Sunday, 13 October 2013

Cerpen: Haji Mat

        Hujan turun renyai-renyai. Terasa sejuk hingga ke tulang. Aku menutup pintu kereta bersama sekaki payung, dengan niat mahu berjumpa dengan seseorang. Dia seorang yang baik, dia telah memberi aku kenangan yang indah sebagai kanak-kanak. Dia suka meletakkan aku di ribanya, dia akan bercerita akan kisah-kisah hikayat orang lama sambil menggulung rokok daun apong. Pada setiap hujung minggu, dia akan menunggu kami sekeluarga di kaki tangga, menghirup kopi panas di dalam cawan besi kegemarannya. Setiap hari, dia ditemani oleh isterinya yang kuat membebel. Tetapi mereka sentiasa bersama, tidak pernah berenggang. Setiap kali hari Raya, dia kelihatan lebih gembira berbanding anak-anak kecil. Pada masa itu, aku tidak tahu apa yang ada di fikirannya, tapi kini, dia sentiasa ada di fikiranku.

            Aku tidak pernah melupakannya.

* * *

            Mat mengira duit. Duit itu dikumpul sejak dari usia muda. Semasa badan masih kuat dan darah masih kencang mengalir, duit itu dikumpul dengan niat mahu bersuka-suka di usia tua. Mahu membeli tanah, mahu berkebun, mahu berniaga. Pada masa itu Mat bukanlah seorang yang pandai agama. Solat pun tidak. Hidup sebagai anak kapal menjadikan Mat terumbang-ambing seperti kapal di atas laut. Dia tidak tahu apa yang akan jadi pada esok hari, dia juga tidak peduli pada bekalan masa tua. Mat hanya sibuk mengumpul duit.

            Lama-kelamaan, masa terus berlalu. Mat berkahwin, mempunyai isteri dan beberapa orang anak. Ketika anak sedang membesar, masuk sekolah dan banyak pula kehendaknya, kerja sebagai anak kapal akhirnya tiba ke penghujung. Mat menerima sedikit imbuhan pencen, cukup untuk memulakan kehidupan baru dengan serba kepincangan. Tahun demi tahun, rumah terasa sempit, emas isteri perlahan-lahan lucut dari badan. Kadang-kadang, si isteri tidak dapat menahan baran. Maka, mereka bergaduh, si isteri akan berlari keluar dari rumah lalu masuk ke dalam hutan berhampiran. Kemudian, Mat akan turun mencari isterinya dengan lampu minyak tanah, memujuk isteri untuk pulang ke rumah. Begitulah kehidupan mereka.

            Sehinggalah pada suatu hari, Mat merenung ke arah kalendar dan melihat-lihat ke luar tingkap. Dia termenung sendiri.

            “Kenapa?” tegur si isteri.

            “Aku dengar Pini nak buat haji.”

            “Macam itulah.”

            “Bila makan majlis?”

            “Malam esok katanya. Kenapa?”

            Mat menggeleng. Dia tidak berkata apa-apa apabila pasti jiran di depan mereka, Pini sedang bersiap mahu berangkat naik kapal di tebingan Sungai Sarawak minggu depan. Setelah puas bermenung dan berenang di dalam fikiran sendiri, Mat perlahan-lahan berdiri lalu melangkah ke bilik anak-anak. Anak –anak lelakinya masih kecil, masih tidak tahu apa-apa. Anak perempuan sulungnya pula sudah bersekolah, macam-macam kehendaknya. Anak isteri perlu diberi makan sedangkan tulang empat kerat sudah tidak kuat, Mat selalu sakit-sakit. Akibat penyakit tua Mat itulah, si isteri yang masih muda itu berkorban siang malam mencari sesuap nasi untuk keluarga. Mat terasa bersalah. Mat teringat pada perihal Raya Puasa tahun lepas apabila tetamu datang, yang ada di atas meja cuma seteko kopi panas dan beberapa keping biskut kering. Ketika Raya Haji pula, dia tidak mengadakan apa-apa di atas meja. Dapurnya kosong, berasap cuma sekali saja setiap hari. Pernah sekali anak perempuannya bertanya,

            “Kenapa bapak nak buat rumah terbuka? Kita tak ada apa-apa, cuma seteko kopi.”

