Friday, 4 October 2013

Cerpen: Ceritera Seorang Laki-Laki, Seorang Perempuan dan Pengajaran di Hayat Tua

[Terima kasih Abdul Rahim Kajai kerana inspirasimu]

            Dahulukala, di sebuah daerah tenang di Serembang, zahirnya seorang anak kecil yang tidak mengerti kehendak dunia atau kehendak manusia. Bapanya, Pak Usup cuma bekerja susah, mencari makan tiadalah mudah untuk anak-anak yang berderet seperti rumah kedai tauke Cina. Bininya pula, Siah pula cuma orang rumah yang hanya tahu meminta wang dapur. Perut anak harus diisi, perut sendiri juga mesti diisi. Jika sudah tiba masanya, maka diterbangkanlah anak-anak perempuan mereka menjadi pemilikan mana-mana pemuda di luar sana atas junjung akad. Anak-anak lelaki pula akan menjadi penyambung hayat mereka apabila usia sudah amat tua untuk mengerah tulang. Begitulah nasib anak-anak, sudah disiapkan oleh orang tua yang kecil ilmu sejak dari awal lagi.

            Anak kecil mereka yang keempat, Dayah namanya mempunyai tiga kakak di atas dan seorang adik lelaki di bawah. Mukanya riak seperti Cina, hasil dari keturunan buruh Cina yang datang masuk dari Borneo Belanda (atau Sambas) dan dari Singapura lalu bekerja jadi kuli lombong, berkebun sayur, menjadi amah dan mengangkat tinja pada awal zaman Bapa Putih James. Di masa akan datang, siapa akan jangka bahawasanya buruh kurus yang datang dengan cita-cita besar di atas tongkang, dengan upah lapan belas sen sehari dan bekerja seperti mahu mati pada esok hari itu boleh berubah menjadi orang-orang kedai besar, menjadi doktor, menjadi tetuan, dan menzahirkan benih-benih keturunan dalam setiap rupa dan kaum.

            Dipendekkan ceritanya sehingga beberapa tahun ke depan, Dayah yang kecil itu kini sudah besar dan berusia sembilan tahun. Dia tidak sekolah, kerana keluarganya sempit dengan wang. Pada usianya yang muda itu, dia tiada mengerti akan makna hidup sebagai anak sunti atau kenal dengan agamanya sendiri. Pada awal 1930an seperti itu, guru-guru agama tidak ramai. Dia hanya diam di rumah membantu emak dan mengenal apa yang ada tanpa perlu belajar mengeja.

            Tersebut pula kisah seorang perempuan bernama Mayang yang dinikahkan dengan juragan kapal yang diketahui sebagai Mat. Dikatakan perempuan itu kulitnya putih dan manis dan beruntung pula kerana lakinya bekerja bawa kapal dan banyak wang. Hidupnya juga tiadalah sulit kerana dia itu tidak ramai saudara di atas atau di bawah. Bernikah pula dengan Mat  anak Tuan Khan yang berasal dari Pakistan dan beribukan perempuan Melayu bangsawan dari Jalan Ellis, ia menjadi satu kebanggaan kerana mendapat anak bermuka baru.  Pada usia anak perempuan mereka, Lara yang masih muda tiada tahu apa-apa, Mat selalu keluar berlayar meninggalkan Mayang sendirian di rumah. Mayang jadi sepi. Mayang termenung kenangkan dirinya yang ditumpahkan dengan kesenangan, tapi laki yang satu selalu lenyap bercinta-cinta dengan laut.

            Lama-lama, Lara yang umairah dan kecil itu sudah tahu bertatih. Mayang melihat itu semua, Mat pula sedang bersungguh berkeras di atas kapal sampai ke Filipina. Setelah beberapa purnama melimpas lalu, Mat pun kembali meraih anak bini yang kerinduan di rumah. Pada ketika itu juga, Mat membawa seorang pemuda ke rumah, dijadikan anak angkat kerana kiranya pemuda itu masih muda dan Mat juga perlukan lelaki kuat dan pandai tangan untuk melindungi anak bini yang sendirian di rumah. Maka, berkenalanlah  Mayang dengan anak barunya yang disebut-sebut sebagai Lang. Mayang tidak sangka bahawa Mat akan membawa seorang laki-laki cukup usia untuk dijadikan anak. Mayang tersipu dalam hati sedangkan Mat berasa senang apabila melihat kedua-dua anak beranak itu bergaul senang seperti emak dan anak layaknya.

            Dalam masa yang girang dengan anak bini seperti seluruh bahagia di dunia miliknya, wang kerja yang dikumpul perlahan-lahan ghaib dari peti. Belanja semakin kecil. Lara semakin besar. Kehendak Mayang juga makin lebar. Berat rasanya hati Mat meninggalkan keluarganya yang bahagia. Tapi atas nasihat Lang, dan percaya yang tiada kurang terhadap Lang, Mat kembali berangkat ke laut untuk mengumpul wang. Sepeninggalan Mat yang tiada memikirkan perkara lain selain dari Mayang, Lara dan Lang, si bini kembali termenung di tingkap mengira beberapa usul minda yang terlarang. Tanpa sedar, Mayang membuka telinganya untuk syaitan laknatullah. Hatinya pun lama-lama hanyut di dalam laut dan tenggelam menjadi hitam.

