Monday 22 July 2013

Hari Sarawak, Hari Malaysia

Datuk Stephen Kalong
Ningkan dan Sir A. Waddell
Pada abad ke-10 sehingga ke abad ke-19, Sarawak dikuasai oleh pelbagai empayar besar seperti Srivijaya, Majapahit dan Kesultanan Brunei. Pada lewat abad ke-19, James Brooke tiba dan akhirnya pentadbiran kerajaan digantikan dengan pemerintahan Brooke. Pemerintahan Brooke berlangsung selama 100 tahun, terdiri daripada tiga Rajah Putih iaitu James Brooke, Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke, dan pemerintahan mereka mencapai kemahsyuran sebagai "The White Rajah" serta diiktiraf oleh British.

Pada tahun 1941, Jepun telah menyerang wilayah Nusantara pada Perang Dunia II dan menjadikan Sarawak sebagai markas ketenteraan bagi strategi peperangan di Tanah Jawa dan beberapa bahagian lain di Indonesia. Pada 1945, Jepun akhirnya menyerah kalah akibat serangan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki dan Sarawak akhirnya diserahkan kepada pihak British Borneo Civil Affairs Unit yang diselia oleh tentera Australia. Kemudian, ia diserahkan kepada pihak British sebelum bermulanya proses kemerdekaan di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Padang Merdeka di Kuching
pada tahun 1963
Pada 1962, isu berkenaan dengan penyertaan Sarawak ke dalam gagasan Malaysia telah menimbulkan masalah di antara Tanah Melayu, Indonesia dan juga Filipina. Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah manakala Indonesia pula menuntut hak ke atas Sarawak, sehingga mencetuskan Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Akibat dari masalah tersebut, Indonesia melancarkan serangan Ganyang Malaysia pada awal tahun 1963 dan memulaukan Suruhanjaya Cobbold. Pasukan gerila akhirnya bertindak ganas dan menyebabkan beberapa kerugian yang besar termasuk kematian dan kemusnahan harta benda.



Pada 22 Julai 1963, Sarawak akhirnya merdeka secara rasmi oleh pihak British dan menyertai Malaysia pada 16 September 1963- merdeka selama sebulan dan 24 hari sebelum menyertai gagasan Malaysia. Pada hari tersebut, Sarawak menikmati semula kebebasan sebagai sebuah tanah merdeka dan hari itu dikenali sebagai Hari Sarawak.

Sir Alexander Waddell dan
Tun Abang Haji Openg
Pada 15 September1963, Gabenor British di Sarawak yang terakhir, Sir Alexander Waddell, yang menaungi Sarawak pada 23 Feb 1960 akhirnya melepaskan jawatan kepada Gabenor Sarawak yang pertama Tun Abang Haji Openg. Sidang tersebut dilangsungkan di Dewan Undangan Negeri (Mahkamah Lama Kuching) dan diiringi oleh wakil-wakil utama serta disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Pada hari yang sama 16 September 1963 menjadi peristiwa penting dalam pembentukan Malaysia dan disebut sebagai Hari Malaysia


p/s: Sarawak is always Sarawak. 


Rujukan:

Sarawakiana Blogspot- The Last British Governor of Sarawak
Sarawak Gazette
Kuching Prosper
Sarawak Zaman Dahulu
Majalah SMK Tun Abang Haji Openg
Sarawak Almanac
Wikipedia: Sarawak

No comments:

Post a Comment