Monday, 5 August 2013

Nostalgia Malam 7 Lekor

Bulan Ogos 2013, sekarang musim demam nak raya. Orang ramai bersesak-sesak nak tambah 3-4 pasang baju raya, 5-6 macam biskut dan beberapa pasang kasut baru. Aku? Aku pakai selipar buruk 3 tahun lepas punya, yang penting selesa.

10 malam terakhir merupakan malam pulun tambah pahala, malam bonus khas yang takkan ada dalam mana-mana bulan. Dalam tempoh 10 malam terakhir tu jugaklah, kenangan seram malam 7 lekor kembali dalam ingatan. Pernah tak korang alami kisah malam 7 lekor? Aku tak penah. Tapi aku penah dengar dari orang lain. Tak tau cerita tu betul ke tipu, aku rasa kenangan bercerita dengan kengkawan itu lebih nostlagia.

Mari kita bercerita...



Pocong Matematik

Dulu, kawan kakak aku pernah cerita kisah seorang hamba Allah yang baru balik dari surau lepas balik tadarus. Malam tu merupakan malam 7 lekor. Korang tau kan kisah hantu iblis kembali bebas pada malam 7 lekor? So malam tu, si Ali (bukan nama sebenar) balik dengan satu perasaan aneh. Sebagai contoh, bulu tengkuk meremang, rasa macam ada orang follow dari belakang dan macam ada orang yang merati korang. Nak dijadikan cerita, bila si Ali menoleh ke belakang, muncullah makhluk Tuhan paling sopan, hantu pocong yang tegak berdiri. Terkejut dek kemunculan si pocong, si Ali terus pecut balapan tapi tak disangka-sangka laju sungguh pocong tu mengejar. Jadi, si Ali bertindak dengan mengutip batu kerikil di tepi jalan lalu mencampakkan batu tu ke arah pocong lalu berkata, "nyah kau dari sini!". Tetapi, perkara sebaliknya telah berlaku. Pocong itu tiba-tiba duduk mencangkung lalu mengutip batu yang dicampak ke arahnya sambil mengira, "satu, dua, tiga, empat...eh, salah..." Apabila melihat pocong tu khusyuk mengira, Ali pun mengambil kesempatan untuk lari bersungguh-sungguh. Maka selamatlah Ali dari dikejar pocong.

Tetamu malam 7 Lekor

Yang ini aku dengar dari member, tak ingat nama member tu tapi aku dengar cerita ni masa aku masih budak primary. Kisahnya macam ni, ada sebuah kampung di Kuching (tak tau kampung yang mana satu). Ada sekumpulan budak balik dari mengaji pada malam 7 lekor. Dulu, asal dengar malam 7 lekor, bebudak tak nak jalan sorang-sorang. Kemudian, sorang demi sorang sampai ke rumah masing-masing. Sedar tak sedar, tinggallah si Abu (bukan nama sebenar) berjalan sorang balik rumah. Bila si Abu dah nak dekat sampai ke rumah, Abu terdengar bunyi-bunyian di sebalik semak. Dengan perasaan takut, Abu pun berkata, "oi, jangan nak memain! Aku tau kau siapa!". Abu sangka, Amat (kawan Abu-bukan nama sebenar) cuba nak takutkan dirinya. Tapi sebaliknya, muncullah hantu bungkus di sebalik semak lalu berkata, "aku nak air..." Tergamam dek kehadiran hantu bungkus, Abu terus bukak langkah besar-besar dan melompat masuk ke dalam rumah. Tapi, si hantu bungkus mengejar Abu sampai ke kaki tangga rumah sambil berkata, "beri aku air..." dan mengulang perkataan yang sama berkali-kali. Takut mereka diapa-apakan, bapak si Abu pun memberi air kepada si hantu bungkus dan selepas diberikan segelas air, hantu bungkus tu pun lenyap.

