Wednesday, 28 November 2012

Apa Yang Anda Mimpi Semalam?

"Sometimes, dreams alter the course of an entire life" [Judith Duerk]

Mimpi merupakan siri kejadian dan gambaran yang bermain di dalam minda ketika kita tidur lena, ataupun dalam keadaan separuh sedar. Kisah yang berlaku dalam mimpi biasanya dipengaruhi oleh sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita seharian, walaupun kadang-kala mimpi tersebut tidak masuk akal atau tidak ada kaitan terus dengan diri kita. Walau bagaimanapun, setiap mimpi membawa makna tersendiri- sama ada ia berguna atau tidak terpulang kepada si pemimpi. Terdapat beberapa jenis mimpi yang mungkin pernah terjadi pada diri kita, seperti;

  • Mimpi bertemu dengan seseorang yang sudah meninggal, sama ada anda kenal mahupun tidak (dreams of apparations)
  • Mimpi terdengar bunyi yang menarik perhatian anda yang membawa mesej tersembunyi (clairaudient dreams)
  • Mimpi yang berkaitan dengan rasa simpati atau perasaan yang terjadi dalam mimpi (emphatic dreams)
  • Mimpi yang terjadi seiring dengan masa yang sebenar. Sebagai contoh, anda bermimpi ditolak ke dalam gaung tetapi rupa-rupanya anda terjatuh dari katil (clairvoyant dreams)
  • Mimpi yang menghubungkan anda dengan sesuatu atau dengan seseorang, kadang-kadang terjadi jika anda atau pihak berkaitan berada dalam bahaya (telepathic dreams)
Terdapat segelintir manusia yang diberi kebolehan istimewa menerusi mimpi, ada juga mimpi yang membawa manusia kepada kematian, atau perubahan diri. Tetapi, terdapat beberapa jenis mimpi yang kurang jelas tapi kita terasa yakin bahawa mimpi tersebut berkaitan dengan kehidupan kita yang sebenar. Biasanya, mimpi seperti ini terjadi disebabkan emosi semasa dan tahap psikologi kita terhadap kehidupan yang kita lalui. Menurut teori Freud, mimpi seperti ini merupakan satu penyamaran, yang menjelaskan kepada si pemimpi berkenaan dengan emosi dan pemikiran sebenar yang tidak dapat diluahkan dalam kehidupan sebenar. Carl Jung, psikiatrik dari Swiss juga menjelaskan bahawa fungsi mimpi secara umumnya ialah untuk menyimpan semula keseimbangan psikologi kita. Oleh itu, tidak semua mimpi yang berlaku itu memberi alamat, khabar berita, atau karut semata-mata. Mimpi juga sebenarnya menunjukkan tahap turun-naik emosi kita dalam menghadapi kehidupan seharian.

Apa yang Anda Mimpi Semalam?

Tidak semua mimpi yang kita alami dapat diceritakan dengan jelas sebaik saja kita sedar dari tidur. Biasanya, mimpi tersebut terus kabur dari minda apabila badan kita menerima isyarat dari otak untuk bangkit. Namun, setiap cebisan mimpi tersebut membawa maksud, yakni berkaitan dengan diri kita sendiri (sifat, kelakuan emosi dan tahap psikologi secara tidak sedar atau bersifat rawak). Antara cebisan mimpi yang mungkin pernah berlaku pada diri anda ialah:

Mimpi sedang berlari di atas jalan raya, padang, taman, duduk mengadap laut, melihat langit atau berlari di kawasan luas.
Anda sebenarnya sedang mencari sesuatu tetapi belum menemui apa yang anda mahukan untuk diri anda. Mimpi seperti ini sebenarnya menunjukkan keadaan emosi anda yang menginginkan sesuatu tetapi belum tercapai.

Mimpi berjalan di kawasan pergunungan, bukit atau kawasan yang tinggi.
Ia memberi maksud bahawa anda sedang berusaha mencapai sesuatu (dalam kehidupan yang sebenar)

Mimpi disisihkan oleh kenalan dan ahli keluarga
Mimpi ini berkaitan dengan masalah psikologi, anda tidak dapat meluahkan rasa kecewa yang anda lalui dalam kehidupan seharian maka ia terjadi di dalam mimpi dalam bentuk penyisihan atau pengabaian oleh golongan yang sangat mengenali anda.

