Wednesday, 18 September 2013

Cerpen: 1891

     Jika kau tanyakan kepadaku apakah makna sebuah peradaban, akan kukatakan kepadamu, peradaban itu kemajuan. 

Itulah kata-kata terakhir dari bapa saudaraku yang bertugas di sebalik lautan luas. Bekerja di sebuah pejabat daerah bersama Residen di sebuah negara terpencil yang dinaungi oleh orang seperti kami. Bermula sebagai perutusan dari Kota Singapura, lalu berlayar ke negara diraja yang berdepan dengan kemelut pemberontak, lelaki yang lahir dari kumpulan koloni negara kami itu akhirnya menjadi Raja di dalam sebuah negara kecil. Hidup lelaki itu tak ubah seperti kisah hikayat. Tapi untuk manusia seperti aku, ia penuh dengan pengajaran.

Pada tahun 1861, ketika England dalam keadaan makmur, hasil dari kekuatan koloni yang berpusat di India, aku telah dikirimkan ke tanah permata milik England oleh keluargaku. Alasan mereka, supaya aku bisa melihat sumber kekayaan England dan belajar sesuatu daripadanya. Pada waktu itu usiaku baharu saja sepuluh tahun. Sepuluh tahun dikira sudah matang untuk belajar ilmu laut, ilmu langit dan kira-kira. Ketika aku berada di sana, aku duduk bersama kawan bapaku, seorang pegawai di Benares yang bernama Albert. Dia berusia empat puluh lima tahun dan berwajah bengis. Dengan wajah yang bengis itu juga dia mengajar aku apa yang dia lalui di situ.

“Anak, lihatlah sungai yang mengalir di sini. Dipenuhi buih basuhan baju tuan-tuan dan bangsawan kita. Di sinilah rumah agam baru kami,” ujar Albert.

“Kenapa tempat ini dijadikan rumah?” aku bertanya.

“Kerana kita ialah kemajuan. Kita mengajar mereka makna peradaban.”

Aku memandang buih yang mengalir di tebingan sungai dan menikmati cadar putih yang terhampar lembut di ampaian. Baunya wangi, sama seperti haruman yang digunakan oleh ibuku yang tinggal di Devon. Maka begitulah, seawal usia itu aku diajar akan makna peradaban. Peradaban itu bersifat wangi, peradaban itu bersifat nyata. Sama seperti bau segar cadar dan rumah agam baharu yang bakal dibina.

Menjelang usia 12 tahun, Albert mengirimku semula ke Devon, di mana aku dihantar ke sekolah tentera. Aku dipersiapkan dengan ilmu-ilmu berguna sebelum berkhidmat demi Ratu yang tercinta. Menerusi pegawai dan senior yang berpengalaman di alam asing, mereka mengisahkan kenangan penglipur lara kepadaku. Kata mereka, ketika berada di bumi asing, ingatan mereka tetap utuh untuk tanah England. Tiada apa yang baik melainkan tanah kelahiran sendiri.

Tapi, perlahan-lahan aku menyimpan hasrat untuk melihat di sebalik lautan luas. Mungkin, aku boleh menyampaikan ilmu peradaban sepertimana Albert pernah katakan kepadaku; kerana kita ialah kemajuan.

Pada 1868, pelajaranku tamat pada akhir musim panas. Aku menerima perintah untuk memulakan tugas di Selatan England kerana pengalamanku belum cukup untuk bergerak ke bumi asing. Aku hampa. Namun aku tidak berhenti memikirkan cara untuk keluar dari kelompok, menjadi lelaki sejati dan merasai gelombang laut. Kemudian, aku terkenangkan Albert. Aku menitipkan surat kepadanya, menyatakan hasrat mahu berpindah ke sana. Albert yang sudah lama tidak mendengar khabarku berasa gembira dengan hasratku, lantas segera memaklumkan perkara tersebut kepada tuannya. Namun, seminggu selepas itu, Albert pun meninggal dunia akibat mabuk arak lokal dan candu yang dibeli dari China. Aku terkedu, dan hasratku pun terbang entah ke mana.

