Saturday 6 June 2015

Kisah Rueben George Walker

Rueben G. Walker, merupakan individu yang menarik di Sarawak. Beliau merupakan anak luar nikah kepada James Brooke, Rajah Pertama yang sebelum ini disangka mandul. Tak ramai yang tahu akan kisah beliau dan mungkin ada yang berpendapat bahawa kewujudan beliau tidak begitu ketara dalam sejarah Sarawak. Tapi apa yang jelas, di sebalik usaha gigih James Brooke mentadbir Sarawak suatu masa dahulu, Rajah Putih itu mempunyai satu rahsia.

Nama: Rueben George Brooke
Nama baru: Rueben George Walker
Tahun lahir: 1836
Tempat lahir: Sarawak, Borneo
Jantina: Lelaki
Ketinggian: 5 kaki 6 inci
Pekerjaan: 1. Pengurus kandang kuda milik Lord Ward di Brighton
                    2. Tentera Regimen London, direkrut pada tahun 1854
Tahun kematian: 23 Mei 1874
Tempat kematian: Tasmania, Australia
Sebab kematian: Nahas kapal The British Admiral di Bass Strait off Australia

Bapa kandung: James Brooke (The 1st Rajah of Sarawak)
Ibu kandung: Tidak diketahui-mungkin anak pastor
Pengasuh: Orang gaji di kediaman Walker
Sepupu: Brooke Brooke (juga dikenali sebagai Kapten Brooke-anak saudara James Brooke)
Isteri: Martha Elizabeth Mowbray
Tarikh perkahwinan: 10 Julai 1862
Anak-anak: 1. James Brooke [ca.1863]
                      2. Ruby James Brooke [ca. 1866]
                      3. Charles William Brooke [ca. 1872]
Keluarga angkat: Frances Walker
Harta warisan dari James Brooke: 5000 pound sterling

Terdapat keraguan dan penolakan terhadap kewujudan Rueben G. Walker sebagai anak James Brooke. Sebagai contoh:
  • Harriet Mc Dougall tidak percaya bahawa Rueben ialah anak James Brooke. Harriet dikatakan memandang cemas dan kurang suka terhadap Rueben yang datang ke stesen kereta api di England pada 1861 bersama sekumpulan dakyah Kristian.
  • Suami Harriet menyebut wajah Rueben tidak ada persamaan langsung dengan James Brooke.
James dikatakan mengetahui akan kewujudan Rueben setelah menerima sepucuk surat dari utusan ibu Rueben yang menjelaskan perihal hubungan mereka yang hanya diketahui oleh mereka sahaja. Apabila surat mengenai kematian Rueben di medan perang tiba di tangan James, ibu Rueben meminta agar James menguruskan hal tersebut kerana bimbang jika reputasinya terancam. James merancang untuk menguruskan hal Rueben secara senyap tetapi rancangannya terbatal apabila mengetahui Rueben masih hidup.

Terdapat satu idea kontroversi yang menyebut Rueben mungkin 'lelaki simpanan' James yang dikaitkan dengan minatnya terhadap lelaki muda. Tetapi idea tersebut dilihat tidak begitu kena dengan corak kebiasaan apabila James meminati lelaki muda. Biasanya James menulis sajak, surat yang bermakna atau deskripsi yang memuji-muji. Sebaliknya surat James berkenaan dengan Rueben bersifat kebapaan dan berbaur penyesalan.

Surat-surat dari James Brooke kepada Brooke Brooke

  1. Kewujudan Rueben G. Walker sebagai anak James Brooke bermula dari sepucuk surat dari James kepada Brooke Brooke. Surat itu meminta supaya Brooke Brooke mencari seorang anak muda bernama Rueben G. Walker.  Menurut surat itu, James mereka cerita bahawa Reuben ialah bekas orang gajinya semasa di England. James juga memberitahu Reuben ialah orang gaji yang digemarinya dan berharap untuk mendengar sebarang khabar mengenainya.
  2. Ketika Pemberontakan Cina, James menerima laporan palsu menyatakan Rueben mati dan membuatkan James berasa sangat kecewa. Kemudian, James menerima khabar baharu yang menyatakan Reuben masih hidup dan selamat di kem militari di Gibraltar pada tahun 1857. James akhirnya membuat pengakuan jujur bahawa Rueben ialah anaknya dan beliau mendapat tahu dari ibu Rueben sendiri.
  3. Surat lain James kepada Brooke Brooke menyatakan beliau mempunyai keinginan untuk membawa anaknya ke Sarawak dan meminta bantuan Brooke Brooke menguruskan hal itu. Tetapi Brooke Brooke ternyata terkejut akan perkara tersebut.
  4. James menulis surat sekali lagi pada Brooke Brooke, meminta maaf jika menyusahkan Brooke Brooke akan urusan membawa anaknya ke Sarawak. James mengubah fikiran dan meminta agar kebajikan Rueben dikekalkan. James menyebut: "Let (Rueben) George fall into his proper place, which will not be a high one..."

@themagi 2015
ruj: White Rajah by Nigel Barley | brooksfamilyhistory.co.uk| geni.com| britishempire.co.uk

No comments:

Post a Comment