Thursday 3 January 2013

Cerita Pokok Pisang~



      Aku duduk di bangku rehat,  baru saja tiba ke kampung halaman setelah seharian terperap di dalam kapal terbang.  Sudah empat tahun aku di negara orang, mencari rezeki, membanting tulang. Aku belum betah meninggalkan usahaku, belum bersedia menyisip sasap jerami di tanah air sendiri. Pelat bahasaku juga sudah semakin ganjil. Lantas aku termenung. Untuk kesekian kali. Terkenangkan kerja di tanah seberang. Terkenangkan kampung yang kian jelas di mata. Aku teroleng-oleng memikirkan banyak perkara yang tidak harus diusai. Roda teksi pula semakin perlahan. Kemudian, aku tersenyum. Lambaian pohon pisang menyambut ketibaanku dengan penuh nostalgia.

          Ketibaan aku di kampung bukan satu kejutan kerana aku sendiri sudah memaklumkan kepada orang tuaku. Mereka hanya menyambutku di pintu dan menyajikan makanan kegemaranku, tidak lain tidak bukan, pisang bersambal. Aku makan dengan penuh berselera, ia mengingatkan aku pada zaman kecil dahulu. Aku sendiri tidak mahu percaya betapa jauhnya usiaku berlari. Usia sebegini seharusnya aku mendirikan rumah tangga dan berbahagia seperti temanku yang lain. Tapi rasanya, aku belum berjumpa tulang rusuk yang aku cari.

        Maka, pada hari tersebut, aku duduk berehat saja di rumah, menonton televisyen dan menerima kunjungan saudara mara yang mahu melihat wajahku. Aku berasa aku seperti baru saja pulang dari tanah suci, padahal aku ini datangnya dari tanah seberang. Sebaik saja mereka memandang aku, mereka terus bertanyakan bermacam-macam perkara. Aku terus terkapai mencari jawapan, kerana aku lebih tahu menulis, bukannya berbicara.

           Hari pun berlalu berganti mentari dan bulan di muka langit yang senantiasa berubah. Aku melelapkan mata dengan mimpi terpandang sate. Ah, aku terliur sendirian di atas bantal. Sedarnya aku keesokan paginya, aku teringat pada sate. Sehinggakan aku boleh tercium baunya walaupun tidak ada sate di dalam rumahku, apatah lagi kedai menjual sate di sekitar rumah. Barangkali, ini ialah petanda untuk aku menghabiskan masa dengan bapaku.

         Lantas,  aku mencari orang tuaku dan menyatakan hasratku mahu mencicip sate. Orang tuaku ketawa, biasanya aku tidak berapa suka akan sate kerana terdapat unsur karbon. Tapi kali ini tiba-tiba saja aku teringin, mungkin ini kesan dari duduk lama di negara orang. Takkan sama rasa makanan di tempat sendiri dengan makanan kita di tempat orang. Oleh itu, aku menurut langkah bapaku ke kebun pisang. Katanya mahu mencari daun pisang untuk dijadikan alas meletakkan sate yang sudah siap dicucuk. Ini memang gaya keluarga sebelah bapaku. Katanya lagi, ini konsep menjaga alam. 

          Setibanya kami di kebun pisang bapaku, aku kagum melihat hasil tani bapaku. Pisang di sana sini, hutan rimba kecil di telapak kaki juga tampak selesa untuk dilalui. Aku segera mencapai parang dan melihat daun pisang yang subur-subur belaka. Lantas, aku teringat pada cerita pokok pisang.


           “Ayah tau tak cerita pokok pisang?” aku memulakan bicaraku.

           “Cerita apa?” soal bapaku sambil membelek daun pisang.

     “Di tempat saya berkarya,  ada cerita seorang tua yang sering berjalan sendirian menangkap ikan dalam bubu. Orangnya pendiam dan sering termenung. Suatu hari, dia berjalan sendirian tanpa bubu. Masa itu, hujan lebat bersama petir. Tiba-tiba, dia disambar petir. Orang kampung terkejut tetapi tak sempat menolong. Bila cahaya petir mula beransur ghaib, lelaki tua itu bangun dari tanah lalu melemparkan daun pisang terbakar hangus ke dalam kali. Daun pisang jadi penyelamat dari disambar petir.”

