Thursday, 10 December 2015

Sultan Tengah: Sejarah Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak

Sarawak, negeri yang banyak sejarah tetapi tak ramai mengetahuinya. Menurut Sanib Said (Associate Prof. Of Nusantara Chair, IEAS dan felo UNIMAS), kesejarahan kerajaan silam di Sarawak mengalami masalah penstrukturan kerana tak cukup bahan naratif dari sumber primer atau sekunder. Tapi sebelum nak melanjutkan sejarah tentang Sarawak, aku nak sentuh sikit tentang teater Sultan Tengah (teater pratonton) yang diadakan di DBP Kuching. Ia satu usaha yang bagus dalam mengangkat sejarah Sarawak terutama sekali sejarah Sultan Tengah kerana ramai yang tahu Jalan Sultan Tengah, tapi ramai juga yang tak berapa tahu siapa Sultan Tengah. Bila difikirkan, ia agak mengecewakan kerana ramai orang Sarawak tahu Kesultanan Melayu Melaka (sebab ada dalam buku teks dan sebahagian dari modul pendidikan di sekolah). Tapi sejarah Sultan Tengah tidak didokumentasikan dengan baik. Jadi, di sini aku nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dr. Idris Boi (penulis buku Lagenda Sebuah Cinta terbitan Buku Prima) sebab sudi berkongsi salinan salasilah hubungan Kesultanan Brunei dengan Sambas.


