Thursday, 19 June 2014

Isu Gender-Bender dalam Sejarah

Gender-bender, atau, penyamaran jantina ini merupakan perkara yang dianggap taboo pada masa dulu. Sampai sekarang pun masih dilihat sebagai taboo. Gender-bender ini lebih ke arah menutup identiti asal berbanding mengubah sepenuhnya tetapi turut dilihat sebagai perubahan transeksual bagi sesetengah pihak. Bagi bidang kreatif manga dan anime di Jepun, gender-bender merupakan tema kegemaran mereka dalam menghasilkan karya baru. Sebagai contoh, komik Hanazakarino E Kimitachie karya Hisaya Nakajo bertemakan penyamaran seorang pelajar perempuan di sekolah lelaki. Drama Korea Selatan iaitu Coffee Prince juga membawa tema yang sama iaitu penyamaran seorang pekerja perempuan di sebuah kedai kopi yang hanya mengambil pekerja lelaki. Tema gender-bender seolah-olah menjadi satu trend dalam penghasilan karya-karya kreatif kerana ia dilihat sebagai humor, seni, mendebarkan dan juga romantik dalam masa yang sama.

Tetapi, hakikat gender-bender sebenarnya sudah lama wujud dan ia tidak dilihat sebagai humor, seni, mendebarkan ataupun romantik. Ia lebih ke arah cabaran, larangan dan kesalahan sehingga boleh membawa kepada kebencian atau kematian.

Gender-bender Terkenal dalam Sejarah.

Hatshepshut

Hatshepshut merupakan Firaun wanita pertama dinasti ke-18 dalam sejarah pemerintahan Firaun Mesir Baru yang bertarikh c.1550-c.1069. Hatshepshut ialah puteri raja kepada Thutmose I yang berkahwin dengan saudara lelakinya sendiri, Thutmose II. Apabila Thutmose II meninggal dunia selepas 8 tahun memerintah dan waris pengganti, Thutmose III masih kecil, Hatshepshut diangkat menjadi raja mengikut latar belakang keluarga Hatshepshut yang sememangnya berketurunan diraja. Sebagai Firaun, Hatshepshut mengambil kesemua adat sebagai Firaun iaitu pangkat, regalia dan kuasa- termasuk upacara penabalan, pemakaian janggut palsu, dan juga pakaian khas Firaun yang biasanya dipakai oleh Firaun lelaki. Hatshepshut menjadi drag king yang pertama dalam sejarah, bagi memikul tanggungjawab memerintah negara. Seni bina yang terkenal dalam era pemerintahan Hatshepshut ialah kuil gergasi di Deir el-Bahri dan kuil di Karnak. Walaupun terdapat beberapa Firaun wanita yang lain sebelum era Hatshepshut seperti Ahhotep I (memerintah bersama anaknya, Kamose dinasti ke-17) dan Ratu Sobekneferu dinasti ke-12, dinasti Hatshepshut berbeza kerana Hatshepshut diiktiraf sebagai Firaun, bukannya Ratu. Hatshepshut tidak berkongsi memerintah bersama anaknya seperti Ahhotep I dan pemerintahan Hatshepshut lebih panjang dan aman berbanding era Firaun wanita yang lain.

Joan of Arc
Joan of Arc ialah pahlawan wanita di Perancis dan dilihat sebagai wira suci yang diangkat menjadi santo gereja Roman Katolik. Joan digelar sebagai Virgin dan juga The Maid of Orleans kerana menurut sejarah, Joan menceritakan bagaimana dirinya dikunjungi oleh malaikat Michael, santo Catherine dan santo Margaret, dan mendapat visi untuk menyokong takhta Charles VII serta melindungi Perancis dari dominasi kuasa Inggeris. Joan kemudiannya dihantar oleh Charles VII yang belum naik takhta ke Orleans bagi merebut kawasan tersebut dari Inggeris. Walaupun Joan begitu berjasa dan beberapa ramalannya menjadi kenyataan, pandangan masyarakat terhadap Joan berubah dan Joan dilihat sebagai perempuan sihir. Joan ditangkap, dikurung dan dituduh kerana pengakuan terhadap kunjungan suci itu dinilai sebagai dosa. Joan juga menerima tuduhan 'heretic relapse' iaitu kesalahan bidaah kerana pada zaman pertengahan, adalah satu dosa besar bagi perempuan yang memakai pakaian lelaki. Akhirnya Joan dibakar, sebanyak dua kali bagi mengesahkan kematian Joan. Beberapa dekad selepas itu, visi Joan terhadap kunjungan suci dilihat sebagai satu aspirasi dan Joan diangkat menjadi santo patron bagi Roman Katolik di Perancis.

