Sunday 17 May 2015

Wanita dalam keluarga Brooke

Salam Ahad. Cuaca indah di Kuching pada hari ini. Memandangkan semalam aku dah keluar dan terbeli buku mahal yang bertajuk White Rajah by Nigel Barley (walaupun mahal tapi aku redho je sebab aku dah suka buku tu), hari ini aku berhajat nak mengarang kisah berkenaan dengan para wanita dalam keluarga Brooke. Biasanya Kuchingites tahu tentang sejarah ketiga-tiga kisah Rajah di Sarawak, tapi kita tak tahu wanita yang ada di dalam hidup mereka.

1. Anna Maria Brooke

Anna Maria Brooke (nama asal: Anna Maria Stuart) ialah ibu kepada James Brooke, Rajah Pertama di Sarawak. Beliau ialah anak luar nikah Kolonel William Stuart 9th Lord Blantyre dan Harriet Teasdale (rujuk ThePeerage). Terdapat deskripsi kontemporari berkenaan dengan Anna Maria iaitu:

"A very shy and retiring woman, not handsome or even pretty...for her mouth was rather screwed-up and a little underhung, but her complexion was perfectly lovely, and she had soft blue eyes and delicate features...Mrs.Brooke was a woman who, as the fashion was in those days, dressed much older for her age than people do now, but she always seemed to have on the best and the most proper thing...I never saw her in anything gay or startling. She was like her style of dress and a very sweet lovable person: one who never raised her voice, nor should I think she had ever uttered an angry word in her life."



2. Margaret Brooke


Image result for margaret brooke sarawak
Margaret Brooke ( nama asal: Margaret Alice Lili de Windt) ialah isteri kepada Charles Anthony Johnson Brooke, Rajah Kedua di Sarawak. Beliau merupakan anak Kapten Joseph Clayton Jennyns de Windt of Blunston Hall dan Elizabeth Sarah Johnson. Hasil perkahwinan beliau dengan Rajah Kedua, mereka memiliki 6 orang anak tetapi hanya 3 sahaja yang hidup. Beliau digambarkan sebagai wanita muda yang mempunyai impian untuk mengembara, meneroka dan menjelajah. Ketika menjadi Ranee Sarawak, beliau digambarkan sebagai wanita penyayang dan bijak. Sepanjang keberadaan di Sarawak, beliau menggunakan kesempatan yang ada untuk memahami budaya dan adat penduduk tempatan. Menurut buku karangan beliau Good Morning and Good Night, kehidupan beliau di Sarawak bersifat 'benevolent', 'patronising'...'as it's clear that she loved being there, remote as it was..."

3.  Anne Brooke

Anne Brooke (nama asal: Annie Grant)  merupakan isteri pertama anak saudara Rajah Pertama, Kapten John Brooke Johnson-Brooke. Menjadi isteri kepada Rajah Muda ketika berusia 24 tahun, hayat Anne tidak panjang kerana demam selama 12 hari selepas melahirkan anak keduanya, Hope Brooke. Demam itu menyebabkan Anne meninggal dunia di usia muda (pada tahun 1858) dan dikuburkan di tanah perkuburan Brooke. Selepas kematian Anne, anak sulungnya yang bernama Francis Basil Brooke akhirnya meninggal dunia ketika berusia 3 tahun dan dikuburkan di sebelah kubur Anne. 

4. Julia Brooke

Julia Brooke (nama asal: Julia Caroline Welstead) merupakan isteri kedua Kapten Brooke. Beliau bertunang dengan Kapten Brooke di England dan berkahwin di Kuching. Pergeseran antara Kapten Brooke dan bapa saudaranya, James Brooke berkenaan dengan urusan perlindungan Sarawak telah menyebabkan Kapten Brooke bertindak mengirim surat pada Julia dengan niat untuk memansuhkan pertunangan. Tetapi surat itu tiba beberapa bulan selepas Julia berkahwin dengan Kapten Brooke. Julia dikatakan sangat cermat menjaga kubur Anne dan Francis, tetapi tekanan yang dialaminya akibat kesunyian dan juga hubungan dingin Kapten Brooke dengan James Brooke menyebabkan Julia seperti terpanggil untuk mengikuti Anne. Pada 1862, Julia meninggal dunia selepas melahirkan anak yang diberi nama Agnes, ketika beliau berusia 28 tahun.