Akhirnya, aku memutuskan untuk berkhidmat saja di tempat sendiri. Untuk lapan tahun lamanya. Melihat perkara yang sama, melakukan perkara yang sama. Aku hilang teruja. Aku terfikir mahu bercuti pada musim panas. Akhirnya, keluargaku menerima sepucuk surat dengan sekeping setem asing yang begitu asing di mata kami. Surat itu dikirim oleh bapa saudaraku, Louis yang bertugas di sebuah negara kecil di sebuah pulau. Menurut kata Louis,

'.... sekarang aku berada di sebuah negara kecil yang makmur, sungainya membelah dan membahagikan kekayaan. Jika kusebut namanya, pasti kalian teruja betapa aku kini menjejakkan kaki ke sebuah pulau ketiga yang terbesar di dunia. Aku temui bunga yang aneh, kupelajari bahasa yang ganjil, aku berkenalan dengan bangsa yang pelbagai. Jikalau kalian mahu ke mari, maklumkan segera kepadaku. Akan kusiapkan kamar yang indah dan makanan yang lazat-lazat.’

Surat itu ternyata menggamit kegembiraan di hati ibuku apabila melihat abangnya selesa dan senang di bumi asing. Bumi asing itu ternyata bukan di bawah kuasa koloni seperti di India. Aku tertanya sendirian, tempat apakah itu? Tempat apakah yang begitu istimewa di hati lelaki England sejati seperti Louis sehingga dia jarang pulang ke Devon? Adakah di situ adanya peradaban yang lebih tinggi dari England? Akhirnya, aku memutuskan untuk berlayar jauh. Aku mahu melihatnya dengan mata kepalaku sendiri.

Berlayar dengan kapal koloni selama beberapa bulan merupakan satu perjalanan yang gigih. Ia penuh dengan cabaran. Sepanjang aku tidur, bangun dan hidup di atas dek kapal, aku melihat seorang lelaki mati. Kata mereka, akibat bahang apopleksi. Seorang kanak-kanak maut, akibat terjatuh ke dalam lubang dek. Seorang wanita yang mengandung juga menemui ajal, selepas tergelincir di dalam kabin. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja aku melihat tiga kematian yang tidak dijangka.

Akhirnya, pada tahun 1877, aku berjaya keluar dan melihat satu tanah asing. Kota Singa, itulah persinggahan pertama aku. Di kota itu, aku dimaklumkan oleh Junior, seorang pegawai muda yang ditugaskan ke situ enam bulan yang lepas bahawa kota itu menjadi pusat koloni orang kami di Asia Tenggara. Malah, kota itu dibuka oleh orang kami juga, Tuan Raffles yang pernah tinggal di Indonesia. Sepanjang aku berada di sana, aku kagum bagaimana orang kami mengajar akan makna peradaban. Aku bangga akan kemajuan yang telah kami usahakan untuk tanah yang begitu asing dari kami. Aku mula terpikat pada satu pembaharuan yang tidak pernah kualami sebelum ini. Aku menjadi leka.

Akhirnya, hatiku telah dipikat oleh Singapura dan aku memutuskan untuk menjadi wartawan akhbar. Maka, aku memulakan kehidupanku di Jurong, di Geylang dan juga Changi pada lewat Oktober dan menikmati hidupku sebagai lelaki bebas. Bebas dan hampir hilang akal.

Di Singapura, aku mengubah gaya hidupku dengan menjadi orang koloni yang bergaya. Orang kami sering ke mari dan menikmati secawan teh atau secawan kopi di bawah mentari khatulistiwa. Kadang-kala, aku merentas selat bersama mereka dan singgah ke sebuah koloni Inggeris yang terletak berdekatan sahaja. Aku menjejakkan kaki ke kelab-kelab malam. Menyedut asap cigar bersama teman-teman bermata biru lalu tenggelam di dalam asap. Berkenalan dengan gadis tempatan yang genit dan mulus. Aku juga bercinta-cinta, khayal, dan lama-kelamaan aku terjunam ke dalam kehidupan yang terlalu banyak hiburan. Terasa seperti kembali semula kota besar London yang gah dan gemilang. Aku berasa aku benar-benar lelaki Inggeris yang sejati dan seiring dengan kemajuan.

Namun, keindahan peradaban dan kemajuan orang kami yang selalu kuagungkan mula membingungkan aku. Teman wanitaku, seorang gadis tempatan yang bekerja sebagai penyanyi di kelab memberitahu aku bahawa dia sudah tidak haid selama tiga bulan. Sedangkan, aku tidak mahu terikat selama-lamanya di situ. Setelah menghabiskan lima tahun di Singapura, aku memutuskan untuk lari ke Batavia dengan kapal Belanda yang berlabuh di Singapura. Aku berlayar ke sana selama beberapa bulan yang memualkan. Tuah laut tidak bersama denganku, aku nyaris mati akibat demam panas. Tetapi, ajalku masih belum tiba. Pada Jun 1882, Batavia menyambutku dengan bahang Belanda.

