Monday 10 December 2012

Dewa Dewi Purba Dalam Penjenamaan

Zaman sekarang merupakan zaman penjenamaan. Penjenamaan yang baik akan meningkatkan status dan permintaan. Sebagai contoh, Apple, iaitu nama sebiji buah dari keluarga mawar (Rosaceae) yang tumbuh di kawasan iklim sederhana atau subtropika kini menjadi jenama barangan elektronik terkenal di Amerika Syarikat yang menerajui kemajuan telekomunikasi dan perkongsian data.

Namun, tidak ramai yang menyedari dewa dewi purba dari setiap bangsa dan benua kini hidup bersama dengan kita menerusi penjenamaan. Sebagai contoh:





Ajax Fabuloso
Ia merupakan jenama terkenal permbersih dan pencuci lantai dengan pelbagai wangian seperti Lavender, Rose, Lemongrass dan sebagainya. Jika nama Ajax ditelusuri ke dalam kepercayaan Greek, Ajax merupakan anak lelaki Telamon of Salamis yang bertanggungjawab dalam membekalkan keperluan untuk memusnahkan Troy. Ajax dipercayai menyertai pertandingan memilih pahlawan selepas kematian wira Achilles namun tuah memihak kepada Odysseus.






Amazon.com
Amazon.com merupakan laman sesawang yang menyediakan pelbagai jenis barangan yang dijual secara atas talian (on-line) dan beroperasi di Seattle, Washington. Namun, dari sudut sejarah Greek, ia merujuk kepada puak pahlawan wanita yang gagah dan berketurunan Ares, Dewa Peperangan. Menurut kepercayaan Greek, golongan pahlawan wanita tersebut memotong payudara sebelah kanan bagi memudahkan mereka memanah dan permaisuri mereka dibunuh oleh Achilles dalam perang Trojan.






Apollo
Di Malaysia, Apollo merupakan jenama makanan ringan yang digemari oleh kanak-kanak dan terdapat dalam pelbagai perisa serta bentuk. Menerusi kepercayaan Greek, Apollo ialah anak Zeus dan Leto. Apollo mempunyai seorang adik kembar perempuan iaitu Artemis. Apollo merupakan dewa penting dalam kepercayaan Greek dan Roman.








Mars
Mars merupakan jenama coklat terkenal dan terletak di tempat ke-10 dalam senarai coklat paling sedap di dunia. Mars mempunyai senarai pecahan jenama coklat yang terkenal di seluruh dunia seperti Snickers, M&M, Toblerone, Kit-Kat, Cadbury Dairy Milk, Nestle Crunch dan juga Smarties. Menerusi kepercayaan Roman, Mars merupakan anak Dewa Juno. Mars pada asalnya dewa kesuburan dan sayur-sayuran sebelum menjadi Dewa Peperangan.



Mazda
Mazda merupakan jenama kenderaan terkenal dari Jepun dan dikenali sebagai Masuda Kabushiki Gaisha. Nama Mazda merujuk kepada kepercayaan terhadap Ahura Mazda, Tuhan Tunggal dan juga Tuhan Yang Bijaksana yang terkenal di zaman Iran Purba. Ahura Mazda juga menjadi asas kepada kepercayaan Zoroastrian yang diasaskan oleh Zoroaster.



Toyota
Toyota juga merupakan jenama kenderaan terkenal dari Jepun dan mempunyai rangkaian kenderaan terbesar di Asia. Vios di antara kenderaan yang laris dan diminati ramai selain dari Hilux, Estima, Camry dan sebagainya. Walaupun nama Toyota berasal dari nama anak lelaki pengasas Toyota Group iaitu Kiichiro Toyoda, nama Toyota ini secara tidak langsung berkaitan dengan dewi Shinto, Toyota Mahime. Toyota Mahime merupakan dewi lautan yang berkahwin dengan lelaki biasa tetapi lelaki tersebut tidak dibenarkan untuk melihat wajahnya sehingga anak pertama mereka dilahirkan.



Garuda
Garuda ialah jenama sistem penerbangan terkenal di Indonesia yang menyediakan kemudahan penerbangan domestik dan juga luar negara. Berdasarkan kepercayaan Hindu, Garuda merupakan putera kepada segala jenis burung dan anak lelaki kepada Kasyapa, lelaki yang bijaksana dan salah seorang dari Manushi, pendahulu kepada Gautama Buddha. Garuda merupakan pengikut Vishnu yang setia dan dianggap suci oleh agama Hindu dan juga Buddha.






Ben-10
Ben-10 merupakan animasi kartun terkenal yang memaparkan watak Ben yang mampu bertukar ke dalam bentuk makhluk asing dan berjuang melindungi Bumi. Tetapi jika nama Ben-10 dieja menjadi Ben-Ten, ia merupakan singkatan nama kepada senarai dewa Sichi Fukujin, Benzaiten. Benten, atau Benzaiten ialah dewi tuah dan dikaitkan dengan lautan.








Canon
Canon merupakan syarikat pengeluar barangan optik dan pengimejan dari Jepun yang terkenal dengan siri kamera EOS, pencetak dan juga pengimbas. Asal nama Canon merujuk kepada nama Kwanon, siri produk Canon yang terawal dan berasal dari nama dewa/dewi pengampunan. Kwanon merupakan dewi Buddha versi Jepun yang diambil dari kewujudan dewi Guan Yin di China atau Avalokitesvara di India.







Ref: 
The Ultimate Encyclopedia of Mythology (Hermes House: 2008)

#TMG2012

No comments:

Post a Comment