Sunday, 22 April 2012

Anda Suka Cerpen Melayu?

Intro...*hehe..rasa macam dah lama sangat x hantar bahan dalam bahasa Melayu. Cerpen yang dibuat 5 tahun dulu (lama dah, haha)...xpenah anta kat mana2 kontes. Terperap je dalam laptop. Jadi, setakat ni je la intro...selamat membaca =)


Untuk Perempuan Yang Ada Segalanya.


            Mentari memancar begitu menikam sekali. Langit pula ketandusan awan nan putih, menambahkan lagi keperitan bahangnya. Anak-anakku seramai tiga orang itu sudah kegelisahan di tempat duduknya, suamiku pula apatah lagi. Namun, tiada seorang pun mengoceh dan merungut apa-apa, bagi mereka ini panas rahmat agaknya.

         “ Jauh lagi ke mak?” Anakku yang pertama, Kristy, tujuh belas tahun, sudah pun bersuara. Peluhnya memercik mengalir halus di dahinya.

“ Sekejap lagi sampailah,” pujuk suamiku pula. Tangannya asyik memutar sterengke kiri dan ke kanan. Sesekali dia akan menekan hon dan termenung seketika. Entahlah kenapa lebuhraya kali ini begitu sesak sekali. Pening kepalaku dibuatnya.

“ Mak, jauh lagi ke?” Yasha, anakku yang berada di Tingkatan Tiga juga sudah membuka mulut. Rambutnya yang paras bahu itu sudah kusai dibasahi peluh sungguhpun penghawa dingin sudah kuhidup pada tahap maksimum.

“ Kejap lagi sampailah kita ya.” Kali ini, aku pula yang memujuk anak-anakku. Aku harap mereka dapat bertahan untuk sekejap lagi. Bukannya apa, kami semua ingin menziarahi sahabat lamaku, Lina yang asyik jatuh sakit sejak akhir-akhir ini. Katanya, diserang penyakit tua. Aku bimbang pada kesihatan Lina, lebih-lebih lagi Lina duduk bersendirian di dalam banglo mewah tiga tingkatnya. Pasti terasa benar suasana dingin dan sepi menyelubungi hari-harinya di sana. Atas dasar itulah aku membawa anak-anakku sekali, biar banglo itu hidup dengan suara anak-anak muda.

“ Banyak betul kereta. Boleh sampai ke kita ‘ni?” Anakku yang ketiga, Adam, lapan tahun usianya sudah mula membebel. Suamiku tertawa pada bebelannya.

“ Boleh sampai, Adam. Sekejap lagi. Lepas jalan ‘ni dah lengang sikit, kita jalan terus, belok kiri , pusing bulatan, masuk kanan…hah, sampailah kat rumah Auntie Lina.”

Aku menghenyakkan tubuhku pada kusyen kereta dengan gelengan kepala. Hanya suamiku saja yang mampu melayan kerenah anak-anak. Sambil memerhatikan puluhan kenderaan yang berderet di hadapan kami, mindaku digamit oleh wajah ayu Lina semasa muda. Sudah lama kami bersahabat, sejak kami berusia tujuh tahun lagi. Itupun disebabkan kami berjiran dan ibuku bekerja sebagai penjaga Lina apabila ibu bapa Lina pergi bertugas. Namun, Lina tidak memandang darjat. Dia sudi menjadi sahabatku ketika aku disisihkan oleh kanak-kanak lain. Sebab itu aku sangat menyayanginya sehingga kini. Entahlah, tiba-tiba saja aku dibawa kembali mengingatimu, Lina.

            Lina, sebentar lagi aku akan datang menjengukmu. Kau tunggulah ketibaanku di muka pintu dengan senyuman.