Di Batavia, aku mengenali satu tamadun yang baharu. Satu pembaharuan budaya dengan bahasa yang lebih kurang sama ketika aku berada di Singapura. Ada masanya aku selesa, adanya masa aku tidak selesa. Sebelum ini, Inggeris dan Belanda pernah bertelingkah berkenaan dengan kuasa koloni di Nusantara. Pergeseran mereka belum padam sepenuhnya. Gusar untuk terus berdepan dengan Batavia, aku memutuskan untuk mara ke Tanah Jawa, lalu aku menetap di rumah tumpangan kecil di Kota Semarang. Kata orang, di situlah orang Belanda menetap, membina Belanda Kecil, lalu mencipta dunia mereka sendiri dan tenggelam dalam imaginasi.

Kota Semarang, juga dikenali oleh orang Belanda sebagai Belanda Kecil merupakan satu tempat asing yang kaya dengan kemajuan. Aku melihat jalan-jalan yang rata, bangunan yang diperbuat daripada batu, rel kereta api yang sibuk, kawasan kediaman yang sesak dan pertambahan populasi yang mendadak dalam tempoh yang singkat. Semuanya berpunca dari kemajuan, dan pembukaan Terusan Suez pada 1869, yang membuka peluang orang luar membawa masuk kemajuan sebagai tukaran kepada eksploitasi hasil bumi mereka. Sedarkah mereka akan perkara ini?

Lama-kelamaan, aku bingung dihimpit oleh kesesakan. Timbul masalah bau yang tidak menyenangkan kesan dari penghijrahan penduduk yang tidak terkawal dan kawasan kediaman yang kotor. Walaupun penduduknya baik hati, aku benci pada kekolotan mereka membuang tinja. Bimbang pada penyakit kolera atau tibi, aku terfikir mahu keluar dan berlayar lagi. Tapi, aku tidak tahu ke mana harus kupergi. Ketika aku berasa buntu dan pasrah, aku teringat pada bapa saudaraku, Louis yang tinggal di sebuah pulau. Aku tergamam. Bukankah dulu aku berniat mahu melihat pulau tersebut? Kenapa aku menyimpang sehingga ke Kota Semarang?

Lantas, aku menitipkan sepucuk surat bersetem Belanda ke alamat yang tercatat yang di dalam jurnal peribadiku. Kemudian, aku menunggu balasan dari Louis dengan penuh sabar. Harap-harap suratku tiba dengan selamat, dan Louis dalam keadaan yang sihat. Aku harap, Louis tidak mati selepas menerima suratku, seperti yang terjadi pada Albert sebelum ini.

Tiga bulan kemudian, surat Louis tiba dengan selamatnya di pusat mel di Kota Semarang. Aku menyambutnya dengan hati gembira. Kata Louis, sebuah kapal dagang orang Cina akan tiba di pelabuhan Semarang pada bulan hadapan, membawa barang dan membeli barang. Menyedari sudah tiba masanya untuk aku membetulkan haluan ke tempat yang sepatutnya, aku pun segera bersiap-siap. Dengan sebuah beg buatan kulit pudar yang telah mengikuti aku ke mana saja, dan kemeja lusuh serta topi fedora di kepala, aku meninggalkan Kota Semarang yang mengajar aku makna kehidupan yang serba kekurangan. Kata seorang ibu yang sering mengangkut baldi kayu tinja di tandas luar, kekurangan itu adalah kemanusiaan. Kekurangan itu mengajar manusia untuk berkembang, untuk berubah dan mengenal makna sifar.

Namun, perjalanan aku ke sebuah lagi bumi asing terhalang oleh ribut. Aku dan anak kapal dagang Cina terkandas di Sambas. Di situ aku berkenalan dengan seorang anak kapal tua yang bernama Wak, bekerja dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Borneo Utara selama beberapa tahun. Walaupun rupanya tidak semegah mana, tutur katanya yang lembut seperti sonata telah menyedarkan aku akan hakikat hidup di luar kemudahan . Akhirnya, aku terkedu sendirian. Daripada hidup senang sebagai pegawai tentera di Devon, aku akhirnya merempat di Sambas dengan 10 dollar di dalam poket. Maka, rasmilah aku menjadi orang miskin yang tidak berguna pada tahun 1886.