        Kembali semula kepada suka duka si Dayah, anak sunti itu hidup dalam gelumang sebuah cerita keluarga. Bapanya, Usup lemah sendi untuk kerja berat-berat. Emaknya, Siah juga sakit-sakit badan. Kakaknya, Limah dan Yah sekarang ambil alih kerja kampung. Jibah kakak ketiga pula kerja jauh sampai ke Brunei. Adiknya, Asan pula hanya duduk rumah kerana masih muda untuk kerah tulang.  Apabila kedua-dua  orang tua itu sedar Dayah tidak beri apa kesan untuk mereka, si bapa mengusul kepada si emak supaya dihantarkan saja Dayah ke rumah kemenakan yang tinggal di Kampung Nonok dan bergaul dengan saudarinya, Ceng si perawan. Namun sesungguhnya, tidak mudah untuk Dayah menurut kerana usianya yang masih muda dan masih belum mahu meninggalkan keluarga yang dicintai. Dayah menangis malam-malam apabila teringat kata bapanya:

            “Kau Dayah, aku hantarkan kau ke rumah ibu menakan kau di Nonok. Kau tinggallah di sana. Kami tidak dapat menampung kau. Bukannya aku tidak suka kau. Kau anak aku. Aku sayang kau. Emak kau juga sayang kau. Tapi aku tidak mahu kau melarat bersama kami.”

            “Jangan hantar aku, pak. Aku boleh patahkan tulang aku di kebun seperti Limah, seperti Yah dan Jibah. Hantarkan Asan saja ke sana. Dia anak lelaki. Jadikan Asan senang dan pandai. Moga-moga dapat membantu kita.”

            “Emak kau tak mau berpisah dengan Asan. Asan anak lelaki tunggal. Kakak kau pula bekerja mencari wang. Aku lihat kau saja yang harus dalam perkara ini. Bersetujulah Dayah. Semuanya demi kemaslahatan kau juga.”

            Apa lagi pilihan yang ada untuk anak sunti seperti Dayah. Air matanya berhamburan tidak mahu berpisah. Tetapi tidak ada seorang pun yang tahu dia menangis.

            Setelah beberapa purnama tenggelam, di mana Dayah dikirim oleh Usup ke Nonok dan menjadi anak baharu kepada ibu kemenakannya yang warak, Mat pula kembali ke Bedil Kecil menemui anak bini yang pasti merinduinya. Kepulangannya itu disambut girang oleh Lang dan Lara. Tetapi, tidak bagi Mayang. Dia sudah berlainan dari sifat. Mat menganggap, Mayang cuma merajuk minta dipujuk. Maka dibelinya emas bertingkat dan persalinan yang baik-baik. Dibawanya si bini melihat wayang, mengikut keramaian, bermukun serta bergendang. Akhirnya, si bini tersenyum semula dan kembali senang. Nah, begitulah sandiwara cinta suami isteri yang tidak jauh berbeza usia. Ternyata cinta mereka masih tidak usai ditelan waktu.

            Walaupun begitu, Mat mula terdengar bisik-bisik orang di kampung. Tiga empat hari di belakang, Mat dimaklumkan akan temasya yang terlarang di rumahnya beberapa purnama yang lalu. Mat tidak percaya, Mayang perempuan yang beragama. Dia bini orang yang sah, punya anak seorang dan Lang menjadi pelindung di rumah itu. Jika Mayang membuat cemar dan tenggelam di dalam temasya yang terlarang, bagaimana dengan Lang? Lang pandai tangan, lelaki jahanam yang datang mencemar itu pasti sudah dihempuk dengan buku lima.

            Hati Mat penuh dengan tanda tanya. Tetapi, tanda tanya itu disimpannya dahulu sebelum dinyalakan. Tidak sampai hati Mat untuk menyakiti Mayang dengan pertanyaan yang mengguris hati.

            Adapun kehendak hati Mat bersimpang siur seperti ombak di laut, Dayah yang muda itu menjadi pemilikan saudara sebelah bapanya. Ibu kemenakannya orang yang tahu agama. Dayah pula tidak tahu agama. Maka, diajarnya Dayah akan ilmu agama, mengaji, bersembahyang dan berkelakuan seperti perempuan baik-baik. Diajarnya juga puasa sehingga Dayah terasa terseksa. Dayah tidak pernah berpuasa, ibu kemenakannya pula garang orangnya. Dalam diam, Dayah mengadu dengan Ceng, anak perawan ibu kemenakannya yang berhidung mancung.

            “Ceng, sukakah kau dengan cara ibu kau melayan aku?”

            “Kenapa?”

            “Ibu kau terlalu kuat untuk aku. Aku tidak tahan.”

          “Dia cuma mahu berikan kau pengertian. Fasal hidup yang ada undang-undang, ada batas. Untuk menjadi lebih baik. Ibu aku bukan ibu tiri. Dia ibu kemenakan kau.”

            “Kalau begitu, aku tidak sabar mahu menjadi besar. Aku mahu keluar dan melihat dunia ini.”

            “Aku juga begitu. Kita akan sama-sama melihat dan bertentang muka dengan dunia ini.”

          Dayah dan Ceng ketawa. Masing-masing memandang muka langit dan melepaskan hela panjang. Pada usia muda begitu, mereka tidak sabar mahu besar. Maka, impian pun mula bergentayangan di segenap fikiran.