            “Tak apa, tetamu nak datang takkan nak disuruh keluar. Lagipun, kita beri secawan kopi, lain hari kita dapat pahala.”

            “Tapi aku malu, kawan-kawan nanti datang.”

            “Apa nak malu? Kita tak mencuri, kita tak menipu.”

            Anak perempuan Mat hanya menekur tidak menjawab apa-apa kerana dia tahu, walaupun hanya ada seteko kopi, tetamu pasti dijemput untuk datang ke rumah.

          Maka, pada kali ini Mat berniat mahu memberi lebih dari seteko kopi untuk tetamunya.

            Malam itu, selesai saja solat Isyak, Mat keluar dari rumah selepas memberitahu kepada si isteri. Si isteri hanya mengangguk, sibuk menganyam ketupat mengambil upah untuk makan majlis si Pini yang mahu naik kapal minggu depan. Dengan memakai baju T apek buatan Cina, berkain pelekat dan memakai capal lusuh, Mat melangkah ke rumah Pini, diterangi oleh cahaya lampu minyak tanah yang sudah puluhan tahun berjasa sepanjang Mat bekerja menjadi anak kapal. Di dalam pelukannya ada sebungkus plastik, tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapapun sebelum ini. Apabila Mat sudah sampai di perkarangan rumah Pini, dia segera memberi salam untuk beberapa kali. Kemudian, seseorang terjegul di sebalik daun pintu.

            “Oh, Mat? Buat apa datang ke sini. Makan majlis esok hari,” ujar Pini, lengkap berpakaian seperti tok imam. Wajah Pini bersih dan putih. Mat berasa malu pada dirinya, tetapi ditelannya rasa malu itu demi menyampaikan hajatnya.

            “Pini, aku dengar kau bertolak naik kapal minggu depan, jadi aku ada sedikit hajat.”

            “Hajat apa?” soal Pini. Pini menganggap, hajat Mat tak lain tak bukan; air zam-zam sebotol, kurma beberapa tangkai atau kekacang dari Mekah.

            Dengan perasaan berdebar, Mat menyerahkan bungkusan plastik yang dibawanya dari rumah kepada Pini. Hajatnya besar, kebetulan pula Pini terpilih jadi tetamu Allah sedangkan ramai orang tua sebaya mereka memohon tetapi rezeki belum ada. Harap-harap sudilah kiranya Pini menunaikan hajatnya. Tetapi berlainan pula dengan si Pini, kepalanya bingung apabila meneliti isi bungkusan tersebut.

            “Ini apa? Kau belikan aku kain ihram? Tapi kain ihram ini dah lama, warna pun dah kuning-kuning sedikit,” ujar Pini.

            “Itu bukan untuk kau,” sahut Mat, sopan. “Kain ihram itu untuk aku. Aku berhajat nak pergi haji tapi nampaknya hajat itu tak sampai. Jadi aku harap kau bawalah kain ihram aku bersama kau. Kalau boleh, kau renjiskanlah air zam-zam ke atas kain ihram aku. Sekurang-kurangnya, kain ihram itu dapat jejak kaki ke tanah suci walaupun orangnya tertinggal di belakang. Dapat jugalah aku merasa kegembiraan naik haji seperti kau.”

            Pini memandang muka Mat dalam-dalam. Ada banyak perkara bermain di mindanya. Kain itu pula dijeling beberapa kali sehinggalah Pini mendengus panjang. Tanpa berkata apa-apa, kain itu terus diserah ke tangan Mat semula.

            “Kenapa Pini?” Mat kehairanan.

