Mesir Purba kaya dengan binaan bersejarah, Piramid, kisah-kisah mistik, sejarah kehidupan pemerintah yakni Firaun, kekayaan harta benda, kesenian dan budaya, serta pelbagai jenis ilmu, termasuk ilmu kematian. Golongan Mesir Purba sangat menitikberatkan soal kematian mereka, bagaimana mayat mereka diuruskan, jampi serapah yang harus digunakan dan penggunaan tangkal kematian yang akan mengiringi mereka ke alam kekal.
Walaupun Mesir Purba kini hanya tinggal sejarah di mata dunia, beberapa perlambangan mereka terus hidup di zaman moden dan tersirat di dalam kehidupan kita pada masa kini.
Perlambangan Mesir Purba: Tangkal kematian
Mesir Purba mempunyai 104 jenis simbol tangkal kematian, ditemui di depan pintu masuk kompleks kuil yang dibina untuk Osiris, di kuil Hathor di Dendera. Dahulu, tangkal berperanan untuk melindungi mayat yang sudah diawet dari gangguan kuasa jahat. Kini, ia dijadikan simbolik atau lambang untuk beberapa perkara.
Ankh merupakan tangkal yang sinonim dengan Mesir Purba yang membawa maksud 'kehidupan, kestabilan dan kuasa'. Ia berbentuk seperti ikatan dan berkaitan dengan elemen udara dan air. Walaupun ankh dikatakan tidak ada kaitan dengan ajaran Kristian tetapi secara tidak langsung, ia menyerupai seperti tanda salib dan pernah didebatkan bahawa tanda ikatan di atas diibaratkan seperti titisan air mata yang terbalik. Simbol ankh juga mempengaruhi industri permainan seperti World of Warcraft, Ultima dan The Crash Bandicoot. Ia juga mempengaruhi siri kartun kanak-kanak seperti Nickeledeon House of Anubis dan juga siri anime Yu-Gi-Oh.
Eye of Horus ialah tangkal perlindungan, kuasa diraja dan juga kesihatan yang baik. Lambang tangkal ini merujuk kepada dewi Wadjet, dari perkataan 'wadj' yang bermaksud 'hijau' (juga dieja sebagai Wedjat yang merujuk kepada perkataan 'wedja' yang bermaksud 'kesejahteraan'). Pada awalnya, ia dikenali sebagai the Eye of Ra sebelum ditukar menjadi the Eye of Horus dan menjadi tangkal yang paling banyak digunakan pada mumia dari zaman Kerajaan Lama. Pada zaman kini, the Eye of Horus dikaitkan dengan golongan pemuja ilmu ghaib, filem-filem Hollywood seperti Tomb Rider dan National Treasure, persatuan Freemason, termasuk organisasi gelap Illuminati yang mengawal negara-negara besar masa kini. Lambang mata satu ini juga terpampang di atas duit kertas 1 dolar negara Amerika yang membawa makna kebijaksanaan dan pendedahan.
Scarab, atau khefer (tangkal berbentuk kumbang) ialah tangkal popular bagi Mesir Purba yang dilihat membawa maksud kebangkitan, kehidupan baru dan idea penciptaan. Peranan Scarab lebih dari sekadar tangkal kematian, ia juga dijadikan sebagai bentuk barangan kemas, azimat bertuah dan hadiah kasih sayang. Pada zaman kini, scarab dijelmakan secara tidak langsung dalam kereta keluaran Jerman iaitu Volkswagen Beetle yang diinspirasikan dari kumbang, dan menurut kertas kerja Bret C. Ratcliffe dari University of Nebraska-Lincoln yang bertajuk Scarab Beetles in Human Culture, teori kaitan antara kumbang rusa dengan kebangkitan Christ diterima secara meluas malah pelukis Jerman, Albrecht Durer meletakkan simbol kumbang bersama Christ di dalam lukisan beliau. Tetikus komputer juga menyerupai scarab.
Djed merupakan tangkal kehidupan dan kematian bagi golongan Mesir Purba. Ia diinspirasikan dari tulang belakang Osiris dan membawa maksud kestabilan. Bentuk Djed menyerupai tiang, diletakkan di bahagian tulang pinggul mumia bagi tujuan kebangkitan semula dan hidup abadi di alam kekal. Pada masa kini, ia kelihatan dalam beberapa bentuk dan struktur, mungkin seperti Menara Eiffel, buah catur (rook) ataupun binaan menara oriental. Djed juga merujuk kepada golongan yang terlibat dengan dunia material dan spiritual, juga disebut sebagai axis mundi.
Simbolik tangkal yang lain
Lotus: simbol bunga teratai biru dikaitkan sebagai kemabukan dan memberi makna mistik dalam kehidupan dan cahaya. Ia juga merujuk kepada seksualti dan keseronokan deria. Simbol bunga teratai pada masa kini lebih kepada sifat keagamaan (Buddha dan Hindu), dijelmakan dalam siri kartun Nickelodeon The Legend of Korra (patung Aang bersama bunga teratai), jenama kereta (Lotus Cars), dan menjadi bunga kebangsaan di India.
Khefa: Simbol penumbuk atau khefa ialah tangkal yang dikaitkan dengan prinsip seksualiti wanita. Ia juga disebut sebagai 'The God's Hand'. Pada masa kini, ia dihubungkan dengan frasa 'get a grip on your feelings'. Bukan itu saja, simbol penumbuk digunakan dalam pelbagai jenis poster perang, filem dan juga zaman revolusi (rujuk Raised Fist di Wikipedia)
Nefer sign: Nefer yang membawa maksud 'kegembiraan' dan 'kecantikan' merupakan simbol tangkal untuk tuah, bahagia dan awet muda. Golongan Mesir Purba percaya bahawa tangkal Nefer memberi mereka kuasa untuk menikmati kehidupan serta kekal cantik. Tangkal Nefer menyerupai sudu yang terbalik dan kelihatan seperti alat muzik gambus, sitar dan erhu.
Other Ref:
http://www.touregypt.net/featurestories/amulets.htm
http://altreligion.about.com/od/symbols/p/Eye-Of-Horus-Ancient-Egyptian-Symbol.htm
http://www.truthisthesoulofthesun.com/AncientEgyptianAmulets.htm
Lorna Oakes and Lucia Gahlin; Ancient Egypt (2010: Hermes House)
Mark O'Connell, Raje Airey and Richard Craze; The Ultimate Illustrated Guide to DSS (2007: Hermes House)
Wikipedia Encyclopedia.
Mark O'Connell, Raje Airey and Richard Craze; The Ultimate Illustrated Guide to DSS (2007: Hermes House)
Wikipedia Encyclopedia.
No comments:
Post a Comment