          Kebetulan pula Mat yang makan hati juga memikirkan banyak perkara. Perihal si bini yang sangat dicintainya masih menjadi tanda tanya, tetapi dipanggil pula turun bekerja sedangkan baharu sekejap pulang ke rumah. Memikirkan soal Lara yang semakin besar dan perlukan lebih banyak wang, dia menetapkan hatinya kuat-kuat. Dengan fikiran yang masih berkira-kira sebelum berangkat, Mat memandang bininya tepat-tepat seraya berkata, “Aku sayang kau, Yang.” Dengan muka manis, Mayang memegang pipi Mat, “Aku juga. Percayalah aku. Aku setia.”

         Dengan kepala yang tertunduk menekur muka bumi yang berbonjol dan berpasir, melangkah Mat meninggalkan anak bininya. Lalu membawa diri berlayar ke Sibu. Ketika kapal sedang membelah muka laut yang bergelora dan angin menderu-deru sehingga kedengaran seperti siulan jin, Mat memandang dirinya sendiri dan mengira garis kedut yang ada di muka. Perlahan-lahan Mat berkata, “Tuakah aku untuk Mayang?” Di fikirannya, kisah temasya terlarang di rumahnya itu masih menjadi satu kesakitan yang tidak mampu diucap. Mat fikir, adalah lebih baik jika itu semua cuma satu usikan.

           Pada masa Mat tidak mampu lena di kabin dan bersedih-sedihan, sehingga makan pun tidak kenyang mandi pun tidak basah, Mayang duduk termenung di tepi tingkap. Memikirkan banyak hal dan cakap-cakap orang yang jahanam. “Kenapa mulut mereka busuk dan besar seperti tempayan pekasam?” tanya Mayang pada dirinya, tetapi tidak berjawab. Kalau diikutkan hati mahu saja dia lari membawa Lara pergi, biar terkulat-kulat mata orang kampung kerana menjaga tepi kainnya. Siapa yang kecewa? Bukankah Mat yang mereka kasihi itu juga yang akan kecewa? Jadi, bukankah molek jika dijaga saja tepi kain sendiri? Mat gembira, dia juga bahagia. Semua orang puas hati. Kemudian, perbualan Mayang terhadap rohnya sendiri padam dengan sendirinya apabila terdengar derap kaki seseorang di dapur. Derap kaki itu semakin dekat dan rapat. Pantas pinggang Mayang yang kecil dihimpit bengkung ikat itu dipeluk sayang. Mayang segera menutup tingkap sambil tersenyum.

            “Oh, kau sudah selesai makan? Bagaimana?”

            “Sedap rasanya. Sekarang masa untuk kita makan-makan pula.”

            “Marilah!”

            Dengan muka yang manis seperti anak dara, Mayang berlari ke dalam kamar tidur sambil ketawa-ketawa. Tidak lama selepas itu, temasya terlarang bermula tanpa restu. Orang di kiri dan kanan rumah pula hanya menggeleng dan kesal. Silapmu tuan dalam caturan ini, bisik jiran sebelah. Suatu hari bangkai busuk pasti akan dihidu jua.

          Sewaktu Mat berlayar di laut menuju ke Sibu dengan barang-barang dagang dalam kotak kayu, entah bagaimana, ribut memukul tidak tenang seperti diamuk rasa marah. Tidak pernah sebelum ini terjadinya amukan sebegitu di laut. Mereka di alam kesulitan, hampir pasrah mahu menyerah nyawa kepada laut. Namun, atas kuasa Allah yang kasihan pada mereka, mereka surut ke jeti Sarikei, membaiki kapal dan menumpang teduh. Nasib saja barang-barang tidak rosak, mereka menyegerakan urusan kerja dengan mengirimkan barang menggunakan kapal lain ke Sibu kerana perjalanan dari Sarikei ke Sibu tidaklah jauh. Sementara itu, mereka meneruskan kerja membaiki kapal untuk tiga empat hari ke belakang sampai kapal sudah sihat. Apabila segala urusan selesai dan barang-barang juga cepat pula sampai ke Sibu kerana berkat cuaca yang tenang, berkatalah kawan Mat kepada semua:

         “Berangkat saja kita pulang ke Kuching. Tiada urusan lagi di sini. Barang sudah sampai dengan selamat. Cuaca juga elok, pasti tidak lama kita di laut.”

           “Bagus juga cadangan kau.”

           Maka, kembalilah kapal itu ke Kuching, cepat tiga hari dari jadual kerana kerja sudah habis. Sebelum kembali ke rumah, sempat Mat singgah di kedai membeli selendang baru untuk si bini. Mudah-mudahan Mayang senang dengan pemberian tersebut.

        Ketika hati Mat dikandung dengan rasa gembira kerana mahu pulang ke Kuching, berlainan pula dengan Dayah. Dia sudah belajar agama di Nonok, seterusnya mahu dihantar ke rumah kemenakan yang lain di bandar Kuching kerana sudah besar jadi perawan dan mahu dicarikan jodoh. Dengan usia yang baharu saja tiga belas tahun, usia seperti ini tidak dinikahkan dengan segera menjadi satu kerugian. Kata orang tua-tua di kampung, sementara badan masih muda dan subur seperti tanah gambut, taburkan saja benih, pasti menjadi orang. Jika usia sudah tujuh belas nanti akan dipandang jadi anak dara tua. Orang laki-laki pun tidak ingin. Nabi juga tidak mengaku umat yang tidak nikah-nikah. Maka berangkatlah Dayah dengan impian besar. Kuching, itulah bandar besar yang menjadi siulan anak muda pada masa itu di mana tertunainya cita-cita dan janji. Sedangkan Bapa Putih James orang asing boleh berjaya, orang Cina datang jadi kuli boleh berjaya, masakan orang sendiri tidak boleh? Begitulah fikiran Dayah yang muda dan masih tidak mengerti akan kehidupan.

