Thursday, 13 December 2012

Cerpen: Hantu-hantu Penglipur Lara

              Munggu Tengah, kawasan kediaman yang luas dan tenang. Dihuni oleh ramai penduduk. Malah, ia dikelilingi oleh pohon-pohon segar dan juga bunga-bungaan yang indah aneka warna. Terdapat beberapa lot tanah yang sedia untuk dimiliki, tempat letak kereta yang selesa dan juga masjid yang berdekatan. Semua penghuni di Munggu Tengah berasa amat bersyukur dengan kemudahan yang mereka nikmati. Tukang potong rumput juga selalu datang untuk membantu membersihkan kawasan mereka. Bukan itu saja, anak-anak muda juga menghormati mereka serta kejiranan mereka. Oleh itu, tiga orang penduduk lama Munggu Tengah iaitu Baie, Siah dan Amang duduk di luar rumah masing-masing sambil memandang bulan yang indah lalu memulakan bicara malam seperti selalunya.
                “Setiap malam tempat kita tenang macam ni,” kata Baie. Kemudian, Baie memandang ke arah dia sahabat baiknya.
            “Aku dengar Tanah Sewangi selalu bising. Budak-budak berani buat maksiat,” ujar Amang, membuka cerita.
            “Hairan. Orang Sewangi tak buat apa-apa?” soal Siah.
            “Apalah yang boleh mereka buat, Siah,” sahut Baie. “Tuhan yang Maha Kuasa itu pun mereka tak takut, apatah lagi kita.”
            Untuk seketika, Baie, Siah dan Amang bermenung panjang. Melihat kerlipan bintang dan beberapa penghuni lot lain lalu lalang di kawasan masing-masing. Tidak lama selepas itu, mereka terlihat jiran mereka, Alang yang merayau entah ke mana. Setiap kali bulan penuh, Alang galak sungguh keluar merayau. Sebelum subuh, Alang akan kembali dengan keadaan tergesa-gesa.
            “Nah, itu dia si Alang,” ujar Amang.  “Makin kerap naik minyak.”
            “Apa yang dia buat?” Siah terkebil-kebil.
            “Kau tak tahu?” Baie terkejut. “Bulan lepas aku dengar dia ganggu anak dara orang. Aku dah kata, jangan ganggu anak dara orang. Jangan diturutkan sangat perangai buruk itu.”
            “Aku tak terkejut kalau suatu hari nanti Alang masuk perangkap,” Siah tertawa tatkala fikirannya teringat pada Alang. Kemudian, Siah menyambung semula kata-katanya, “Kau tahu tak cerita si Salmah?”
            “Kenapa dengan Salmah?” Amang dan Baie sama-sama mengensot ke arah Siah.
            Siah pun menceritakan duka si Salmah yang berasa rendah diri dengan rupa parasnya yang buruk dan hodoh. Rambutnya juga kasar dan tidak kemas. Setiap kali Salmah berjalan-jalan dan terserempak dengan orang lain, mereka pasti akan menjauhi Salmah. Maka, setiap kali dalam perjalanan pulang, Salmah akan menangis mengenangkan dirinya yang malang. Kata Salmah, dia juga tidak ingin kelihatan hodoh di hadapan orang lain, tapi apakan daya, itulah lumrah kejadian yang ditetapkan kepadanya.
            “Kalaulah Salmah cantik dan menarik, pasti tak timbul cerita begini,” ujar Siah, menamatkan cerita mengenai Salmah. “Aku tak suka Salmah dilayan begini. Salmah tak jahat.”
            “Betul, Salmah tak jahat. Tapi manusia memang begini, Siah. Apa yang mereka lihat, itulah yang mereka percaya. Hanya itu saja,” balas Amang. Siah hanya terdiam membisu.