            “Kamu pernah cuba ke?” usik bapaku lalu mencantas beberapa daun pisang.

       “Tak, saya tak pernah cuba. Tapi saya ada dengar satu lagi cerita mengenai pokok pisang. Dulu ada seorang budak suka bermain di tepi pokok pisang. Kemudian, dia ghaib. Orang tuanya mencari tanpa berputus asa. Tapi sehingga kini, budak itu terus hilang entah ke mana. Orang di sana percaya, budak itu diambil ‘orang’.”

          “Sebab itulah ayah tak bagi kamu empat beradik main kat bawah pokok pisang lepas hujan panas dan waktu Maghrib. Bukan kita je yang makhluk Tuhan kat bumi ni,” balas bapaku.

            “Jadi ayah pun tahu cerita pokok pisang dan benang merah?” aku bertanya.

        “Ai kamu ni. Jangan tanya soalan bukan-bukan masa dalam kebun ni,” bisik bapaku sambil ketawa. Ya, aku terlupa. Bukan aku dan bapa saja makhluk Tuhan di dalam kebun pisang ini. Yang lain pun ada juga, sedang memerhati.

            Sebelum kerja kami selesai, bapaku bertanyakan beberapa kisah lain mengenai pokok pisang. Aku pun bercerita dengan rancaknya mengenai jiranku yang takut pada pokok pisang, teman lelaki kawan perempuanku yang suka makan pisang dan kisah budak menjerit bila terpandang batang pisang yang disediakan oleh keluarga untuk berkhatan. Bapaku ketawa, katanya aku mengutip cerita-cerita yang kelakar semasa duduk di sana. Kemudian, bapaku bertanyakan aku mengenai kisah pokok pisang dan sate.

            “Kamu tahu tak atuk kamu tak makan sate melainkan sate buatan sendiri.”

            “Kenapa?” aku kehairanan.

         “Dulu, masa atuk kamu di tanah kelahirannya, ada penjual sate yang murah hati. Sate yang dijual tu sedap dan segar. Makan sepuluh cucuk pun tak kenyang. Ramai peniaga cuba nak korek rahsia penjual sate tu tapi tak berjaya.”

             “Jadi?” aku terus bertanya.

         “Lepas bertahun penjual sate tu berniaga,  beberapa kampung seberang dah bising pasal anak-anak balik mengaji hilang. Orang kampung mula buruk sangka. Jadi, anak kampung muda dan kuat dari beberapa buah kampung pun bergabung mencari punca. Lama-lama, orang ramai mula syak dengan si penjual sate.”

            “Jadi dialah pembunuhnya?” aku mencelah.

         “Ai, belum habis lagi cerita ni,”  seloroh bapaku lalu menyambung ceritanya.  “Jadi lepas beberapa bulan mengintip penjual sate tu, akhirnya mereka percaya dan yakin penjual sate tu la pembunuh kanak-kanak yang balik mengaji. Mereka pun tunggu di setiap pokok, di setiap laluan anak-anak balik mengaji dari surau dan bersedia. Persoalan sekarang, kenapa penjual sate tu dikatakan membunuh?”

            “Dendam? Mungkin ada kaitan dengan masa silam?” aku meneka.

             Tapi, jangkaan aku meleset sama sekali.

          Kemudian, bapaku menyambung cerita tersebut ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah. Bapaku menceritakan beberapa anak muda melihat kelibat penjual sate bersendirian di dalam semak, memerhatikan kanak-kanak yang berjalan bersendirian dengan pandangan mata seperti seekor macan, atau seperti harimau yang kelaparan. Apabila penjual sate itu menetapkan sasarannya, dengan sekelip mata, kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia tujuh ke lapan tahun hilang di dalam semak. Beberapa orang lelaki segera masuk ke dalam sampan dan mengejar penjual sate tersebut dengan senyap sehingga ke hilir sungai. Di situ terdapat kebun pisang yang besar dan sesak.

        “Kat sana, mereka melompat keluar dari sampan lalu menyusup ke dalam semak samun tebal,” kata bapaku. “Mereka nampak kanak-kanak tu dikendong dalam kain buruk, tengah pengsan. Mereka ikut penjual sate tu sampailah ke sebuah telaga lama, telaga buta. Kemudian, penjual sate tu letak budak tu ke tanah. Dia nak bunuh budak tu.”