            Begitu jugalah dengan Mat. Walaupun usianya sudah matang seperti padi masak dan sedia dituai, dia masih belum mengerti akan kehidupan. Hidup tidak selama-lamanya di atas, ada masa ia jatuh ke bawah. Kadang-kadang jatuhnya begitu dalam sehingga boleh mati. Mati hati. Itulah apa yang terjadi pada Mat sekembalinya laki-laki setia itu ke rumahnya. Disebabkan kerjanya cepat habis dan tidak dapat kirim surat untuk memberitahu kepulangannya, Mat pulang ke rumah membawa kejutan untuk si bini. Tetapi sebaliknya, si laki pula yang terkejut besar.

            “Yang! Sampai hati kau!”

            Segala pemberian yang dibeli untuk si bini jatuh dari genggaman, terburai di atas lantai rumah dengan hati yang hancur. Si bini yang memberi janji keluar dengan mata yang terjojol, menyelaputi diri dengan gebar bersama jantung berdebar yang seperti mahu pecah. Di belakang si bini pula, terlihat seorang laki-laki muda tidak berbaju. Hanya menekur di belakang si bini, tidak dapat berkata apa-apa lagi.

            “Aku tidak dapat melihat ini semua. Pakaikan semula pakaian yang aku beli untuk kau selama ini. Makanlah makanan yang aku cari untuk kau sebelum kau berangkat keluar. Jangan kau kata aku kejam. Aku terpaksa kerana kau.”

            “Maafkan aku. Aku sunyi. Kau sering tinggalkan aku.”

       “Jadi kau gantikan batinku dengan Lang?! Kenapa kau menghina aku sedangkan aku sentiasa memuliakan kau? Keluarlah! Kau bukan milik aku lagi.”

            Mayang terjelepuk di atas lantai, menangis. Lang, simpanan Mayang untuk temasya terlarang selama ini hanya terdiam tidak dapat menolak kebenaran. Lang terperangkap kerana cinta syaitan terhadap Mayang, ibu angkatnya yang pandai menawan hatinya. Oleh itu, tidak ada lagilah ikatan di antara Mayang dan Mat kerana cinta mereka sudah habis. Lang juga disuruh keluar kerana tidak ada gunanya lagi Lang kepada Mat. Sebelum Lang keluar, Mat memberinya sedikit duit dan surat kerana tidak mahu kelihatan kejam terhadap anak angkatnya yang amat disayangi selama ini. Bersama hati dan jiwa yang sesal, Lang pergi membawa diri lalu membaca surat terakhir kiriman bapa angkatnya.

           ‘Kepada Lang. Aku tidak dapat menulis surat yang panjang-panjang kerana nafasku menjadi pendek kerana kau. Aku sayangkan kau seperti anak aku.Kau kuambil kerana aku percaya pada kau. Walaupun orang kampung mengatakan aku buta kerana mengambil kau yang besar teruna dan mungkin mengundang cemar kepada Mayang, aku tetap mengambil kau kerana kau sentiasa menyenangkan aku. Ternyata pula mereka benar dan aku buta. Sekarang, keluarlah dan cari kehidupan yang baru. Ambillah jandaku jika kau begitu suka padanya, aku tidak peduli. Moga-moga kau sedar akan kelakuan kau sendiri dan tidak mengulanginya lagi.’

        Bermula dari detik itu, ketiga-tiga mereka membawa diri. Lang entah ke mana, Mayang keluar membawa Lara dan Mat hidup sendirian di dalam rumah tanpa sekuntum bunga. Hatinya hancur.

         Adapun Mat hidup sendiri dan bekerja seperti dunia habis esok hari, Dayah pula hidup bekerja seperti amah di rumah kemenakan. Dia memasak, menyental baju, mengangkat timba dari perigi sampai ke dapur dan bekerja keras memikul kayu api. Sakitnya tidak terkata. Dia tidak sangka impiannya berderai apabila sudah sampai di Kuching. Bukan saja diperlakukan seperti amah, dia juga tidak diberi wang belanja malah khabar mahu diberikan suami juga tiada. Timbul rasa sesal di fikiran Dayah kerana bersetuju terus dikirim ibu kemenakan ke Kuching.

       Tetapi entah apa yang terjadi, kerja Allah swt yang tiadalah diduga, seorang perempuan datang membawa berita akan seorang laki-laki mahu mencari calon isteri. Seorang laki-laki bernama Abu, sebaya Dayah dari Nonok menghantar saudara untuk meminang Dayah yang memikat hatinya sejak dari dulu lagi. Laki-laki itu cuma kerja tebas rumput, gajinya lima puluh sen sehari. Tetapi pinangan yang dikirim telah ditolak. Samada keluarga kemenakan Dayah belum bersedia melepaskan Dayah yang rajin, Dayah belum bersedia atau sebenarnya Dayah tidak suka pada Abu kerana gaji Abu yang kecil dan rupa pun tidak ada, tiada siapalah yang tahu apa sebabnya. Maka, mundurlah si Abu dari hidup Dayah yang sangat dicintai. Cinta itu masih tidak susut walaupun emaknya menjodohkan Abu dengan seorang perempuan satu kampung selepas cintanya ditolak oleh kemenakan Dayah.

