Wednesday, 10 April 2013

Bibliomania VS Bibliophilia: Kegilaan Terhadap Buku

Buku merupakan satu item yang paling banyak digunakan di seluruh dunia, dari tahap tadika sampailah ke tahap universiti. Buku mempunyai kategori yang tersendiri (boleh rujuk di mana-mana perpustakaan) dan setiap buku ada keistimewaannya. Oleh sebab itu, maka wujudnya dua istilah penyakit iaitu Bibliomania dan Bibliophilia.


Apa itu Bibliomania?


Bibliomania adalah sejenis penyakit mental, simptom Obsessive-Compulsive Disorder. Si pesakit mempunyai kecenderungan melampau dalam mengumpul buku-buku yang diminati walaupun ia tidak membawa sebarang manfaat kepadanya. Secara ringkasnya, si pesakit cuma mengumpul buku untuk disimpan, bukannya untuk dibaca. Si pesakit Bibliomania ini juga ketagih untuk membeli naskhah buku yang sama dan juga edisi yang sama semata-mata untuk memuaskan keinginannya yang pelik. Kegilaan terhadap buku (Bibliomania) ini juga boleh menyebabkan beberapa penyakit mental yang lain iaitu:




1. Bibliokleptomania : Penyakit suka mencuri buku yang kompulsif
2. Biliotaphy             : Penyakit suka tanam buku
3. Bibliophagy          : Penyakit makan buku (book-eating)


Istilah Bibliomania ini wujud menerusi John Ferriar (1761-1815), seorang ahli fizik dari Manchester Royal Infirmary di mana beliau mencipta satu puisi pada 1809 untuk kawan beliau yang sangat gilakan buku, Richard Heber (1773-1833). Simptom penyakit Bibliomania ini boleh dilihat menerusi kegilaan dalam mengumpul naskhah unik, naskhah jarang dijumpai, jenis fine paper atau vellum paper, buku edisi pertama, buku berilustrasi, buku jenis blackletter, buku yang diharamkan atau naskhah ditindas.

Antara golongan yang mengidap penyakit Bibliomania ialah:
  • Stephen Blumberg, pencuri buku terkenal dari U.S dan digelar sebagai The Book Bandit disabit kesalahan mencuri buku yang bernilai $5.3 milion dari perpustakaan awam dan juga perpustakaan universiti.
  • Sir Thomas Phillipps, 1st Baronet (1792-1872) menderita beberapa jenis simptom Bibliomania. Beliau  mempunyai koleksi buku dan manuskrip sebanyak 160000 naskhah, dilelong selama 100 tahun selepas kematian beliau.
  • Reverand W.F Whitcher, seorang pastor Methodist pada abad ke-19 mempunyai kegilaan mencuri dan menjilid semula buku-buku yang jarang dijumpai untuk dijadikan koleksi peribadi beliau.

Apa itu Bibliophilia?

Bibliophilia adalah penyakit mencintai dan mengagumi buku. Ia juga merujuk kepada sifat ulat buku yang suka membaca buku dan menyukai isi kandungan buku. Si pencinta buku ini tidak ada kecenderungan yang melampau untuk memiliki buku; mereka mungkin mencari alternatif lain untuk memenuhi kehendak mereka dengan berkunjung ke perpustakaan dan juga berminat dalam mengumpul buku dalam skala yang munasabah.

Bibliophilia tidak boleh disamakan dengan Bibliomania kerana Bibliophilia bukan sejenis penyakit mental (Obsessive-Compulsive Disorder). Bibliophilia ini bersifat lebih kepada hobi mengumpul buku atau mempunyai koleksi peribadi terhadap buku-buku yang diminati (personal mini-library). Istilah mempunyai koleksi buku-buku peribadi sebenarnya sudah bermula pada zaman Rom di mana tokoh seperti Cicero dan Atticus mempunyai perpustakaan peribadi. Maka, si pengidap Bibliophilia menganggap buku sebagai teman baik, bukannya sebagai koleksi peribadi semata-mata.

p/s: 80 peratus Bibliophilia+ 20 peratus Bibliomania= itu saya...

________________________________________
Untuk maklumat lanjut sila rujuk:

Wikipedia: Bibliomania and Bibliophilia

#tmg2013

No comments:

Post a Comment