Monday 8 July 2013

Apa Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Keluarga Brooke?

Selamat sore ya visitor! Tak kira la sore ke hape, sekarang aku kembali memblog lagi. Oh yeah. Baru sekejap tadi aku baca kat FB pasal Brooke. Ada koloni mengatakan zaman Brooke di Sarawak adalah zaman penjajahan. Maaf korang, dia memang orang asing (datang dari England) tapi dia bukannya datang nak menjajah. Tahukah korang, Rajah Pertama iaitu James Brooke pada awalnya datang untuk membantu berperang dengan timbunan masalah dan lanun di Sarawak? Rajah I JB (bukan Justin Bieber) mengambilalih Sarawak di atas kebenaran Kesultanan Brunei memandangkan JB telah banyak membantu mereka. Selain dari itu, tahukah korang?

  • Di atas kejayaan JB membanteras lanun, Sarawak diiktiraf sebagai sebuah negara dan dikenali sebagai The Kingdom of Sarawak.
  • James Brooke tak pernah berkahwin tapi terdapat khabar angin mengatakan bahawa beliau mempunyai seorang anak.
  • James Brooke lahir di tanah jajahan England (India) dan meninggal dunia di tanah kelahiran keluarganya (England)
  • Walaupun keluarga Brooke mentadbir kerajaan di Sarawak, ketiga-tiga Rajah Sarawak memilih untuk mengambil masyarakat tempatan sebagai penasihat, jururunding, penjaga keselamatan dan pembantu dalam pemerintahan mereka.
  • Rajah I suka duduk di beranda rumahnya yang mempunyai bentuk atap yang aneh (dan luar biasa) dan berbual-bual dengan penduduk tempatan sehingga larut malam.
  • Terdapat cubaan membunuh pada awal pentadbiran James Brooke di Sarawak, namun beliau selamat selepas terjun ke dalam Sungai Sarawak. Pembantu beliau yang bernama Nicholetts telah terbunuh dalam tragedi tersebut dan kepalanya dipenggal kerana pemberontak menyangka bahawa Nicholetts ialah James Brooke.
  • James Brooke mempunyai koleksi buku yang sangat banyak tetapi musnah dalam tragedi pemberontakan terhadapnya. Rumah beliau dibina semula dengan penambahan dua buah menara sebagai tempat perlindungan dan disebut sebagai Rumah Kerajaan sebelum ditukar menjadi Astana.
  • Tapak kediaman Gabenor Sarawak pada masa kini pada asalnya tapak rumah James Brooke yang terbakar dalam tragedi pemberontakan.
  • James Brooke menanam banyak pokok pinang di belakang rumahnya bagi memudahkan rakan-rakan Iban dan Bidayuh yang gemar makan sirih pinang.
  • James Brooke mempunyai seorang sahabat baik yang dikenali sebagai Subu. Subu seorang ahli pelayaran yang mahir menggunakan keris dan pembawa isytihar (Gazette) Brooke.
  • Keluarga Brooke menjadikan nama 'Dayang' sebagai nama pangkal utama dalam pemberian nama anak perempuan mereka sebagai menghormati masyarakat Melayu Sarawak yang akrab dengan mereka. Sebagai contoh, nama anak perempuan Rajah II ialah Dayang Ghita Brooke. Nama cucu Rajah II pula Dayang Anne Brooke.
  • Anak ke-6 dan ke-7 Rajah II disanjung tinggi dan disayangi masyarakat tempatan kerana mereka dilahirkan di Kuching. Maka, kedua-duanya dianggap sebagai bumiputera.
  • Kapten Brooke merupakan calon pertama pilihan James Brooke bagi menggantikan tempat beliau sebagai Rajah. Tetapi, Kapten Brooke melepaskan gelaran tersebut kerana tidak bersetuju setelah menerima usul memohon perlindungan dengan Belgium tanpa pengetahuan Rajah I.
  • Kapten Brooke dan isterinya, Anne mempunyai dua orang anak. Anak yang kedua, Hope Brooke dikatakan kerap menuntut haknya sebagai pewaris takhta Rajah memandangkan bapanya merupakan pilihan pertama Rajah I.
  • Rajah II, Charles Brooke mempunyai tabiat suka meneropong di beranda rumah bagi memantau pegawai yang bekerja di pejabat. Sesiapa yang lambat masuk kerja, beliau akan mengirimkan surat peringatan.
  • Keluarga Brooke percaya pohon ivy yang tumbuh melata di dinding Astana membawa simbol tuah dan ia tidak pernah dibuang kerana dipercayai akan membawa bencana. Semasa perang, Putera Maeda dari Jepun telah menduduki Astana dan membuang tumbuhan tersebut. Tiga hari kemudian, beliau terbunuh dalam nahas kapal terbang terhempas berhampiran dengan Bintulu.
  • Keris dijadikan senjata hukuman bunuh pada zaman Brooke di Sarawak kerana Rajah I kagum pada kebolehan sahabatnya, Subu bermain keris.
  • Kubu Margherita yang dibina oleh Rajah II bersempena dengan nama isterinya, Ranee Margaret dimulakan pada 1878 dan selesai pada September 1879 dengan kos $8100.
  • Sarawak pada asalnya cuma bahagian Kuching. Saiz Sarawak berlipat kali ganda kesan dari usaha Brooke yang mahukan negaranya lebih besar dan lebih hasil bumi (Sarawak Prosper)
  • Pusat pentadbiran Sarawak pada asalnya di Santubong dan Lidah Tanah. Brooke memilih untuk mentadbir di Kuching memandangkan ia lebih selamat dari serangan lanun.