            Aku mengenali Lina apabila keluarganya berpindah di sebelah rumah kami yang kecil seperti teratak . Lebih-lebih lagi dia dijaga oleh ibuku apabila ibu bapa bekerja pada sebelah pagi. Kadang-kadang, Lina akan bermalam di rumah kami sekiranya ibu bapa Lina dihantar berkursus. Aku kagum pada Lina sejak pertama kali kami berkenalan. Dia punya mata yang galak dan bersinar. Rambutnya pula keperang-perangan seperti anak orang Barat dan lembut panjang hingga ke pinggul. Kulitnya pula begitu cerah jika dibandingkan dengan aku yang gelap terbakar ini. Dia juga memiliki susuk tubuh yang tinggi lampai, lemah lembut dan punya otak yang cerdas. Malah, dia turut menikmati kekayaan keluarganya. Sungguh beruntung sekali jika aku menjadi Lina. Namun, impian itu tinggal impian. Masakan aku boleh menjadi Lina? Aku hanya boleh menjadi diri aku sendiri, cuma Hajar sahaja.

Apabila kami sama-sama meningkat usia, Lina menjadi perhatian guru-guru sekolah rendahku. Dia menjadi murid kesayangan, intan permata. Segala peluang yang baik-baik akan diserahkan pada Lina terlebih dahulu dan saki baki peluang yang tinggal akan dikutip oleh murid peringkat sederhana seperti aku.

“ Johan menulis karangan… Lina Ashikin!”

“ Johan catur… Lina Ashikin!”

“ Pemenang tempat kedua pertandingan melukis poster… Lina Ashikin!”

“ Lina Ashikin… pelajar harapan tahun ini!”

            Ya, Lina Ashikin. Hanya nama itu saja yang aku dengar sepanjang aku berada di bangku sekolah rendah. Hanya nama itu saja yang bergema pada corong pembesar suara. Hanya nama itulah yang diumumkan dan disebut-sebut. Hebat sungguh Lina! Aku cemburu pada kelebihannya.        

            Belum terhakis lagi rasa cemburuku itu, nama Lina disebut-sebut lagi. Ketika itu, kami sudah menapak masuk ke dalam sekolah menengah. Lina diintai oleh pelajar-pelajar lelaki disebabkan rupa parasnya yang sememangnya cantik sejak kecil lagi, semakin terserlah dan begitu menonjol apabila menginjak remaja. Guru-guru juga amat cenderung untuk mendapatkan khidmat Lina. Lina punya suara yang lantang dan wajah yang yakin untuk bersyarah atau berdebat, punya tubuh yang cergas untuk bersukan terutamanya dalam sukan balapan dan lompat tinggi. Sukan yang paling kubenci sekali. Malah, dia sering kali mencatatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, membuatkan aku termangu-mangu. Kenapa Lina memiliki banyak keistimewaan berbanding aku? Kenapa Lina punya otak yang cerdas berbanding aku padahal Tuhan menciptakan setiap manusia dengan otak yang sama? Apakah aku tidak cukup rajin? Tidak cukup usaha? Lina, alangkah beruntungnya jika aku menjadi kau.

            Kemudian, usia kami berdua melangkau tujuh belas tahun. Usia anak muda dengan semangat remaja yang membara. Ditambah pula dengan perasaan halus murni yang melingkari usia tersebut. Menjadi pemanis usia. Ya, aku jatuh cinta pada seniorku, Hadi, seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam. Wajahnya tulus dan budiman sekali. Lantas kubisikkan pada Lina saja tentang perasaanku itu tetapi aku tidak meluahkan kepada sesiapa pun disebabkan aku malu. Aku adalah kebalikan bagi segala keistimewaan Lina. Aku tidak ada keyakinan untuk mengucapkan perasaan itu pada Hadi. Sungguh-sungguh
aku malu ketika itu.

“ Kau suka betul pada Hadi?” Begitulah Lina menyoalku, untuk meminta kepastian. Aku mengangguk, resah.

            “ Betul kau ‘nak berkenalan dengan dia?” Lina menyoalku lagi. Sekali lagi aku mengangguk.

“ Aku boleh tolong kau. Takat jumpa senior bagi surat, apalah susahnya?” cadang Lina, membuatkan aku betul-betul gembira ketika itu.

