Thursday, 11 July 2013

The Writer's File: Sajak yang Terperap

"If I waited for perfection, I would never write a word"- Margaret Atwood



Sajak merupakan medium yang menarik untuk meluahkan perasaan. Actually, aku bukannya pro sangat dalam bab sajak-menyajak ni. Aku tulis ikut suka, yang penting ayat nampak okay dan ada makna. Biasanya, aku suka tulis sajak dalam BI (kononnya pandai sangat BI). Tapi, seperti kata Margaret Atwood, kalau nakkan kesempurnaan, satu ayat pun aku tak tulis. So, beberapa sajak dah pun diterbitkan dalam blog ni seperti Once Upon A Time, GAZA: The Prize City of Tears, The Value of Your Face is, One of These Nights, The Rumour of Nocte Effugium, The Peeling Face, dan Humans like Flowers

Tapi dalam masa yang sama, aku post cerpen dalam BM (e.g: Cincin Sebentuk, Cerita Pokok Pisang, Hantu-hantu Penglipur Lara, & Untuk Perempuan Yang Ada Segalanya). Cerpen BI lebih menjurus ke arah cerita seram (e.g: The Lighthouse Family & Dream, a little dream). Mostly aku tulis mengikut situasi, pengalaman dan keadaan sebenar yang datangnya dari diri sendiri dan juga orang lain.

Jadi, sekarang adalah masa untuk bukak fail dan keluarkan sajak-sajak yang terperap. Sekian~

Sehinggalah aku memejamkan mata 

Sehinggalah aku memejamkan mata,
Deru gelap menelan pejamku,
Diimbau lagi kisah lalu
Tamparan cita menelus lembut,
Barulah aku tersedar,
Aku rindukan zaman laluku.

Sehinggalah aku dihanyutkan oleh mimpi,
Roda angin menjamah telinga,
Nun di sana aku berlayar,
Merentas lautan dikejar jerung,
Tersekat di buritan pasir,
Mendampingi saudaraku yang masih perawan.

Terubah pula satu dimensi,
Terbang di udara melayang gagah,
Memimpin saudaraku meredah pagar,
Pagar usang di sekolah lama,
Mencari kunci untuk berlari,
Menjadi nostalgia yang muncul dan tenggelam.

Bayangan lama mulai berganti,
Raut wajah saling bertingkah,
Kisah-kisah lalu yang segar,
Duduk bersama insan yang kukenal,
Itu sahabatku,
Hati ini berdetik,
"Indahnya coretan kita, kawan",
Sehinggaaku berdebar untuk meninggalkannya,
Sungguhpun ia sudah pergi,
Lalu bangkitnya aku dari ketiduran,
Dan aku berkata tanpa suara,
Aku rindukan zaman laluku.

Sehinggalah aku memejamkan mata,
Kubisikkan pada lenaku,
Aku ingin melihat lagi peristiwa lalu,
Hanya melalui secebis mimpiku

[sajak tahun 2008, aku tulis sajak ni selepas bangun dari tidur. Mimpi tu memang sangat best dan aku masih boleh ingat mimpi tu even dah sejam lebih bangun dari tidur jadi aku decide nak tulis sebagai kenangan]

Utusan Dahlia

Memegang kenangan di dalam genggaman,
Jauh ke sana bagaikan infiniti, yang tiada penghujung.
Kita sering terkeliru,
Dengan gurauan tiada sudah,
Hasad dengki,
Menyimpan dendam dan umpat keji,
Dan menyayangi insan,
Walaupun terhimpit dengan perasaan sendiri.

Hati kita berlagu sama nada sama iring,
Denyut nadi kita berolak bagai ombak yang beralun,
Kita tidak pernah meminta untuk berpuak, bergaduh,
Bersengketa dan sakit hati,
Mencari cermin untuk dipamerkan kepada orang lain,
Lalu ketawa sambil menghentak-hentakkan kaki.

