Sunday 18 August 2013

Sama Tapi Tak Serupa: Nama Tempat di Sarawak-Semenanjung-Sabah

Di Malaysia, ada bermacam-macam jenis nama tempat. Nama tempat diberi berdasarkan sejarah, peristiwa ataupun tokoh. Di Sarawak khususnya, terdapat banyak nama bandar, kampung dan daerah yang unik. Ada juga berkongsi nama yang hampir sama, tapi tempat tak serupa.


Tapah, Sarawak
Tapah merupakan bandar kecil di Sarawak, dengan jumlah populasi 1000-2000. Ia terletak di kawasan Kuching-Serian dan juga berhampiran dengan Pekan Beratok. Ia juga termasuk dalam pecahan kawasan Daerah Bandar Tapah.

Persamaan: Tapah di Batang Padang, Perak.

Serembang, Sarawak
Serembang ialah sebuah perkampungan yang terletak di Spaoh, bahagian Sri Aman, Sarawak. Kampung ini terkenal dengan penanaman padi huma dan padi bukit.

Persamaan: Seremban di Negeri Sembilan

Sibu, Sarawak
Sibu merupakan bandar ketiga terbesar selepas Kuching dan Miri. Ia juga dikenali sebagai ChinaTown di kalangan penduduk Cina di Sarawak memandangkan populasi orang Cina di Sibu adalah tinggi. Ia terletak berhampiran dengan Sungai Rajang dan Sungai Igan.

Persamaan: Pulau Sibu di Johor

Merapok
Merapok ialah bandar kecil yang terletak di bahagian Limbang, Sarawak. Ia terletak berhampiran dengan negeri jiran, Sabah. Ia merupakan pintu masuk/keluar imigresen antara Sarawak dan Sabah.

Persamaan: Kampung Merapok Hulu, Sabah

Pakan
Pakan ialah bandar kecil yang terletak di daerah Julau, bahagian Sarikei, Sarawak dan 153.8 km dari bandaraya Kuching. Majoriti penduduk adalah orang Iban.

Persamaan: Pekan, Pahang.

Betong
Betong ialah bandar dan pusat pentadbiran bahagian Betong di Sarawak. Ia terletak di kawasan Saribas. Sungai Batang Lupar, Sungai Batang Saribas dan Sungai Batang Kelaka merupakan tiga sungai utama di Betong. Populasi dikuasai oleh orang Melayu, diikuti oleh Iban, Cina, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum kecil.

Persamaan: Bentong, Pahang.

Lundu
Lundu merupakan bandar kecil yang terletak di barat daya bahagian Kuching dan bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia. Populasi dikuasai oleh kaum Bidayuh (Jagoi, Selako dan Lara), diikuti oleh Cina, Melayu, Iban dan lain-lain. Ia merupakan pusat pelancongan yang terkenal di Sarawak kerana keindahan pantai dan alam semula jadi.

Persamaan: Lendu, Melaka.

Selangau
Selangau ialah pekan kecil yang terletak berdekatan dengan Sungai Batang Mukah yang mengalir ke Laut China Selatan. Lokasi pekan ini juga terletak 74 km dari Sibu, 84 km dari Mukah dan 134 km dari Bintulu.

Persamaan: Selangor

Batu Gong
Batu Gong ialah  pecahan kawasan pentadbiran di bahagian Kuching, Sarawak dan memegang status mukim.

Persamaan: Kampung Gong Batu, Terengganu

Siniawan
Siniawan merupakan pecahan kawasan pentadbiran di Bahagian Kuching, Sarawak dan juga merupakan sebuah daerah di Sarawak.

Persamaan: Sitiawan/Setiawan, Manjung Perak.

Tanah Salak
Tanah Salak merupakan pecahan kawasan pentadbiran di bahagian Kuching, Sarawak, sebuah daerah kecil dan memegang status mukim.

Persamaan: Pasir Salak, Perak

Matang
Matang ialah lokasi yang menempatkan kuil tua Sri Maha Mariaman di Kuching serta pusat rekreasi keluarga iaitu Matang Family Park, Kubah National Park dan Matang Wildlife Center. Ia termasuk dalam pecahan kawasan pentadbiran untuk Daerah Bandar Batu 8 (Jalan Matang)

Persamaan: Matang, Perak

Stampin, Sarawak

Stampin merupakan daerah kecil yang terletak di bandaraya Kuching dan ia ditadbir oleh Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS). Daerah ini merangkumi kawasan BDC (Borneo Development Corp.), estet perumahan seperti Hui Sing Garden dan juga kawasan kediaman seperti Kampung Stutong  dan Stampin Baru.

Persamaan: Tampin, Negeri Sembilan


p/s: penambahan maklumat sangat dialu-alukan

#tmg2013
_______________________________________
Ruj:

Peta Tapah (Collin maps)
Peta Merapok, Siniawan (Wikimapia)
Selangau (Google Map)
SKMM Pekan Lundu
Gong Batu (Accuweather)
Wikipedia- semestinya
Google search- terima kasih untuk info anda ^^

2 comments: