Thursday, 13 August 2015

Malaikat dalam Tiga Agama

Salam Khamis. Aku baru saja habis update entri pasal lagu yang sepatutnya diupdate pada hari Selasa. Memandangkan kuota internet habis, terpaksa la postpone. Jadi, aku sambung update entri lagi untuk hari ni, berkenaan dengan malaikat dalam tiga agama. Bab-bab tiga agama ni, aku memang suka buat pakej. Sebab? Pakej membuatkan hidupku lebih bermaklumat ^^

Image result for angels
Credits: angels-angelology.com
Malaikat dalam Islam

Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dicipta daripada cahaya. Mempercayai kewujudan malaikat adalah salah satu dari Rukun Iman. Malaikat ialah makhluk Allah SWT yang taat, kuat beribadat, tidak ada jantina, kewujudan malaikat tidak dapat dilihat melalui pancaindera manusia yang biasa dan mereka tidak pernah berdosa.

Malaikat dalam Islam mempunyai jumlah yang banyak (rujuk sini). Namun, malaikat yang wajib diketahui ialah:
  • Jibril/ Ruh al-Qudus, Ruh al-Amin
  • Mikail
  • Israfil
  • Munkar dan Nakir
  • Malak Al-Maut/Malaikat maut (Izrail; nama ini dipercayai berasal dari Israiliyat)
  • Ridwan (penjaga pintu syurga)
  • Malik (penjaga pintu neraka)
  • Raqib dan Atid (pencatat amalan)
Wujud malaikat digambarkan di dalam Al Quran menerusi surah Al Fatir bahawa malaikat mempunyai sayap; ada yang dua, tiga dan empat. Terdapat hadis yang menyebut Jibril mempunyai 600 sayap, Israfil memiliki 1200 sayap di mana satu sayapnya menyamai 600 sayap Jibril. Malaikat Hamalat al-'Arsy memiliki 2400 sayap di mana satu sayapnya menyamai 1200 sayap Israfil. 

Malaikat Jibril merupakan penghulu malaikat dalam Islam sebagai pembawa wahyu Allah. Jibril menampakkan dirinya sebanyak 2 kali di hadapan Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan wahyu dan ketika Isra' dan Mikraj. Malaikat Jibril juga menampakkan diri sebagai lelaki di hadapan Nabi Ibrahim AS, Nabi Luth AS dan Maryam ibu Nabi Isa AS. Malaikat ini juga merupakan pelindung dan teman akrab Nabi Muhammad SAW dalam dua peperangan iaitu Perang Uhud dan Perang Badar.

Dalam Islam, tidak ada istilah Malaikat yang Jatuh (Fallen Angel) yakni merujuk Iblis kerana Iblis tidak sama dengan malaikat. Malaikat dijadikan daripada cahaya yang murni manakala Iblis dicipta daripada api.


Malaikat dalam Kristian

Image result for angels
Credits: fanpop.com
Sistem kewujudan malaikat dalam Kristian bermula dari kitab Enoch I dan ia diambil dari tradisi Yahudi. Malaikat dalam Kristian digambarkan sebagai tentera Tuhan, pejuang dan pahlawan yang berbaris di pertahanan paling hadapan. Mereka digambarkan bersayap, berjantina lelaki dan memiliki pedang. Malaikat merupakan makhluk roh yang dicipta untuk melayani Tuhan dan menolong orang beriman.

Senarai nama malaikat dalam Kristian mengalami beberapa siri perubahan seperti:
  1. Kitab Enoch I: Gabriel, Michael, Raphael, Uriel, Raguel, Ramiel dan Saraqael.
  2. Pseudo-Dionysius (akhir abad ke-5 dan ke-6): Michael, Gabriel, Raphael, Uriel, Chamuel, Jophiel dan Zadkiel.
  3. Pope Saint Gregory I: Gabriel, Michael, Raphael, Uriel/Anael, Simiel, Oriphiel dan Raguel.
  4. Tradisi Coptic Orthodox: Gabriel, Michael, Raphael, Suriel, Zadakiel, Sarathiel dan Ananiel.
  5. Tradisi Anglican dan Episcopal: St. Michael and All Angels (Michael, Gabriel, Raphael dan Uriel)
Tujuh Malaikat Utama atau Seven Archangels adalah kepercayaan utama Kristian. Pada peringkat awal, Gabriel (Jibril) diletakkan di atas senarai tujuh malaikat. Tetapi ia mengalami perubahan dengan meletakkan Michael (Mikail) di atas senarai malaikat kerana pengetahuan mengenai malaikat ini bersumberkan kitab-kitab lama Ibrani yang menjadi asas kepercayaan Kristian.

Tujuh Malaikat Utama ini dipercayai berkaitan dengan sistem suria, perubahan musim dan juga 7 hari dalam seminggu. Mereka juga sering dikaitkan dengan ritual magis dan mempunyai perlambangan tersendiri. Kristian percaya pada kewujudan Fallen Angel iaitu Lucifer, yang berasal dari kalangan malaikat.


Malaikat dalam Yahudi

Malak dalam bahasa Arab bermaksud kekuatan. Malak dalam bahasa Ibrani lama pula bermaksud utusan. Agama Yahudi mempercayai bahawa malaikat itu wujud dalam ia terkandung dalam kitab agama mereka. Menurut kepercayaan Yahudi, pada hari Sabbath mereka akan duduk di meja makan dan mendoakan kesejahteraan malaikat dengan lagu-lagu pujian. Menerusi Kabbalah, malaikat dicipta bukanlah untuk dipuja-puja, sebaliknya ia dicipta untuk menghantar perkhabaran antara manusia dan Tuhan. Malaikat dalam Yahudi bersifat roh dan membantu kerja-kerja Tuhan.

Di dalam Kitab Talmud, terdapat 4 malaikat utama yang penting dalam agama Yahudi iaitu:
  • Michael
  • Gabriel 
  • Uriel
  • Raphael
Menurut tradisi Rabinik Yahudi, Michael/Mikail dilihat sebagai pembela dan pelindung orang Yahudi dan malaikat penting dalam tradisi Abrahamik. Sifat pelindung menjadikan Michael malaikat yang dihormati bagi Yahudi yang percaya bahawa Michael akan membela mereka kerana mereka ialah bangsa pilihan Tuhan. Ia berdasarkan beberapa kisah penting seperti:
  • Michael datang menghalang Abram (Nabi Ibrahim AS) yang diuji Tuhan supaya menyembelih anaknya, Isaac (Nabi Ishak AS) . Kambing jantan diberikan oleh Michael kepada Abram sebagai ganti.
  • Michael datang ketika Moses (Nabi Musa AS) membawa kaum Bani Israil lari dari kekejaman Firaun.
  • Michael dikatakan guru Moses dan menyampaikan kitab Torah kepada Yahudi.
  • Michael dipercayai membantu membebaskan Bani Israil dari pembuangan di Babel ketika dijarah oleh Rom.
Jibril tidak diletakkan sebagai penghulu malaikat oleh Yahudi atas beberapa sebab iaitu:
  1. Jibril memindahkan risalah wahyu kepada bangsa lain selain dari mereka sedangkan mereka bangsa terpilih. 
  2. Jibril dilihat sebagai malaikat pemusnah kerana Jibril sering dikirim untuk memusnahkan bangsa yang rosak seperti kaum Nabi Luth yang dihempas dan ditenggelamkan oleh Jibril yang ada 600 sayap. Dikatakan 400 ribu (atau 800 ribu) nyawa mati disebabkan oleh tindakan Jibril terhadap kaum Sadum.
  3. Jibril berbeza dari Mikail kerana Jibril tidak membawa rezeki dan kasih sayang.
  4. Jibril menyingkap kebatilan Yahudi, berkenaan dengan isi kitab Taurat yang diubah suai dan membunuh para nabi a.s seperti Nabi Isaiah/Yesaya (rujuk sini)

Wallahua'lam

@themagi2015
ruj: wikipedia | teloragen8.blogspot | shafiqolbu.wordpress| ilmukesaktian.blogpsot | magi | update* TVAlHijrah Cinta Ilmu & Akidah Ustaz Badlishah

No comments:

Post a Comment