Dunia mungkin berubah,
Roda juga akan berputar,
Angin akan terus berhembus,
Dan umur kita akan terus lanjut sampai ke tua,
Namun hati ini tetap sama,
Dan berpegang pada kata yang sama,
Kita tetap sahabat sampai bila-bila,
Biarpun dikhianati, dipinggir dan dilupakan,
Cuma ingat pada satu perkara,
Kita pernah ketawa bersama dan bersatu,
Bergembira dan berkumpul untuk diingati.

Jauh di dalam  jiwa terdetik satu rasa,
Senyuman mekar menanti masa,
Seumur hidup takkan lupa,
Walaupun ajal menjelma dan membawa pergi,
"Hidup ini singkat, kawan",
Lupakan apa yang bermain di hati dan maafkan,
Mungkin hari ini kita boleh bersua,
Esok lusa pasti sukar untuk dijangka,
Dan perjalanan ini kekal sampai bila-bila.

[sajak tahun 2007, aku tulis sebelum hari graduasi sekolah untuk member kelas- 6AD SMKTaho tapi diorang tak pernah baca sajak ni sebab aku tak ingat mana aku letak sajak ni pada masa tu]

Belasungkawa Untukmu Teman

Hamba itu sudah terbujur,
Bangkit redha,
Tiada bicara,
Menyelami diri dan menghayati,
Apa yang tersirat di sebalik hati.

Hamba itu terkenang,
Mana bekalan harus dicapai,
Mana perginya sinar yang digapai,
Ke mana terlemparnya kelubung hitam,

Yang belum terungkai,
Telinga mendengar, mata melihat,
Mulut menyebut, hati terkenang,
Mengucap sepi dalam keinsafan,
Beringat sepi penuh pengertian.

Belasungkawa untukmu teman,
Biarpun ombak berlayar ke pantai,
Takkan lupa laut yang melambai.

[sajak tahun 2007, aku tulis ni masa join kontes antara kelas. Tiba-tiba sajak ni diterbitkan dalam majalah sekolah edisi ke-34 dan dicalonkan untuk kontes DBP. Unlucky me, aku tak menang sebab maybe bunyi sajak ni pelik]

Aku Tidak Pernah Melupakannya

Aku tidak pernah melupakannya,
Mungkin disebabkan kaca mata itu,
Atau kesederhanaannya,
Terbayang lagi detik yang lalu,
Bermula dari secebis kata,
Lalu bertukar menjadi bait yang mesra,
Sungguhpun tidak pernah bertemu muka,

Di sudut kerusi biru,
Segalanya bermula pada jari,
Yang bekerja
Dan mata yang menatap,
Di sudut itulah terpalit kisah,
Walaupun kini berubah wajah.

Pada hujung tangga itu,
Tersenyum mesra bersama teman,
Tidak pernah berbicara sepatah pun,
Tidak pernah mendengar suara,
Dan kita tidak pernah bertegur sapa,
Hanya mata saja yang mengungkap segala.

Aku merenung di sebalik jendela,
Melangkah gontai di laluan yang lama,
Mahu mencari bayang yang sama,
Biarpun bertahun sudah berlalu,
Namun ia tidak pernah berhenti,
Tidak juga meninggalkan aku,
Aku tidak pernah melupakannya.

[sajak 2005, basically aku tulis berdasarkan pengalaman rakan which was menarik sebab aku tak pernah tulis sajak berbau romantik. Adakah sajak ini berbau romantik? Korang hidulah sendiri]

Hari Ini, Esok dan Selamanya

Menyelusuri keindahan yang dikongsi bersama,
Berkumpul, bersatu sambil bermimpi,
Menunggu matahari tegak di atas kepala,
Mungkin kita tidak akan berjumpa lagi,
Mungkin kita membawa haluan sendiri,
Tamat sudah buku kita, kawan,
Selamat tinggal untuk perkara yang indah,
Terima kasih untuk semuanya,
Dan kesatlah air mata ini,
Ini bukan satu penghabisan,
Bila tiba hari esok,
Di saat mata celik semula,
Bangunlah dengan gembira,
Hiduplah dengan penuh semangat,
Dan anggaplah ini semua satu permulaan

[sajak tahun 2007, aku tulis lepas habis exam besar a.k.a STPM. Aku tak ingat last paper tu apa tapi Ekonomi memang killer. Bila dibaca balik sajak lama ni, semuanya pasal sayonara. Typical me, aku memang membosankan -.-!]

