Friday, 9 August 2013

Kuching dan Sibu: Sejarah di Sebalik Kebakaran

Sebelum ini, terjadi dua kebakaran besar di Sibu, iaitu kebakaran rumah kampung di Kampung datu pada Jun 2013 dan 20 deretan rumah kedai di Jalan Tukang Besi pada bulan Julai 2013. Seterusnya, Hospital Umum Sarawak yang terletak di Kuching telah terbakar disebabkan oleh terowong utiliti pada Mac 2013. Kemudian, beberapa buah rumah telah dijilat api di Kampung Sungai Bedil, Kuching sebelum Hari Raya.

Aku tak tahu apasal tahun ni ada banyak tragedi kebakaran di dua tempat ni.

Tapi, sejarah menyatakan bahawa: "History is the endless repetition of the wrong way of living"- Lawrence Durrell

Kebakaran Kuching 1884

China Town
di Jalan Carpenter
Pada 20 Januari 1884, Kuching dikejutkan dengan berita kebakaran di sebuah rumah di sudut Jalan Carpenter dan Jalan China (kawasan China Town). Apabila bomba dan polis ke tempat kejadian, api sudah marak dengan cepat, menjulang naik ke bumbung rumah dan merebak terus ke Bazaar Besar. Terdapat deretan rumah kedai yang diperbuat daripada kayu di hadapan Jalan China dan keadaan tersebut memudahkan api merebak dengan lebih cepat.

Beberapa orang Eropah, termasuk anggota gereja Kristian, beratus-ratus orang Melayu di bawah Datu mereka dan para pekedai Cina datang menghulurkan bantuan dengan menyimbah air yang diangkut dari sumber berdekatan bagi membantu meringankan tugas bomba. Walau bagaimanapun, api semakin marak dan terus mara ke bahagian deretan rumah kedai yang dibina pada 1872 dan ia terletak berdekatan dengan Bazaar Besar. 

Kemudian, angin tiba-tiba berubah arah dan api merebak semula ke Jalan Carpenter dan merebak kedua-dua belah jalan iaitu Jalan Rock dan Jalan Bishopgate. Kebetulan, terdapat beberapa buah bangunan batu yang baru saja didirikan  oleh peniaga dan juga salah seorang pengasas Ghee Soon & Company. Kebanyakan bangunan itu merupakan pusat biliard dan restoran. Maka, keadaan menjadi lebih serius apabila api menuju ke arah bangunan tersebut.
Bangunan Steamship

Selepas itu, api menyerang ke kawasan Pejabat Kerajaan yang terletak di Jalan Rock. Di situ, api telah membakar kedai Ghee Soon, firma terbesar orang Cina di Kuching yang memonopoli bisnes candu, arak dan judi sejak tahun 1867. Ia juga menjual pelbagai jenis barang yang aneh, champagne dan juga tempat menyimpan duit kerana dahulu tidak ada bank. Kedai itu terletak bersebelahan dengan gudang Steamship Company yang kemudian ditukarkan menjadi Bangunan Steamship Sarawak pada 1930.

Dikatakan apabila api semakin merebak dan terdapat jarak antara rumah kedai, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Api yang marak akhirnya berhenti di hujung Jalan Rock tetapi saki baki kebakaran masih berlanjutan di persimpangan Jalan China dan Bazaar Besar. Apabila orang ramai bimbang akan kebakaran yang masih ada di Bazaar Besar, sekali lagi hujan turun dengan lebat dan memadamkan api secara perlahan-lahan. Dalam tempoh 6 jam saja, api telah membakar hampir keseluruhan deretan rumah kedai dan pejabat yang diperbuat daripada kayu. Tua Pek Kong, tokong Cina yang terletak dengan Bazaar Besar antara bangunan yang selamat dari kebakaran besar tersebut.

Bangunan yang musnah itu akhirnya diganti semula- 70 buah didirikan pada 1885 dan selebihnya pada 1886. Jalan Ong Ewe Hai dibina pada 1885, setahun selepas kebakaran dan didirikan 40 buah rumah kedai. Disebabkan tragedi tersebut, Rajah Kedua, Charles Brooke mengeluarkan perintah beliau yang popular, "Pada masa depan, semua rumah kedai kayu akan dibina daripada batu."


