Sunday, 6 October 2013

Cantik, Kaya dan Malang: Selebriti yang Bunuh Diri

Bunuh diri adalah jalan terakhir yang dipilih untuk menamatkan kesengsaraan dunia- itu kata orang yang pendek akal. Bunuh diri sebenarnya penyakit mental seseorang yang tak dapat berdepan dengan tekanan, stres hidup dan juga kesunyian, putus asa untuk berdepan dengan keadaan sekeliling. Biasanya, orang yang memilih jalan ini bergelumang dengan masalah kewangan yang sangat teruk dan tidak dapat keluar dari masalah. Tetapi ada juga yang ada segalanya (kekayaan harta, rupa paras, kawan-kawan yang setia, keluarga yang penyayang ataupun berjaya dalam cita-cita) bertindak untuk menamatkan hidup secara paksa. Antaranya ialah:

Dorothy Hale

credits: dorothyhale.
com
Hale merupakan aktres Hollywood yang lahir pada tahun 1905 dengan nama Dorothy Donovan. Hale dikenali sebagai aktres jelita tetapi kurang berbakat yang dibawa masuk ke dunia glamor apabila mengahwini jutawan stok broker Gaillard Thomas semasa belajar di Paris tetapi ia berakhir dengan penceraian. Hale terlibat dengan beberapa siri hiburan seperti Broadway, penari Ziegfeld Girl, dan menjadi pelakon drama Abide With Me. Pada tahun 1927, Hale berkahwin sekali lagi dengan Gardner Hale, seorang pelukis fresco, mural dan juga potret. Menerusi suami keduanya, Hale meneruskan kehidupan dalam kelompok elit dan menikmati status sosial yang kreatif dan mewah. Malangnya, pada 1931, suami Hale meninggal dunia akibat kemalangan kereta di Santa Maria dan kewangan Hale menjadi tidak kukuh. Hale mula mencari lelaki kaya untuk dijadikan pasangan cinta, mendapatkan tawaran berlakon dan dibantu oleh kawan-kawan yang kaya tetapi nasib tidak menyebelahinya. Hale juga mendapat malu kerana Harry Hopkins, penasihat utama Presiden Franklin Roosevelt kerana cinta mereka tidak menjadi sedangkan ramai pihak menyangka hubungan mereka berjaya. Pada tahun 1938, kawan Hale, Bernard Baruch memberi nasihat supaya Hale berundur dari dunia lakonan kerana faktor usianya dan lebih baik mencari suami kaya sebagai jaminan hidup. Hale mengakui akan perkara tersebut namun kemudian Hale tiba-tiba berniat untuk perjalanan jauh dan membuat parti selamat tinggal. Pada 21 Oktober 1938, jam 5: 15 pagi, Hale terjun dari tingkap rumahnya di Hampshire House NY dan mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri.

Jiah Khan
credits: digitalspy.co.
uk

Jiah merupakan pelakon Bollywood yang cantik dan terkenal menerusi filem House Full pada tahun 2010. Jiah dilahirkan dalam keluarga Islam dengan nama Nafisa Rizvi Khan dan membesar di New York. Sebelum menjadi pelakon di India, Jiah memulakan karier sebagai model di Amerika dan di England. Pada tahun2007, Jiah berjaya memulakan kerjaya sebagai pelakon wanita di India menerusi filem Nishabd bersama Amitabh Bachchan tetapi filem tersebut kurang berjaya. Sebelum menjadi pelakon, Jiah seorang pelajar yang pintar dan berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang semasa menuntut di London. Sungguhpun Jiah memiliki rupa paras yang cantik, bijak, mempunyai kerjaya yang bagus dan juga mempunyai peluang yang cerah kerana masih muda, dia mengalami beberapa tekanan yang dipercayai berpunca dari masalah cinta, kesunyian, dan putus asa. Terdapat sumber yang menyatakan Jiah berasa runsing dengan kerjayanya memandangkan dia tidak terlibat dalam banyak filem semasa tinggal di India. Pada Jun 2013 pukul 11.45 malam, Jiah menggantung diri di dalam bilik tidurnya di Mumbai ketika ibu dan kakaknya tiada di rumah. Tetapi, terdapat beberapa sumber menyebut Jiah mungkin dibunuh ketika sedang bersendirian.

Marilyn Monroe
credits: cerdomus.com

Monroe antara selebriti wanita Amerika yang sangat terkenal dan dikenali menerusi filem yang berjaya, beberapa siri percintaan yang hangat, kontroversi dan simbol seks. Monroe dilahirkan dengan nama Norma Jean Mortenson pada tahun 1925, kehidupan awal Monroe agak rumit kerana dibuang oleh bapanya sebelum lahir, gangguan seksual semasa masih kanak-kanak, hidup berpindah randah dan berdepan dengan ibunya, Gladys yang gila. Tiga perkahwinan Monroe juga tidak berjaya, terlibat dengan skandal cinta bersama John dan Robert Kennedy, keguguran anak sebanyak dua kali dan mengalami masalah mengandung dalam ketiga-tiga perkahwinan. Monroe dikatakan sangat mencintai Presiden Kennedy dan apabila presiden memutuskan hubungan tersebut, Monroe mengubat hatinya yang kecewa dengan memikat Robert Kennedy tetapi lama kelamaan Monroe bertambah tertekan dan kesunyian. Akhirnya, aktres cantik, berbakat dan kaya itu memutuskan untuk membunuh diri di rumahnya yang terletak di California pada Ogos 1952 pukul 4:25 pagi dengan menelan dos dadah barbiturat secara berlebihan ketika berusia 36 tahun. Tetapi Monroe dikatakan telah dibunuh oleh sesetengah pihak memandangkan perihal hubungan Monroe dan Kennedy tidak disenangi oleh pihak White House.