“ Sungguh?”

“ Kita kan kawan?”

Aku memeluk Lina erat-erat pada saat itu. Ditambah pula dengan haruman Lina yang wangi dan segar, aku menjadi tenang. Entahlah, kenapa aku begitu kemaruk sekali menyukai Hadi. Aku begitu kemaruk sekali. Lina, kaulah penyelamatku. Sekiranya hubungan antara aku dan Hadi menjadi, kaulah orang yang pertama yang mendengar khabar baik itu dari mulutku sendiri!

            Malangnya, apa yang aku harapkan punah dalam sekelip mata. Lelaki yang aku puja separuh gila itu meminati sahabatku sendiri, Lina. Surat yang kukirimkan melalui Lina untuk tatapan Hadi telah Hadi buang ke dalam tong sampah. Di mana sifat budimanmu, Hadi? Kenapa kau membuang suratku ke dalam tong sampah dengan semudah itu? Pada saat itu, aku begitu pasrah sekali. Aku menangis berhari-hari di dalam bilik setiap malam mengenangkan Hadi lebih menyukai Lina. Ya, Lina cantik. Lina pandai. Lina kaya. Lina ada segalanya. Tidak seperti aku. Masakan Hadi mahu terpikat pada aku yang hodoh ini?

Kupujuk hatiku, bukan Hadi seorang saja lelaki dalam dunia. Ada ramai lagi. Sebenarnya, Hadi tidak layak untuk aku. Ada lelaki lain yang lebih sesuai. Mengapa perlu meratap seperti mahu mati? Aku tidaklah selemah itu. Bangkit Hajar, bangkit! Aku tidak selemah itu! Lawan rasa hati, musnahkan perasaan itu. Begitulah, aku meyakini diri. Lama-lama berkesan juga. Kubiarkan kisah itu hanyut dengan sendirinya. Walaupun berkali-kali Lina menyatakan bahawa dia tidak menerima cinta Hadi, aku tidak berasa apa-apa. Aku juga tidak salahkan Lina. Lina memang terlalu lengkap dan sebab itulah dia diminati.

            Aku berusaha bersungguh-sungguh sebab aku sedar aku tidak punya otak secerdas Lina. Aku dengan sedaya upaya mengejar Lina dari belakang. Betapa payahnya menjadi pelajar golongan pertengahan seperti aku. Tamat saja zaman Tingkatan Lima, kami sama-sama memasuki kelas Tingkatan Enam dalam aliran yang berbeza, iaitu aku pelajar aliran sastera manakala Lina pula aliran sains. Walaupun berbeza, aku juga boleh berbangga sebab aku juga berjaya melanjutkan pelajaran seperti Lina.

Semakin kami meningkat dewasa, semakin meningkatlah kebolehan Lina. Aku ingin sekali menjadi seperti Lina. Setelah itu, aku mendapat khabar Lina akan dihantar ke Houston, Amerika Syarikat untuk lawatan projek sains yang telah ditaja oleh pihak pendidikan. Beruntung sungguh Lina, dia boleh melihat-lihat negara orang. Ketika dia berangkat ke Houstan, ibu bapanya sedang berkursus di Sandakan, Sabah. Maka, ibu dan ayahku pengganti orang tuanya menghantar Lina ke lapangan terbang. Kulihat air mata ibuku bergenang. Pilu agaknya. Tetapi, betulkah ibu mahu menangis? Mahu menangis untuk Lina?

“ Jaga diri Lina. Jangan merayau. Sampai sana jangan lupa solat walaupun pergi cuma empat hari. Jangan sesekali ponteng.”

Begitulah kata-kata ibuku kepada Lina, ibuku menganggap Lina seperti anaknya sendiri barangkali. Pada awalnya aku cemburu, tetapi kenapa aku harus cemburu? Bukankah itu memang ibuku, ibu dunia dan akhirat? Biarpun sejauh mana kami terpisah, yang itu tetap ibuku. Bukan ibu Lina.