Kebakaran Sibu 1889


Kebakaran besar kembali
(di Kampung Datu, Sibu)
Sibu, bandar ketiga terkenal selepas Kuching dan Miri dibuka pada 1862. Ia menjadi sebuah bandar kecil yang kaya raya pada awal 1880an. Disebabkan kepesatan perniagaan dan kekurangan rumah kedai kayu, kerajaan dan pemimpin Cina yang mendiami kawasan tersebut memutuskan untuk membina sebuag bazaar besar bagi memudahkan urusan jual beli dan kemajuan masa depan bandar. Dengan keputusan tersebut maka terbinanya bazaar besar di Sibu pada 1887. Bazaar tersebut terdiri daripada 60 buah rumah kedai sebaris dengan Jalan Channel dan hampir keseluruhan diperbuat daripada kayu belian.

Pada Februari 1889, penduduk dikejutkan oleh bunyi gong yang menandakan isyarat kecemasan dan mereka mendapati bazaar kemegahan mereka dijilat api. Dalam setengah jam saja seluruh bahagian besar bazaar telah hangus. Keadaan angin yang sentiasa berubah-ubah telah menyebabkan api sangat sukar untuk dikawal. Walaupun orang Melayu dan Dayak cuba untuk mengawal kebakaran tersebut dengan merobohkan beberapa rumah kedai tetapi ia tetap gagal akibat bahang api yang sangat panas. Akhirnya, pada pukul 6 pagi, api pun padam dengan sendirinya setelah meranapkan bazaar dan balai polis berhampiran. Namun, tidak ada korban nyawa dalam tragedi tersebut.

Peniaga mengalami kerugian besar yang dianggarkan berjumlah $150,000, suatu jumlah yang sangat besar pada masa itu dan kebakaran itu dipercayai berpunca dari aktiviti candu. Penghisap candu yang kepeningan dikatakan telah terlanggar lampu dan api terus menyambar kedai yang berhampiran. Selepas tragedi tersebut, mereka terpaksa membina semula kedai mereka menggunakan kayu kerana tidak mampu membina kedai mereka dengan menggunakan batu bata.

Kebakaran Sibu 1928

Pada Mac 1928, Bazaar Sibu yang pernah terbakar pada 1889 disebabkan oleh candu musnah sekali lagi pada awal pagi.

Pada tahun tersebut, jumlah kepadatan penduduk Cina meningkat berikutan kedatangan orang Cina Foochow pada 1901 dan 1902. Oleh sebab itu, kesesakan semakin serius dan kebakaran kali kedua juga menjadi semakin sulit.

Api dipercayai bermula dari belakang kedai dan tidak dikesan oleh sesiapa sehingga api menjulang ke atas bumbung. Kebetulan pula sudah 2 minggu tiada hujan di Sibu maka bangunan-bangunan kayu di kawasan tersebut sangat mudah terbakar. Kebakaran berpunca daripada penyambungan elektrik oleh orang tertentu bagi mengurangkan penggunaan kuasa elektrik. Keadaan angin yang berubah-ubah juga menyebabkan bazaar tersebut musnah sekali lagi walaupun  pada masa itu Sibu sudah mempunyai pasukan bomba. 

Sepanjang tiga jam kebakaran, keseluruhan bazaar yang terdiri daripada 230 rumah kedai telah musnah dan ramai peniaga kehilangan rumah serta harta benda. Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak 4 juta dan 4 orang mengalami kecederaan. Namun, jika kebakaran tersebut terus merebak ke kawasan perkampungan Melayu, kadar kematian dan kemusnahan mungkin lebih dahsyat. Secara keseluruhannya, 290 buah rumah telah musnah tanpa sebarang kehilangan nyawa.


Robert Frost pernah menyatakan bahawa dunia ini mungkin dimusnahkan oleh api, atau ais. Tetapi, adalah lebih penting untuk mencegah daripada merawat.

p/s: Don't let history repeats itself.

Ruj: 
Sarawak Zaman Dahulu- Kebakaran Kuching 1884, Sibu 1889 dan Sibu 1928 [W.J Chater]
Sarawak Tourism- Steamship Building
Melanaublogger.com- Kebakaran Sibu Kampung Datu 2013
The Borneo Post-Preserve Kuching [article Oct 2012]
Tua Pek Kong [article for 3rd APRICPC 2013]

#tmg2013

No comments:

Post a Comment