Friday, 21 March 2014

The Writer's File: Ekspresi Sajak II

Sajak. Aku suka tulis sajak walaupun aku tak pernah deklamasi sajak. Aku tak cukup berkeyakinan agaknya. Jadi, menulislah aku menurut suara mindaku yang sering kesurupan mencari jalan keluar...yeah, poetic~ 

Tak boleh biar lama-lama, makin banyak aku mengarut nanti. Proceed...

Magis II

Jika magis yang kau cari,
Tiadalah ia wujud dalam satu bentuk,
Atau satu rupa,
Hidup ini lebih dari sekadar malam,
Luas dari sekadar siang,
Jika kau belajar apa yang kau lihat,
Belajarlah sehingga kau ketahui,
Bahawa dunia ini himpunan sejuta kisah,
Dari tiap-tiap kisah itu,
Ada rahsia di sebaliknya.

(petikan dari novel Darah Perawan aku yang tengah dinilai oleh pihak panel Top Novelis)

Siapakah Itu?

Berapa ramai yang sudi bangun?
Untuk jatuh tersungkur,
Begitulah cerita kita,
Demi merasa setitis madu,
Menyusup ke dalam racun,
Lalu tersengat menjadi gila.

Berapa ramai yang sanggup membeli?
Untuk menjual diri sendiri,
Kau tahu itulah ceritanya,
Kerana manisnya rasa dunia,
Diri diletakkan harga,
Padahal ia langsung tidak berguna.

Berapa ramai yang mahu jatuh?
Untuk belajar sakitnya berdiri,
Kau sudah tahu cerita ini,
Kau merangkak di garis permulaan,
Mengertilah hakikat seorang manusia,
Jika kau kuat, kau tersenyum di garis pengakhiran.

(Dapat idea ni masa tengah membebel ngan anak buah)

Hati-hati Ketawa

Ketawa pengubat duka,
Bergembiralah dengan senang,
Ketawalah engkau,
Lupakan kesakitanmu,
Tapi jangan sampai terlupa.

Ketawalah engkau,
Jangan sampai terlupa,
Kau punya hati,
Jika perlu,
Jangan sampai terpadam hatimu.

Ketawalah kau,
Jangan sampai terpadam,
Lampu hatimu kau tatang minyaknya,
Jangan kau keringkan sumbunya,
Kerana hatimu penggerak jiwamu.

Ketawalah kau, 
Kuasailah akalmu yang satu,
Kerana setelah kau selesai,
Kau akan tersenyum,
Senyuman itu akan menjadi tabir budimu.

(Entah dari mana idea ni datang)

Konotatif

Kata akan berhenti jika kau mengerti,
Pengertianmu di puncak,
Luhurmu di lembah,
Kau tidak lupa kau di mana,
Dan selamatlah engkau dari tersesat jalan.

Kata-kata itu perumpamaan,
Pada sifatmu di setiap mata,
Pada setiap pilihan yang kau tuturkan,
Ia menjadi lambang dirimu,
Tinggi rendah mindamu,
Menjadi keindahan di mata penjamu,
Pada yang cerah pasti menyuluh,
Kerana noktah itu pengertian buatmu.

(Pak AGI, sumber inspirasi...yeh~)

Nasihat Seketul Darah

Hati-hati dengan hatimu,
Jika berkeras, kau terluka,
Jika berlembut, kau merana,
Jika terburu, kau tersasar
Jika terlebih, kau meliar,
Jika berpada, kau terbeku,
Jika terbiar, kau hancur.

Hati-hatilah pada hatimu
Ia cuma seketul darah,
Tetapi seketul darah itu,
Mengatur keputusanmu,
Mempengaruhimu,
Maka jangan keringkan hatimu,
Kerana tanpa waspada,
Kau menjadi sia-sia.

(Dapat idea ni masa tengah baring-baring malas gitew)

Berkatalah Aku

Kebaikan pasti tiba,
Pada mereka yang gigih bersabar,
Inilah peganganmu,
Ingatlah baik-baik,
Hasil usahamu tidak seperti makanan segera,
Yang muncul selepas lima minit,
Segalanya pasti indah pada masanya,
Maka inilah masanya,
Kau mencari setiap kelebihan,
Di setiap detik kekurangan,
Percayalah,
Semua ini bermakna,
Berikanlah masa sedikit masa,
Mempercayai dirimu, Tuhan dan semuanya,
Bahawa kebaikan pasti akan tiba,
Pada mereka yang gigih bersabar.

(Yang ni nasihat untuk diri sendiri)

Tetamu Sebenar

Kita bertemu kita bertamu,
Baru berkenal kita berpisah,
Adat bersahabat jauh berbatu,
Hidup merantau saling beringat,
Teman yang benar ikut bersusah,
Teman penipu terbang di awangan,
Terbang-terbang jauh berpergian,
Menanam madu di bawah tebu,
Teman yang benar ikut citamu,
Benar citamu benarlah cintamu,
Masam manis pedas dan pahit,
Ia lebih dari sekadar rasa,
Sekiranya kau rebah hilang daya,
Teman yang benar datang berdamping,
Kita bertemu kita bertamu,
Jika benar kita berteman,
Jauh terpisah kita tetap bersatu.

(Masa tengok gambar member kat FB, dapat idea ni)

Wahai Manusia

Harumnya bunga kerana dunia,
Jika kau faham apa yang aku maksudkan,
Adakah salah dunia hati tergoda?
Ataupun salah hati kerana tidak tertahan,
Hidup ini ada banyak perisa,
Setiap satu daripadanya bak bunga kudup di taman.

Keruhnya dunia kerana manusia,
Jika kau telan kepahitan hakikat kita,
Mengapa kita sentiasa berprasangka?
Mencucuk jarum meniup bisa,
Khilaf manusia tersungkur di syurga,
Jatuh aib lalu hidup berkelana.

Rumitnya manusia kerana jiwa,
Jika kau tahu indahnya kesulitan,
Bagaimana mencari rahsia bahagia?
Jatuh bangun menangis tertawa,
Bukalah matamu dan lihat jawapannya,
Jawapan yang kau cari itu ada di hatimu.

(Idea ni aku dapat masa cuci cawan kat sinki dapur)

@themagi2014

::Hasil karya di atas tidak boleh diterbitkan semula samada dalam bentuk elektronik dan sebagainya. Boleh digunakan atas tujuan pendidikan::

No comments:

Post a Comment