“ Dah sampai nanti, jaga diri elok-elok. Kutip ilmu banyak-banyak, kumpul pengalaman. Hati-hati,” celah bapaku pula. Wajahnya mengandung kerisauan melepaskan Lina pergi. Kasih sungguh orang tuaku pada anak jiran mereka. Beruntung kau, Lina. Ibu dan ayahku juga sayang padamu.

Lina berangkat ke Houstan selepas itu dan kembali empat hari kemudian. Lina membelikan aku kotak muzik berbentuk hati yang merdu sekali, manakala ibu dan ayahku pula sepasang baju yang bersesuaian dengan mereka. Tetapi, Lina tidak membelikan apa-apa untuk ibu bapanya sendiri. Kata Lina, orang tuanya sudah biasa membeli barangan luar negara dan tidak kisah jika Lina tidak membelikan apa-apa pun untuk mereka. Betul kata kau, Lina. Orang berada seperti kau pasti sudah biasa menyentuh barangan dari luar negara. Tidak seperti keluargaku, saban hari ayahku membelek baju pemberian kau. Setiap masa ibuku bercerita tentang kebaikan kau. Apabila aku mendengar irama merdu dari hadiah pemberianmu, aku menyimpan hasrat untuk ke luar negara suatu hari nanti. Seperti kau, Lina.

Masa terus berdetik meninggalkan usia muda kita jauh ke belakang.  Aku dan Lina akhirnya berjaya menamatkan zaman persekolahan kami. Namun, seperti biasa aku akan ketinggalan di belakang kau, Lina. Kau dinobatkan sebagai pelajar aliran sains yang terbaik untuk tahun tersebut. Lina, alangkah beruntungnya menjadi kau! Setelah itu, kami berdua memohon satu universiti yang sama, di Universiti Malaya(UM). Pada ketika itu, pusat pengajian tersebut sangat dikenali dan menjadi tumpuan anak-anak muda sepertiaku dan Lina. Namun, jauh di sudut hatiku aku bimbang sekiranya hanya Lina saja yang berjaya melayakkan diri ke sana manakala aku pula tercicir. Bagaimana kalau aku tercicir? Bagaimana?

Namun, Tuhan itu Maha Adil. Alhamdulillah, aku tidak tercicir. Aku berjaya mendapat kursus yang menjadi idamanku, Kesusasteraan Melayu. Malang bagi Lina, dia tidak mendapatkan kursus yang menjadi pilihan utamanya iaitu, Sains Perubatan sebaliknya Lina mendapat kursus Bahasa Melayu sahaja. Pada mulanya kulihat Lina berang dan enggan menerima kursus tersebut. Cuma tinggal sebulan lagi untuk aku berangkat ke dunia kampus, Lina terus mengubah fikiran dan menerima kursus tersebut tanpa merungut apa-apa lagi.

“Aku akan bersama kau ke sana,” kata Lina ketika menemani aku membelibeberapa kelengkapan untuk dibawa ke asrama di pasar malam.

“Sungguh kau terima kursus ‘tu? Kau boleh?” soalku, bimbang. Aku takut dia akan menyesal nanti.

“Selagi namaku Lina, aku tahu aku boleh buat. Takkan kau ke universiti dan aku pula tidak?” balas Lina, membuatkan dadaku bergetar. Betul kata kau, Lina. Kau jauh lebih hebat berbanding aku. Masakan kau mahu mengalah pada aku padahal kau sudahterbiasa menang?

“Betul kata kau, betul kata kau…”

Hanya itu saja yang mampu kuucapkan. Kami berdua pun akhirnya berangkat seminggu selepas itu dengan deraian air mata dari keluargaku, manakala keluarga Lina pula biasa-biasa saja. Barangkali orang tua Lina sudah merasai detik sebegitu ketika kakak Lina, Arnina berangkat ke London, England tiga tahun yang lalu. Selepas puas bertangisan, kami meninggalkan rumah kesayangan, kampung halaman, dan tempat kelahiran dengan degupan jantung menahan getar kepiluan. Entah apa yang akan kami lalui di sana nanti.

