Tuesday, 24 September 2013

Sejarah Banglo Inggeris di Kuching

Banglo merupakan satu seni bina kegemaran pada era Rajah Kedua di Sarawak, iaitu Charles Brooke. Tidak ramai yang tahu lokasi banglo-banglo yang dimiliki oleh pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat dengan pentadbiran Brooke. Pada era pentadbiran Charles Brooke, beliau memerintahkan pegawai dari Eropah harus mempunyai banglo sendiri. Maka, pembinaan banglo mula berkembang pada awal 1900. Beberapa buah banglo pada era tersebut kini berubah wajah, tetapi ada juga yang kabur di ingatan masyarakat.

Banglo Golf Links
Banglo Brooke di Siniawan, Bau. Antara 
banglo terawal keluarga Brooke di atas 
bukit berbatu yang masih kekal 
sehingga sekarang (credits: mns Kuching)

Banglo Golf Links adalah salah satu banglo kerajaan tertua di Sarawak, dan ia tersorok di sebalik kubur Cina di atas bukit jauh dari Jalan Crookshank di Kuching. Banglo besar dan lama ini kelihatan suram dan gelap kerana dibina dengan kayu belian hampir keseluruhannya. Banglo ini dibina pada 1908 secara persendirian dan bahagian bawah banglo dijadikan sebagai kandang kuda memandangkan pada masa itu, Rajah Charles Brooke giat menganjurkan sukan lumba kuda. Apabila Rajah Kedua meninggal dunia, Rajah Ketiga, Charles Vyner Brooke mempunyai pemikiran yang berlainan dan memutuskan untuk tidak membenarkan pegawai Eropah memiliki banglo sendiri. Maka, banglo milik pegawai dari pentadbiran Rajah Kedua yang telah pencen diambil alih oleh Rajah Ketiga dan dijadikan bangunan kerajaan. Ia juga dijadikan penempatan pegawai-pegawai perubatan sejak ia mula didirikan sehinggalah selepas Perang Dunia Ke-2. Banglo ini antara banglo yang sangat dikenali oleh penduduk di Kuching pada masa dahulu kerana terdapat begitu banyak kisah seram, dan kejadian paranormal yang pernah dihadapi oleh pegawai perubatan yang tinggal di banglo tersebut serta pokok besar yang terletak bersebelahan dengan banglo itu pula sering dipanah petir. Kebanyakan tetamu yang menumpang tidur di banglo itu juga pernah mencatatkan pengalaman malam yang menakutkan sehingga mereka berpeluh-peluh. Setelah banglo itu tidak dijadikan penempatan untuk pegawai perubatan, ia pernah digunakan sebagai tempat penahanan anggota Pertubuhan Komunis Bawah Tanah.


Banglo Astana

Jambu Restaurant & Lounge- binaan banglo 
era Brooke 1930an yang kini dijadikan 
tempat menjamu selera yang terkenal di 
kalangan pelancong luar 
(credits: tripadvisor)
Banglo Astana salah satu banglo Inggeris yang terakhir yang dirobohkan pada era 90an. Banglo Inggeris lama ini antara banglo yang terkenal dan digelar sebagai banglo Astana kerana tiada siapa yang tahu nama dan pemilik sebenar banglo tersebut. Memandangkan kedudukannya yang terletak di sebelah kiri laluan masuk ke kediaman Astana TYT Sarawak dan berdekatan dengan Kampung Sungai Bedil Kecil (juga disebut sebagai Kampung Astana), maka ia digelar sebagai Banglo Astana. Ia juga pernah menarik ramai pelancong asing untuk datang mendekati banglo tersebut dan mengambil gambar. Dengan binaan batu yang tinggi, menganjur ke belakang, dilitupi oleh lumut dan tersorok gelap di sebalik pepohon kayu, ia kelihatan sangat menakutkan pada waktu malam dan pernah terjadi beberapa kejadian yang aneh serta seram di kawasan banglo tersebut. Setelah dibiarkan kosong, banglo itu akhirnya dirobohkan kerana dikhuatiri menjadi tempat penagih dadah dan mengelakkan perkara buruk yang lain seperti kes rogol dan culik.