            “Untuk orang yang lahir serba kekurangan, mereka terpaksa menelan segala kedukaan sehingga merana,” Baie mencelah. “Tapi zaman sekarang, yang cantik pun nak ubah segala. Orang seperti itu tak pernah peduli. Mereka rasa mereka lebih baik dan darjat mereka lebih tinggi dengan kecantikan.”
            “Begitulah, mereka fikir cantik itu mesti dizahirkan pada wajah. Kenapa tidak budi pekerti? Itu lebih mulia,” Amang menyahut.
            Kemudian, mereka bertiga ketawa pada sikap manusia. Manusia memang makhluk yang aneh. Yang cantik mahu terus cantik, yang tua mahu kekal muda, yang serba kekurangan pula terpinggir dengan air mata. Tiada siapa yang mendengar derita mereka.
            Seterusnya, mereka terpandang jiran mereka, Siak yang sibuk melihat-lihat keadaan dirinya dengan pandangan mata yang melingas. Siah segera menyapa. Siak pula kelihatan kelam kabut, seperti takut beramah mesra. Sungguhpun begitu, Baie dan Amang segera menyampuk dan mengusik Siak.
            “Amboi Siak, nak ke mana?”
            “Aku nak sembunyi, aku dengar ada penghuni baru nak masuk lot sebelah aku. Perempuan muda. Semalam Salmah pergi jenguk. Kata Salmah perempuan tu cantik. Ah, malulah aku.”
            “Oh, sebab itu la kau beria-ria nak tutup muka. Kenapa pula?” soal Siah, kehairanan.
            “Yalah, aku tak bersih macam kamu bertiga. Seganlah nak berjumpa jiran cantik dengan rupa macam ini.”
            “Alah, tak kisahlah Siak. Kalau kita yakin, kita pasti gembira dengan diri kita. Lagipun, kau tak perlu rendah diri seperti ini. Bagi aku, kau sempurna,” Baie memberi nasihat. “Apa yang penting sekarang ialah kau jaga hati jiran kita baik-baik. Kita ini hidup berjiran, jangan takut-takutkan jiran kau itu,” sambung Baie.
            “Jiran dia takkan takut punya,” celah Amang dan Siah sambil tertawa, “Sebab perempuan tu dah jadi orang baru perumahan kita. Orang Munggu Tengah mana pernah takut. Segan tu ada la.”
            Baie dan Siak sama-sama mengangguk. Betul juga cakap mereka. Tak kiralah Munggu Tengah, Tanah Sewangi dan Taman Selamat, kawasan yang agak jauh dari kawasan mereka, semua penghuni di situ tidak takut pada sesiapapun, melainkan Tuhan yang Maha Esa. Maka, dengan perasaan tenang selepas mendapat nasihat yang baik, Siak pun berlalu dengan satu keyakinan yang baharu. Mereka bertiga tersenyum lapang.
            “Salmah selalu dipandang buruk, Siak pula masalah rendah diri. Si Alang pula seperti hilang arah tuju. Aku bimbang mereka tersesat,” keluh Baie.
            “Bukan mereka bertiga aje…ada ramai lagi,” gerutu Siah. “Tahu tak Si Jemal? Dia tu satu badan berbulu. Si Lampir tu tinggi sangat. Si Lela pula tak habis-habis buat bising tengah malam. Dan si Wadi tu kurus yang amat. Aku risau betul dengan Wadi.”
            “Aku tak tahu macam mana nak tolong mereka,” ujar Amang. “Tapi aku percaya, mereka takkan sesat. Selagi mereka masih ingat Tuhan, jalan lurus akan sentiasa ada. Sebagai jiran, aku akan cuba bantu mereka sebaik yang mungkin.”