            Setelah pinangan tersebut ditolak, entah apa malangnya Dayah tidak dipinang siapa-siapa sejak dari hari itu. Kemenakan Dayah tidak keruan memikirkan perkara tersebut. Biasanya anak perawan seperti Dayah yang suci lagi bersih ini akan dikerumun oleh pemuda yang sudah sampai seru. Anak jiran sebelah sebaya Dayah sudah nikah dua purnama lepas. Mudah pula urusannya. Tatkala bersungut dan bersesal menolak pinangan Abu tempoh hari, seorang perempuan berusia 30an dari Bedil Kecil datang ke kampung mahu mencari perawan yang masih belum dipunyai siapa-siapa untuk dijadikan jodoh kepada jirannya yang membujang. Berita itu sampai ke telinga kemenakan Dayah yang kebetulan mahukan laki-laki untuk dijadikan suami kepada Dayah. Menurut mereka, Dayah sudah masak ranum, sudah berusia lima belas tahun dan tidak mahu ditahan lama-lama lagi di dalam rumah kerana sudah tidak mahu memberi makan kepada anak orang. Tanpa banyak bicara, hal pinang terus diterima. Bapanya si Usup diberi maklum dan Dayah dijodohkan dengan seorang laki-laki tua yang berusia empat puluh tahun. Pada masa itu, anak perawan tidak lulus untuk memotong urus nikah, kerana hanya orang tua saja yang arif akan perkara sedemikian. Dalam diam juga si Dayah juga mahu keluar dari rumah tersebut kerana sudah mafhum tidak mahu makan budi di rumah orang dan sudah tidak tahan lagi bekerja keras. Walaupun dinikahkan dengan laki-laki yang jauh lebih tua daripadanya, Dayah gembira kerana si laki-laki dikatakan banyak wang dan rupa pun ada. Seterusnya, bernikahlah pasangan itu dengan sederhana lalu memulakan hidup laki bini di Bedil Kecil. Si laki itu pula tidak lain tidak bukan, si Mat.

        Demikianlah mereka berdua menempuh hidup laki bini di kampung kecil dengan berlainan fikiran. Dayah perempuan muda, tidak matang dan masih anak-anak sifatnya. Mat pula laki-laki yang tua, matang dan hanya mampu melayan kerenah bini baharunya. Dia tidak kisah akan semua itu asalkan Dayah setia. Dayah juga tidak peduli akan ketuaan si laki asalkan hidupnya tidak sempit. Untunglah Dayah kerana Mat masih bekerja sebagai juragan kapal maka keperluan Dayah tidak pernah kurang walaupun rumah kecil beratap nipah. Makan pakainya cukup, persalinan dan perhiasannya juga indah-indah belaka.

           Berkatalah Dayah kepada dirinya sendiri, “Beruntunglah aku kerana memilih Mat berbanding si Abu.”

           Perlayaran dua laki bini itu seperti laut. Dalamnya tidak tersentuh, luasnya tidak kelihatan. Diberi oleh Allah swt akan anak lelaki yang pertama, menjadi penawar hati Mat yang sangat menginginkan anak lelaki, entah dari mana anak itu tiba-tiba pula diminta oleh sahabat jiran Mat, seorang perempuan dari Jalan Green yang kepingin anak kerana mereka tidak ada anak walaupun sudah puluhan tahun berlaki. Seperti hati emak dan bapa yang kasihkan anak, mereka berdua tidak mahu menyerah. Tetapi perempuan yang mahukan anak itu berkata, “Mat, bini kau muda. Kau masih bertenaga. Lain hari bini kau akan zahirkan satu lagi anak seperti benih sawi dicampak atas tanah subur. Sedangkan aku tidak ada anak dan hidup kami sangat sunyi. Berikanlah anak kau atas belas. Aku akan menjaga anak lelaki kau dengan baik.”

            Atas dasar kasihan dan mudah-mudahan ehsan ini akan mendapat pahala dari Allah swt, maka Mat dan Dayah pun memejamkan mata dan berpisahlah mereka anak beranak, dugaan untuk manusia yang diturunkan sebagai ujian hidup.

         Malangnya, anak itu tidak dapat hidup lama. Beberapa bulan dimiliki orang, anak itu pun pulang mengadap Allah swt kerana sakit anak-anak. Menangislah Dayah kerana kehilangan anak pertama yang sangat dicintainya. Namun, air mata itu terhapus apabila Dayah diperiksa oleh bidan kampung setelah sudah enam bulan bercerai susu dengan anak pertama, Dayah tidak datang kotor. Rupa-rupanya tidaklah Dayah menyangka bahawasanya dia mendapat anak lagi. Apabila genap ranum anak tersebut di dalam rahim, Dayah menzahirkan seorang anak perempuan dengan nama Rokayah. Tidak terbilang rasa gembiranya si Mat kerana peroleh seorang lagi anak dan dengan segeranya dimaklumkan kepada anak perempuannya yang dahulu, si Lara yang kini sudah manis membesar. Walaupun Lara itu anak Mat, kelihatan seperti Lara tidak suka melihat bapanya sendiri apabila Mat datang membawa berita gembira kepada emaknya, Mayang. Hatinya dibisik cemburu.

