Thursday, 23 May 2013

Perlambangan bandar di Sarawak

Semasa berada di kerusi kampus, orkid adalah simbol kepada bandaraya Shah Alam. Terpacak ukiran dan bentuk kuntum bunga orkid di setiap jalan, tiang lampu dan juga di pintu gerbang. Di Klang, keris menjadi simbol atau lambang kepada tempat bersemayam raja-raja. Semasa berada di Seremban, simbol rumah Minangkabau tersergam indah, tapi tak sempat nak amek gambar. Dan semasa berada di Melaka, Menara Taming Sari antara simbol lain yang gah, tetapi bangunan A' Famosa tetap satu perlambangan yang kukuh. Seterusnya, semasa berada di Ipoh, simbol melombong adalah kenangan di Perak.

Setiap bandar ada perlambangan yang tersendiri, satu kenyataan yang menarik dan berbeza-beza, serta menjadi medium dalam menyampaikan konsep pembangunan, sejarah, cerita lisan, mercu tanda serta budaya yang tersendiri.

Perlambangan bandar/bandaraya/daerah di Sarawak

Di Sarawak, terdapat beberapa pusat bandar dan bandar-bandar utama yang mempunyai maskot. Perlambangan atau maskot tersebut menjadi identiti yang membantu dalam promosi, pengenalan kepada orang luar dan menarik perhatian. Antaranya ialah:

1. Kuching

Kuching merupakan pusat pentadbiran di Sarawak dan menjadi bandaraya pada 1 Ogos 1988. Ia mengandungi jumlah kependudukan yang paling tinggi di Malaysia Timur dan bandar yang terbesar di pulau Borneo. Kuching terkenal dengan maskot kucing menerusi sejarah Bukit Mata Kucing, pokok buah mata kucing dan istilah cochin dari India. Mempunyai sebutan yang sama iaitu Kuching (bandar) dan Kucing (haiwan berkaki empat-felis catus), Kucing menjadi maskot kepada bandaraya Kuching kerana menurut kepercayaan lama, Kucing ialah haiwan yang membawa tuah.

2. Miri

Miri merupakan bandar-bukan-ibu negeri di Sarawak yang diiktiraf menjadi bandaraya pada 20 Mei 2005. Miri diiktiraf menjadi bandaraya peranginan sebelum mendapat gelaran bandaraya pada 2005. Terkenal dengan telaga minyak dan petroleum, ia menjadikan Miri sebagai 'bandar minyak' atau 'oil town'. Selain itu juga, Miri terkenal dengan kekayaan biodiversiti, hutan hujan serta landskap akuatik yang diiktiraf oleh UNESCO. Kuda laut telah dipilih menjadi maskot Miri kerana kuda laut adalah khazanah kekayaan laut yang menjadi simbol kemegahan Miri.

3. Sibu

Dikenali sebagai China Town Sarawak, Sibu merupakan daerah utama di Sarawak dan kaum Cina menguasai populasi di sini. Sibu juga antara pusat utama dalam tanaman lada hitam, lada putih dan dabai, makanan tempatan yang terkenal di Sarawak. Angsa putih menjadi maskot kepada bandar Sibu atas beberapa faktor. Menurut legenda, Sibu pernah dilanda musim kebuluran. Apabila musim kebuluran berakhir, mereka melihat sekawanan angsa putih terbang di langit. Selain dari itu, sebutan sagu (makanan orang Melanau) adalah 'go' dalam bahasa Cina dan ia mirip dengan bunyi sebutan angsa. Oleh sebab itu, angsa putih dijadikan maskot kepada Sibu. Ia membawa makna harapan dan perubahan kepada bandar ini.

4. Serian

Serian, sebuah bandar utama 60 km dari Kuching merupakan bandar yang terkenal dengan pusat rekreasi dan riadah. Selain itu juga, Serian juga mengeluarkan banyak hasil tanaman kebun yang boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Durian menjadi mercu tanda kepada Serian kerana ia merupakan daerah utama dalam pengeluaran durian yang bermutu dan terbaik di Sarawak. Setiap kali musim durian, Serian akan bertukar menjadi 'syurga raja buah', sesuai dengan pemilihan maskot.

