Wednesday 14 May 2014

Jika anda seekor burung?

Hari Rabu, hujan turun. Belum sarapan pagi lagi aku dah mengadap drawing block. Memandangkan hari hujan, burung tak berkicau. Sambil menconteng-conteng di atas kertas B4, aku membayangkan jika aku seekor burung, burung apa yang sesuai dengan karakter aku?

Menerusi sedikit pembacaan yang tak seberapa mana, aku share sikit apa yang aku tau.

1. Burung merpati

Anda seorang yang lemah lembut, sopan santun. Anda tidak mudah didekati. Anda sangat berhati-hati dalam berkawan dan menjaga peribadi serta tingkah laku. Tetapi anda juga pandai mengambil hati dan penuh dengan daya penarik.  Merpati ialah lambang kedamaian dan tolak ansur. 

2. Burung merak

Anda seorang yang penuh gaya, sukakan kecantikan, kemewahan dan jenama. Dalam hubungan, anda sangat suka disayangi dan perhatian. Dalam masa yang sama, anda juga bijak dan penuh seni. Merak ialah lambang sifat diraja dan keindahan.

3. Burung botak

Anda seorang yang suka mengembara dan suka memulakan sesuatu yang baru. Anda juga suka mencari sesuatu yang berbeza, melindungi apa yang anda memiliki dan suka menyampaikan berita-berita yang baik kepada orang sekeliling anda. Burung botak ialah lambang pengembara dan pelindung.

4. Burung hantu

Anda seorang yang mempunyai pemerhatian yang tajam. Anda seorang pemikir. Anda sentiasa memikirkan perkara-perkara penting dan ilmiah. Dalam kata lain, burung hantu ialah lambang kebijaksanaan dalam penelitian dan juga simbol cendekiawan.

5. Angsa

Anda seorang yang berfikiran seimbang dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Anda seorang yang setia dalam hubungan persahabatan ataupun percintaan. Anda sentiasa tampil bersih dan menarik hati. Angsa ialah lambang kesetiaan dan keseimbangan dalam kehidupan.

6. Burung bangau
Anda seorang yang menjaga kesihatan. Anda bijak mengatur jadual pemakanan agar sentiasa sihat dan panjang umur. Anda juga bijak dalam berdepan dengan masalah, anda berwaspada dalam setiap keputusan. Selain dari itu, anda seorang yang setia. Burung bangau ialah lambang kebijaksanaan, kesetiaan dan berhati-hati.

7. Burung murai

Anda seorang yang gembira dan penuh semangat. Anda sukakan kebahagiaan, anda tidak suka dengan perkara yang membawa kesedihan. Anda seorang yang positif, ramah dan mudah didekati. Cuma, anda terlalu ceria, membuatkan sesetengah orang tidak selesa ketika bersama anda. Burung murai ialah lambang kegembiraan dan bersemangat tinggi. 

8. Burung unta

Anda seorang yang tidak gemar pada cabaran. Anda lebih suka duduk di satu tempat. Kadang-kadang anda suka menafikan perkara yang nyata. Ada masanya anda berpura-pura tidak tahu akan sesuatu perkara dan menganggap perkara itu tidak begitu penting. Anda selalu mengutamakan diri sendiri, anda sukar untuk difahami. Burung unta ialah lambang penafian dan kebingungan. 

9. Burung helang (eagle)

Anda seorang penakluk, anda tahu bagaimana untuk mengawal dan memberi arahan kepada orang lain. Anda mempunyai ciri-ciri pemimpin dan berkuasa. Ada masanya anda terlalu memaksa. Anda mempunyai kekuatan dari segi mental dan fizikal, bercita-cita tinggi dan sentiasa mengembangkan idea-idea baru. Burung helang ialah lambang penguasaan, kuasa dan kepimpinan.

10. Segala jenis burung pemangsa (burung hering, selain dari helang eagle iaitu hawk, buzzard, falcon, harrier, osprey)

FalconAnda seorang yang berpengaruh. Anda bijak mencari peluang dan mendapatkan peluang. Anda mampu bertahan dalam apa juga masalah yang menimpa. Anda tahu apa yang patut dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Anda tidak mudah menyerah dan anda bukan seorang pengecut. Burung pemangsa ialah lambang kesungguhan, pejuang dan pemburu.

11. Burung nuri/kakak tua

Anda seorang yang menarik dan mempunyai daya penarik yang tersendiri. Anda juga seorang peramah, suka berkawan dan suka menyertai keramaian. Anda tidak suka bersendiri, suka bercerita dan  menghiburkan rakan-rakan sekelilingi. Ada masanya, keramahan anda dianggap sebagai becok dan disalahertikan sebagai 'mulut tempayan'. Burung nuri ialah lambang keramahan dan juga, banyak cakap.

12. Burung dodo

Anda seorang yang berbeza. Anda mempunyai pemikiran yang berbeza, cita-cita yang berbeza dan juga keperibadian yang berbeza. Ada masanya anda dilihat sebagai pelopor, perintis. Ada masanya anda dilihat sebagai subjek yang terlalu esentrik dan pelik. Orang seperti anda adalah istimewa, jarang ditemui. Sifat semulajadi yang ada pada diri anda ibarat burung dodo; jika anda tiada, segalanya hilang dan pupus.

@themagi
ref: The Ultimate Illustrated Guide to DSS (2007)
Images: Google, Wikipedia.

No comments:

Post a Comment