Aku dan Lina memulakan satu penghidupan yang berbeza selepas meninggalkan dunia desa kami. Menjadi seorang freshie dan mengharungi acara ragging yang menyakitkan. Aku menangis setiap malam menahan perit apabila otot-otot kakiku kejang akibat berlari mengelilingi padang lima kali, ketuk ketampi seratus kali, malah turun naiktangga semata-mata untuk mendapatkan tandatangan para seniorku yang kejam dan babil. Berlainan pula dengan Lina, dia menjadi begitu berani, penentang, dan membantah. Dia tidak akur pada perintah senior sebaliknya mencabar mereka untuk menyertainya sekali. Lina melanggar segala arahan yang dititahkan, melaung-laungkan ketidakpuasan hati dan membentak, dialah freshie paling degil ketika itu, agaknya. Selepas tamatnya sesi mendera itu, dengan sekelip matanya saja Lina mendapat kemasyhuran, langkah dan lagaknya menjadi sorotan para siswa dan siswi yang lain, termasuk pensyarah juga. Maka, zaman kegemilangan Lina kini tercipta lagi dalam sejarah.

Lina, kau sungguh hebat sekali. Memang wajarlah kau miliki apa yang kau kehendaki. Ketika itu, kerap kali batinku terusik dengan kehebatanmu. Siapalah aku untuk mendampingi kau, Lina. Aku cuma sahabatmu, Hajar yang serba kekurangan.

Bidang debat dan syarahan menjadi pilihan Lina di kampus. Dia memang berbakat dalam bidang tersebut sejak dulu lagi kerana dia dilahirkan dengan raut wajah yang penuh yakin serta memiliki suara yang jelas dan lantang. Ada banyak idea bernas di dalam kepala. Strategik dan penuh inisiatif. Aku? Seperti biasa, aku tersorok di belakang pelajar yang hebat. Aku tidak punya suara selantang Lina, apatah lagi raut wajahku. Sesiapa yang memandang pasti curiga pada kemampuanku, entahkan boleh entahkan tidak agaknya.

Setelah itu, Lina beralih arah. Dia mengejar bidang politik kampus pula. Berkempen seperti orang-orang besar untuk mendapatkan jawatan pengerusi persatuan. Lina melaung-laungkan-“ Undilah Saya” dengan penuh berkarisma, sehingga ramai juga yang dipengaruhinya. Namun, ada juga segelintir siswi berbicara mengenai Lina dengan patah kata yang berbaur dengki dan iri hati. Memang wajar mereka dengki padamu, Lina. Kau terlalu hebat berbanding perempuan sebaya denganmu. Aku juga ada menyimpan perasaan tersebut biarpun berkali-kali aku cuba mematikannya. Aku memang manusia yang lemah, maafkan aku.

Kemudian, zaman kampus kami berakhir selepas tiga tahun. Kami tamat pengajian dengan perasaan bangga. Namun, aku cuma menggenggam ijazah kepujian sahaja berbanding Lina yang berjaya meraih pelajar kelas pertama dan lulus dengan cemerlang. Perasaan terkilanku itu tidak kubiarkan lama, aku mengambil keputusan untuk mengambil diploma pendidikan dan menyandang jawatan sebagai guru terlatih. Tetapi, ke mana saja aku melangkah, di situ juga ada Lina. Dia mahu mengikuti langkahku, mahu menjadi guru seperti aku. Seperti biasa juga, jika ada Lina di sisiku maka aku akan ditewaskan. Aku tidak dipandang sesiapa dan tiada siapa akan memberi perhatian pada aku. Begitulah realiti manusia kelas kedua seperti aku ini.

Selepas aku dan Lina menamatkan diploma pendidikan, kami dihantar mengajar di sebuah sekolah yang terletak di bandar. Memang aku dan Lina tidak boleh dipisahkan agaknya. Pertama kali kami memulakan pekerjaan kami, Lina mengatakan sesuatu padaku.