Banglo Brooke yang terkenal, Astana 
yang dibina lengkap pada era Rajah 
Kedua. Sebelum itu ia diperbuat daripada 
kayu. Kini ia menjadi kediaman rasmi 
Gabenor Sarawak(credits: theskyscraper)
Banglo Mr. Moore

Banglo Mr. Moore merupakan banglo persendirian yang dimiliki oleh lelaki Inggeris yang bernama Mr. Moore. Banglo ini berwarna cerah dan terdapat ukiran nama Moore di hadapan banglo tersebut. Banglo itu telah dirobohkan lewat tahun 1960 bagi memberi ruang untuk projek pembangunan di Kuching. Tapak kediaman banglo Mr. Moore akhirnya menjadi tempat letak kereta untuk Bangunan Wisma Bapa Malaysia atau dikenali sebagai Kompleks Kuching. Menurut orang tua yang pernah melihat kedudukan banglo tersebut, tiang lampu besar yang terletak di tengah tempat letak kereta tersebut merupakan titik kepada asal tapak banglo milik Mr. Moore.





Banglo lama Kompleks Kuching

Dahulu, kawasan ini pernah dijadikan 
kawasan kediaman pegawai Eropah 
dengan binaan banglo yang hampir serupa. 
Selepas era 70an, ia berubah menjadi 
kawasan pentadbiran di Kuching.
(credits: flickrs)
Banglo lama (nama dan pemilik asal tidak diketahui) merupakan banglo milik pegawai Inggeris suatu ketika dahulu. Dipercayai banglo tersebut berwarna hijau kebiruan dan dilindungi oleh beberapa pokok pisang kipas dan pokok cempedak. Banglo ini dikatakan berpenunggu, terdapat gangguan paranormal dan sangat menyeramkan. Lokasi banglo itu dikatakan di sekitar kawasan taman rekreasi Wisma pada masa kini dan juga kem Briged PGA yang dirobohkan pada tahun 2008 bagi memberi ruang untuk projek penanaman orkid dan DUN baru. Banglo itu telah dirobohkan pada awal tahun 70an bagi memberi ruang projek pembinaan bangunan kerajaan iaitu Wisma Bapa Malaysia yang siap pada tahun 1976. 







Tinggalan banglo Brooke di Matang yang 
dahulunya menjadi tempat persinggahan 
keluarga dan juga rakan-rakan dari Eropah. 
Yang tinggal kini cuma runtuhan dinding 
dan juga tapak bilik air banglo
(credits: ayeshablyzz)
Banglo Jalan Siol

Banglo Jalan Siol (nama dan pemilik asal tidak diketahui) merupakan banglo Inggeris yang dirobohkan pada pertengahan era 60an bagi memberi ruang projek pembinaan sekolah SMK Tun Abang Haji Openg lama yang siap pada tahun 1970. Tapak banglo tersebut dijadikan laluan jalan yang terletak berdekatan dengan pintu masuk sekolah tersebut. Banglo tersebut dibina dengan rekaan yang sama seperti banglo yang lain- binaan batu yang tinggi dan menganjur ke belakang. Ia juga ditakuti oleh penduduk kampung berdekatan kerana terselindung di sebalik semak samun dan pokok-pokok yang rendang. Kini ia menjadi kawasan pembangunan dan juga aset persendirian bagi golongan atasan.






Basaga Holiday Residences; banglo kerajaan
yang dibina oleh usahawan India pada era
Brooke dan dibeli oleh Dr. Marjoribanks,
doktor Eropah pertama di Sarawak.
(credits: TheStar)


Banglo DUN lama

Banglo lama (nama dan pemilik asal tidak diketahui) merupakan banglo yang terletak tidak begitu jauh dari Banglo Astana. Terselindung di sebalik pokok-pokok belacan yang rendang, lokasi banglo itu kini menjadi tempat rumah api yang terletak di belakang DUN lama. Tidak banyak maklumat mengenai banglo ini tetapi ia pernah menjadi tempat anak muda hidup bergelandangan dan ternyata digeruni oleh anak-anak dari kampung Jalan Siol yang balik mengaji Quran di kem Briged PGA pada sekitar tahun 1960an.









Terdapat banyak lagi tinggalan banglo pada era Brooke tetapi ia semakin tenggelam, hilang bersama kisah dan sejarah.

sumber:
catatan WJ Chater
penceritaan lisan orang tua di Kuching

@themagi2013

No comments:

Post a Comment