            “Tak mudah nak kerjakan haji, Mat. Makan pakai kami bekal sendiri. Berbulan-bulan di atas kapal. Aku tak dapat tunaikan hajat kau. Lagipun, perbuatan kau tidak ada dalam Islam- kirim kain ihram untuk dapat haji? Kau mesti pergi sendiri, barulah itu dinamakan haji.”

            “Tapi Pini, aku cuma nak minta kau bawa kain ini ke sana. Tak renjis air zam-zam pun tak apa. Aku bukannya nak naik haji dengan kain itu,” ujar Mat, separuh memujuk.

            “Sebab itulah dalam Islam kata, hanya yang mampu boleh naik haji. Macam kau, lebih kau ukur baju di badan sendiri. Maaf Mat, aku mohon diri masuk ke rumah. Aku nak mengemas barang-barang sebelum naik kapal minggu depan.”

            Kata-kata Pini muktamad. Mat pula melangkah balik ke rumah dengan perasaan terguris. Namun, perasaan terguris itu segera diubat dan dibalut dengan kata-kata manis. Tak apa, benar kata Pini. Aku meminta yang bukan-bukan. Tapi lain hari Allah pasti akan menjemput aku menjadi tetamuNya. Aku akan menunggu saat itu.

            Kemudian, Raya Haji menjelang. Pini sudah berada di Mekah setelah berbulan-bulan berlayar dengan tetamu Allah yang lain. Tapi kali ini, ia lebih dari seteko kopi. Mat telah membeli kuih-muih untuk dijamu kepada tetamu jiran tetangga. Anak lelakinya gembira menyambut Raya Haji, anak perempuannya juga tidak segan dengan kawan-kawan sebaya. Malah rumahnya kelihatan berseri-seri dan bercahaya.

            Tetapi hanya si isteri saja yang tahu duka Mat. Duit yang dikumpul sedikit-sedikit untuk dibuat belanja haji kini dibuat sebagai belanja rumah dan mencipta kenangan bahagia untuk anak-anak.

* * *
            Hujan sudah berhenti. Jalan bertanah kekal becak. Aku terus berpayung sehingga tiba ke tempat yang dimaksudkan. Dia, seorang lelaki yang dahulunya tidak hirau pada agama akhirnya diberi hidayah untuk kembali kepada jalan yang benar. Dia lahir semula, dalam diam menyimpan niat mahu naik haji dan menjadi tetamu Allah.  Maka duit yang dikumpul masa muda itu dijadikan sandaran belanja haji. Sungguhpun belanja haji bertukar menjadi makanan dan keperluan sekolah anak-anak, dia tidak pernah putus harapan. Bertahun-tahun dia terus menyimpan impian itu, bersama kain ihramnya yang semakin lusuh dan akhirnya koyak. Setelah puas menanti, impiannya menjadi tetamu dimakbulkan oleh Allah. Dia dijemput pergi mengadap Tuhan pada bulan Zulhijjah tahun 1995, menjadi tetamu yang tidak akan kembali buat selama-lamanya.

            Akhirnya, tibalah aku di hadapan rumah abadi seorang teman yang istimewa. Aku menjadi tetamu di sini. Bertemankan sepohon pokok puding kuning dan sedikit rumput renek, aku duduk di sisi kuburannya dan tersenyum. Semasa dia pergi meninggalkan kami semua, wajahnya bersih suci dan gembira. Haji Pini yang meninggal dunia beberapa tahun selepas itu pula menderita bertahun-tahun kerana sakit tua.  Sekarang, mereka sudah sama-sama menjadi tetamu Allah di alam yang baharu.  Bagi aku, sama ada menjadi haji atau tidak, impian datukku untuk menjadi tetamu Allah swt sudah pun ditunaikan.


            Dialah Haji Mat, haji yang tidak kesampaian.


p/s: selamat hari raya haji, pak nek =)
@themagi2013

No comments:

Post a Comment