“ Kau lihatlah nanti, Hajar. Aku akan ubah segalanya. Aku mahu jadi guru cemerlang, guru contoh dan pelopor bidang pendidikan. Selagi namaku Lina, aku tahu aku boleh buat.”

“ Bukankah cita-cita kau bukannya guru tetapi doktor?” usikku, sekadar menyegarkan perbualan kami.

“ Kau mahu tahu kenapa?” Lina membalas usikanku dengan jelingan. “ Aku mahu sentiasa menang…dan tewaskan sesiapa saja, termasuk kau.”

Aku bagaikan dipancungkan dengan kata-kata Lina. Mahu tewaskan sesiapa saja termasuk aku? Kemudian Lina ketawa dan mengatakan itu cuma gurauannya saja. Tapi aku tidak menganggap itu satu gurauan biasa. Sungguhkah kau mahu tewaskan aku? Lina, tahukah kau aku tidak punya apa-apa yang hebat untuk kau benci? Aku tidak sehebat kau.

Sememangnya Lina berpegang pada kata-kata. Dia ubah segala-galanya yang ada di sekolah tersebut, digantikan dengan perubahan yang drastik. Yang tidak dapat diterima oleh guru-guru yang lebih berumur dan boleh kukatakan, Lina terlalu idealistik sehingga Lina diumpat oleh beberapa orang guru. Lina sudah bertindak seperti diktator, dia mahu kawal semuanya pada hujung jarinya saja. Tindakanmu melampau, Lina. Kau terlalu mendesak!

“ Dia ingat dia ‘tu bagus sangat? Baru setahun jagung ‘dah memandai-mandai tukar itu-ini!” rungut Cikgu Fidah, guru panitia Bahasa Malaysia.

“ Itulah, dia anggap dia ‘tu ‘dah cukup hebat. Dah banyak ilmu dia kumpul. Dia ‘nak berlagak dengan muka dia’tu!” sahut Cikgu Johan pula, tidak puas hati.

“ Aku ingatlah dia ‘tu ‘tak layak jadi cikgu. Kuat membangkang betul. Degil ‘nak mampus. Semua usul cikgu lain dia tolak mentah-mentah. Ikut kepala dia saja. Apa dia fikir besar sangatkah pangkat dia kat sini? Takat mengajar Form 5 saja. Resign sajalah!” maki Cikgu Hasina, membuatkan aku terpana. Sampai begitu sekali manusia lain membencimu, Lina. Sampai begitu sekali.

Lina kemudiannya tarik diri, dia mencalonkan diri menjadi ahli politik tempatan selepas dua tahun saja dia menjadi guru. Aku tahu dia sudah dapat menghidu kebencian guru-guru lain terhadapnya. Lina bertanding dan menang undi majoriti. Maka tinggallah aku di sekolah dan terus mengajar sehingga aku bertemu dengan Yazid, guru Matematik dan akhirnya menjadi suamiku setahun selepas itu. Bersama Yazid, aku sering mengunjungi Lina di rumah banglonya. Lina sudah menjadi orang besar sekarang, sangat dihormati dan digeruni oleh pihak pembangkang.Setahun kemudian, aku mendapat Kristy, anak pertamaku. Kuingatkan Yazid insan yang paling gembira, sebaliknya Lina. Lina meloncat-loncat melihat anakku yang masih lembut dan merah sambil menyatakan betapa dia ingin memiliki anak sendiri. Kucadangkan supaya dia berkahwin dan melahirkan anak seperti aku.

“ Bukannya aku’tak ingin, Jar. Tapi ‘tak ada teman. Nak kahwin dengan siapa? Dengan pokok?” seloroh Lina, membuatkan aku tergelak. Ada-ada saja Lina ini.