            “Betul tu,” Siah dan Baie sama-sama bersetuju. Begitulah hidup berjiran. Walaupun mereka tidak harus menjaga tepi kain orang, mereka perlu mengambil berat akan permasalahan mereka. Tidak lama lagi ada jiran baru yang berpindah di sebelah rumah Siak. Nampaknya mereka bakal berkenalan dengan jiran baru untuk malam yang seterusnya.
            Tidak lama selepas itu, sayup-sayup kedengaran bunyi azan berkumandang di masjid yang berhampiran dengan Munggu Tengah. Baie, Siah dan Amang bangkit dan saling tersenyum. Hati terasa sungguh lapang. Sekali lagi pada setiap hari, Subuh tiba bersama hening pagi dan embun segar. Sudah tiba masanya untuk mereka kembali ke rumah dan melakukan urusan masing-masing. Tiada apa yang perlu dirisaukan, esok masih ada untuk mereka datang bertandang.
            Pagi di Munggu Tengah, beberapa penduduk Kampung Ketitir datang bersama seorang perempuan muda berpindah ke rumah baru yang terletak bersebelahan dengan Siak. Mereka kelihatan sibuk mengemas kawasan kediaman untuk perempuan tersebut. Mereka juga menanam pokok puding pancawarna yang cantik dan menawan hati. Selesai saja membantu perempuan cantik itu berpindah, mereka mengadakan majlis doa dan kemudian berangkat pergi. Tinggallah perempuan muda tersebut di situ menjadi kehidupan yang baharu. Sudah tiba masanya untuk perempuan muda itu belajar untuk hidup sendiri, tanpa keluarga di sisi.
            Seterusnya, hari berlalu dengan kunjungan para tetamu perempuan tersebut. Ramai juga kenalan perempuan tersebut hadir ke rumah barunya. Ketibaan mereka silih berganti. Pekerja masjid pula hanya memandang mereka dengan senyuman penuh makna. Apabila menjelang waktu petang, tetamu perempuan muda tersebut mula surut. Fajar petang mula kelihatan, bening dan tenang. Suara azan Maghrib bergema ke setiap ceruk alam, menyusup ke setiap kediaman di Munggu Tengah. Lantas, penduduk Munggu Tengah bangkit dengan penuh keinsafan dan akur. Di sana, di ufuk barat yang indah itu, Tuhan sedang memerhatikan mereka. Apabila senja yang merah kekuningan itu berlepas pergi, malam mula menjengah bersama butiran bintang bak permata dan sang rembulan yang menyinar seperti mutiara. Malam itu ternyata memberi peluang untuk penghuni Munggu Tengah bertandang dan berkenalan dengan penghuni baru, yang bernama Aisah.
            “Oh Aisah, kami orang lama di sini. Selamat datang ke Munggu Tengah,” Siah menyapa mesra Aisah yang bersiar-siar di luar rumahnya. Barangkali mahu berkenalan dengan jiran-jiran yang mendiami Munggu Tengah.
            “Ah, Mak Cik Siah. Terima kasih,” ucap Aisah dengan senyuman yang manis.
            “Macam mana cerita pagi tadi?” soal Baie dengan prihatin.
            “Semuanya baik-baik belaka,” sahut Aisah lalu tersenyum lagi. Lantas, mereka bertiga mengucap alhamdulillah, bersyukur kerana Aisah tidak dilanda kesulitan dan segala urusan juga berlangsung dengan baik.
            “Kenapa Aisah pindah ke mari?” terdetik perasaan hairan di fikiran Amang apabila melihat Aisah begitu cantik dan manis orangnya. Aisah juga masih muda belia. Patutlah Salmah beria-ria mahu melihat Aisah dan si Siak pula malu untuk berhadapan dengannya.
            “Dah tiba masanya, encik,” Aisah membalas, tenang. “Derita saya di rumah lama sangat menyakitkan, jadi saya berpindah ke sini untuk mencari ketenangan.”
            “Mak cik fikir kamu dah jumpa ketenangan itu,” ujar Siah. Aisah terus bersetuju.
            Setelah saling menyapa dengan ramah, Siah mengajak Aisah menyertai mereka untuk berbual panjang sambil melihat bulan. Malam ini, bulan kelihatan malu-malu di sebalik kain awan. Awan pula suram sepi seperti mahu menangis sebentar saja lagi. Namun, itu tidak menghalang mereka bertiga untuk berkenalan dengan si Aisah.
            “Kamu dah nampak jiran kamu, encik Siak?” Baie bertanya.
            “Sudah. Encik Siak bermain sembunyi-sembunyi dengan saya,” sahut Aisah sambil ketawa. “Kakak Salmah juga ada menjenguk sebentar. Dia sempat memuji wajah saya. Apa yang terjadi dengan Kakak Salmah sampai jadi begitu?”
            “Nasib badan. Sudah takdir Tuhan Salmah jadi begitu. Tapi bagi kami, hati Salmah sungguh baik. Malang sekali Salmah sering dipandang serong kerana wajahnya yang hodoh,” Siah bercerita. Nada suaranya kedengaran kesal dan hampa.
            “Bagaimana dengan cik Lela?” Aisah kehairanan.