           Namun, sekali lagi mereka diuji apabila perempuan yang sama datang meminta anak lagi. Perempuan itu meminta Rokayah sebagai anak dan memberi janji yang sama tetapi Dayah tidak mahu percaya. Kali ini, Dayah pula yang dipujuknya kerana sudah pasti tidak mudah untuk perempuan itu memujuk Mat yang sakit hati padanya.

         “Dayah, kau masih muda. Berikan anakmu kepada aku. Aku akan menjaga anakmu dengan baik. Lagipun kau masih muda, baharu masuk usia tujuh belas tahun. Jika kau mahu kau boleh dapat anak lagi selepas rehat dua bulan dan zahirkan anak hujung tahun ini. Sedangkan aku tidak ada anak dan hidup kami laki bini sungguh sunyi.”

           “Tapi kakak, saya sayang anak saya. Mintalah anak orang lain. Anak jiran belakang saya juga baru menzahirkan anak tiga bulan lepas.”

          “Dia sudah tiga bulan, Dayah. Emaknya pasti tidak mahu berikan anak itu kepada aku. Sedangkan anak kau baharu saja tujuh hari dan kau juga belum kenal kasih dengan anak kau. Jadi jika aku ambilnya sekarang tidaklah menimbulkan kerinduan yang amat di minda kau yang masih muda ini.”

            “Kalau begitu, berjanjilah dengan saya. Besarkan anak saya seperti anak kakak.”

        Sekali lagi, anak Mat diberikan kepada orang. Apabila Usup bapa si Dayah dimaklumkan, pantas lelaki tua itu datang membawa emak si Dayah sekali datang ke Kuching. Menurut firasat tuanya, Dayah dan Mat itu mudah benar diperdayakan oleh orang. Sebaik saja tiba di rumah Mat setelah dihantar oleh apek Cina dengan beca tarik sampai ke depan rumah, Usup terus menerpa masuk lalu berkata,

            “Mana cucu aku, Dayah?”

          “Sudah kuberikan pada perempuan yang tidak ada anak. Kami kasihan kerana dia tidak ada anak dan aku pula boleh beranak lagi. Jadi tidak salah kami serahkan Rokayah dengannya.”

           “Dulu dia ambil cucu sulungku, Samad. Sekarang dia ambil Rokayah pula. Di mana dia tinggal? Aku mahu bertemu dengan perempuan itu.”

           “Dia tinggal di Jalan Green, bersebelahan dengan sekolah anak-anak. Apabila bapak sudah bertemu dengan dia, beritahu aku bagaimana keadaan si Rokayah. Aku tidak boleh keluar kerana aku masih pantang. Mat juga tidak kasi aku keluar sebab itu disuruhnya dua orang perempuan ini mengatur makan minum aku ketika dia berlayar.”

            “Baiklah, aku dan emak kau akan datang semula petang nanti.”

        Demikianlah bicara anak beranak lalu si Usup berlalu berjalan kaki sampai ke pangkalan. Dari pangkalan itulah dia menaiki perahu tambang beratap nipah dengan tambang sepuluh sen seorang. Apabila tiba di seberang, Usup dan Siah berjalan kaki begitu jauh sehingga keletihan. Maka ditumpangnya lori pendek apek Cina penjual surat khabar sampai ke Jalan Green. Tiba jugalah si Usup di rumah perempuan itu demi mahu melihat cucu perempuannya.

          “Oh si Dayang, aku ini pak nek si Rokayah. Benarkan aku melihat cucu aku,” kata Usup apabila pintu dibuka.

          “Masuklah.”

          Sebaik saja si Usup dan si Siah masuk ke dalam, dijenguknya Rokayah yang merengek kecil di dalam buaian. Disangkanya Rokayah sihat dan montel di bawah jagaan perempuan tersebut. Rupa-rupanya si Rokayah itu tidak lebih dari seperti kain buruk yang terperusuk di celah bantal. Terasa seperti mahu menangis Usup dan Siah apabila melihat cucunya tetapi apakan daya, hak anak sudah diberikan oleh orang yang menzahirkan. Maka si Usup dan si Siah pun kembali semula ke Bedil Kecil dan memaklumkan si Rokayah sudah sakit tenat dan seperti mahu melepaskan nyawa tidak lama lagi. Maka, diperkenankan oleh Allah swt, Rokayah pun menurut langkah abangnya selepas usianya dua bulan dan Mat dan Dayah tidak mahu memandang muka perempuan itu lagi kerana dikatakan perempuan itu membela hantu jembalang sebagai pendamping. Barangkali sebab itulah dia tidak dapat anak, dan anak-anak Mat mati dibaham hantu.

         Tahun-tahun ke depan selepas itu, Dayah menzahirkan seorang anak lelaki diberi nama Hisam pada tahun 1959, Ijah pada tahun 1960, Rahman pada 1965, Rabuyah pada 1968, Mohsen pada 1970, Nora pada 1971 dan Yuli pada 1972. Pada tahun 1966, Dayah kehilangan anak kerana rahim tidak kuat dan badannya juga lemah. Pada tahun-tahun tersebut jugalah Mat mengakhiri kerja juragan kerana sudah tamat tempoh, dan dia sempat membeli tanah di Astana serta membina rumah tetapi kehidupan di tempat baru ternyata lebih susah. Kesusahan itu menyebabkan mereka berdua menyerahkan Nora kepada keluarga di Astana yang kebetulan mahukan anak perempuan dan kemudian memberi Yuli kepada keluarga di Ajibah Abol kerana mereka tidak ada anak melainkan anak angkat saja. Yuli adalah anak yang paling sakit untuk dizahirkan kerana Dayah dipaksa potong perut, dia kesakitan beberapa purnama sehingga satu kerja pun tidak dapat dibuat dan terpaksa pula dimasukkan darah baharu kerana badan sangat lemah. Mat pula sudah tidak bekerja lagi, menambah sulit untuk mencari belanja. Kerana kasihankan Dayah, Mat pun memohon kerja menjadi jaga di sekolah rendah. Kebetulan pula menantu Mat, laki si Lara yang sudah menikah itu cikgu di sekolah berkenaan. Maka mudahlah Mat mendapat kerja dan mencari sesuap nasi.