  • Brooke menjalankan hukuman bunuh penuh belas kasihan kepada pesalah. Setiap pesalah yang berdepan dengan hukuman mati diberikan makan dan minum secukupnya mengikut kehendak si pesalah dan membawa pesalah ke kawasan sungai bagi menenangkan pesalah. Kemudian, deria pesalah dimatikan oleh doktor dan pegawai pengawas sebelum pesalah dimabukkan dengan brandi atau wiski. Setelah si pesalah mabuk dan dalam keadaan tenang, barulah pesalah dihukum bunuh.
  • Semasa pemerintahan Brooke, Sarawak mempunyai pasukan bersenjata yang dikenali sebagai Renjer Sarawak, pasukan pengawal kubu iaitu Fortmen, Angkatan Tentera sebagai tambahan kepada Fortmen, dan pasukan Pancaragam Filipino yang dianggotai oleh anak tempatan dan orang Filipina.
  • Idea pembinaan Jambatan Satok pada asalnya ganjil kerana menurut pelan, batu besar dilonggokkan dalam lima himpunan dan tiang-tiang dibina bagi menopang jambatan tersebut manakala rangka jambatan diperbuat daripada keluli. Namun idea tersebut tidak digunakan kerana mengundang bahaya. Idea ganjil itu sebenarnya dikemukakan oleh Rajah II yang langsung tidak ada pengalaman dalam pembinaan jambatan.
  • Isteri Rajah III, Ranee Sylvia tertarik dengan amalan masyarakat tempatan, terutama sekali dalam budaya ngayau atau si pemburu kepala. Beliau juga gemar bergaya dengan perhiasan seperti wanita tempatan.
  • Migrasi masyarakat Cina di Sarawak berlaku di atas galakan Brooke. Masyarakat Cina di Sarawak kebanyakannya berkahwin dengan wanita Iban dan menimbulkan spekulasi di kalangan masyakarat Cina di Singapura bahawa Cina Sarawak berkebolehan memenggal kepala orang.
  • Walaupun Rajah II seorang yang tegas dan berpendirian (dan sedikit degil), beliau memilih untuk mendengar nasihat orang tempatan berkenaan dengan batu kinyang (dipercayai mempunyai kuasa mistik) yang kini terletak di Jalan Rock.
  • Hubungan keluarga Brooke dan pentadbir tempatan sangat baik. Ia terbukti apabila pentadbir Melayu bertindak mengebumikan anak Ranee Margaret yang telah meninggal dunia di dalam kandungan (akibat terjatuh di atas dek kapal) di tanah perkuburan Brooke yang ditahbiskan walaupun Uskup tidak membenarkan kerana anak itu tidak dibaptis. Oleh itu, hanya pengebumian ini tidak dicatat dalam rekod diosis.
  • Rajah II, Charles Brooke mempunyai keinginan untuk mati dan dikebumikan di Sarawak. Namun, akibat Perang Dunia ke-2, mayat beliau tidak dapat dikirimkan ke Sarawak walaupun sudah dibubuh ubat dan menunggu di dalam peti besi selama 2 tahun. Akhirnya, beliau dikebumikan di sebelah kubur bapa saudaranya, James Brooke di Devon.
  • Charles Brooke menghabiskan 49 tahun sebagai Rajah di Sarawak. Atas khidmat bakti beliau, penduduk membina tugu memorial untuk beliau di hadapan Mahkamah Lama. Pada hari perasmian tugu, sebuah kapal terbang tiba-tiba muncul di udara- kapal terbang pertama yang tiba di Kuching. Bagi yang menyaksikan peristiwa tersebut, penduduk tempatan mengandaikan kapal terbang tersebut melambangkan roh Rajah II yang kembali ke Sarawak.
  • Rajah II mempunyai pandangan yang berbeza dari Rajah I. Beliau tidak suka melihat pegawai Eropah yang datang berkhidmat di Sarawak mengumpul harta dan membina banglo mewah di Sarawak. Beliau juga menetapkan semua penghuni Astana wajib bangun pagi apabila terdengar tembakan pada pukul 5 pagi dan makan malam apabila mendengar tembakan pukul 8 malam.
  • Rajah I menyanjungi khidmat bakti salah seorang pekerja beliau iaitu Charles Adair Crymble. Crymble bekerja sebagai penyelia kubu sebelum Kubu Margherita dibina. Pada hari tragedi pemberontakan, Crymble telah berjuang habis-habisan di kubu tersebut sehingga tinggal seorang diri dan cedera parah. Walaupun sering digambarkan sebagai liar dan membinasakan, Rajah I mengenang jasa Crymble dengan meletakkan kata-kata penghargaan pada batu nisannya.
  • Bendera Sarawak telah direka oleh Rajah I pada 1845 dan dikibarkan pada September 1848 tetapi pengiktirafan sebagai bendera sebuah negara diberikan 15 tahun kemudian setelah dipersetujui oleh kerajaan British.
  • Rajah II dan III menyukai sukan lumba kuda. Sukan lumba kuda ini telah dimulakan oleh Rajah II dan sering mengadakan pertandingan. Sultan Johor juga pernah menyertai pertandingan tersebut dan menang.
  • Rajah III dan Ranee Sylvia suka mengadakan jamuan besar-besaran untuk anak-anak perempuan mereka. Mereka menjemput pentadbir luar dan orang tempatan untuk menyertai jamuan mereka.
  • Ranee Sylvia menyatakan kebimbangan terhadap proses pembinaan tiang wayarles di Kuching kerana Rajah III yang sedang sakit ingin melihat tiang wayarles tersebut siap manakala orang tempatan pula menyangka tiang tersebut merupakan tangga tinggi untuk melihat Eropah. Luahan Ranee Sylvia dicatatkan dalam buku beliau, The Three White Rajahs.

No comments:

Post a Comment