Dua bulan berikutnya, kapal dagang orang Cina memutuskan untuk kembali berlayar. Aku teruja. Selepas Wak meninggalkan Sambas dan berlayar semula ke Borneo Utara, aku kesunyian tanpa kawan. Namun, apabila aku dimaklumkan untuk segera menaiki kapal, aku terbayang-bayangkan keindahan yang pernah Louis katakan kepadaku. Aku tidak dapat menahan keinginan untuk mengetahui di manakah Louis berada.

“Saudara, kita sekarang mahu ke mana?”

“Kita ke Kuching. Kami akan berlabuh di tempat punggah kecil di Sungai Sarawak. Di sana, ada sebuah perahu kecil akan membawa saudara ke tebing seberang.”

“Di manakah Kuching?” Aku terpinga.

“Di barat laut Borneo. Biasanya orang seperti saudara tahu di mana terletaknya kerajaan kecil Brooke.”

“Oh, begitu.”

Bicara kami akhirnya tamat tanpa penamat yang jelas. Aku terdiam. Aku tidak tahu bagaimana untuk aku menyambung bicara kami dengan pengetahuanku yang kabur.

Setelah berlayar selama beberapa bulan, dengan suasana dan cuaca yang kembali aman, serta tuah laut yang kembali menaungi aku, perlahan-lahan aku melihat muara sungai yang tenang dan luas. Aku melewati ruang langit yang biru, rimbunan pohon hijau dan segar, olakan air sungai yang membuatkan perahu kayu teroleng-oleng di muka air, mendengar irama dari kokokan ayam jantan di atas pagar, dan melihat rumah-rumah kayu beratap nipah di sepanjang tepian sungai. Aku melihat anak-anak berlari tanpa memakai sepatu, menyepak kelapa, orang tua yang duduk di kaki tangga dengan segelas kopi, wanita yang tenang menjemur kain dan menyapu halaman rumah dengan penyapu lidi. 

Aku berasa seperti tenggelam di dalam pemikiranku sendiri. Inikah tempat indah yang Louis pernah katakan kepadaku? 

Perjalanan kami yang panjang dan jauh akhirnya tamat di sebuah tempat punggah, di mana aku melihat sebuah rumah kerajaan yang aneh dengan bumbung yang tinggi di seberang sungai. Terdapat sebuah menara di hadapan rumah tersebut dan ada sebuah kubu kecil berwarna putih di atas bukit. Ketika aku masih tidak jelas dengan keadaan sekeliling, dengan deretan rumah kedai kolonial yang dihuni oleh orang Keling dan pasar basah yang dihuni oleh orang Cina, seorang lelaki berkulit sawo matang, dengan lengan yang berurat-urat, giginya rompong, berkaki ayam dan hanya memakai seluar benang kasar mempelawa aku untuk naik ke dalam perahu beratap nipah miliknya. Kulihat, ada banyak lagi perahu yang serupa seperti ini di tepian sungai yang dipenuhi dengan becak tanah dan selut yang kotor. Lantas mengingatkan aku pada rupa busuk tinja ketika aku di tanah seberang. Aku mula berasa jijik. Aku harus berbuat sesuatu.

“Itu apa?” Aku menuding jari ke arah rumah kerajaan dan kubu tersebut.

“Itu istana kediaman Raja kedua kami. Yang itu Kubu Margherita. Yang ini pula ‘perauk tambang’,” ujar lelaki tersebut sambil menepuk perlahan perahu yang kami naiki.

“Kamu pula siapa?” aku bertanya lagi.

“Saya Abang, kawan Tuan Louis,” sahut lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Abang. Begitulah perkenalan aku dan Abang, seorang pendayung sampan yang sentiasa berulang-alik membelah dada sungai. Walaupun wajahnya garang dan suaranya parau, aku tidak menyangka Abang seorang lelaki yang penuh humor. Bila kuamati mukanya, giginya yang rompong itulah menjadikan Abang kelihatan mesra.

Kemudian, seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Awang Ali menunggu ketibaan aku di seberang, lalu membawa aku ke sebuah rumah yang cantik. Hiasannya dari barat, dan aku menikmati wangian segar dari cadar yang baharu saja dibasuh. Sebaik saja aku menjejakkan kaki ke rumah tersebut, aku seperti terbawa kembali ke tanah England. Inilah yang aku mahukan.

“Inilah kemajuan,” aku berbisik, tanpa menyedari bisikanku itu kedengaran jelas di telinga Awang Ali.

“Adakah ini yang saudara kata kemajuan?” Awang Ali menepuk bahuku, mesra.

