Friday, 10 May 2013

LuvIslam: Bulan Rejab

Tak lama lagi bulan Jamadilakhir akan berakhir. Tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum menjelang bulan Ramadhan. Oleh itu, marilah kita memanfaatkan bulan Rejab dengan amalan kebaikan.

Kisah di sebalik bulan Rejab

Rejab bermaksud 'mulia'. Pada zaman dahulu sebelum Islam tersebar luas, orang Arab memuliakan bulan Rejab dengan menyembelih anak unta sebagai qurban, beribadat sepuasnya di hadapan pintu Kaabah yang dibuka luas pada 1 Rejab, kemudian melakukan sembelihan qurban yang digantikan binatang halal berkaki empat pada 10 Rejab dan bulan diharamkan berperang. Selepas kedatangan Islam amalan ini diharamkan.

Pada bulan Rejab jugalah berlaku peristiwa penting dalam kalendar umat Islam dan hidup Rasulullah SAW. Baginda melalui malam pengembaraan Isra' dan Mikraj. Ulama' bersepakat peristiwa itu berlaku pada malam 27 Rejab.

Baginda SAW turut menyaksikan tamatnya Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah yang berlaku pada bulan Rejab.

Bulan Rejab menurut Al-Quran

Kelebihan bulan Rejab disebut dalam dua surah yakni Surah Al- Baqarah dan Surah At-Taubah yang menyatakan bahawa:

Bulan Rejab merupakan bulan haram (termasuk bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) kerana ia dikatakan bahawa ia disebabkan oleh kebesaran kehormatannya sebagaimana besarnya dosa yang dikira dalam bulan-bulan tersebut.

Bulan Rejab juga dikenali sebagai bulan haram kerana pengharaman peperangan pada zaman jahiliyah dan juga pada zaman Nabi Ibrahim AS.

Bulan Rejab dijadikan bulan haram untuk peperangan bagi memberi laluan kepada umat menunaikan kewajipan umrah yang dilakukan pada pertengahan tahun manakala bagi bulan haram yang lain, Zulkaedah adalah bulan bagi bakal haji datang ke Mekah, bulan Zulhijjah adalah bulan untuk mengerjakan haji dan bulan Muharram adalah bulan untuk para haji kembali ke tempat masing-masing. Oleh sebab itu empat bulan ini diharamkan berperang.

Puasa di bulan Rejab

Beberapa perkara telah dibincangkan mengenai puasa di bulan Rejab berdasarkan hadis dan sunnah Nabi. Menurut riwayat seorang lelaki dari Bahilah, Baginda SAW dikatakan telah didatangi oleh seorang lelaki yang berpuasa berterusan sejak berpisah dari Nabi SAW. Lelaki itu meminta untuk terus berpuasa kerana dia yakin dia kuat untuk meneruskannya. Maka Baginda SAW bersabda: "Berpuasalah pada bulan sabar yakni bulan Ramadhan dan satu hari setiap bulan." Kemudian lelaki itu meminta lagi penambahan puasa. Lalu Baginda SAW bersabda lagi: "Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah!" (kemudian diulangi sebanyak 3 kali) sambil mengucapkan itu. Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan- Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik.

Berpuasa dalam empat bulan haram adalah puasa yang baik selepas bulan Ramadhan. Ulama bersepakat bahawa berpuasa pada empat bulan haram (dimulai dengan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah) adalah sangat dituntut namun makruh jika hanya memilih bulan Rejab sahaja.

Menurut Imam Syafie rahimahullah, ada 5 malam dalam setahun, Allah SWT membukakan pintu langit. Salah satunya adalah malam 1 Rejab. Bulan Rejab juga dikenali sebagai bulan Istighfar.

Doa Bulan Rejab


Semoga Rejab kali ini dimanfaatkan dengan baik dengan memperbanyakkan ibadah dan meningkatkan lagi amalan kebaikan.

Rujukan dan pautan lain:
http://www.islah.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=137:kelebihan-bulan
http://www.hira.edu.my/index.php?option=com_content&view=article&id=271%3Abulan-rejab-&catid=38%3Aslideshow&Itemid=1
http://trigyy.com/2012/05/islam-doa-tarikh-kelebihan-puasa-di-bulan-rejab-1433-h/
http://shafiqolbu.wordpress.com/2012/05/21/bulan-rejab-datang-lagi/

#tmg2013

No comments:

Post a Comment