Tuesday 11 December 2012

Amalan Pre-Kristianiti pada Hari Krismas

Krismas, Hari Natal, Yule atau Noel; ia merupakan perayaan memperingati kelahiran Jesus dan cuti umum yang disambut pada 25 Disember setiap tahun di seluruh dunia. Ia merupakan perayaan utama dalam agama Kristian selain dari perayaan Easter, Kesyukuran, Good Friday dan juga Halloween. Nama "Christmas" merujuk kepada "Christ-mass" dan asal tarikh perayaan ini sebenarnya berbeza-beza. Pada era awal Kristian, ia pernah disambut pada 6 Januari, 7 Januari dan 8 Januari sebelum bertukar ke tarikh 25 Disember Kalendar Gregorian. Walaupun tarikh sebenar Jesus dilahirkan kurang jelas dan pernah didebatkan sebagai tarikh malang bagi orang Yahudi, ia tetap disambut pada setiap tahun dengan beberapa amalan awal pre-Kristianiti yang diserap masuk seperti:


Pokok Krismas
Sejarah pokok Krismas boleh dilihat dalam budaya di Jerman dan juga cerita rakyat pokok Yule. Penggunaan pokok evergreen dikatakan berasal dari kisah Donar Oak dan Saint Boniface, juga simbol pokok syurga berdasarkan kisah Adam dan Eve. Menurut Encyclopedia Britannica, penggunaan pokok evergreen dikaitkan dengan simbol kehidupan abadi di Mesir Purba dan juga golongan Yahudi. Pemujaan pokok bersifat umum dan biasa pada orang Eropah yang mengamalkan paganisme. Golongan Kristian Scandinavian menyerapkan amalan ini dengan tujuan untuk menakutkan roh jahat pada hari Krismas.


Pemberian hadiah
Budaya memberi hadiah berasal dari amalan Rom yang memberi hadiah dan juga tawaran kepada maharaja pada hari Saturnalia. Kemudian, budaya memberi hadiah kepada maharaja menjadi amalan antara rakyat. Budaya ini juga dikatakan wujud disebabkan oleh Saint Nicholas, biskop Kristian yang suka memberi hadiah kepada kanak-kanak dan orang yang memerlukan pada sekitar abad ke-4. Ia juga mungkin simbolik kepada kata-kata Jesus pada hari Jamuan Terakhir (the Last Supper) iaitu: "whatever you did unto one of  the least, you did unto me."


Santa Claus
Karakter Santa Claus sebenarnya berasal dari Turki dan beliau merupakan seorang biskop dari Myra; Saint Nicholas. Nicholas memperoleh gelaran "Saint" pada abad ke-19. Beliau merupakan salah seorang biskop senior yang mengadakan Council of Nicaea pada 325 CE dan mewujudkan Perjanjian Baru. Imej pertama Santa Claus hanya seorang lelaki bermuka tegas sebelum ciri-ciri stokin, rusa terbang, orang bunian dan rumah di Kutub Utara dicipta oleh Thomas Nast pada 1862-1886. Pada 1931, syarikat Coca-Cola telah menukar imej Santa Claus dengan pakaian merah, gemuk dan ceria sambil meminum sebotol Coca-Cola. Imej merah Santa Claus kekal sehingga ke hari ini.


Hiasan dedalu/Mistletoe
Hiasan Mistletoe dikatakan wujud 200 tahun sebelum Jesus dilahirkan dan dibawa oleh paderi Druids. Kaum Celtics percaya bahawa mistletoe merupakan simbol keamanan, tuah, kesuburan dan juga dapat menyingkirkan perkara tidak baik dan roh-roh jahat. Ia juga dikaitkan dengan kepercayaan Scandinavian bahawa berkucup di bawah pokok mistletoe akan menjamin kebahagiaan dan kegembiraan. Ia kini menjadi sebahagian budaya pada hari Krismas.



Karol Krismas
Karol, atau nyanyian pada hari Krismas telah mula dinyanyikan di Eropah beribu-ribu tahun yang lalu tetapi ia bukannya lagu hari Krismas. Ia sebenarnya lagu tuhan pagan yang dinyanyikan pada festival soltis musim sejuk dan menari dalam bulatan. Festival Soltis Musim Sejuk merupakan perayaan meraikan hari terpendek sepanjang tahun dan bertarikh 22 Disember. Amalan ini diserap masuk oleh Biskop Rom pada 129 AD dan menyanyikan lagu "Angel's Hymn" sebagai khidmat hari Krismas di Rom. Ia juga dikatakan salah satu acara pada hari Saturnalia yang disambut oleh Rom pagan tetapi dinyanyikan dalam keadaan berbogel.


Untuk maklumat lanjut sila rujuk:
http://www.allthingschristmas.com/traditions.html
http://wiki.answers.com/Q/Where_and_when_did_the_tradition_of_exchanging_Christmas_gifts_start
http://en.wikipedia.org/wiki/Christmas
http://www.simpletoremember.com/vitals/Christmas_TheRealStory.htm
http://www.whychristmas.com/customs/carols_history.shtml

#TMG2012

No comments:

Post a Comment