            “Kamu sudah jumpa cik Lela?” Amang terperanjat. “Ah, si Lela selalu begitu. Selalu memekik-mekik ke sana ke mari. Dulu, Lela itu orangnya santun. Kasihan, dia dianiaya orang yang dia percaya. Akhirnya, dia datang ke sini dengan perasaan benci dan marah. Jadi sebab itu dia suka buat bising, dia suka sekali mengusik dan mengganggu orang lain.”
            Aisah mengangguk faham, sambil mendengar cerita Mak Cik Siak mengenai beberapa orang jiran muda dan cantik seperti Cik Hayati, Cik Khadijah, Cik Mastura dan Cik Fatimah. Mereka berempat datang bergilir-gilir dengan alasan masing-masing. Semuanya kisah sedih, tapi mereka gembira menjadi penghuni Munggu Tengah. Amang mencadangkan kepada Aisah supaya berkenal-kenalan dengan mereka berempat. Bak kata Siah, kemesraan itu ibarat tangan yang ikhlas menghulur. Siapa tahu, perkenalan itu membawa persahabatan yang erat dan utuh, sepertimana yang berlaku pada mereka bertiga. Lantas, Aisah terfikir akan sesuatu, bagaimana mereka bertiga datang ke mari?
            “Kenapa kamu bertiga pindah ke sini?” Aisah terus mengajukan pertanyaan, memikirkan bagaimana mereka boleh menjadi penghuni di kawasan kediaman ini.
            Perlahan-lahan, Siah tersenyum, diikuti oleh Baie dan Amang. Siah menceritakan penderitaannya bersama suami yang tidak setia. Siah pula mahu terus percaya walaupun disakiti. Namun, jiwa Siah tidak kuat. Kemudian, Siah mendapat seru untuk berpindah, berpindah demi menamatkan segala kesakitannya. Tuhan Maha Penyayang, maka Siah berpindah ke Munggu Tengah dan hidup bahagia. Selepas itu, Baie menceritakan kisah dia dizalimi saudara mara. Harta bendanya ditipu dan dia terpaksa hidup melarat. Tiada siapa yang sudi membantu. Akhirnya, Baie berkunjung ke Munggu Tengah, dan di situ Tuhan merahmati hidupnya. Begitu juga dengan kisah Amang, dia dianiaya sahabat sendiri, isterinya melarikan diri dan terlantar sendirian menanggung sakit. Kemudian, Amang berpindah ke Munggu Tengah, dan di situ dia berkenalan dengan sahabat sejati. Munggu Tengah menyelamatkan mereka bertiga dari dunia kesakitan.
            “Kamu pula bagaimana, Aisah?” Amang bertanya selepas menamatkan kisahnya.
            Aisah tersenyum manis. Tapi wajahnya menunjukkan keperitan masa lalu. Dengan suara perlahan, Aisah menceritakan, dia menjadi mangsa kebencian seorang gadis seusia dengannya. Kerana fitnah, Aisah menderita bertahun-tahun. Tunangannya pergi mendapatkan perempuan  lain kerana sudah tidak sanggup menunggu. Ibu bapanya pula menanggung derita dan kerugian berpuluh-puluh ribu tapi Aisah masih terlantar dan menderita. Akhirnya, Tuhan membantu Aisah dengan berpindah ke Munggu Tengah dan mendapatkan kebahagiaan abadi. Sebelum berpindah, Aisah sempat memberi kemaafan. Kemudian, Aisah pun berpindah dengan penuh kegembiraan.
            “Syukur Aisah, kesabaran kamu membuatkan kamu bahagia. Kamu memang layak di sini. Kemaafan adalah jalan yang terbaik untuk menikmati ketenangan,” ucap Siah, kagum pada kesabaran Aisah, seorang gadis muda yang baru saja menikmati zaman remajanya tapi dikhianati oleh manusia lain yang busuk hati.
            Aisah tersenyum senang, menyedari kehadirannya di Munggu Tengah diterima dengan gembira. Kemudian, Aisah melemparkan pandangan ke tengah jalan, di mana ada beberapa orang  budak balik mengaji menangis teresak-esak dan berlari seperti terkena penyakit gila. Siah, Baie dan Amang menepuk bahunya. Itulah perkara yang mereka lihat setiap malam, yang menjadi hiburan bagi orang lama seperti mereka.
            “Ah, tak kira betapa cantik dan damainya Munggu Tengah untuk kita, bagi mereka, tempat ini tetap menakutkan,” bisik Amang.
            Aisah, Siah dan Baie mengangguk perlahan. Mereka bersetuju. Bagi mereka, Munggu Tengah adalah segala-galanya. Tapi bagi manusia yang bernafas di luar sana, Munggu Tengah cuma satu tanah perkuburan yang sepi dan kelam. Tempat berhimpunnya segala kisah-kisah hantu penglipur lara.

(TAMAT)
*Nota: Nama tanah perkuburan ini diilhamkan dari nama tanah perkuburan Munggu Along yang terletak di Kampung Lintang, Kuching, Sarawak. Cerita ini hanya rekaan semata-mata.

#TMG©October2012
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, WADAH SASTERA ©MEI-JUN2014
[Do not reproduce, stored or introduced in retrieval system, copying in any form and transmitted by any means]

No comments:

Post a Comment