Mary Edward Walker

Walker merupakan doktor bedah era Perang Sivil untuk Unit tentera Amerika Syarikat. Beliau ditawarkan sebagai pegawai perubatan tetapi menolaknya dan menyertai unit tentera sebagai sukarela. Bagi memudahkan tugas di medan perang (menempuh selut, lumpur dan darah), Walker tidak memakai pakaian wanita tetapi sebaliknya memakai uniform lelaki. Walker menganggap pakaian wanita tidak praktikal untuk tugasnya dan kerap memakai pakaian lelaki yang lengkap termasuk bow tie dan top hat. Kekerapan Walker memakai pakaian lelaki menyebabkan beliau kerap ditangkap atas tuduhan cuba menyamar menjadi lelaki. Tetapi pada zaman tersebut, wanita yang terlibat dalam bidang perubatan dipandang rendah oleh masyarakat kerana ahli perubatan wanita tidak dapat dipercayai dan tidak mendapat penghormatan. Ia menyukarkan Walker dalam pekerjaannya. Walaupun selepas perang dan beliau bertukar bidang menjadi penulis dan pensyarah, beliau mengekalkan imej maskulin walapun dipandang serong oleh sesetengah pihak kerana pakaian lelaki ternyata memberi keselesaan pada Walker. Walker menjadi satu-satunya wanita yang mendapat anugerah Medal of Honour. Terdapat 8 orang biasa yang layak mendapat anugerah tersebut, termasuk Walker.

Mulan

This painting is oil on a silk backgroundMulan ialah wanita legenda di China menerusi karangan sajak yang mengisahkan perjuangan Mulan di medan perang selama 12 tahun bagi menggantikan tempat bapanya yang sudah tua dan adiknya yang masih muda. Hikayat Mulan diceritakan pada abad ke-6 tetapi transkrip asal hilang dan gagal ditemui. Beberapa salinan versi dikumpul pada sekitar abad ke-11 atau 12 berkenaan dengan Mulan dan ia dihasilkan dalam bentuk lagu, sajak dan lirik. Tiada siapa yang pasti nama keluarga Mulan yang sebenar tetapi memandangkan maksud nama Mulan ialah 'orkid kayu' ataupun bunga magnolia, beberapa pengarang meletakkan nama 'Hua' yang bermaksud bunga sebagai nama keluarga Mulan. Berperang selama 12 tahun di medan perang, Mulan mendapat pengiktirafan dan diberi pangkat serta kebesaran tetapi Mulan menolak dan meminta untuk kembali semula ke kampung. Sepanjang 12 tahun menjadi askar perang, Mulan melindungi identiti sebenarnya iaitu seorang gadis dan menyamar sebagai seorang lelaki kerana pada zaman tersebut, hanya anak lelaki saja yang boleh menggantikan posisi bapa mereka yang uzur di medan perang. Berbeza dari filem yang mempamerkan Mulan yang kurang mahir dalam senjata pada awal cerita, Mulan yang dikatakan hidup semasa dinasti Wei Utara (386 CE-534 CE) sebenarnya seorang gadis yang mahir dalam senjata, ilmu mempertahankan diri dan menunggang kuda. 

@themagi2014


Rujukan:
Oakes, L., & Gahlin, L. (2010). Ancient Egypt. Hermes House: London.
Clarke, S. (2010). 1000 years of annoying the French. Black Swan: London
Wikipedia/Mulan
Wikipedia/Hatshepshut
Wikipedia/Mary Edward Walker
Wikipedia/Joan of Arc
Ancientstandard.com/The real story of Mulan
Utne.com/The ancient art of gender-bending

No comments:

Post a Comment