Okey, berbalik semula kepada reheateater pratonton Sultan Tengah. Aku tak hadir masa latihan mereka sebab aku sibuk buat benda lain. Tapi aku mendapat sedikit pencerahan berkenaan dengan malam kritikan sebelum persembahan teater yang sebenar. Pada pendapat akulah, juri yang dilantik haruslah tahu sedikit sebanyak tentang struktur sejarah di Sarawak. Ia memudahkan mereka untuk memahami sifat lokaliti dalam sesebuah cerita. Menurut komen juri dari KL, terdapat beberapa argument yang tak sepatutnya berlaku. Sebab, komen yang diberikan ialah:
  • Kenapa ada jala ikan di kapal? Jala ikan ialah peralatan menangkap ikan yang amat sinonim di Sarawak, terutama sekali di Santubong sebab Santubong merupakan pelabuhan maritim dan entrepot yang besar, wujud abad ke-15 (bermula dari abad ke-7 dengan bukti arkeologi). Perikanan, pertanian dan perdagangan luar negeri adalah asas ekonomi di Santubong. Secara logiknya, makanan dalam tin tak wujud pada zaman tersebut jadi menjala ikan ialah perkara penting untuk mencukupkan bekalan makanan bagi kapal ketika belayar di lautan.
  • Kenapa lanun tak pakai baju, cuma pakai seluar? Lanun di Asia Tenggara, khususnya negeri bawah angin tak peduli pada protokol pakaian. Malah, lanun negeri atas angin pun tak pakai baju (sila rujuk lanun filem Pirate of Caribbean)
  • Kenapa anak Sultan Tengah pakai pakaian macam orang Jawa? Ni nak bagitahu, anak Sultan Tengah, Radin Sulaiman merupakan Sultan Sambas. Permaisuri Sultan Tengah, Ratu Suria Kasuma ialah anak Penambahan Dikiri Kasuma. Susur galur bonda Radin Sulaiman sendiri boleh dijejaki dari Penambahan Dikiri Kasuma, Penambahan Dibaruh, Penambahan Chaga, Penambahan Sukadana, Penambahan Kelahirang sampailah ke Damar Wulan (anak Raja Jawa). Mungkin, kebudayaan Sambas dipengaruhi oleh adat Jawa. 
  • Kenapa ada persembahan silat dalam teater ni? Hairan aku, kenapalah argue pasal tu. Mestilah silat, orang Melayu. Silat dipersembahkan untuk menjunjung ketibaan duli. Takkan nak buat wushu?
  • Kenapa ada selingan tarian? Tarian ialah satu corak hiburan di Asia Tenggara suatu masa dulu. Kita boleh tengok banyak selingan tarian dan nyanyian dalam filem klasik. Tarian juga merupakan medium seni dalam meluahkan perasaan, keindahan bahasa dan mempengaruhi sosiologi masyarakat sebagai golongan berbudaya dan mempunyai adat warisan. Hiburan seperti itu sangat bermakna bagi mereka sebab TV, radio, smartphone, Youtube, PS2 dan segala jenis hiburan masa sekarang tak wujud pada abad tersebut.
  • Kenapa Sultan Tengah dibunuh dan apa punca pembunuhan itu dilakukan? Okey, yang ini masih diperdebatkan kerana belum menjumpai bukti kukuh sekukuh-kukuhnya tentang punca pembunuhan tersebut. Tapi kita sebagai manusia yang diberi akal haruslah berfikir di luar kotak. Kita boleh mengandaikan secara logik bahawa Sultan Tengah dibunuh mungkin disebabkan lanun tidak suka melihat Sultan Tengah berkuasa dan mereka tidak mahu Sultan Tengah membanteras kegiatan mereka. Mungkin juga, Sultan Tengah dibunuh kerana segelintir rakyat tidak mahu hidup lagi dalam pemerintahan diraja. Terdapat kebarangkalian Sultan Tengah dikhianati oleh pembantu/pengikut kerana ingin merampas takhta kerajaan. Sebenarnya terdapat banyak kemungkinan bagi sejarah pembunuhan Sultan Tengah kerana pembunuhan seperti ini biasanya melibatkan tentang masalah dalaman seperti dendam, cemburu, khianat dan sebagainya. Apa-apapun, ini cuma sekadar teori peribadi.
Okey, aku tak nak explain banyak tentang kritikan juri sebab juri tu rasanya tak tahu sangat tentang sejarah tempatan di Sarawak. Tapi aku mengucapkan syabas pada kru teater Sultan Tengah sebab berusaha dengan hasil usaha sendiri (tanpa sponsor) dalam mengangkat kisah sejarah ke pentas teater. Aku cuma nak cakap beberapa perkara yang aku tahu tentang sejarah Sultan Tengah.
  • Sultan Tengah ialah anak Sultan Muhammad Hassan Brunei IX (1582-1598).
  • Nama sebenar Sultan Tengah ialah Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar.
  • Menurut Sejarah Sambas, Sultan Tengah dikenali sebagai Sultan Abdul Jalil.
  • Baginda berkahwin dengan Ratu Suria Kasuma, anak keluarga diraja dari Kesultanan Sambas.
  • Baginda ada seorang anak, Radin Sulaiman (Sultan Muhd. Saifuddin Sambas).
  • Baginda mempunyai dua orang saudara sedarah, Sultan Abdul Jalilul Akbar Brunei X (1598-1659) dan Sultan Muhd. Ali Brunei XVI (1660-1661).
  • Sultan Tengah ialah Sultan Pertama dan Terakhir di Sarawak
  • Sarawak ialah salah satu wilayah Kesultanan Brunei.
  • Menurut sumber lisan, Sultan Tengah ingin menjadi Sultan Brunei. Baginda membantah abangnya (Sultan Abdul Jalilul Akbar Brunei X) dipilih menjadi Sultan Brunei kerana abangnya lahir ketika ayahanda mereka belum dilantik sebagai Putera Mahkota. Sedangkan baginda lahir ketika ayahanda mereka sudah dilantik sebagai Putera Mahkota. Baginda berpendapat baginda lebih layak menjadi Sultan Brunei. Tetapi Sultan Abdul Jalilul Akbar mencadangkan supaya Sultan Tengah menjadi Sultan Sarawak. Cadangan itu akhirnya mendapat persetujuan.