           Pada masa itu, timbullah pengertian di fikiran Dayah, mengapa bapanya menyerahkan dia dengan kemenakan dan tindakan dia menolak pinangan Abu yang adakalanya terasa sedikit sesal tetapi segera ditahan. Abu kini jadi sudah pegang jawatan di kampung dan ura-ura mahu dicalonkan jadi ketua kampung tidak lama lagi. Niatnya cuma mahu hidup sempurna dan selesa. Kini dia kesakitan melawan kesan potong demi sesuap nasi untuk anak-anak. Dalam diam, Dayah menitiskan air mata.

            Hidup pada zaman 70an tidak mudah kerana anak-anak sudah sekolah dan mahu diberi belanja. Apabila anak turun ke sekolah, mereka minta wang untuk beli buku, beli pensel, beli pemadam. Semenjak Dayah dimasukkan darah baharu selepas kehilangan darah menzahirkan Yuli, Dayah yang lemah lembut itu tidak seperti dahulu lagi. Dayah menjadi baran, tidak tahu bersabar. Lagi-lagi apabila nama wang disebut di depan mukanya, Dayah akan melolong. Tabiat suka menyumpah juga tiba-tiba pula menjadi kebiasaan di mulut Dayah yang berusia tiga puluh tahun itu. Atas kelakuan itu jugalah, Mat memikul tanggungjawab mengajar anak perempuan memasak kerana Dayah terlalu garang dan tidak dapat tahan sabar.

            “Hai anak tidak guna! Aku mati gila bekerja kau membuta di rumah tak mau tolong apa-apa! Dapat pula bapak kau yang tua dan miskin, aku yang jadi susah! Kalau begini hancurlah aku, mati habis, mati kering tak tinggal bekas!” jerit Dayah setiap kali selepas balik bekerja di kedai runcit di pangkalan.

           “Hai Dayah jangan menyumpah! Kita ini bukan tidak ada agama. Bersabarlah sedikit,” tegur Mat apabila Dayah melolong di kaki tangga menyimbah kakinya dengan air di dalam tempayan.

            “Kau tahu apa? Kau duduk saja di rumah, aku bekerja di luar cari makan! Lebih baik kau diam!”

            Begitulah Mat, apabila bininya marah dia akan beralah. Mat tahu fikiran Dayah tidak keruan. Begitu banyak perkara menyulitkan hidup mereka yang dahulunya bahagia dan senang. Sekarang, roda sedang berada di bawah. Tidak ada ruang untuk Mat cuba memusingkan roda itu naik ke atas semula. Maka diteruskan jua bekerja menjadi jaga di sekolah dan mengutip belanja menjadi tukang kayu di kampung-kampung.

            Pada suatu ketika, apabila Hari Raya tidak lama lagi menjengah, Dayah termangu di depan dapur, memikirkan tidak ada apa-apa yang boleh dihidangkan untuk tetamu. Tiada baju baharu untuk anak-anak, tiada persalinan dan sepatu untuk diri sendiri, melainkan hanya pakaian lama yang tersumbat di dalam almari usang. Dayah memejamkan mata dan menoleh ke belakang, lalu dileterinya anak-anak dengan segala macam sumpah bagi menebat kedukaannya yang tidak mampu memberi apa-apa kepada anak-anaknya melainkan hanya makan minum sahaja. Menyedari akan perihal itu, Mat meminta anaknya Rabuyah tinggal di rumah kakak mereka, Lara yang kini sudah hidup senang dengan Cikgu Aman di Siol. Menurut fikiran Mat, Lara mungkin akan memberi sedikit kuih muih kepada Rabuyah untuk dijadikan buah tangan untuk mereka di Hari Raya. Namun, hati Mat hampa apabila Rabuyah kembali semula ke rumah, dengan membawa sisa kuih yang dipotong dalam bekas yang begitu kecil.

            Lalu berkatalah si Mat kepada Rabuyah, “Apakah ini yang kakak kau bagi atau kau tersilap?”

            “Tidak, pak. Kakak sendiri yang serahkan bekas ini kepada aku. Katanya dia tidak dapat belanja banyak jadi ini saja yang mampu diberi,” Rabuyah menyahut.

            Kemudian, pantas pula Dayah menyampuk, “Kau lihatlah! Anak kau yang kaya itu pura-pura tidak ada wang. Biarkan dia menipu bapaknya sendiri! Kalau dia tidak kena tulah dengan aku, dengan engkaulah dia mendapat tulah! Dasar anak tidak tahu budi! Engkau bapaknya, maknya pula pembelit dan sekarang dibalas pula dengan sisa dari celah giginya!”

         “Tidak apalah, Yah. Bukan rezeki kita. Tuhan tahu,” Mat yang sabar itu segera memujuk Dayah. Dia redha. Barangkali segala dosanya ketika masih muda sekarang dibayar dengan tunai oleh Allah swt.

