Friday 12 December 2014

Pahlawan Legenda Sarawak

Sejarah. Aku tau lagi mafhum ramai budak zaman sekarang tak suka sejarah. Tapi aku tak peduli pon. Dengan adanya entri dan ruangan ni, aku bolehlah berleluasa nak bercerita pasal sejarah. Kali ni, aku mengarang tentang pahlawan legenda Sarawak. Semua orang tahu Dato Bahaman, Dol Said, Tok Janggut dan banyak lagi (rujuk buku teks sekolah) tapi berapa ramai yang tahu pahlawan legenda di Sarawak? Aku teringat ngan rumah sukan aku masa sekolah rendah dulu, semuanya nama wira.

Jadi, meh dekat sikit ngan skrin laptop/komputer/tab/henpon korang.

1. Syarif Masahor

Syarif Masahor, atau nama sebenar Sayyid Mashhur bin Muhammad Al-Shahab, merupakan keturunan Hadhrami dan berasal dari Sarikei, Sarawak. Beliau dilantik oleh Sultan Brunei menjadi pembesar Sarikei dan dihormati kerana berkebolehan dalam memimpin dan menyatupadukan penduduk. Ketibaan Brooke dengan polisi kerajaan baharu menyebabkan Syarif Masahor berang kerana kawasannya diambilalih padahal ia tidak termasuk dalam perjanjian. Maka, Syarif Masahor menentang Brooke melalui Sungai Sarawak tetapi pihak Brooke bertindak memusnahkan semua kapal beliau. Kemudian, James Brooke pergi ke Brunei dan meminta supaya Sultan Brunei menghantar Syarif Masahor ke Selangor. Akhirnya, beliau dihantar ke sana dan menjadi penasihat Sultan Abdul Samad. Syarif Masahor meninggal dunia di Kerling, Selangor pada 1890 dan dikuburkan di situ.

2. Rentap


Rentap, atau nama sebenar ialah Libau, merupakan pemimpin bagi kaum Iban di kawasan Nanga Skrang. Beliau menentang kemaraan Brooke yang cuba mengambilalih kawasan tersebut. Peperangan sengit berlaku di Lintang Batang apabila pegawai Inggeris iaitu Alan Lee dibunuh dengan kejam dan Brooke menambahkan jumlah pengikut sehingga berjaya memusnahkan 20 buah rumah panjang, kediaman para pengikut Rentap. Rentap berundur ke Bukit Sadok dan memberi semangat kepada pengikut untuk terus berjuang. Slogan Rentap iaitu 'Agi Idup Agi Ngelaban' yang bermaksud 'Selagi hidup selagi itulah melawan' masih dikenang sehingga ke hari ini. Pada usia 70 tahun, setelah berundur jauh ke Bukit Sibau, Rentap meninggal dunia dan dikuburkan dengan cara terhormat. Sehingga ke nafas terakhir, Rentap tak pernah tunduk pada pemerintahan Brooke.

3. Datu Patinggi Ali

Datu Patinggi Ali merupakan pejuang Melayu Sarawak yang menentang pemerintahan Kesultanan Brunei. Sebelum kedatangan Brooke, Sarawak (iaitu kawasan Kuching) mengalami beberapa masalah penindasan pada masa pemerintahan Brunei di Sarawak iaitu Pengiran Mahkota dan Raja Muda Hashim. Datu Patinggi Ali dikatakan berasal dari keturunan Minangkabau purba iaitu melalui Datu Undi, juga dikenali sebagai Raja Jarum. Anak Raja Jarum dipercayai berkahwin dengan puteri dari Jawa dan dari situ wujudnya gelaran Datu Patinggi. Generasi Datu Patinggi Ali iaitu Datu Patinggi Abang Haji Abdillah juga merupakan pejuang Sarawak yang menentang pemerintahan kolonial selepas Perang Dunia ke-II.

4. Rosli Dhobi

Rosli Dhobi, seorang nasionalis muda yang berusia 16 tahun dari Sibu, Sarawak merupakan pengikut Rukun 13 bersama beberapa rakannya iaitu Bujang Suntong, Morshidi Sidek dan juga Awang Rambli (bapa kepada pelakon Dayang Sofia, bekas isteri pelakon Aziz Sattar). Rosli Dhobi yang tidak puas hati dengan tindakan pihak kolonial, terutama sekali dengan pelantikan Sir Duncan Stewart sebagai Gabenor ke-2 British di Sarawak. Rosli Dhobi dipercayai menikam mati Sir Duncan Stewart dengan pisau beracun pada 1949. Kematian Rosli Dhobi bersama rakannya di tali gantung menamatkan isu anti-kolonialisme di Sarawak dan mereka dikuburkan tanpa nisan. Setelah beberapa dekad, kubur mereka di Penjara Pusat Kuching digali semula, dan jenazah mereka dihantar semula ke Sibu untuk dikebumikan dengan penuh penghormatan.

5. Kanang

Kanang anak Langkau, askar Malaysia yang berkhidmat menentang komunis di Perak. Beliau daripada Regimen Renjer Diraja dan bertugas sebagai Pengesan Jejak Iban sebelum diserap ke dalam Renjer Malaysia. Serangan beliau terhadap komunis dari penjuru kanan dan kiri dan mengakibatkan 5 musuh terbunuh dan seorang musuh cedera, malah beliau ditembak sebanyak 3 kali, dan hampir menemui ajal apabila terkena tembakan di jantung, buah pinggang rosak dan usus perut terburai. Walau bagaimanapun, Kanang berjaya dalam pertempuran tersebut dan dirawat selama 14 bulan di hospital. Pada Januari 2013, Kanang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 68 tahun.


ruj: wikipedia| takusahrisau.wordpress.com| arkib.gov.my| beautymizara.blogspot.com| sarawakdayakheritageandvariousstories.blogspot.com
images: Google search
@themagi2014

2 comments:

  1. Page yg terbaik dlm usaha melihat sejarah dlm bentuk yang terkini. Namun masih ada pembetulan berkenaan Datuk Patinggi Ali.
    1) Berketurunan direct dari Datu Merpati anaknya bernama Merpati Jepang suami kepada Datu Permaisuri anak kepada Raja Jarom title Datu Undi. Raja kerajaan Pagaruyung, Minangkabau. Sekarang dikenali Kerajaan Riau

    ReplyDelete