dari bisque doll, terdapat paper mache, paper doll, rag doll, dan fashion doll (e.g: Barbie). Vinyl doll dan plastic doll juga turut menjadi kegemaran dengan kos yang lebih berpatutan.

Kaitan Anak Patung dengan Unsur Mistik

Koleksi aku
Anak patung sering dikaitkan dengan kuasa magis serta mistik. Di Afrika, anak patung dilihat sebagai objek ritual. Di Jepun, patung haniwa dikaitkan dengan upacara pengebumian, patung Hina membawa simbol kesuburan dan patung Daruma ialah simbolik kepada Bodhidharma, digunakan sebagai tangkal tuah. Anak patung dikaitkan secara luas dalam upacara magis dan ilmu hitam di Eropah, Afrika dan penduduk asal Amerika. Anak patung dijadikan sebagai patung voodoo, medium untuk magis dan sebagainya. 

Anak patung juga tidak terlepas dari kisah-kisah seram dan kini dijadikan sebagai subjek filem seram. Antara filem Barat yang menggunakan anak patung sebagai subjek ialah:

1. Annabelle-The Conjuring (2013)
2. All dolls in Dolls (1987)
3. Chucky- Child's Play (1988)
4. Billy-Dead Silence (2007)
5. Dolly-Dolly Dearest
(klik Fearnet untuk maklumat anak patung seram yang seterusnya).
Armand Marseille 390
Perubahan Era Anak Patung

1. Patung Antik (1800-1920s)

Bisque Doll diperbuat daripada porselin dan sangat digemari pada awal abad ke-19. Ia dikategorikan sebagai patung antik. Antara patung Bisque yang glemer ialah Armand Marseille. Berbeza dengan Bleutte Doll, kepala anak patung itu diperbuat daripada porselin manakala badannya pula diperbuat daripada komposisi. Kepala Bru Doll juga diperbuat daripada porselin tetapi badannya diperbuat daripada getah. China Doll turut dikategorikan sebagai patung antik, tetapi tona kulit lebih berkilat dan anak mata yang diwarnakan. Antara patung porselin antik yang lain ialah French Fashion, Kewpie, Jumeau dan Half Doll.

Blythe Doll by Takara
2. Patung Vintaj (1925-1979)

Blythe ialah patung vintaj kegemaran ramai dan dikumpul oleh penggemar anak patung. Walaupun tempoh glemer patung ni tak lama, minat pengumpul terhadap Blythe timbul semula sejak kebelakangan dan beberapa pengeluar anak patung seperti Hasbro dan Takara menghasilkan Blythe semula. Blythe diperbuat daripada plastik keras manakala patung vintaj lain seperti Betsy McCall diperbuat daripada vinil, Sasha diperbuat daripada seluloid, Madame Alexander diperbuat dalam 3 jenis iaitu vinil, plastik keras dan komposisi manakala Paper doll pula sudah semestinya diperbuat daripada kertas. Antara patung vintaj yang lain ialah Penny Brite, Shirley Temple, Nancy Ann, Effanbee dan juga Crissy Doll
Tyler Wentworth Radical Red
3. Patung Moden (1980-sekarang)

Kebanyakan patung moden diperbuat daripada plastik keras atau vinil (lembut atau keras). Barbie antara patung paling terkenal. Antara patung moden yang lain ialah Bratz Doll, patung keluaran Hasbro seperti Lorifina, Raggedy Ann & Andy keluaran semula Hasbro, Cabbage Patch Kids dan juga Tyler Wentworth. Patung moden biasanya dikeluarkan dengan pakaian serta aksesori yang berbeza-beza. Malah pakaian dan kelengkapan patung moden direka menggunakan material yang sebenar dan berkualiti seperti sutera, kashmir atau linen. China antara pengeluar terbesar dalam penghasilan patung moden masa kini.


Bahan dalam Rekaan Patung

Porselin merupakan pilihan pada awal abad 19 kerana ia dapat menghasilkan tona kulit yang cantik, dapat dibentuk dan mudah diwarnakan. Tetapi ia mudah pecah dan tidak tahan lama.

Seluloid merupakan plastik sintetik pertama bagi menggantikan penggunaan porselin. Patung seluloid tahan lebih lama berbanding porselin. Tetapi ia mudah berubah warna menjadi kekuningan, rosak apabila terdedah dengan suhu lembap, mudah retak dan mudah terbakar. 

Komposisi merupakan campuran pelbagai jenis bahan dalam pembuatan anak patung seperti gam, pulpa dan serbuk kayu. Komposisi dan paper mache mempunyai banyak persamaan cuma komposisi lebih berat dan padat berbanding paper mache. Komposisi tidak banyak dihasilkan untuk penghasilan anak patung memandangkan ia mudah rosak apabila terkena air.

Paper mache merupakan campuran lebihan kertas, gam dan beberapa bahan lain. Paper mache sesuai untuk menghasilkan kepala anak patung kerana ia mudah dibentuk dan diwarnakan. Penghasilan anak patung paper mache merosot apabila porselin atau bisque doll serta China doll muncul di pasaran. Perkara seperti ini sememangnya wujud dalam persaingan perniagaan apabila permintaan  barang menurun, penawaran juga semakin berkurangan.

Plastik keras merupakan kegemaran pengeluar masa kini kerana ia tahan lama, tidak mudah rosak akibat air atau suhu, tidak mudah pecah, tidak mudah terbakar, mudah dibentuk, diwarna, kuat dan mempunyai jangka hayat yang panjang. Namun, penghasilan vinil lembut dalam pengeluaran anak patung kini menjadi trend pengumpul anak patung kerana kos yang lebih murah dan lebih cantik.

Vinil lembut menjadi pilihan masa kini kerana ia lembut, tidak mudah patah, tidak mudah rosak, kos rendah, dan digemari oleh kanak-kanak. Vinil menjadi pelengkap dalam rekaan anak patung.

Info: Terdapat beberapa jenis bahan lain dalam penghasilan patung iaitu lilin, kayu dan kertas. Malangnya, ketiga-tiga bahan tersebut tidak tahan lama dan tidak digemari oleh pengeluar permainan anak patung kerana ia merugikan mereka.

@themagi2014
Ruj:
Fearnet
wikipedia doll
collectdoll

No comments:

Post a Comment