Selamat pagi, pengunjung blog MaGi! Entri ke-5 untuk bulan Ogos yang penuh semangat patriotik. Tapi aku bukannya nak update sesuatu yang berunsurkan patriotisme. Semalam, ada beberapa orang pelajar yang melepak kat dalam bilik kerja aku tunjuk minat dalam beberapa isu yang menarik (pada pendapat aku la). Tapi mereka tak dapat info yang jelas tentang perkara tersebut. Jadi dalam ruangan entri ni, aku nak kongsikan isu tersebut secara ringkas dan padat. Harap budak-budak tu faham la apa yang aku nak sampaikan.
Ladang Myrtles
Credits: the-line-up.com |
Ia merupakan sebuah kawasan perladangan yang terletak di St. Francisville, Louisiana, Amerika Syarikat, Tempat ini dimajukan oleh Jeneral David Bradford pada tahun 1796. Apa yang menariknya, tanah ladang yang dibeli oleh Jeneral David Bradford itu merupakan tapak perkuburan keramat bagi suku kaum Indian dan tapak tersebut merupakan kawasan paling menyeramkan di dunia. Sebuah rumah dengan rekabentuk kotej Creole telah dibina di atas tapak ladang tersebut dan pada awalnya kawasan itu dinamakan sebagai Laurel Grove. Jeneral Bradford mendiami rumah itu seorang diri selama beberapa tahun sebelum beliau berpindah ke Pennsylvania atas urusan kerja. Setelah Jeneral Bradford meninggal dunia pada tahun 1808, isteri beliau Elizabeth meneruskan kerja-kerja perladangan di Ladang Myrtles dan diteruskan oleh menantu beliau Clarke Woodruff.
Credits: nps.gov |
Kisah seram mengenai ladang ini bermula, kononnya rumah Jeneral Bradford dihuni oleh roh-roh berkeliaran dan dikatakan ada 10 kes pembunuhan di rumah tersebut. Antara kisah seram yang sering menghantui rumah tersebut ialah hantu Cleo. Cleo merupakan bekas pekerja ladang yang muda dan kononnya pernah dihukum potong telinga oleh Jeneral Bradford. Akibat dendam, Cleo mencampur racun ke dalam makanan Sara Matilda (anak Jeneral) dan dua cucu Jeneral. Disebabkan tindakannya, Cleo dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan dikatakan roh Cleo berkeliaran di dalam rumah tersebut. Hantu kedua yang sering dilaporkan berkeliaran ialah William Drew Winter, peguam ladang yang mati ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali. Winter dikatakan cuba menyelamatkan diri sebelum ditemui mati di atas tangga pada anak tangga yang ke-17. Derap kakinya di atas tangga masih kedengaran sehingga ke hari ini. Antara hantu-hantu lain yang dilaporkan ialah anak-anak Sara Matilda yang mati dibunuh, dikatakan muncul di kawasan balkoni dan bermain-main. Selain itu, kelibat roh pekerja ladang berkulit hitam dikatakan muncul secara tiba-tiba sambil bertanyakan kerja-kerja yang patut mereka buat. Malah, lembaga menyerupai puak Indian menjelma dan berkeliaran di sekitar rumah.
Nombor Telefon 0888 888 8888
Credits: hdwon.net |
Nombor telefon ini dikatakan nombor paling berpuaka dan ia disamakan dengan nombor 13 atau nombor 4. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, nombor 4 bermaksud mati dan setiap bangunan tidak dilabelkan dengan 'tingkat 4' tetapi sebaliknya disebut sebagai tingkat '3A'. Bagi masyarakat Barat, nombor 13 membawa maksud kematian dan setiap bangunan tidak dilabelkan dengan 'tingkat 13' tetapi sebaliknya dilabel dengan cara yang sama seperti masyarakat Cina lakukan. Di Bulgaria, mereka menyedari corak kematian menerusi nombor telefon iaitu 0888 888 8888. Menerusi kajian, kesemua pemilik nombor tersebut menemui ajal. Pemilik nombor yang pertama iaitu pengasas syarikat telefon Mobitel iaitu Vladimir Grashnov menemui ajal akibat kanser pada tahun 2001. Pemilik kedua nombor iaitu Konstantin Dimitrov, seorang mafia Bulgaria ditemui mati bersama telefonnya akibat dibunuh oleh mafia Rusia akibat cemburu. Pemilik nombor ketiga iaitu Konstantin Dishliev, seorang pengedar kokain pula dibunuh pada tahun 2005 di luar restoran. Dan sejak dari itu, nombor tersebut digantung dan sesiapa yang mendail nombor tersebut akan menerima mesej 'Outside Network Coverage.'
Berlian Hitam Orlov
Credits: naturallycolored.com |
Berlian Hitam Orlov, juga dieja sebagai Orloff merupakan berlian hitam yang mengandungi misteri dan kisah-kisah berdarah. Dikenali sebagai The Eye of Brahma Diamond, berlian seberat 67.50 carat ini berasal dari India dan ditemui pada abad ke-19. Legenda mengatakan bahawa batu berlian tersebut merupakan salah satu mata patung Brahma yang terletak di kuil Hindu Pondicherry. Batu tersebut kemudiannya dikatakan telah dicuri oleh salah seorang sami yang merantau dan menyebabkan batu tersebut disumpah.
