Saturday, 8 December 2012

Senarai Agama di Dunia

Hindu
Merupakan agama tertua yang tidak diketahui siapa pengasasnya. Ia mengandungi konsep samsara, kitaran kelahiran semula, termasuk ilmu spritual menerusi meditasi dan membuat kebaikan. Ia mencakupi pelbagai kepercayaan dan ritual, serta bersifat politeisme yang menyembah 33 juta dewa dan dewi. Agama ini terkandung dalam Baghavad Gita, juga disebut sebagai "Song of the Lord" dan di dalam empat Veda. Rig Veda merupakan Veda paling suci. Ia menerapkan konsep Trimurti, tiga kuasa utama iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pelindung/Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah). "Om" merupakan simbolik kepada kewujudan Brahma dan membunyikan perkataan tersebut seperti merangkumi seluruh alam semesta dalam satu masa. Pooja ialah konsep penyembahan yang dilakukan di setiap hari sama ada di kuil (mandir) atau di rumah bersama ahli keluarga (murtis). Di mandir, upacara arti dilakukan; sami menyalakan lampu di hadapan patung dewa, menyanyikan lagu kesetiaan dari kitab suci, pemberian makanan berupa buah-buahan, kekacang atau makanan manis bagi mendapatkan rahmat dewa.

Buddha
Sekitar 2500 tahun yang lalu, pengasas Buddha, Siddharta Gautama lahir di antara sempadan Nepal dan utara India. Buddha, yang bermaksud "yang menyedarkan" ialah gelaran yang diberi selepas mendapat kesedaran secara spiritual. Agama ini tidak hanya berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan semata-mata tetapi juga menerapkan konsep kesedaran dan pemikiran. Konsep nirvana ialah situasi di mana pengikut agama ini akan beroleh kebahagiaan abadi, ilmu pengetahuan dan kebenaran. Ia mengandungi pelbagai jenis didikan seperti Empat Kebenaran Mulia, Jalan Lapan Lapis Mulia dan juga Lima Moral. Bodhisatva merupakan pengikut Buddhisme (sama ada lelaki atau perempuan) yang mampu untuk mencapai nirvana dan bebas dari samsara dengan kelahiran semula. Agama ini tidak ada dewa dan ia juga tidak menidakkan kewujudan Tuhan.

Kristian
Seperti Islam, ia merupakan agama yang tersebar luas ke seluruh dunia. Muncul dari aliran Judaisme, ia mempunyai pelbagai tradisi tetapi perkara utama agama ini berpegang kepada konsep anak Tuhan yang bersifat kudus dan penyelamat. Menerusi kitab Injil Perjanjian Lama, Jesus merupakan anak Mary yang lahir di Nazareth. Pada era Roman, ikan merupakan simbol Kristianiti yang membawa maksud "faithful pisculi" atau "fishers of men". Antara simbol  lain yang pernah digunakan sebelum ditukar menjadi simbol salib ialah labarurm, monogram yang dihasilkan dari huruf Greek, juga dikenali sebagai Silang Chi-Rho. Selain dari itu, Jesus juga turut dikaitkan dengan kayu salib, paku dan mahkota berduri yang menonjolkan kesengsaraan dan menimbulkan rasa emosi yang kuat dalam hati pengikut. Agama ini menerapkan konsep Triniti iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus, manakala Mary diangkat menjadi "Madonna" yang bermaksud "my lady", simbol kesucian, ibu suci, dan kasih sayang. Jesus digambarkan sebagai pengembala kambing yang memimpin pengikutnya ke jalan yang benar, pengorbanan untuk menebus dosa dan kemampuan untuk menjadi pelindung.