Mimpi berkaitan dengan makanan atau sesuatu yang anda idamkan.
Mungkin anda benar-benar menginginkan sesuatu tetapi hajat masih belum tercapai atau disebabkan masalah kewangan.

Mimpi berkawan atau berkenalan dengan sekumpulan manusia yang serasi dengan diri anda.
Ia membawa maksud sama ada anda kesepian akibat selalu bersendirian, tertekan dengan kelompok manusia yang selalu menghimpit anda dengan masalah ataupun gagal menemui kelompok seperti yang anda inginkan maka ia menjelma di dalam mimpi, kesan dari tahap psikologi anda sendiri.

Mimpi terjatuh, tersungkur atau rebah.
Mimpi seperti ini menunjukkan anda sedang kecewa akan sesuatu yang terjadi dalam hidup anda, maka ia terjadi juga dalam mimpi sebagai simbol bahawa anda sedang berada di atas titik merosot dalam hidup.

Mimpi sedang bergembira tetapi tidak tahu sebab apa.
Mimpi seperti ini menunjukkan tahap kualiti hidup yang anda lalui setiap hari, kepuasan dalam melakukan sesuatu, memiliki sesuatu dan menikmati hidup seperti yang anda mahukan. Perasaan dan emosi itu akhirnya terbawa-bawa dalam mimpi, dan menjadikan anda gembira walaupun anda tidak ingat akan mimpi tersebut.

Mimpi menangis tetapi tidak tahu sebab apa.
Sama seperti di atas, ia berkaitan dengan kualiiti hidup anda. Jika kehidupan yang anda lalui tidak seperti apa yang anda rancangkan, tidak mustahil untuk anda menangis di dalam mimpi dan dalam masa yang sama, anda teresak-esak ketika sedang tidur.

Mimpi dikejar oleh sesuatu
Anda sedang mengalami masalah (bergantung pada situasi yang anda alami dalam kehidupan sebenar) yang membuatkan anda rasa seperti dikejar dan dibayangi oleh sesuatu yang ingin anda elak.

Mimpi insan yang anda sayang pergi meninggalkan anda
Mimpi seperti ini menunjukkan tahap kasih sayang anda terhadap insan tersebut begitu tinggi sehingga anda memilih untuk bermimpi akan kejadian tersebut kerana anda tahu, ia cuma mimpi. Anda tidak mempunyai keberanian untuk melihat kejadian itu terjadi dalam kehidupan sebenar. Ia juga mungkin berkaitan dengan kehidupan sebenar (insan yang anda sayang sedang sakit atau mahu mengembara), dan membuatkan anda bimbang sehingga termimpi-mimpi.

Mimpi kembali ke masa silam
Mimpi seperti ini bersifat nostalgia. Ada dua kemungkinan untuk mengalami mimpi seperti ini, sama ada anda rindu atau anda mempunyai ketakutan pada masa silam anda. Jika ada kemungkinan yang ketiga, ia mungkin dipengaruhi oleh apa yang anda lihat dan dengar sebelum anda tidur.

Mimpi melakukan sesuatu yang tidak pernah anda lakukan.
Mimpi ini menunjukkan kehendak anda yang bersifat pelbagai dan keinginan untuk mencuba, tetapi belum ada keyakinan.

Sebenarnya, ada banyak lagi jenis mimpi yang bersangkut paut dengan emosi dan pemikiran anda dalam bentuk provokatif dan pemujukan. Setiap cebisan mimpi yang anda alami juga merupakan pendedahan kepada pemikiran dan pengalaman yang pernah anda lalui ketika anda sedar (awake). Kesimpulannya, cebisan mimpi ini menunjukkan tahap kesihatan fizikal dan mental anda. Cebisan mimpi seperti ini mungkin menjadi penggerak dalam perubahan hidup anda.


Ref: The Ultimate Illustrated Guide to DSS (2007: Hermes House)

#TMG2012

No comments:

Post a Comment