Kenalan Baru

Kisah ini terjadi kepada kawan kakak aku semasa kami tinggal di Briged PGA yang lama (sekarang kem polis tu dah tak wujud lagi). Aku tak tahu betul ke tidak kisah pompuan ni tapi menurut cerita, pompuan tu keluar amek udara segar ke sekitar kem selepas habis mengemas rumah. Maklumlah tak lama lagi nak raya. Memandangkan seluruh kem bersinar dengan lampu minyak tanah dan budak-budak pun ramai main bunga api kat tepi jalan, si Timah (bukan nama sebenar) tak fikir apa-apa yang menakutkan. Si Timah pun berjalanlah sehingga ke hujung simpang lalu duduk di tepi longkang. Kebetulan, longkang besar tu belakang rumah aku je. Baru beberapa minit si Timah duduk, muncullah seorang lelaki yang sungguh kacak di belakang Timah lalu menyapa, "sorang je?" Terpana dek kehenseman lelaki itu, Timah pun berkata, "ya!" Akhirnya, mereka berdua pun duduk bersama di tepi longkang sambil bercerita pasal diri sendiri. Apabila menyedari malam semakin larut, Timah terpaksa meminta diri pulang ke rumah walaupun hatinya berat nak balik. Maklumlah, kenalan baru, kacak pulak tu. Sebaik saja sampai ke rumah, mak si Timah pun bertanya, "Timah, mana kau pergi?" Dengan perasaan teruja, Timah pun menceritakan kisah tersebut kepada ibunya. Kemudian, dengan selamba, mak si Timah pun berkata, "orang yang kau kenal tu manusia betul ke?" Timah cuma ketawa. Tetapi, selepas detik itu dia tak pernah jumpa lelaki itu lagi, dan selepas seminggu beraya, barulah si Timah tersedar yang dia berkenalan dengan lelaki itu pada malam 7 lekor.

Kawan Asrama

Aku tak ingat siapa yang ceritakan kisah ni. Cerita ni pun dah agak samar-samar dalam otak so aku cerita part klimaks dan ending je lah. Part klimaks adalah seperti berikut; ada seorang budak sekolah yang dok asrama tak dapat balik beraya sebab tak ada duit nak beli tiket bas balik so dia duduk sorang-sorang kat dorm dengan perasaan sedih. Pada malam tu, dia cuba untuk tidur dengan memeluk bantal peluk dengan erat walaupun dia sedang menangis. Tiba-tiba, bantal peluk tu bercakap dan berkata, "esok kau pasti akan balik." Bayangkan bantal peluk tiba-tiba boleh bercakap, mestilah korang terkejut kan? Maka, terkejutlah budak itu seraya membuka matanya dan mendapati bantal peluknya tiba-tiba ada muka tetapi tidak membukakan matanya. Keesokannya, budak tu menemui beberapa keping duit di bawah bantal dan budak itu pun akhirnya berjaya balik ke kampung dan beraya dengan gembira. Kemudian, kisah tersebut diketahui oleh seorang kenalan budak tersebut dan pada tahun yang seterusnya, si Awang (bukan nama sebenar) bertindak untuk duduk di dorm sorang-sorang dan tunggu makhluk tu datang. Seperti yang dijangka, makhluk tu datang dan bertanya, "kenapa kau tak balik?" Si Awang pun berkata, "aku tak ada duit." Menyedari si Awang seorang penipu, makhluk itu terus membuka matanya. Keesokannya, si Awang ditemui mati di asrama. Begitulah ceritanya.


Keranda di tengah jalan

Cerita ni aku perolehi dari kakak aku dan kakak aku dapat cerita ni dari seorang guru mengaji (kalau aku tak silap). Aku rasa cerita ni mungkin berdasarkan pengalaman seorang hamba Allah yang diberi ujian pada 10 malam terakhir. Mungkin ada sedikit tokok tambah dalam cerita ni, biasalah, penceritaan lisan. Jadi kisahnya begini, wujudnya seorang lelaki yang selalu bertadarus sampai lewat malam. Setiap tahun lelaki tu tak pernah ponteng tadarus dan terawih. Sehinggalah pada suatu malam, malam 7 lekor, lelaki itu telah diuji. Ketika dalam perjalanan pulang dari surau (berjalan kaki sorang-sorang), lelaki itu telah menemui sebuah keranda di tengah jalan. Ada jenazah kat dalam. Cuba bayangkan diri korang berada di dalam situasi lelaki ini. Aku rasa, korang takkan tunggu lama-lama kat situ, maunya korang lari balik masuk surau dan mintak tolong pak haji hantar korang balik. Tetapi, lelaki tu mengambil keputusan untuk duduk di sebelah keranda tersebut lalu memberi sedekah doa selama beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan. Apabila lelaki itu menoleh ke belakang, keranda itu hilang entah ke mana.



Setakat ni jelah ingatan aku terhadap nostalgia malam 7 lekor. Ada banyak lagi, tapi aku dah tak ingat. Bagi sesiapa yang ada pengalaman, nostalgia itu pasti sangat kelakar...dan menyeramkan :-D

#tmg2013

No comments:

Post a Comment