5. Sylvia Brooke

Sylvia Brooke (nama asal: Sylvia Leonora Brett) ialah isteri Rajah Ketiga, Charles Vyner Brooke. Beliau merupakan golongan aristokrat di England, anak kepada Reginald Baliol Brett the 2nd Viscount Esher KCB dan Eleanor, anak ke-3 ahli politik Belgium Sylvain Van de Weyer. Kehidupan awal Sylvia dikatakan penuh masalah kerana Sylvia pernah cuba membunuh diri sebanyak 2 kali- memakan sardin basi pada kali pertama dan berbaring di atas salji tanpa pakaian pada kali kedua. Setelah menjadi isteri Rajah Ketiga, beliau menggelar dirinya dengan gelaran 'Queen of Headhunters' dan memiliki perwatakan yang berani, aneh dan keras kepala. Beliau pernah mencuba untuk mencalonkan anak pertamanya, Dayang Leonora sebagai Rajah ke-4 dan merancang untuk membuang nama pewaris iaitu Anthony Brooke. Sylvia juga digambarkan sebagai:

"Shortly after her marriage, she wanted 'crowns plastered everywhere'...her lack of restraint as Ranee shocked serious-minded members of the Sarawak service...in 1930 the chief justice complained to his (Charles Vyner) mother about the unbelievable amount of smut in Her Highness's conversation."

Di sebalik pemikiran aneh Sylvia, beliau pernah menyatakan bahawa pengembaraannya ke Sarawak adalah seperti 'like a dream come true' dan penghijrahannya ke London selepas Sarawak diserahkan kepada pihak British seperti 'we had a feeling of isolation...of not belonging...', mengenangkan banyak perkara di Sarawak dan akhirnya beliau menyebut..."Perhaps I had enjoyed that more than I should."

6. Gladys Brooke


Gladys Brooke (nama asal: Gladys Milton Palmer) ialah isteri kepada Tuan Muda Bertram Willes Dayrell Brooke, anak Rajah Kedua dan adik Rajah Ketiga. Beliau merupakan anak kepada Sir William Palmer 1st Baronet dan Jean Craig. Beliau juga waris syarikat Huntley & Palmer yang mengeluarkan produk biskut Osborne yang terkenal di Sarawak. Beliau juga dikatakan suka menemani ibu mertuanya, Ranee Margaret pergi mendekati perempuan Melayu Sarawak dalam pelbagai acara tempatan.

Suaminya, Tuan Muda Bertram Brooke nyaris dipilih sebagai Rajah ke-4 tetapi kesihatan Tuan Muda Bertram tidak mengizinkan dan Rajah Ketiga memutuskan untuk memilih anak tunggal Gladys iaitu Anthony Brooke sebagai pengganti. Setelah gelaran Rajah Muda diserahkan kepada Anthony, Gladys dan suaminya berpindah ke United Kingdom tetapi perkahwinan mereka tidak berlangsung lama dan memilih untuk membawa haluan masing-masing. Setelah bercerai, Gladys menceburi bidang perfileman dan menghasilkan sebuah filem bertajuk Potter's Clay pada tahun 1922. Walau bagaimanapun, syarikat perfileman Gladys mengalami masalah kewangan dan akhirnya Gladys membawa diri mencari hala tuju baharu. Pada tahun 1932, Gladys memilih untuk memeluk Islam dan menukar namanya menjadi Khairunnisa Abdullah. Beliau meninggal dunia pada 1952 di Colombo, Ceylon.

*Info tambahan:
Image result for gita brooke
Gita Brooke
  • Kathleen Brooke (nama asal Kathleen Mary Hudden) merupakan isteri pertama Anthony Brooke. Beliau merupakan anak William Eward Cecil Hudden yang berasal dari Somerset. Beliau mempunyai 3 orang anak iaitu James Bertram Lionel Brooke, Angela Carole Brooke dan Celia Margaret Brooke.
  • Gita Brooke (nama asal: Brigitte Keller) merupakan isteri kedua Anthony Brooke. Beliau merupakan seorang aktivitis keamanan dan mereka hidup bersama di Wanganui, New Zealand sehingga Anthony menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2011. Pada tahun 2013, Gita telah menguruskan permintaan terakhir suaminya yang mahu dikuburkan di Sarawak iaitu di tanah perkuburan Brooke.



@themagi2015

ruj: hintstoladytravellers.blogspot.com| wikipedia | telegraph.co.uk | Sarawak Long Ago by W.J Chater | White Rajah: James Brooke by Nigel Barley | New Straits Time (24 Feb 1990- Crumbling testimony to the White Rajahs) | The Star (16 April 2008- Graves of Sarawak's former ruling Brooke family moved) | The Patriots | Ibnurusydi.blogspot.com | thepeerage.com | The Borneo Post (12 Sept 2013)- Gita Brooke's heart forever beat for S'wak

No comments:

Post a Comment