  • Ketibaan Sultan Tengah sebagai seorang Sultan di Sarawak diiringi oleh perwira dari kaum Sakai, Kedayan dan Pulau Bunut. Baginda juga disertai oleh golongan bangsawan untuk membantu baginda mendirikan kerajaan dan menguruskan negeri baharu.
  • Dikatakan pada tahun 1599, Sultan Tengah pernah melawat ke Pahang (Pahang di bawah taklukan Johor) untuk bertemu dengan Raja Bonda, ibu saudara Sultan Tengah. Raja Bonda (Puteri Berunai, saudara sedarah Sultan Muhammad Hassan Brunei IX) berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafor. Di sana, Sultan Tengah diajak menari tetapi teman menari baginda terpukul baginda dengan sapu tangan. Sultan Tengah dikatakan marah dengan perlakuan tersebut. Maka, Sultan Tengah disarankan untuk meninggalkan Johor bagi mengelak pertengkaran.
  • Menurut versi Sejarah Sambas, Sultan Tengah meninggalkan Johor kerana menolak tawaran Raja Bonda untuk berkahwin dengan Enche Zohra, puteri Sultan Johor.
  • Pelayaran Sultan Tengah dikatakan terkandas di Sukadana (kini Wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia) dan pada masa itu Sukadana diperintah oleh Penambahan Giri Mustika (Sultan Muhammad Saifuddin yang baru memeluk Islam dan dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah). . Di Sukadana, Sultan Tengah berkahwin dengan adinda Penambahan Giri iaitu Ratu Suria Kasuma. Sultan Tengah dikatakan menetap di Sukadana untuk membantu menyebarkan ajaran Islam.
  • Pada 1600, Sultan Tengah berangkat meninggalkan Sukadana dan menuju ke Sambas bagi meneruskan usaha menyebarkan ajaran Islam. Mereka mendarat di Kuala Bangun dan Ratu Suria Kasuma melahirkan putera mereka, Radin Sulaiman. Dikatakan Sultan Tengah mempunyai dua lagi putera, iaitu Pengiran Badaruddin dan Pengiran Abdul Wahab (aku tak dapat cari pengesahan ni sebab aku tak jumpa nama mereka dalam salasilah).
  • Sultan Tengah akhirnya tiba di Pekan Lama dan bertemu dengan Ratu Sapuda (juga dikenali sebagai Ratu Sepudak). Ratu Sapuda mengizinkan Sultan Tengah menyebarkan ajaran Islam ditempatnya walaupun Ratu Sapuda sendiri bukan seorang Muslim. Sepanjang kehidupan Sultan Tengah di Sambas, Radin Sulaiman membesar, menjadi dewasa dan akhirnya dijodohkan dengan anak Ratu Sapuda iaitu Radin Emas Ayu Bungsu (juga dikenali sebagai Puteri Mas Ayu Bongsu). Radin Sulaiman dan Radin Emas mempunyai seorang anak iaitu Radin Bima (Sultan Muhd. Tajuddin Sultan Sambas II).
  • Selepas Ratu Sapuda mangkat, takhta baginda diganti oleh Prabu Pengiran Radin Kenchana yang melantik Radin Sulaiman sebagai Sultan. Dikatakan Ratu Sapuda mahu menyerahkan takhtanya pada Sultan Tengah kerana Sultan Tengah mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan tetapi hasrat Ratu Sapuda ditentang oleh kerabat diraja yang lain kerana Sultan Tengah bukan anak jati di tempat itu. Akhirnya Radin Sulaiman diangkat sebagai Sultan Sambas pertama. 
  • Credits: Ibnurusydi.blogspot.com
    Gambar Sultan Brunei/Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam
    di makam Sultan Tengah, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
    Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Al-Mu'izzaddin Waddaulah
    ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin.
  • Sekitar tahun 1630, Sultan Tengah berangkat meninggalkan Sambas dan menuju ke Matan (kini Wilayah Provinsi Kalimantan Barat). Di sana, baginda berkahwin dengan Puteri Matan dan mempunyai seorang anak iaitu Pengiran Mangku Negara. Pengiran Mangku Negara kemudiannya dilantik sebagai Sultan Matan.
  • Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, Sultan Tengah kembali semula ke Sarawak. Ketika baginda tiba di Batu Buaya, Santubong, Di sana, baginda dibunuh oleh salah seorang pengikut dan berita kemangkatan baginda diketahui oleh Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datu Temenggong. Baginda dimakamkan mengikut adat istiadat diraja Brunei. Dikatakan baginda mangkat pada tahun 1641, 10 tahun selepas Radin Sulaiman menjadi Sultan Sambas. Makam baginda terletak di Kampung Batu Buaya, Santubong.
  • Sedikit info, Raja Bonda, yakni Puteri Berunai (saudara sedarah Sultan Muhammad Hassan Brunei IX) berkahwin dengan Sultan Abd. Ghafor, anak Sultan Abdul Kadir. Salasilah Sultan Abdul Kadir boleh dijejaki dari Sultan Zainal Abidin, Sultan Mahmud, Sultan Muhammad Syah dari Pahang sehinggalah ke Sultan Mansur Shah Melaka dan Sultan Mudzaffar Shah Sultan Melaka V.
@themagi2015
ruj: Pensejarahan Melayu: Memperbaharui Makna Lama by Prof. Dr.Sanib Said | Sejarah Sarawak       blogspot | ibnurusydi | Salasilah Hubungan Kesultanan Brunei dan Sambas, dari Urai Moestafa bin Raden Mohd.Syah (Pontianak), dan disahkan oleh Brunei Historical Centre (Bandar Seri Begawan)- perkongsian ilmu oleh Dr. Idris Boi.

No comments:

Post a Comment