Berlian ini ditemui pada tahun 1932 oleh peniaga berlian, J.W Paris dan dibawa ke Amerika dan dalam tempoh seminggu berada di New York, beliau berjaya menjual berlian tersebut. Apa yang menariknya, beberapa hari kemudian iaitu pada 7 April tahun yang sama, beliau menaiki bangunan pencakar langit Manhattan di tengah-tengah 5th Avenue dan melompat terjun ke bawah. Beliau merupakan mangsa pertama sumpahan berlian tersebut. Seterusnya, berlian tersebut dimiliki oleh puteri Rusia iaitu Puteri Nadia Vygin-Orlov (di situlah berlian ini mendapat nama) dan puteri itu membunuh diri dengan melompat terjun di sebuah bangunan di Rom, 15 tahun selepas kematian J.W Paris iaitu pada tahun 1947. Apa yang lebih menarik, sebulan sebelum kematian Puteri Nadia, seorang lagi puteri Rusia iaitu Puteri Leonila Viktorovna-Bariatinsky juga membunuh diri dengan cara melompat jatuh dari bangunan tinggi dan sebelum kematiannya, berlian itu diserahkan kepadanya. Bagi menghilangkan sumpahannya, berlian tersebut telah dipotong sekali lagi pada tahun 1950 oleh Austrian Jeweller di atas permintaan pemiliknya, Charles F. Winston. Ia mengambil masa dua tahun untuk dipotong dan dikatakan sumpahan itu telah berakhir.
Berlian Hope
Credits: si.edu |
Berlian ini mendapat nama dari pemiliknya, Henry Philip Hope (1774-1839) tetapi sebelum berlian ini mendapat nama, ia dikenali sebagai Tarvenier Blue dan ia dibeli oleh peniaga berlian Perancis, Jean-Baptiste Tarvenier pada tahun 1666. Kemudian, batu berlian ini dipotong dan dimiliki oleh King Louis XIV pada tahun 1668. Selepas itu, berlian ini dicuri, hilang untuk seketika dan ditemui semula. Pada tahu 1791, ia dipotong sekali lagi dan dijual oleh Henry P. Hope. Berlian ini pernah dimiliki oleh lebih 20 orang (termasuk pencuri yang pernah mencuri berlian ini) dan berlian ini dipercayai membawa sumpahan yang tersendiri.
Berlian ini dikatakan berasal dari Andra Pradesh, India dari kerajaan Golkonda pada abad ke-17 dan ia dipercayai salah satu mata patung Sita, isteri Dewa Rama iaitu Avatar ke-7 Vishnu. Kononnya, ia telah dicuri dan menjadikan batu tersebut disumpah. Berlian seberat 45.52 carat dikatakan mendatangkan mudarat kepada sesiapa yang memilikinya. Sebagai contoh, Jacques Colet dikatakan telah membunuh diri selepas membeli berlian Hope. Seterusnya, Putera Ivan Kanitovski membeli berlian tersebut dari Colet (sebelum Colet membunuh diri) tapi kemudian dibunuh oleh pejuang revolusi Rusia. Berlian tersebut sempat dipinjamkan oleh Kanitivski kepada Mlle Ladue yang seterusnya mati dibunuh oleh kekasih. Kemudian berlian itu dijual kepada Sultan Turki yang akhirnya mati dibuang ke dalam jurang bersama isteri dan anaknya. Penjaga berlian, Kulub Bey pula mati dibunuh oleh samseng di Turki dan setiap pemilik yang lain dikatakan mati dalam keadaan yang menyedihkan. Walau bagaimanapun, setiap kes kematian tersebut tidak dapat disahihkan dan kononnya kisah sumpahan berlian Hope ini cuma tokok tambah untuk menambahkan nilai terhadap berlian tersebut.
Si Patung Robert
Credits: atlasobscura.com |
Patung bernama Robert dikatakan patung yang berhantu dan pemilik asal Robert ialah Robert Eugene Otto, seorang pelukis yang tinggal di Key West, Florida. Patung Robert itu dikatakan pemberian datuk Otto yang membeli patung tersebut di Jerman sebagai hadiah hari lahir kepada Otto. Terdapat kisah lain yang menyatakan bahawa patung Robert ini diberi oleh seorang hamba Bahamas kepada Otto pada tahun 1906 dan patung itu dipercayai digunakan untuk amalan ilmu hitam dan voodoo.
Keluarga Otto menyedari Otto sering berbual-bual bersama Robert sejak dari kecil dan ia berlanjutan sehingga Otto meningkat dewasa. Hubungan Otto dan Robert dilihat tidak sihat dan membimbangkan. Malah, keluarga Otto pernah terdengar suara Robert dan jiran tetangga pula melihat Robert bergerak dari tingkap ke tingkap. Setelah Otto meninggal dunia pada tahun 1974, Robert dihantar ke Old Post Office and Customhouse pada bulan Oktober dan dipercayai berlakunya beberapa situasi aneh berlaku di sana. Kemudian, beberapa aktiviti seram dicatatkan di Clearwater, Florida pada tahun 2008 ketika Robert dibawa ke sana untuk konvensyen paranormal. Kini ia berada di Muzium East Martello. Pihak muzium telah melakukan sedikit pencarian maklumat mengenai Robert dan mendapati Robert dicipta di Steiff Company, syarikat yang sama merekabentuk patung teddy bear bersempena dengan Theodore Roosevelt (Presiden Amerika) dan Robert sebenarnya bukan produk untuk dijual. Sebaliknya, ia direka produk pameran. Apa yang menariknya, ketika Robert masih disimpan di rumah Otto yang dibeli oleh Myrtle Reuter, beliau terdengar suara ketawa anak kecil, derap kaki dan sebagainya. Malah, ekspresi wajah Robert juga berubah jika Otto diburuk-burukkan.
@themagi2017
Rujukan
wikipedia/hopediamond | wikipedia/blackorlov | gemselect.com/blackorlov| telegraph.co.uk/mobilephone|indianexpress/spookynumber|
kaskus.co.id/perkebunanmyrtles wikipedia/myrtlesplantation | atlasobscura/robertthedoll
No comments:
Post a Comment