Tuesday 10 September 2013

Sejarah Masjid Besar Kuching

Masjid Besar Kuching, atau disebut sebagai Masjid Divisyen Kuching merupakan masjid yang menyimpan 1001 sejarah silam. Ia terletak berhampiran dengan Limbungan Brooke yang semakin dimamah usia.

Asal Masjid Besar Kuching

Pada tahun 1839, ketika James Brooke baru saja tiba di Kuching, bandar ketiga yang diasaskan oleh pangeran dari Brunei (selepas Santubong dan Lidah Tanah), terdapat sebuah masjid kecil di tebing sungai pada kaki bukit. Masjid sudah wujud lebih awal sebelum James Brooke tiba ke Kuching.

credits: Kuching Prosper 2009
Pada masa itu jumlah orang Melayu tidak ramai dan golongan bangsawan Melayu Sarawak masih mendiami Lidah Tanah, tempat Sungai Sarawak bercabang iaitu kira-kira 10 batu ke hulu Kuching. Apabila James Brooke mengambil alih pada 1841, kebanyakan orang Melayu pindah ke Kuching bagi mengelakkan serangan orang Dayak Saribas dan memohon perlindungan di bawah pentadbiran yang baru. Maka disitulah bermulanya kegemilangan Kuching sebagai pusat utama pentadbiran.

Setelah Kuching menjadi tumpuan, bilangan penduduk bertambah menerusi bancian mudah yang dilakukan pada 1847. Peningkatan jumlah tersebut menimbulkan keadaan yang tidak selesa di kalangan orang Melayu untuk menunaikan ibadah- masjid yang ada bertambah sempit.

Peranan Keluarga Datu Patinggi Ali

Datu Patinggi Ali memainkan peranan yang besar di kalangan orang Melayu di Kuching pada masa itu. Datu Patinggi pada asalnya pejuang orang Melayu Sarawak yang menentang penindasan pentadbiran Brunei yang dinaungi oleh pengiran. Beliau mengaku kalah pada Disember 1840 apabila mengetahui James Brooke bakal mengambil alih tampuk pemerintahan di Sarawak dan berkhidmat sebagai pahlawan Melayu untuk kerajaan baru dari 1841-1844. Beliau dan keluarganya merupakan penyumbang utama kepada pembinaan Masjid Besar Kuching dan orang Melayu terhutang budi kepada kesungguhan dan usaha mereka sekeluarga. Masjid besar pertama itu dibina hampir keseluruhan atas usaha Datu Patinggi Ali dan ahli keluarganya iaitu:
  • Mohammed Lana (anak lelaki)
Lana merupakan anak sulung Datu. Beliau dikatakan pendiam dan selalu uzur tetapi berani berperang. Beliaulah orang yang mengumpul orang Melayu untuk mengusir pemberontak pada 1857  ke hulu Sarawak dan menyeberangi sempadan tanah milik Belanda ke Sambas. Pada 1848, beliau merayu untuk mendapatkan wang bagi menggantikan masjid yang terletak di tebing sungai dengan masjid yang lebih besar. Ia bertujuan bagi menyerlahkan agama Islam di Sarawak. Namun, ia mengambil masa 4 tahun untuk mengumpul wang dan pada 1852, pembinaan masjid itu berjaya diselesaikan- dibina menggunakan kayu dan ditambah dengan kubah berwarna emas pada 1868.
  • Haji Bua Hassan (anak lelaki)
Haji Bua merupakan pengganti kepada Haji Abdul Gapor yang menjadi pengganti Datu Patinggi. Walau bagaimanapun beliau melepaskan jawatan 9 tahun kemudian selepas kematian abangnya, Datu Bandar Lana pada 1865. Haji Bua dikatakan seorang yang jujur dan taat dalam kerajaan. Dengan perkhidmatan yang baik selama 50 tahun, beliau disanjungi dan menerima penghormatan. Pada 1906, beliau meninggal dunia ketika berumur 106 tahun.
  • Haji Mohammed Aim atau dikenali sebagai Mataim (anak lelaki)
Haji Mataim merupakan imam ke-4 di Masjid Besar. Beliau memegang jawatan imam selama 21 tahun sehingga beliau meninggal dunia pada 1898. Berdasarkan catatan rekod, beliau disukai oleh orang kerana mempunyai sifat yang baik, tegas dan jujur dan 'tidak ada lelaki yang lebih sopan daripadanya'.
  • Haji Abdul Gapor (menantu lelaki, suami kepada anak Datu yang kedua- Dayang Inda)
Selepas kematian Datu Patinggi Ali di Patusan pada 1844 bersama Encik George Stewart, Haji Abdul Gapor menjadi pengganti dan mendapat gelaran Datu Patinggi serta menjadi imam di Masjid Besar. Beliau menjawat jawatan tersebut dari 1852 hingga 1854 apabila beliau disingkirkan oleh Rajah kerana menyimpan niat dengan alasan kerajaan British tidak mengiktiraf James Brooke sebagai pemerintah, maka orang Melayu juga harus berbuat demikian. James Brooke menghantar beliau ke Mekah untuk menunaikan haji dengan harapan beliau akan berubah fikiran tetapi beliau tetap tidak mengiktiraf Rajah setelah kembali semula ke Kuching. Akhirnya beliau dihantar ke Melaka dan beliau menghembuskan nafas terakhir di sana.
  • Haji Abdul Karim (saudara Datu)
Haji Abdul Karim menjadi imam ketiga selepas Haji Bua meletakkan jawatan dan mewarisi gelaran Datu Bandar. Beliau menjawat jawatan imam selama 12 tahun dan meninggal dunia pada 1877. Tidak banyak rekod berkenaan dengan beliau.

Pengubahsuaian Masjid Besar

credits: Kanciltakcerdik
Pengubahsuaian bermula pada 1880 apabila batu bata dan simen mudah diperolehi di Kuching. Bumbung baru dibina bagi menggantikan binaan asal yang diperbuat daripada papan. Pada 1932, kubah baru dipasang pada masjid dan kubah itu dilihat buat kali terakhir pada 1967 apabila proses pengubahsuaian dilakukan untuk sekali lagi. 

Ia bermula pada 1958 apabila satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memperbaiki keadaan masjid. Kutipan derma dilakukan kepada semua dermawan, tak kira bangsa dan agama bagi menampung jumlah perbelanjaan. Pada 1966, Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dijemput untuk meletakkan batu asas dan merasmikan upacara. 

[Fakta tambahan: Jumlah derma orang ramai sebanyak RM 250, 000.00. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menambahkan lagi sebanyak RM 100, 000.00 dan RM 150, 000.00 dari Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bagi menampung kekurangan dalam pembinaan masjid.]

Masjid inilah bukti kepada ukhuwah Islamiyah di Kuching, dari dulu hinggalah sekarang.

ruj: 
WJ Chater (Sarawak long ago/Sarawak Zaman Dahulu- Abdul Ghaffar Laili)
John Adam Gilbert (Sarawak, Dayak Heritage and Various Stories)
Arkib Negara (James Brooke dilantik sebagai Rajah Sarawak)
Lembaga Kebajikan Masjid Sarawak (Kronologi Penubuhan Masjid Negeri Sarawak)

#tmg2013

No comments:

Post a Comment