Ibu dan Bumi

Depanglah tanganmu dan katakan,
Kita kecapi bahagia di atas bumi ini,
Di mana hatimu berpesta dan bebas seperti di udara,
Walaupun hidup tidak seindah mana.

Bukalah matamu dan pandang,
Sentuhan ibumu ada di mana-mana,
Dinginnya bayu adalah kasih,
Segarnya hijau adalah sayang,
Luasnya lautan adalah impian,
Tingginya langit adalah harapan.

Tariklah nafasmu dan nikmati,
Kasih bumi kepadamu,
Seperti kasih manusia di sisimu,
Seperti kasih ibu yang sentiasa di sampingmu

[sajak ni sajak baru, bertemakan mother nature. Guna ayat yang ringkas je sebab aku dah bosan guna ayat panjang. Bleh~]

Dengan Ini

Dengan tangan ini aku melambai,
Aku memanggil mereka kepadaku,
Dengan kaki ini aku membentak,
Aku mahu melangkah lebih jauh,

Dengan mata ini aku melihat,
Aku memandang mata yang kasih padaku,
Dengan telinga ini aku mendengar,
Aku patuhi suara yang sentiasa menasihatiku.

Dengan jari ini aku menyentuh,
Aku kasih pada mereka yang sayang padaku,
Dengan minda ini aku berfikir,
Aku mengenang harapan yang selalu di mindaku.

Dengan lidah ini aku berkata,
Terima kasih kerana percaya padaku,
Dengan hati ini aku berharap,
Aku berdoa semoga mereka yang tersayang,
Sentiasa ada bersamaku.

[Sajak ni pun sajak baru, bertema kekeluargaan. Sajak ni lebih kurang macam si anak berkata-kata kepada si emak dan si bapak. To be honest, aku tak berapa pandai buat sajak pasal family. Maybe aku patut refer dengan member seusia yang dah berkeluarga]

Tanah Tercinta

Hamparkan kertasmu dan berjuanglah,
Kertas ini adalah medan perang buatmu,
Di mana katamu harus setajam pedang,
Membidas bidik,
Memintas bahaya,
Katakanlah bahawa ini bumi kita,
Di sinilah tempat tumpahnya darahmu.

Angkatlah tanganmu dan sebarkan,
Hembuskan ilmu kepada anak bangsamu,
Di mana suaramu menjadi semangat,
Memberi kekuatan,
Membina masa depan,
Katakanlah bahawa mereka adalah generasi kita,
Generasi yang bakal menyambung usahamu.

Lepaskan senjata dan berbicaralah,
Kita semua manusia bertamadun,
Dimana fikiranmu adalah kuasa,
Kita berbudi,
Kita berbahasa,
Katakanlah bahawa kita tidak rebah,
Kerana kita tahu kita punya upaya.

[Ini pun sajak baru, tema patriotik sebab bulan depan bulan kebangsaan. Sejak beberapa tahun ni aku prefer tulis sajak ayat ringkas. Tema pun macam-macam. Bila usia bertambah, cara pemikiran pun turut berubah]

*semua sajak milik persendirian. Boleh digunakan atas tujuan pendidikan atau peribadi sahaja.

#tmg2013

2 comments:

  1. oh...betul tu. nape lah aku tak terfikir sebelum ni. - aku akan pegang kata-kata Atwood itu.

    ReplyDelete