Namun, tahun semakin bertambah dan masa mengalir pantas. Segala keindahanzaman muda lama-kelamaan akan dimamah usia juga. Anakku sudah masuk dua orang tetapi Lina belum juga dimiliki. Lina masih lagi keseorangan, ke hulu ke hilir dengan fail dan projek. Tiba-tiba saja aku menjadi risau, aku meminta Yazid mencarikan mana-mana guru lelaki yang bujang dan sesuai untuk Lina. Ada juga beberapa orang, tetapi Lina buat endah tak endah saja. Lina terlalu taksub pada kerjayanya ketika itu. Akhirnya, aku kena mengalah. Biarlah Lina sendiri yang mencari jodohnya sendiri. Lagi pula, Lina punya pakej yang lengkap. Dialah perempuan yang ada segalanya.

Sekarang, usiaku sudah melangkah empat puluh lima tahun. Aku dan Yazid semakin menghampiri zaman senja. Anak-anakku juga sudah besar, kecuali Adam yang masih memerlukan sedikit perhatian kami. Aku sudah punya keluarga yang menjadi impian setiap wanita, mengapa kau masih lagi mahu menyendiri, Lina? Apalagi yang kau cari sedangkan kau sudah punya segalanya? Kasihan pada Cikgu Mahfuz yang menaruh hati padamu dulu tetapi kau tolak atas alasan kau tidak mahu mengorbankan kerjayamu. Sekarang, Mahfuz sudah pun berkahwin dengan wanita desa, anak sulung lima belas tahun usianya dan bahagia sekali. Kalau kau berkahwin dengan Mahfuz pasti kau bahagia sekarang agaknya.

“ Kita ‘dah sampai!” ucap suamiku, menyedarkan aku dari kenangan lalu. Wajah Lina terus kabur dari mindaku lalu memandang anak-anakku yang duduk di belakang.

“ Rumah Auntie Lina ada air-cond. Kita boleh lari-lari ya mak?” soal Adam, gembira sekali. Aku tersenyum, dan mengangguk mengiyakan.

            “ Auntie Lina sihat ke mak?” soal Kristy pula. Kristy sememangnya sudah mengenali Lina sejak kecil lagi. Tetapi aku tidak menyahut pertanyaan anakku sebaliknya hanya menjungkitkan bahuku saja.

            Setibanya kami di muka pintu pagar yang terbuka secara automatik, kereta suamiku meluncur masuk ke halaman rumah Lina yang terbentang dengan rumput segar dan dipotong pendek. Lina meraih ketibaan kami dengan senyuman terukir, memperlihatkan garis-garis halus yang menghiasi wajahnya. Sebaik saja enjin kereta dimatikan, Adam meluru keluar lalu berlari ke sana ke mari, dikejar oleh Lina yang tergelak besar. Barulah wajah Lina yang pucat sebelum tadi menjadi kemerah-merahan. Aku berasa senang sekali.

Setelah Adam sudah letih dan bermain bersama suamiku serta dua orang kakaknya di taman, aku menyinggah ke sebelah Lina yang mengelamun jauh. Entah ke mana perginya lamunan itu.

            “ Kau sihat, Lina?” aku segera bertanyakan khabar sahabat lamaku itu. Lina kemudiannya berpaling ke arahku dengan satu senyuman pahit. Pertanyaanku tadi tidak dibalasnya sebaliknya aku diberikan dengan jawapan yang lain.

            “ Aku sudah tewas sekarang…”

            Lalu Lina meneruskan lamunannya sambil memandang aku dengan penuh pengertian dan mengeluh. Aku simpati padanya tetapi aku tidak dapat mengubah takdir. Maka simpatiku menjadi simpati yang tidak berdaya. Hiruk-pikuk suara anak-anakku bergema lagi, memecah kesunyian rumah banglo Lina yang suram itu. Untuk seketika, Lina tersenyum sendiri, matanya bercahaya dengan penuh harapan. Berkhayal memiliki sebuah keluarga dan hidup dikelilingi anak-anak. Hatiku bertambah terluka, melihat derita dari sahabatku ini, Lina, perempuan yang ada segalanya. (TAMAT)



© MG Copyright 2007/2012

2 comments: