Thursday, 30 May 2013

Ringkasan Perjalanan Orang Jawa ke Sarawak

Sebelum ini, artikel "Masyarakat Jawa di Sarawak: Adakah itu Pelik?" merupakan sedikit pendedahan awal mengenai orang Jawa di bumi Kenyalang. Namun, terdapat beberapa kaitan yang melibatkan Kompeni Hindia Belanda (VOC), sistem tanaman paksa, galakan Temenggung Daeng Ibrahim, perusahaan Syarikat Konstantinople, penaklukan Jepun dan sistem Romusha (artikel ini merupakan penambahan untuk artikel sebelumnya.)

Kompeni Hindia Belanda (VOC)

VOC merupakan syarikat besar dari Belanda yang menjalankan bisnes besar-besaran seperti perkapalan, rempah ratus, perladangan, tekstil, perdagangan, barang hiasan, tembikar, tembakau dan sebagainya. Ia telah memasuki Asia Tenggara kerana pasaran rempah ratus yang menguntungkan. Selain dari itu, Indonesia khususnya mempunyai kedudukan geografi yang sangat baik dalam bisnes kopi dan teh.

Pengaruh Belanda mula berkembang apabila Sultan Amangkurat II (Sultan Mataram) memberi kuasa kawalan kepada VOC di Semarang akibat beban hutang selepas perang. Kemudian, Kota Semarang menjadi milik VOC secara rasmi oleh Susuhan Pakubuwono I berdasarkan perjanjian yang dibuat bagi melangsaikan seluruh hutang kerajaan Mataram.

Di bawah pentadbiran VOC, Kota Semarang menjadi maju dengan pembinaan stesen kereta api, jalan raya, bangunan pentadbiran (sebagai contoh, Lawang Selu), pusat pelabuhan kapal dagang, pusat mel dan sebagainya. Dari tahun 1870-1922, Kota Semarang menjadi sebuah bandar moden. Namun sebelum itu, terdapat kepincangan dalam pentadbiran VOC pada sekitar tahun 1830-an yang menyebabkan orang Jawa memberontak.

Sistem Tanaman Paksa (Cultuurstesel atau Sistem Kultur)

Sistem tanaman paksa diperkenalkan oleh VOC pada sekitar tahun 1830-an bagi menampung kerugian yang menimpa akibat beberapa kegagalan bisnes dan perang antara Napoleon dan Nazi Jerman. Perintah tersebut dikeluarkan oleh Gabenor Jeneral Johannes van den Bosch dengan menetapkan bahawa setiap desa mesti membahagikan sebahagian tanah sebanyak 20% untuk tanaman komoditi eskport iaitu kopi, tebu, nila, tembakau, kayu manis, kapas dan juga teh. Petani dikehendaki menanam tanaman komoditi tersebut dan menjualnya hasil tanaman kepada pihak VOC dengan harga yang sudah ditetapkan. Bagi petani yang tidak ada tanah sendiri, mereka diperintah untuk bekerja 75 hari dalam setahun di setiap kebun milik pemerintah dan setiap tanaman mestilah mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat.

Sistem ini merupakan kawalan penuh terhadap ekonomi dan lebih keras jika dibandingkan dengan sistem monopoli VOC kerana petani hanya menanam tanaman tertentu sahaja dan menjualnya dengan harga yang sudah pun ditetapkan. Petani tidak mendapat untung dari jualan, malah kebuluran kerana tidak dibenarkan menanam padi ataupun tanaman lain yang dapat mengenyangkan perut.

Akibat dari sistem tersebut, permintaan terhadap beras meningkat dan harga beras turut melambung. Pada 1843, bencana kebuluran melanda di Cirebon, Jawa Barat, diikuti oleh Jawa Tengah pada 1850. Penduduk akhirnya merusuh dan memberontak. Kemudian, pada tahun 1870, sistem ini dihapuskan. Tetapi, sistem tanaman paksa untuk kopi diteruskan sehingga ke tahun 1915.

Galakan Temenggung Daeng Ibrahim

Sistem tanaman paksa untuk kopi berlanjutan sehingga ke tahun 1915. Walaupun beberapa tanaman paksa lain telah dihapuskan tetapi ia masih memberi kesan terhadap masalah kebuluran dan kemelut harga beras yang belum selesai. Akibat dari desakan pihak Belanda, segelintir masyarakat Jawa memutuskan untuk berhijrah keluar. Pada masa itu, perladangan gambir dan bisnes kayu kayan sangat menguntungkan di Johor.

Johor merupakan negeri di Tanah Melayu yang bekerjasama dengan pihak British dan mengamalkan dasar modenisasi dalam pentadbiran, pembangunan dan perniagaan.  Galakan pertama bermula pada 1800-1825 menerusi nakhoda Jawa berdarah Arab yang sering berulang-alik membawa orang Jawa masuk ke Tanah Melayu. Galakan Temenggung Daeng Ibrahim telah membuka peluang kehidupan yang lebih baik untuk orang Jawa ke Johor dengan memberi peluang pekerjaan, dan membuka kebun atau ladang sendiri. Galakan itu diteruskan oleh cucu Temenggung iaitu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar bagi mengimbangi pola jumlah pekerja Cina menerusi sistem Kangcu dan juga Kangkar.

Syarikat Konstantinople

Penghijrahan orang Jawa ke Johor meningkat dan berkembang menerusi Syarikat Konstantinople. Syarikat ini dimiliki seorang saudagar Arab yang telah membuka ladang di Pontian. Saudagar itu merupakan sahabat baik kepada Sultan Abu Bakar dan telah membawa masuk pekerja dari Jawa menerusi Sistem Haji- memberi peluang kepada orang Jawa Muslim menunaikan haji, memberi wang perbelanjaan semasa bekerja dengan syarikat, dibenarkan untuk terus menetap di Johor atau dibenarkan pulang ke tempat lahir setelah selesai perjanjian. Sistem Haji ternyata menarik perhatian orang Jawa ke Johor, selain dari khabar dari luar mengenai kemakmuran dan kegemilangan Johor dan Singapura. 

Pada masa itu, Syarikat Konstantinople sangat terkenal di Asia Tenggara dan menjalankan perdagangan ke seluruh kawasan Nusantara. Perdagangan yang diusahakan termasuklah perkapalan, perladangan, hasil bumi dan sebagainya. Bisnes syarikat ini juga meluas sehingga ke Timur Tengah. Sistem Haji yang diperkenalkan oleh syarikat ini telah menarik lebih ramai orang Jawa yang mahu melepaskan diri dari pemerintahan Kristianiti Belanda dan sistem itu juga membenarkan mereka menunaikan haji serta tiada unsur penipuan.Oleh sebab itu, jumlah orang Jawa merantau ke Tanah Melayu semakin berkembang malah turut menyertai beberapa pelayaran perdagangan ke Sabah dan Sarawak. Menerusi pelayaran syarikat tersebut, beberapa siri penghijrahan telah berlaku ke kepulauan Borneo dan membina penempatan kekal.

Penaklukan Jepun

Kuasa Jepun tiba di Indonesia pada tahun 1942, kesan dari penguasaan Perang Pasifik dan pengeboman Pearl Harbour milik Amerika Syarikat. Pasukan Belanda yang terakhir tumpas pada Mac 1942. Bagi kawasan yang menjadi pusat kawalan Jepun, penduduknya berhadapan dengan perhambaan, seksaan, penahanan rawak, Jugun Ianfu (istilah untuk perempuan muda sekitar usia 14-16 yang dijadikan hamba seks kepada askar Jepun) dan hukuman mati.

Pada 26 Julai 1941, aset milik VOC telah dibekukan. Pada 8 Disember 1941, Tanah Melayu dan Filipina telah diserang. Kemudian pada 17 Disember 1941, Jepun telah mendarat di Sarawak dan menyerang Ternate. Selang seminggu, Sarawak menjadi kawasan jajahan Jepun. Siri penjajahan Jepun yang bermula pada Januari 1941 di Indonesia akhirnya berlanjutan masuk ke Tanah Melayu, kepulauan Borneo serta Filipina dengan tempoh masa yang cepat telah menyebabkan permintaan terhadap pekerja buruh, hamba dan makanan. 

Pada tahun 1942-1945, berlaku perpindahan tentera paksa (golongan Giyugun atau Heiho) dari Jawa ke Tanah Melayu (juga ke seluruh Asia Tenggara) bagi mengatasi masalah kekurangan rekrut yang kebanyakannya dihantar ke Pasifik. Malah, terdapat segerombolan pekerja paksa dari Jawa telah dikirim ke serata kawasan penaklukan Jepun bagi membantu dalam projek pembinaan landasan kapal terbang, jalan raya, jambatan dan kerja-kerja perburuhan yang lain. 

Perintah pindah tersebut menyebabkan pola jumlah orang Jawa terus berkembang di Tanah Melayu, sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Sistem Romusha

Pendudukan Jepun sangat meluas di Asia (di China, Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura, Filipina serta di Indonesia). Pendek kata, hampir keseluruhan kawasan Asia Tenggara menjadi milik Jepun. Dengan keluasan tanah jajahan, Jepun memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi memenuhi keperluan hidup dan juga perang. Mereka memerlukan pekerja untuk memberi mereka makanan, bertani, membina kubu, menyiapkan jalan raya dan jambatan, membersihkan kawasan, dan sebagainya.

Golongan yang menjadi tenaga kerja berat untuk Jepun dikenali sebagai Romusha yang bermaksud 'askar kecil'. Sistem ini diperkenalkan di kedesaan Jawa dan mewajibkan semua petani wajib menjadi Romusha pada tahun 1943. Pada awalnya, romusha disertai oleh petani di Jawa secara sukarela sehinggalah tercetusnya perang antara Jepun dengan Pihak Bersekutu di Pasifik. Askar Jepun telah dikerah untuk menyertai perang tersebut dan menyebabkan pengerahan tenaga kerja baru yang terdiri dari penduduk lokal. Hidup menjadi seorang Romusha sangat susah kerana kesihatan mereka tidak dijamin, kebuluran, diserang penyakit, tiada jaminan perubatan dan tidak diberi pakaian yang sempurna (hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan dihinggap oleh kutu.)

Pengambilan Romusha terdiri dari dua cara iaitu:
  • kerja bakti (pada peringkat awal- program Kinrohosi atau kerja bakti/sukarela)
  • kerja paksa (menerusi kerja paksa, Romusha diperolehi dengan mengheret mereka keluar dari rumah, pengumpulan tenaga kerja dari desa ke desa, mengupah orang untuk menangkap penduduk malah menculik penduduk untuk dijadikan Romusha seperti yang pernah berlaku di Demak pada 1944-1945)
Kesimpulan

Ringkasan perjalanan Orang Jawa ke Sarawak berlaku disebabkan oleh:
  • Tekanan VOC menerusi tanaman paksa dan menyebabkan orang Jawa berhijrah.
  • Galakan pemerintah dari Johor yang lumayan membawa kepada penempatan Jawa di Johor.
  • Perluasan perdagangan antara pemerintah Johor dengan Syarikat Konstantinople yang berdagang sehingga ke Sarawak.
  • Perpindahan orang Jawa ke Sarawak menerusi Syarikat Konstantinople dan juga pengaruh British di bawah naungan keluarga Brooke.
  • Penaklukan Jepun di Sarawak dengan membawa sejumlah rekrut baru dari Jawa.
  • Sistem Romusha yang meluas sehingga ke Sarawak. 
  • Penambahan populasi Jawa di Sarawak menerusi perdagangan, penaklukan dan perburuhan telah menyebabkan beberapa perkampungan Jawa wujud seperti Kampung Kolong 1 & 2, Kampung Sungai Bedil Kecil (disebut sebagai Astana Lama), Kampung Demak, Kampung Semarang, Kampung Sourabaya, Kampung Boyan, Kampung Gersik, dan beberapa perkampungan yang lain.
_______________________________________________________________
Rujukan:
Artikel Romusha Pekerja Paksa Zaman Pendudukan Jepang 
Isnaeni, Hendri, & Apid (2008). Romusa Sejarah yang Dilupakan. Yogyakarta: Ombak
Sumarmo, A.J.(1991). Pendudukan Jepang dan Proklamasi Kemerdekaan Indonesia. Semarang: IKIP Press

Artikel Kedatangan Jawa ke Johor
Menerusi blog penulisan Tengku Sheikh Engku Bendahara pada 2012.

Artikel Kota Semarang 
Menerusi laman sesawang Wikipedia 
Dikemaskini pada April 2013

Artikel Sejarah Pendudukan Jepang (1942-1945)
Menerusi blog penulisan History1978. files. wordpress pada 2008.

Artikel Tanaman Tebu di Pulau Jawa masa Tanam Paksa
Menerusi laman sesawang BudiDaya
Dikemaskini pada Mac 2013

Artikel Kampung Kolong
Menerusi laman sesawang Telecentre-Maklumat Am
Dikemaskini pada Februari 2013

#tmg2013

No comments:

Post a Comment