Sylvia Plath
credits: theage.com

Plath ialah penulis dan novelis Amerika terkenal, lahir pada tahun 1932. Ibu Plath merupakan keturunan Amerika-Austria manakala bapanya berasal dari Jerman dan mengajar di Boston University. Plath merupakan penulis hebat yang meraih banyak anugerah termasuk anugerah Pulitzer kerana kejayaan The Collected Poems, berkahwin dengan suaminya, Ted Hughes, seorang penulis dan mempunyai dua orang anak, Frieda dan Nicholas. Tetapi, Plath mengalami beberapa siri kemurungan dalam hidupnya apabila bapanya meninggal dunia akibat diabetes ketika Plath berusia 8 tahun dan hilang keyakinan terhadap agama yang dianutinya, Unitarian Christian. Kemudian, kemurungannya bertambah apabila keinginannya yang sangat besar (bertemu dengan penulis Dylan Thomas) menemui kegagalan lalu bertindak membunuh diri, tetapi dia terselamat. Kemudian, dia mematahkan kakinya sendiri bagi menguji tahap keberaniannya dan juga memakan pil tidur ibunya. Selepas berkahwin dengan Hughes, Plath mula berminat dengan astrologi, bermain papan Ouija dan perkara supernatural. Pada Jun 1961, Plath mengalami kemalangan kereta yang diakuinya sebagai cubaan membunuh diri dan tertekan kerana kecurangan suaminya. Hidup bersendirian bersama dua anaknya yang masih kecil di dalam musim sejuk yang panjang membuatkan Plath kesunyian, semakin murung dan menolak ubat yang diberi oleh doktor psikiatrik. Akhirnya pada Februari 1963 pukul 4:30 pagi, Plath memasukkan kepalanya ke dalam ketuhar dan membiarkan dirinya menyedut gas karbon monoksida sehingga mati. Terdapat dakwaan memberitahu Plath sebenarnya cuma mahu mencuba-cuba seperti sebelumnya tetapi tidak sengaja tersedut gas terlalu banyak dan menyebabkan kematiannya.

Kim Da-Eul (Daul Kim)
credits: ragstoreverie

Daul, lahir pada tahun 1989 merupakan supermodel kelahiran Korea Selatan yang terkenal di Paris dan mengikuti banyak minggu fesyen pada tahun 2007 dan 2008. Daul juga seorang pelukis dan blogger yang sering meluahkan kesedihannya menerusi penulisan dan karya seni. Daul dikatakan mengalami tekanan sejak kecil, berjauhan dari keluarga, sangat sunyi dan menerima beban kerja yang berlebihan pada usia yang begitu muda. Beban kerja itu juga membuatkan Daul mengalami insomnia yang teruk, murung dan tahap psikologi menjadi tidak terurus. Daul juga mengakui kesibukan dan tekanan dari pihak luar turut mengganggu fikirannya sehingga Daul tidak dapat menangani stres tersebut dengan baik. Akhirnya, Daul membunuh diri pada tahun 2009 ketika Daul berusia 20 tahun dan menjadi selebriti Korea Selatan yang ke-9 membunuh diri.

Lee Yoon Hyung


credits: english. chosun.com
Lee merupakan jutawan dan juga anak jutawan Lee Kun-hee, bekas peneraju Samsung Group. Dilahirkan di dalam kelompok elit, kaya, bijak dan juga cantik, Lee mempunyai masa depan yang cerah. Walau bagaimanapun, asakan keluarga yang menetapkan cara hidupnya, bebanan kerja yang banyak, hilang kebebasan pada usia yang muda, sentiasa dikawal oleh pembantu peribadi dan murung kerana hubungan cintanya dihalang oleh keluarga kerana berbeza taraf sosial membuatkan Lee tertekan. Sungguhpun Lee berjaya menceburi bidang seni selepas berpindah ke Amerika, impiannya itu berdepan dengan pelbagai kesulitan dan menyebabkan Lee yang kaya raya itu menghabiskan banyak masa bersendirian di dalam rumahnya di Manhattan. Bukan itu saja, Lee juga pernah menyatakan bahawa dia berasa bimbang terhadap kekayaan bapanya. Lee akhirnya membunuh diri di Manhattan pada tahun 2005 dan mayatnya ditemui pada jam 3 pagi. Majlis pengebumian Lee dilakukan di Amerika dan keluarganya tidak menghadiri majlis tersebut. Kes Lee ini juga dikatakan kes bunuh kerana penglibatan keluarganya dalam bisnes yang besar dan (mungkin) membawa kepada dendam dan perebutan kuasa.

Sesungguhnya: "Money. Beauty. Brainy. A great package of wonderful vibe. Could be a weapon to rip your own life."- shield

@themagi2013

No comments:

Post a Comment