“Ya, Louis ternyata melihat padang asing ini sebagai England,” aku berkata bangga. “Orang kami tahu di mana untuk menyatakan kemajuan.”

“Begitukah?” Awang Ali tertawa. “Rumah ini bukan rumah Tuan Louis sebenarnya. Ini rumah tumpangan yang kami bina untuk tetamu seperti saudara. Hiasan ini dipilih oleh anak saudara saya yang dihantar mengaji di England oleh Tuan Louis.”

“Jadi, di mana bapa saudara saya?” aku terkejut.

Petang itu, aku dibawa oleh Awang Ali ke kuburan orang Kristian di Jalan Bishopgate. Aku melihat Louis sudah ‘lena’ di situ selama lapan tahun dengan seketul batu nisan yang dikalungi bunga yang lusuh, menunggu ketibaan aku yang berjanji mahu menemuinya pada tahun 1877. Tetapi aku menyimpang ke sana ke mari dan setelah tidak berwang, barulah aku teringat pada Louis. Sungguhpun Louis sudah tidak ada, dia sempat berpesan kepada jirannya, Awang Ali supaya terus menunggu ketibaan aku dan membalas suratku jika aku mengirimkan surat kepadanya.

“Tuan Louis seorang yang baik. Ramai yang kenal Tuan Louis, orang kerajaan yang bekerja di pejabat Residen. Dia selalu duduk bersama kami dan bercerita tentang England sambil menghisap rokok apong, bermain gendang dan memakai pelikat.”

“Begitukah?” Aku kehairanan. Aku masih ingat betapa bapa saudaraku itu suka benar dengan rokok cigar dari selatan Amerika, penggila trumpet dan sentiasa segak memakai sut. Kenapa Louis memilih untuk membuang England dari darah dagingnya?

“Tuan tidak pernah membuang England dari dirinya, saudara,” ujar Awang Ali, seperti dapat menelah fikiranku. “Tuan seorang yang pintar. Dengan perilaku yang baik, merendah diri dan berfikiran terbuka, itulah sifat seorang yang berilmu. Dengan sikap seperti itu, kami kira Tuan Louis itu seorang lelaki yang maju, kerana adab itu kemajuan.”

“…dan dari kemajuan seiringnya peradaban…”

Seperti tersedar dari mimpi yang panjang, aku akhirnya duduk menekur di hadapan kubur Louis, lalu menepis-nepis perlahan rumput kering ada di atas batu nisan dengan fikiran yang bercampur-baur. Kata-kata itu telah dipahat oleh rakan-rakan Louis untuknya di atas batu nisan sebagai hadiah kenangan. Sungguhpun mereka bukan orang kami dan Louis pula hanya orang asing seperti aku yang pernah menjadi orang asing di tempat yang berbeza, penerimaan hidup kami ternyata berbeza. Aku terlalu memikirkan soal kemajuan. Hanya dengan gaya hidup yang baharu, pakaian sut yang indah dan segelas minuman yang mahal, aku menggelar itu sebagai kemajuan manakala yang mendayung sampan, yang memunggah baldi tinja dan yang menghisap rokok murah itu aku katakan sebagai mundur dan jahil. Benarkah begitu?

Apakah adabku selama ini di atas kemajuan? Adakah Albert silap mengajar aku? Atau aku sendiri yang terlalu ortodoks?

Pada tahun 1891, aku memutuskan untuk kembali semula ke Devon. Kembali semula membawa hikayat dan ceritera dari sebuah negara kecil setelah mengabadikan diri di dalam satu kesedaran yang berlangsung di segenap ceruk barat laut Borneo selama empat tahun. Louis dan sebuah negara kecil ini membuka mataku. Lantas kugumpal sedikit tanah dari kuburan Louis sebagai kenang-kenangan dan juga pengajaran seumur hidup. Benar kata Awang Ali, adab itu kemajuan. Menjadikan manusia sebagai manusia. Menyedarkan manusia makna kekurangan, lalu bangun dan maju. Memimpin manusia supaya tidak lupa.

Kata orang, adab itu akal manusia. 


#tmg2013
[Do not reproduce, stored, or introduced in retrieval system, copying in any form and transmitted by any means]

2 comments:

  1. Factual...often skip.
    Wah! boleh ganti karya Arjuna hati/Norzailina Nordin...

    Tak banyak dialog ek...?

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak kasi cerita ni macam catatan. lebih bersifat peribadi dan paparkan keadaan yang sesuai dengan tema. actually aku buat cerpen ni atas sebab tertentu

      Delete