          “Untuk apa?” aku tiba-tiba cemas.

          “Untuk kesenangan diri dia lah,” balas bapaku.

          “Ilmu sihir pelaris perniagaan?” aku menduga. Bapaku menggelengkan kepala.

      “Lepas budak tu dibaringkan ke tanah, penjual sate keluarkan pisau kerambit dan berniat nak sembelihkan budak tu. Sebelum dia sempat, berbelas-belas anak muda melompat, menumbuk dan menerajang penjual sate tu. Selepas bergelut beberapa minit, penjual sate tu kalah dan anak muda yang lain pun cepat-cepat menyelak daun-daun pisang  yang bertimbun menutup perigi tua tu.”

       “Mesti dia jumpa mayat kan?”  aku meneka dengan yakin. Sekiranya penjual sate itu pembunuh, haruslah ada mayat di dalam telaga tersebut.

         “Memang la jumpa mayat,” sahut bapaku.  “Tapi yang ada cuma kepala budak, isi perut terburai, tulang belulang. Bau busuk tak usahlah nak cakap. Tuhan aje yang tahu.”

        “Dia lapah budak-budak tu?” aku terkejut.

       “Itu la sumber daging percuma yang penjual sate tu dapat selama dia berniaga. Manusia, kalau hati dah busuk, kepala ingat nak duit, orang macam tu sanggup buat apa je. Lama-lama perangai pun dah macam binatang.”

         Kata-kata bapaku ada benarnya. Manusia sanggup berbuat apa saja demi kepentingan diri. Lama-kelamaan, mereka jauh lebih buas berbanding binatang. Mungkin sebab itu ada sesetengah orang tua berpesan ‘makhluk berkepala hitam itu lebih menakutkan dari makhluk yang tidak nampak.’ Makhluk berkepala hitam itu sebenarnya manusia.

       Setiba kami di rumah, ibuku sudah menyediakan bahan-bahan membuat sate.  Kami berkumpul bersama ahli keluarga yang lain, termasuk kakakku, suami dan anak-anaknya. Sepetang bersama keluarga membuatkan aku gembira. Gembira membantu ibu di dapur, gembira melihat anak-anak saudara dan gembira mendengar percikan daging yang dicucuh api. Dengan sekelip mata, bau harum semerbak menyapa deria. Aku duduk di kaki tangga dengan perasaan tidak sabar.

       “Haa, ini dia sate Tuk Man dah siap,” ujar bapaku kepada cucu-cucunya. Aku segera bangkit lalu membelek sate yang baru saja siap. Kulihat kakakku sibuk memotong timun dan kobis. Nampaknya kakakku juga prihatin dengan isu karbon yang selalu aku bebelkan sebelum ini. Kemudian, bapa beralih kepadaku lalu memberikan aku beberapa cucuk sate yang baharu saja siap.

           “Ini bahagian kamu,” ujar bapaku.

           “Ayah punya mana?” aku meninjau.

           “Ada lagi ni. Jangan risau. Ada banyak lagi.”

        Tidak lama selepas itu,  ibuku muncul membawa beberapa cucuk sate mentah. Bau harum makanan bertebaran lagi sehingga ke segenap penjuru rumah. Aku makan dengan berselera. Aku duduk mencangkung di tepi tangga sambil memerhatikan anak-anak saudaraku yang merengek kehausan. Tiba-tiba, ibuku mengusik aku.

            “Ai, sikit benar makan? Dah kenyang?”

            “Belum, tengah tunggu ni,” aku membalas.

           “Jangan risau, ada banyak lagi ni,” ujar bapaku.  “Kamu makan la berapa banyak yang kamu nak. Tak payah beli pun.”

               Entah bagaimana, kakakku berseloroh dengan wajah yang selamba. Terpempan aku dibuatnya.

         “Alah dik,  kalau sate ni tak cukup, kitorang boleh tangkap budak balik mengaji. Hahaha!”

        Aku dan bapa saling berpandangan. Aku tahu kakakku hanya bercanda, aku juga terlupa akan cerita tersebut untuk seketika. Tapi, alangkah baiknya jika dia bercanda apabila aku sudah benar-benar kenyang!

P/S: diolah semula berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku suatu ketika dahulu di tanah seberang.
#TMG2013

No comments:

Post a Comment