5. Sarikei

Sarikei merupakan salah satu daerah di Sarawak yang aktif dalam aktiviti pertanian. Terkenal dengan tanaman lada dan dabai, nanas merupakan tanaman utama yang terkenal di Sarawak. Nanas Sarikei terkenal kerana rasanya yang manis dan saiznya yang besar, berbeza dengan rasa nanas dari kawasan lain. Oleh sebab itu, Sarikei mendapat jolokan 'Bandar Nanas' dan permaisuri buah itu menjadi maskot kepada Sarikei.

6. Bau

Antara bandar utama pada zaman Brooke, Bau merupakan daerah khazanah semula jadi yang terkenal dengan pelbagai jenis landskap semula jadi seperti Gua Angin, Gua Pari-Pari, Gua Bunian dan Bukit Batu . Pada zaman dahulu, Bau dikenali sebagai Ulu Sarawak, bandar Bau pula disebut sebagai Bukit Mau atau Mau San. Pada zaman Brooke, Bau menjadi lokasi dalam perlombongan emas dan mendulang menjadi pekerjaan utama di Bau. Kini, maskot dulang dan emas menjadi pilihan sebagai sebahagian dari sejarah dan kenangan lama di Bau. 

7. Lundu

Terletak 100 km dari Kuching dan bersempadan dengan Kalimantan Barat, Lundu merupakan sebuah bandar kecil yang beroperasi sebagai kawasan pertanian seperti koko, lada, padi, buah-buahan, dan kelapa sawit. Ia juga merupakan kawasan bagi aktivit laut. Sebelum ini, maskot bagi Lundu adalah sepasang burung merpati yang membawa maksud keamanan dan bersatu. Kini, pihak Majlis Daerah Lundu menjadikan Rafflesia sebagai maskot baharu bagi memperkenalkan tumbuhan unik tersebut yang tumbuh di Taman Negara Gunung Gading.

8. Limbang

Limbang merupakan sebuah daerah kecil yang terletak di bahagian atas Sarawak dan juga penempatan lama yang kini menerima pembaharuan. Limbang merupakan lokasi utama di Sarawak dalam aktiviti lumba kerbau. Pada 2011, pihak Majlis Daerah Limbang memutuskan untuk meletakkan replika kerbau di bulatan Bungsiol. Kini, kerbau jantan menjadi maskot utama Limbang dalam mempromosikan aktiviti lumba kerbau.

9. Betong

Betong ialah daerah yang terkenal dengan perjuangan kaum peribumi seperti kisah Rentap yang bertempur di Bukit Sadok, Sharip Masahor yang berjuang di Beting Maro, Datuk Patinggi Udin, Abang Abdul Kadir, Abang Godam dan Datuk Patinggi Kedit. Ia juga kaya dengan tempat bersejarah seperti Makam Dayang Isah Tandangsari (wanita istimewa yang tak lut oleh sebarang senjata melainkan tujuh urat rambutnya sendiri), tinggalan Brooke iaitu Kubu Lily, Tugu Peringatan Bukit Sadok dan Beting Maro, serta meriam lama yang diberi nama Bujang Timpang Berang. Terdapat beberapa replika yang ada di Betong seperti replika pokok getah (memandangkan getah adalah pertanian utama di Betong),  replika ikan terubok di Pusa dan juga ikan Buntal. Tetapi, replika Burung Punai menjadi maskot pilihan untuk daerah Betong.

10. Sri Aman

Sri Aman antara daerah terkenal yang giat dalam aktivit pelancongan. Turut dikenali sebagai Simanggang, Sri Aman dan Pesta Benak adalah perkara sinonim di mana air sungai berombak secara berturutan dan ia berlaku mengikut musim. Selain dari kisah Bujang Senang yang juga menjadi mercu tanda di situ, burung merpati dua sejoli yang pernah menjadi maskot kepada Lundu adalah maskot kekal di Sri Aman, membawa mesej keamanan yang ada di daerah ini.

Tambahan:

Bintulu juga dikenali sebagai bandar minyak atau 'oil town'. Bintulu mensasarkan peningkatan tahap perindustrian menjadi mercu tanda kepada Bintulu dan pengiktirafan sebagai bandaraya perindustrian.

Samarahan, dahulunya dikenali sebagai Muara Tuang menjadi hab pendidikan yang utama untuk UNIMAS, UITM, dan IPTAR. Sasaran Samarahan adalah meluaskan hab pendidikan di Sarawak dan menjadikan simbol pendidikan sebagai mercu tanda.

*Jika ada maklumat tambahan sila maklumkan ke dalam kotak komen. Terima kasih =)

#tmg2013

No comments:

Post a Comment