Islam
Islam bermaksud "penyerahan", menyembah Tuhan yang satu iaitu Allah SWT. Menerusi Islam, agama ini tidak ada yang lain bersifat lebih suci atau bersifat sekular kerana hanya Allah bersifat satu dan tidak ada yang sama sepertiNya. Agama ini telah disampaikan oleh beberapa nabi dan rasul yang terpilih, dari Adam, Ibrahim, Musa dan Isa, ia dirangkum sepenuhnya dan disempurnakan oleh Muhammad, nabi dan rasul yang terakhir. Islam terdiri dari beberapa asas iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi pegangan hidup untuk umat Islam, simbol kepada keyakinan terhadap Allah SWT kerana setiap ayat yang terkandung bersifat "kalamullah" dan suci. Solat ialah 5 rutin yang wajib dilakukan oleh umat Islam sebagai tanda mengingati Pencipta dan juga simbol pembersihan jiwa. Berpuasa merupakan salah satu rutin utama yang dilakukan pada bulan Ramadan kalendar Hijrah yang mendidik umat ke arah kesedaran, keinsafan dan rasa rendah diri di hadapan Pencipta. Haji ialah perjalanan suci ke kota Mekah bagi yang berkemampuan dan perjalanan ini bertujuan untuk mensucikan diri, fokus pada amal ibadat, serta menguatkan akidah dalam mengingati Allah SWT.

Judaisme/Yahudi

Nama Judaism terhasil dari nama puak Judah dari dua belas puak di Israel. Agama ini wujud menerusi kepercayaan terhadap Abraham, manusia yang dijanjikan oleh Tuhan dengan tanah yang dijanjikan dan menjadi 'orang yang terpilih' oleh Tuhan berdasarkan kepada syarat yang telah digariskan. Syarat perjanjian telah diterima oleh Moses di Gunung Sinai dan kemudian memimpin mereka ke tanah yang dimaksudkan dari kesukaran di Mesir (Exodus) dan perjalanan ke Kanaan. Kisah kewujudan agama ini bermula dari perjanjian tanah, pertarungan David sebagai wakil menentang Goliath yang menindas mereka dan Solomon mendirikan kuil sebagai perantara mereka dengan Tuhan. Torah, atau Pentateuch merupakan kitab yang dihasilkan menerusi bicara Tuhan kepada Moses di Gunung Sinai dan menjadi asas kepercayaan mereka dari segi spiritual. Menerusi Torah, nama Tuhan disebut sebagai Yahweh, bersifat sangat suci sehingga tiada siapa yang dibenarkan untuk menyebutnya secara terbuka. Synagogue ialah tempat di mana pengikut berkumpul sebagai satu komuniti, menjalankan upacara sembahyang atau disebut sebagai Shabbat/Sabbath dan juga tempat belajar. Pecahan agama ini dikenali sebagai Kabbalisme.

Taoisme
Taoism merupakan agama dan juga ajaran bersifat falsafah yang ditemui oleh Lao-tzu di China. Ia mengandungi pelbagai prinsip kesedaran, pemikiran, kemanusiaan dan kewujudan alam semesta. Tao bergantung kepada 'mengosongkan' hati yang telah menghasilkan ilusi kepada fikiran manusia dan ia juga bersifat mistik, mewujudkan hidup yang mudah berasaskan rentak alam. Ia mewujudkan konsep Yin dan Yang, konsep keseimbangan antara kebaikan dan keburukan, kekuatan dan kelemahan, kehidupan dan kematian, lelaki dan perempuan dan juga juga sifat-sifat lain yang saling berlawanan. Tao tidak mempunyai doktrin agama yang statik, ia melibatkan banyak pemujaan dewa dan antaranya ialah Maharaja Jed, Tuhan kepada dewa Taoisme, Tuhan Syurga yang menjadi ketua utama di syurga dan dunia mistik. Dikatakan Marahaja China dapat berkomunikasi dengan Maharaja Jed. P'an-Ku pula ialah ciptaan pertama alam semesta yang telah mengambil pemahat dan tukul lalu mengukir ciptaan yang lain. P'an-Ku hidup selama 18,000 tahun, membesar setiap hari dan apabila segala ciptaan berjaya disiapkan, P'an-Ku berbaring dan mati. Badan P'an-Ku menjadi bumi di mana ciptaanya hidup dan setiap bahagian badannya ditanda pada lima pergunungan di China. Tao menegaskan prinsip "teguh seperti gunung dan bergerak seperti air" dalam prinsip kepercayaan.
_____________________________________
Ruj: 
The Ultimate Illustrated Guide To DSS (Hermes House: 2007)
Great Civilizations,: Diverse and Magnificent Cultures (Parragon: 2011)

#TMG2012

No comments:

Post a Comment