            Pada detik itu jugalah Mat sudah mafhum bahawasanya Lara anaknya dengan si Mayang itu sudah tidak peduli akan dirinya. Juga tidak dilihat sebagai bapa kandung yang pernah memberi wali dan kebajikannya diabaikan kerana perkara lampau, sedangkan perkara lampau itu jatuh di bahu emaknya juga, si Mayang. Oleh itu, Mat mundur tenang dari hidup Lara. Tanggungjawabnya memberi bahagia Lara ke tangan Aman sudah pun dipenuhi. Moga-moga Lara bahagia dan menjaga Mayang yang tua itu baik-baik sampai hayatnya habis.

          Ketika air laut berombak dan tidak berhenti mengalir di bumi Allah, begitulah kehidupan manusia seperti Dayah dan Mat menempuh dugaan hidup yang tiada habis. Dayah yang masih muda dan masih molek susuk badannya itu membuang kerja di kedai runcit dan menjadi pencuci baju dari rumah ke rumah sehinggalah diambil bekerja oleh perempuan Cina kaya yang sangat baik hati. Di situlah Dayah menumpang nasib mencari sesuap nasi, juga dihiburkan oleh anak-anak taukenya yang sangat bersopan santun. Mat pula membuang impian mahu ke Mekah kerana tidak sampai hati menyakiti hati Dayah yang sedia ada sakit. Maka begitulah kisah mereka berlayar di atas lautan hidup. Dalamnya tidak tersentuh, luasnya tidak kelihatan.

    * * *

            Dahulu Mat ingin benar mahu melihat rumah Allah, menjadi haji. Tetapi rezeki tidak ada. Maka dimintanya jiran depan membawakan kain ihram yang sudah dibelinya siap-siap agar dapat direnjis sedikit air Zam-zam. Biarlah kain ihram saja sampai ke Mekah, biarlah orangnya tertinggal di rumah, asalkan dia dapat mencium kain itu dengan renjisan dan bauan dari Mekah dengan perasaan rindu. Namun, hajatnya ditolak. Kain ihramnya pun tersimpan bersama impiannya sekali. Allah swt berasa kasihan. Akhirnya, pada tahun 1995 Mat mendapat jemputan mengadap Allah swt, jemputan yang tidak dapat ditolak dan Mat tidak mungkin dapat menolak. Mat akhirnya berangkat ke alam kekal, meninggalkan Dayah sendiri menempuh gelora hidup. Sepeninggalan Mat, Dayah tidak mencari pengganti malah dia juga tidak pergi mengundi pilihanraya. Dayah sudah tidak ada teman untuk bersama dengannya seperti dulu.

            Anak-anak mereka kini sudah besar. Ada yang sudah berkahwin dan beranak pinak. Kakak Dayah pula langsung tidak menikah dan adiknya pula pulang terus mengadap Allah swt setahun yang lepas kerana dilanggar kereta. Si Abu yang pernah jatuh cinta padanya dulu menjadi ketua kampung beberapa lamanya sebelum dia meninggal dunia. Apabila Dayah kembali mencari Ceng di Nonok, Ceng memberitahu bahawasanya anak kedua Abu diberi nama Dayah sebagai lambang cintanya terhadap Dayah. Tetapi, Dayah tidak berkata apa-apa. Hanya Tuhan saja yang tahu apa yang ada di fikirannya.

         Bukan itu saja, menantu pertamanya, Cikgu Aman yang baik hati itu juga sudah mengadap Tuhan kerana sakit tua. Tinggallah Lara seperti Dayah, hidup tanpa laki. Cuma bezanya, Dayah masih kuat dan badannya cergas. Lara pula sakit-sakit seperti nenek, mulutnya herot barangkali terkena strok. Adapun hal si Dayah yang masih dengan kelakuan barannya yang bingit sehingga menimbulkan kegusaran di hati anak dan cucu, Dayah tidak pernah lupa dirinya yang dahulu. Terkadang dia akan duduk mengelap bingkai gambar keluarga yang mengandungi wajah Mat yang terasa seperti masih hidup. Apabila melihat keramaian di tebingan dia akan teringat pada Mat yang suka menonton lumba perahu.  Dia juga suka memasak banyak, seolah-olah seperti ada Mat di depan mata dan anak-anak seperti masih kecil. Seperti biasa dia tidak dapat berhenti dari tabiatnya yang suka berjalan-jalan kerana dari tabiat itulah dia membantu Mat mencari sesuap nasi di pasar dan di rumah orang. Hati tuanya semakin sukar dimengerti. Anak cucu juga tidak faham apa yang terkandung di dalam kepala orang tua itu. Malah, si Mohsen yang tidak berbini dan menjadi penjaga emaknya juga tidak faham akan sifat Dayah.

            Meniti hari tua dengan perasaan yang berkecamuk, maka berkatalah Dayah kepada dirinya, “Aku mahu kembali ke masa dahulu, Mat. Apabila kita sangat bahagia.”

          Cubalah agak betapa lukanya hati Dayah dengan kehilangan dan cubalah agak berapa lamakah di belakang itu Dayah melalui pengalaman pengajaran di hayat tua. Hidupnya seperti peti, kunci pula sudah hilang. Maka tertutuplah ia buat selama-lamanya.

@themagi2013

No comments:

Post a Comment