Monday, 14 October 2013

Perubahan Pola Kelas Makanan Terhadap Masyarakat

Makanan adalah keperluan. Makanan adalah gaya hidup. Makanan juga menentukan kelas masyarakat. Kata orang, apa yang kita makan mencerminkan kehidupan kita.

Dulu, beberapa jenis makanan dipandang rendah dan dilabelkan sebagai makanan kelas rendah. Ada sesetengah makanan kelas rendah menjadi kelas pertengahan atau kelas atasan. Ia berubah mengikut musim, permintaan dan perubahan zaman. Malah, ia akan terus berubah menerusi kehendak pemikiran dan keadaan.

Kaviar


Credits: wikipedia
sebelah kiri: telur ikan salmon
sebelah kanan: telur ikan sturgeon
Kaviar ialah telur ikan yang diawet atau dimasinkan. Telur ikan biasanya diperolehi dari ikan salmon, sturgeon, trout, dan beberapa jenis ikan yang menghasilkan telur ikan yang banyak. Pada asalnya, kaviar dinikmati oleh golongan kelas rendah dan kelas pertengahan yang kebanyakan terdiri daripada nelayan. Disebabkan keenakan kaviar, ia mendapat sambutan tinggi di Eropah dan permintaan kaviar juga meningkat. Akibat permintaan yang tinggi, sistem ekologi di Laut Kaspia terjejas teruk dan beberapa jenis ikan berdepan dengan masalah kepupusan. Oleh sebab itu, penangkapan ikan dihadkan dan beberapa badan undang-undang dibentuk bagi mengawal pengeluaran produk kaviar. Maka, harga jualan kaviar meningkat, dan menjadi makanan kelas atasan di negara Barat dan Eropah seperti Rusia, Belarus, dan Ukraine. Pada 2012, kaviar dijual dengan harga $2500 untuk berat sepaun atau $3000 ke $5000 untuk berat sekilogram. Telur ikan terubuk masin di Sarawak juga dikategorikan sebagai kaviar.

Ayam Goreng

Credits: blogchef.net
Ayam goreng pada asalnya makanan lazat bagi imigran Scottish dan Afrika Barat. Ia menjadi terkenal apabila masyarakat kulit hitam dari selatan Amerika yang pernah bekerja dengan imigran Scottish dipindahkan dan diperhambakan di ladang-ladang Amerika pada abad ke-18 dan ke-19. Pada masa itu, mereka menggunakan saki baki ayam dengan ramuan berempah dan menggoreng ayam itu sehingga garing bagi memenuhi keperluan hidup memandangkan daging sangat mahal dan mereka tidak mampu untuk membelinya. Untuk beberapa dekad lamanya, ayam goreng menjadi simbol makanan hamba kulit hitam di Amerika dan dianggap sebagai simbol rasis bagi sesetengah pihak. Walau bagaimanapun, permintaan ayam goreng meningkat pada lewat abad ke-19 dan menjadi terkenal pada abad ke-20. Pada abad ke-21, ia menjadi makanan kegemaran dan trend makanan segera di kalangan anak-anak muda.

Mentega Kacang

credits: aroundtheplate.org
Mentega kacang merupakan sampingan sarapan pagi yang terkenal di Utara Amerika, Belanda, United Kingdom, Australia dan sebahagian daripada Asia. Ia menjadi inti sandwich kegemaran kanak-kanak dan mengandungi khasiat yang baik untuk tenaga dan tumbesaran. Pada awalnya, mentega kacang dilihat sebagai makanan kelas atasan kerana dihasilkan daripada kacang-kacang yang berkualiti. Ia juga dijadikan makanan kesihatan oleh John Harvey Kellogg pada 1895 walaupun George Bayle, juga pencipta mentega kacang mendakwa bahawa paten mentega kacang beliau dihasilkan pada tahun 1894. Pada era Perang Dunia II, harga makanan basah menjulang naik dan harga mentega kacang jatuh menjunam, dan menyebabkan rakyat kebuluran memilih untuk memakan mentega kacang bagi meneruskan hidup memandangkan ia tahan lama dan salah satu makanan catuan yang paling mudah untuk disimpan. Pada masa itu, mentega kacang menjadi makanan kelas rendah.

Pizza
Credits: wikipedia
Pizza gaya supreme

Pizza merupakan makanan kelas pertengahan di Itali dan di Eropah. Ia digemari kerana kepelbagaian inti dan perisa yang ditawarkan. Apabila imigran Itali berhijrah ke Amerika, ia menjadi makana kelas rendah bagi golongan imigran memandangkan ia lebih murah dan ia juga makanan tradisi mereka di tempat asal. Apabila jumlah imigran Eropah bertambah, pembukaan kedai pizza meningkat dan pizza dikenali di kalangan orang tempatan. Lama kelamaan, pizza mendapat sambutan hangat kerana golongan muda pada masa itu menolak makanan etnik dan pizza dilihat sebagai makanan yang enak untuk semua. Kini ia menjadi makanan untuk semua kelas masyarakat dan umumnya disukai oleh golongan muda kerana ia lazat, mudah dan sangat mengenyangkan.

ref: History Channel, WE

@themagi2013

No comments:

Post a Comment